AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 6 January 2016

TIGA WANITA YANG AKU CINTA



ULASAN KUMPULAN CERPEN TIGA WANITA YANG AKU CINTA
KARYA  :               MONALITA MANSOR
TERBITAN:           GMM ( GRUP MARI MENULIS RESOURCES)
TAHUN :               2015
KETEBALAN:       310 muka surat
                                17 cerpen.

1.        KEKAL

Ellyta dan Zamani bercinta sejak zaman kolej lagi.  Mereka berpisah setelah Zamani mendapat peluang untuk menyambung pelajarannya ke Victoria. Empat tahun mereka berpisah.  Kesetiaan mereka teruji.  Ellyta terpaksa menjaga anak buahnya yang masih kecil.  Nahar bekas abang iparnya cuba menyelam cinta demi masa hadapan anak tunggalnya bersama Azura, arwah isterinya.

Kepulangan Zamani telah melakar sengketa.  Zamani menyangkakan Ellyta telah  melupakannya dan beralih kasih.  Dia kecewa dan menyangka kekasih hatinya telah berkahwin dengan orang lain. Prasangka Zamani hampir menghancurkan hubungan mereka sekian lama.  Skap Ellyta yang tidak berterus terang hampir membuatkan cintanya terhadap Zamani dan ingin hidup bersama lelaki itu tidak kesampaian.

Kalau sudah jodoh tidak ke mana.  Ellyta tidak boleh kasihankan orang lain dan mengorbankan perasaan sendiri. Nahar mengerti perkara itu.  Dia rela melepaskan bekas adik iparnya, biarpun dia mengharapkan gadis itu menerima dia dan anaknya, Airil.
p/s: Kalau sudah jodoh tidak akan  ke mana, biarpun dipisahkan oleh lautan yang luas terbentang. 

***

Gaya cerpen yang sering dijumpai di dalam akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Melayu, permulaan  ayat sudah buat pembaca tertanya-tanya, apakah hubungan Nahar dan Ellyta?  Siapa Airil. Adakah mereka pasangan suami isteri?  Pertanyaan akan terjawab di akhir cerpen ini.  Penulis pandai mempermainkan minda pembaca agar terus membaca cerpen ini sehingga ke garisan penamat. 

2.            TABAHLAH, BAITI ADLIN ( disiarkan di Majalah Jelita 1998)

Menggunakan POV 1, watak AKU bercerita tentang kehidupannya bersama suami dan anak tunggalnya yang bakal melangsungkan perkahwinan.  Sebagai seorang ibu, AKU pasti risau akan kehilangan satu-satunya anak yang dimiliki. Kasih seorang ibu sehingga ke syurga.

Baiti Adlin dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang cukup bahagia tetapi tidak mempunyai cahayamata.  Kehadiran Baiti telah membawa sinar baharu dalam hidup Azman dan Diba.  Perkahwinan Baiti yang hampir tiba bagaikan merungkai sejarah silam gadis itu.  Kehadirannya sewaktu site visit telah membuka kembali sejarah duka dalam hidup gadis itu.  Sejarah duka yang ingin dilupakan oleh watak ‘AKU’ dan Azman, suaminya.
Mereka terpaksa berterus-terang demi kebahagian anak angkat mereka, Baiti.  Baiti nekad ingin mencari kedua orang tuanya.  Berita tentang status Baiti sampai ke telinga keluarga bakal suaminya.  Lantaran pertunangan diputuskan kerana Baiti dikatakan anak yang tidak tentu asal keturunannya. ‘AKU’ kecewa dengan sikap dan keputusan keluarga Alif yang membuang Baiti tanpa memberi peluang kepada gadis itu.  Baiti menerima keputusan itu dengan hati yang walang.  Dia terpaksa belajar redha menerima takdir hidupnya.  Biarpun Baiti hanya anak angkat, itu semua tidak memberhentikan hati ‘AKU’ dan suaminya untuk terus menyayangi anak itu.

p/s: Mereka yang mengambil anak angkat seharusnya memberitahu akan hal tersebut, supaya tidak menjadi masalah di kemudian hari.

