Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 20 Februari 2016

TUTUPLAH AURATMU

Saya ada dua orang anak perempuan. Bukan mudah menyuruh mereka menutup aurat. Bagaimana suami saya lakukan? Sewaktu dia bersekolah rendah, dari darjah satu sehingga tiga, dia hanya menutup aurat ketika ke sekolah atau ke tempat mengaji di surau. Kalau keluar bersama kami, jarang kami paksa. Pada hari lahirnya ke 10, suami memanggil dia, kami duduk bersila, saling mengadap antara satu sama lain. Ayat suami saya :

"Kakak, hari ini adalah hari lahir kakak yang ke 10, dalam Islam, kalau sudah berumur 10 tahun diwajibkan 1) solat tidak boleh tinggal 2) Menutup aurat ketika keluar rumah dan ketika ada tetamu datang, terutama tetamu yang bukan mahram 3) Membaca al-Quran, sekurang-kurangnya setengah muka sehari. Kakak anak perempuan, anak perempuan akan menjadi tanggungjawab abah selagi tidak bersuami. Kalau akak tidak menutup aurat, tidak solat, dosanya abah dan emak akan tanggung. Jadi