3.       SARONG PEKALONG

                Sehelai kain batik  yang berasal dari Pulau Jawa, hasil seninya halus dan cantik buatannya telah menarik hati, ‘AKU’ untuk bertanyakan akan sejarah kain tersebut.  Pasti kain itu istimewa  kepada arwah nenek, jika tidak, sudah pasti tidak akan disimpan di tempat yang istimewa dan dijaga rapi.  Ada cerita di sebalik pemberian kain tersebut kepada arwah.  Apa kisahnya?  Kisah cinta yang  tidak kesampaian. ‘AKU’ turut risau dengan dirinya, adakah peristiwa lama itu akan berulang kembali? Kisah cintanya yang juga tidak mendapat restu ibunya.   Apa yang berlaku seterusnya?  Jawapannya ada di dalam Sarong Pekalong.

P/S:  Bercinta dan berumah tangga biarlah mendapat restu keluarga, agar ada keberkatannya.

4.       APA SAHAJA MAHUMU.
                Masih mengekalkan POV 1, mengunakan ‘AKU’ sebagai watak utama. 

Cik Hairiah atau ‘AKU’ seorang artis terkenal.  Dalams satu majlis yang dihadiri VVIP telah menjadi titik tolak pertemuan kembali dengan bekas rakan sekolahnya. Pertemuan yang tidak disangka sama sekali apatah lagi VVIP itu adalah rakan sekolah yang meminati dirinya dalam diam.    Bercerita tentang zaman persekolahan membuatkan kenangan lama kembali terpasung di hati. Dato Azmi, tidak mahu melepas lagi, kali ini dia perlu mendapatkan kembali kasih yang hilang.  Mahukah Cik Hairiah menerimanya? Jawapannya di dalam cerpen ini.

P/S:  Jodoh di tangan ALLAH.  Jika sudah jodoh tidak akan ke mana.

5.       TIGA PEREMPUAN YANG AKU CINTAI
                Kisah seorang lelaki yang meminta kebenaran untuk kembali bernikah lagi. Luahan rasa isteri-isteri dan bakal isteri digarap dengan baik. Tidak terasa kisah poligami jika tidak dibaca dengan teliti. Bijak penulisnya bermain dengan ayat-ayat yang buat kita tertanya-tanya.  Gaya bahasa yang cantik, membuai rasa sesiapa yang membacanya.  Gaya bahasa yang paling saya suka. Ada seninya.

P/S:  Meminta izin sebelum berumah tangga lagi dan lagi.  Cuba memahami perasaan isteri-isteri terlebih dahulu, keharmonian akan wujud jika saling jujur dan mengetahui peranan masing-masing.

6.       AKU BERHAK BAHAGIA
                Dendam seorang anak terhadap ibunya yang telah meninggalkannya ketika kecil dahulu. Hubungan yang semakin jauh di jarakkan lagi dengan rasa kasih seorang nenek terhadap cucunya.   Aku (2) Berasakan ibunya seorang yang kejam sehingga sanggup meninggalkannya bersama ayahnya setelah bercerai.  Perasaan itu teru tumbuh subuh biarpun dia sendiri sudah cukup dewasa untuk memahami.
                ‘AKU’ (1) tidak pernah memberitahu kisah yang sebenar di sebalik penceraiannya dan kenapa dia terpaksa meninggalkan anak-anaknya pada bekas suaminya.  Dia berharap anak-anak akan dapat memahami keadaannya satu hari nanti.  Hubungan ibu dan anak itu bagaikan tidak boleh bertaut kembali.

P/S: Orang dewasa hanya tahu menjaga perasaan sendiri.  Jika sudah bercerai, sebaiknya jadilah sahabat demi anak-anak, agar tiada kebencian di kemudian hari.

                7.            LEMPENG PISANG MAMA

                Pertemuan kembali Annisa dengan mamanya Grace yang telah berpisah dengan arwah ayahnya telah menjarakkan hubungan anak dan ibu.  Grace telah kembali ke agama asalnya. Annisa cuba belajar menyesuaikan diri dengan ibu kandungnya itu.  Beegitu juga Grace, mencari dan berkenalan dengan Annisa dengan menyelidiki blog anak gadisnya itu.    Grace akur jika Annisa tidak mampu mesra dengannya.  Perpisahan masa lalu yang amat memeritkan.
                Demi kasih seorang ibu, Grace sanggup belajar membuat lempeng pisan daripada ibu angkat Annisa.  Dia mahu anak gadisnya itu selesa tinggal bersamanya, dia ingin mengutip kembali  kasih sayang antara mereka berdua. Dan, lempeng pisang itu telah mengembalikan kasih sayang itu.

P/S:  Kasih sayang seorang ibu sampai ke syurga.

                8.            MAAF YANG HILANG
                Haslan mencari seorang lelaki bernama Tapa di sebuah pusat jagaan orang-orang tua.  Itulah kehendak ayahnya, Rasyid.  Dalam hatinya tertanya-tanya kenapa ayahnya begitu beria-ia menyuruhnya mencari lelaki tersebut.  Dia tidak membantah dan berusaha menunaikan permintaan ayahnya.  Pertemuan kembali Tapa dan Rasyid  telah merungkai peristiwa lama.  Haslan tidak pernah mengambil tahu asal usulnya, dalam fikirannya Rasyidlah ayahnya, rupanya dia adalah anak Tapa.  Rupanya emaknya telah menghalau ayah kandungnya keluar dari rumah dan lari mengikut lelaki lain.  Terbongkarlah sejarah silam dalam hidup mereka bertiga.  Emaknya yang terlantar sakit rupanya punya rahsia tersendiri dalam hidupnya.

P/S: Jangan ganggu isteri orang, sesal kemudian pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

                9.            MENCARI IKHLAS MAZIAH
                Perkahwinan yang terpaksa telah menghancurkan tiga hati. Maziah masih mengingati kekasih lamanya, Fahmi, tidak dua dan tidak tiga, hanya Fahmi di hatinya.  Affendy sedar diri, hati isterinya itu bukan untuknya.  Dia cuba mempertahankan kebahagian rumah tangganya, namun dia akur, cinta Maziah terhadap Fahmi sepenuh hati.  Hubungan yang tidak ada rasa cinta di hati, bakal runtuh juga akhirnya.  Affendy tidak sanggup membiarkan Maziah berterusan menjadi isteri derhaka.  Biarpun banyak pengorbanan Maziah terhdap dirinya, itu bukan cinta tetapi rasa simpati atas ikatan yang ada.  Affendy rela melepaskan Maziah yang tidak pernah berasa bahagia hidup dengannya. Dia berharap Maziah tidak melakukan perkara yang sama terhadap lelaki lain, jika ada jodohnya.  Biarlah dia seorang yang merana dan berasa lukanya.


P/S:  Kesetiaan biarlah bertempat.  Jodoh itukan ketentuan ILAHI, adakah pilihan kita jauh lebih baik daripada ketentuan ILAHI.  Tidak semua percintaan berakhir dengan perkahwinan.
               
                10.          MENGUJI SETIA

                Aiza, Aida, Zaid dan Ziad marah dan membantah kehendak ayah mereka yang mahu berkahwin lagi.  Hati mereka sedih dan kecewa sedangkan ibu mereka telah berkorban demi membantu ayah sehingga masuk penjara gara-gara dikatakan cuai waktu mengasuh seorang kanak-kanak yang terjatuh dari buaian.  Kesalahan diletakkan di bahu Jasmin dan dia akur dengan ketentuan takdir terhadap dirinya.  Keputusan  Hanafi untuk berkahwin lagi diizinkan.  Dia tidak mahu menyeksa batin suaminya itu. Biarlah, anak-anak akan faham satu hari nanti.  Dia akan memujuk supaya anak-anak dapat menerima kehadiran ibu baharu mereka.   Siti Sakinah  dari seberang  berjaya menambat hati  Hanafi untuk dijadikan isteri keduanya.  Biarpun dibantah anak- anak dia tetap dengan keputusannya.  Pertemuan Jasmin dan Siti Sakinah meluahkan perasaan dua wanita yang tidak mampu berbicara. Hanya air mata yang bercerita, tersembunyi seribu rasa di hati dua orang wanita yang akan berkongsi suami.
                11. BAKAL BESAN KITA.
                Membaca cerpen ini buat saya tersenyum sendiri, lebih sesuai agaknya jika tajuknya, BAKAL BESAN KEKASIH SUAMIKU.   Nira bukan ada niat ingin membantah perkahwinan anak lelakinya.  Cuma, hatinya risau dengan kehadiran bakal besannya itu mampu mengganggu-gugat kebahagian rumah tanggannya.  Pelbagai perkara bermain di minda Nira. Ketakutan, rasa cemburu dan rasa tidak dihargai bermain di fikiran. 
                Siapa yang tidak risau jika cinta pertama tiba-tiba muncul di hadapan mata. Bakal jadi besan pula itu. Adakah cinta itu akan bertaut kembali disaat anak-anak menyulam bahagia?  Itulah yang membimbangkan Nira sehingga walang hatinya. Ketakutan yang bukan-bukan mampu meranapkan kebahagian rumah tangga sekian lama. Tentu ramai hendak tahu apa yang berlaku seterusnya.  Jika dipanjangkan jalan ceritanya pasti menjadi novel yang menarik buat tatapan teman-teman semua.

P/S:  Bak kata senikata lagu Allahyarham P. Ramlee, barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang, meranalah diri.  Sepatutnya diambil iktibar.  Kenapa harus mengenangkan kekasih lama?  Sedangkan yang ada di sisi sebenar-benarnya cinta sejati.

                12.          HIDUP BERSAMA
                Cerpen yang paling saya suka.  Inilah yang sedang berlegar dan berlaku dalam hidup sekalian kita, tanpa kita sedar atau pura-pura tidak nampak apa yang sedang berlaku sebenarnya.  Su Melah mewakili ibu-ibu kita yang sekarang ini menjadi pengasuh anak-anak kita.  Long Jali terpaksa mengikut isterinya yang berkhidmat menjaga cucu-cucu mereka atas dasar kasihan dengan anak-anak. Tidak tergamak cucu-cucu diasuh oleh orang lain. Maka, berkorbanlan masa, tenaga dan waktu tuanya menjadi ‘babu’ di rumah anak demi cucu-cucu tersayang.  Long Jali kecewa melihat sikap anak-anaknya yang telah menjadikan ibu mereka sendiri persis ‘orang gaji’ segala urusan rumah tangga diserahkan kepada Su Melah untuk melakukannya.  Simpati dengan keadaan isteri tercinta yang sanggup buat apa sahaja, cinta atau kasih pada seorang anak, memanglah tiada tepinya, tetapi tidaklah sepanjang masa sehingga tiada masa untuk diri sendiri.  Long Jali berharap hari-hari tua isterinya di habiskan dengan beribadat.  Dia tidak sanggup lagi melihat keadaan isterinya yang keletihan setiap malam kerana menguruskan rumah tangga anak sendiri.

                Inilah yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini.  Kedua orang tua kita telah menjaga dan membesarkan kita sejak dalam kandungan lagi, adakah tergamak kita menjadikan mereka ‘pembantu rumah’ pula?  Tepuk dada tanya  diri sendiri. 

P/S:  Kenapa kita harus menyusahkan kedua orang tua kita?  Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Sewajarnya kitalah yang menjaga mereka, bukan orang tua kita.  Biarlah mereka hidup bersenang lenang pula menguruskan diri sendiri setelah puas menguruskan kita.

                13.          RAMADAN INI.

                Kehidupan manusia tidak pernah lepas daripada dugaan dan cabaran. Kesempitan hidup kadangkala merimaskan.  Ditambah jika ada anak-anak yang sedang membesar.  Tidak pernah berasa cukup, hutang sekeliling pinggang, masalah kewangan, masalah keluarga, anak-anak, itulah permainan hidup yang harus di hadapi oleh kebanyakan orang di luar sana.  Hanya mereka yang sabar dan tabah sahaja akan mampu menghadapinya. Hidup di bandar besar, besar juga cabarannya.  Buka mata sahaja, hanya nilai wang yang terlihat.  Semuanya berasaskan duit.  Orang sanggup berbuat apa sahaja kerana duit, hatta menjual diri.  Hakikat kehidupan yang amat memeritkan, hanya mereka yang melaluinya sahaja akan memahami. 
               
                Along dan angah berkira-kira hendak balik ke mana dan adakah baju raya untuk tahun ini.  Kesempitan hidup membuatkan mereka sering bertanya-tanya.  Namun, kefakiran tidak pernah menghilangkan senyuman di bibir mereka.  Apalah yang mereka tahu tentang kehidupan.  Apa yang mereka tahu, semuanya sudah tersedia.  Mereka tidak banyak meminta, akur dengan apa yang ada. 

                Mencari sebab kenapa rezeki sempit? Hidup berkeluh kesah, tidak pernah tenang, tidak pernah ada damai di hati.  Tidak berasa cukup dengan apa yang ada.  Jawapannya sudah pasti ada pada diri sendiri.  Ibadat kepada ALLAH selalu culas. Jarang bersujud dan berdoa agar terbit rasa tenang dan kedamaian yang tidak akan datang sendiri.  Ramadan tahun itu bagaikan memberi sinar baharu dalam hidup keluarga itu. Kembali sujud kepada Yang Esa agar kebahagian milik mereka.  Ramadan yang amat bererti buat mereka sekeluarga.  Bagaikan pengantin baharu yang baru sahaja diijabkabul. Kemanisan iman tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.

P/S: Hidup tidak semua indah. Ada robek. Ada luka, ada cedera.  Terpulang kepada kita bagaimana hendak merawatnya. Kesabaran perlu ada dalam diri. Ketabahan perlu kuat.  Keimanan perlu tinggi. Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa.

                14.          SIFIR CUTI SEKOLAH.

                Halimah seorang ibu tunggal yang tinggal di bandar membesarkan anak-anaknya dengan bekerja d sebuah pasaraya berhampiran tempat tinggalnya. Tinggal di rumah pangsa, dengan anak lima orang, apakan dayanya. Memberi kesenangan jauh sekali.  Makanan yang ada pun masih berkira-kira stoknya.   Cuti sekolah meresahkan jiwanya.l.  Pasti anak-anak berada di rumah, pasti dia terpaksa masak banyak agar anak-anak tidak kelaparan.
                Kesusahan tidak pernah menjauhkan dirinya daripada menjadi manusia yang baik. Bersyukur dengan apa yang ada.  Jangan terlalu banyak meminta. Permintaan anak-anak untuk membeli buku sekolah sudah cukup terasa peritnya.  Betapa duit untuk membeli buku itu cukup untuk membeli sekampit beras bagi mereka anak beranak. Mengisi tengkolok sendiri jauh lebih penting daripada sebuah buk. 
                Kesusahan tidak mengajarnya menjadi manusia yang lemah dan tidak mahu berusaha.  Jika tidak bergerak dan bekerja, bagaimana dengan anak-anaknya? Itulah yang ada dalam fikiran Halimah.  Biar apa pandangan orang terhadap dirinya, dia tidak peduli, yang penting anak-anak dapat makan dan bersekolah.  Kepada ALLAH dia berserah.

P/S: Hati seorang ibu, tidak sanggup melihat anak-anak kelaparan.  Sanggup bebuat apa sahaja asalkan tembolok anak-anak terisi.  Jika susah jangan sampai menjual maruah diri.

                15. BANGKU TOLOL DI SEBUAH KAFE BERHANTU.

                Kalau ‘AKU’ sendiri tidak memahami apa yang ingin dikatakan oleh SI BANGKU yang berada di dalam sebuah kafe yang dikatakan berhantu, apatah lagi saya yang terpaksa membacanya berulang kali agar memahami maksud penulis, yang tersurat dan tersirat bukan mudah hendak diterjemahkan.  Penulis berjaya mengarapnya dengan baik.  Cerpern ini agak pelik. Kalau tidak benar-benar membacanya pasti pening kepala.  Apa agaknya kisah yang tersirat dan tersurat itu? Saya cuba memahami dengan membacanya berkali-kali.  Benar, pngakhiran manusia hanya ada dua, syurga dan neraka.  Manusia juga tidak semakin hari semakin takut hendak membaca karya-karya yang membuat mereka berfikir dan mencari solusi setiap buku yang dibaca.  Perpustakaan terbiar sepi bila anak-anak muda lebih berminat bermain permainan interned daripada membaca untuk menambah ilmu. Apatah lagi buku-buku yang ada semuanya sudah ketinggalan zaman dan tidakmenarik golongan muda untuk meminjamnya.  Manusia juga semakin pelik, mencari sesuatu yang tidak nampak di mata.  Seperti mencari hantu di sebuah rumah tinggal.  Manusia juga hanya memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa memikirkan segala perbuatan mereka tidak kira baik atau buruk akan terpalit kepada orang lain juga.Lumrah manusia suka menipu?  Perkara yang tidak sepatutnya terjadi, manusia ada akal untuk berfikir baik dan buruk, terserah kepada diri sendiri.

                16.          NOTA BELA DIRI ADRIANUS PETRUS HERTOGH
                Cerpen dalam bentuk surat.  Kisah seorang ayah yang bercerita tentang pengalaman hidup dan peristiwa yang berlaku dalam hidupnya.   Cerita yang diangkat daripada kisah NATRAH gadis berbangsa Belanda menghadapi perebutan antara ibu angkat dan keluarga kandungnya.  Garapan yang menarik, bagaikan membaca sejarah lama yang semakin dilupakan.  Peperangan dan pergolakan yang berlaku kerana sikap mementingkan diri sendiri telah mencipta sejarah tersendiri di  Tanah Melayu dan  Negera Belanda juga. 

P/S: Sejarah perlu dalam hidup manusia, agar kita tahu akan baik buruknya.

                17.          MELATI,  KEKASIHKU.

                Bila manusia jatuh cinta dengan makhluk ALLAH yang berlainan alamnya.  Begitulah yang dialami oleh Cikgu Zul, jatuh cinta dengan seorang gadis yang disangka manusia biasa.  Suka sangat duduk seorang diri setelah hampir senja.  Cikgu Zul meminta emaknya meminang seorang gadis bernama Melati yang juga akan dikatakan akan bertunang dengan Haji Sahak.  Cikgu Zul tidak berpuas hati dan berjumpa sendiri dengan Haji Sahak.  Lelaki itu tidak menafikan yang Melati adalah tunangannya dan tidak berada di Malaysia. Masih lagi belajar di luar negara.  Cikgu Zul beranggapan dia dipermainkan. Tidak mungkin! Hampir setiap hari dia bertemu dan berjumpa dengan Melati, takkanlah Melati tidak pernah pulang ke Malaysia?  Tidak mungkin Melati telah menipunya?  Akhirnya Haji Sahak mengajak Cikgu Zul pergi ke tempat pertemuan guru tersebut dengan kekasih hatinya.  Emak Cikgu Zul diajak bersama untuk menjadi saksi akan kebenaran cerita Cikgu Zul dan Haji Sahak.   Permainan syaitan ada pelbagai cara.  Rupanya ‘Melati’ yang selalu bertemu Cikgu Zul bukanlah manusia biasa.  Terjawablah segala permasalahan yang dihadapi oleh Cikgu Zul.

P/S: Jangan berjalan seorang diri di waktu senja, adalah yang akan datang mengganggu.

Monalita Mansor bukanlah baharu dalam dunia penulisan.  Punya beberapa buah buku novel, novel remaja, barisan cerpen yang tidak terbilang banyaknya.   Seorang penulis yang berbakat besar, diharap bakat yang tersandar pada dirinya digunakan sebaik mungkin untuk melahirkan karya-karya bermutu.   Jatuh bangun dalam dunia penulisan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menulis. Syabas cikgu kerana melahirkan kumpulan cerpen yang penuh pengajaran. 

No comments:

Post a Comment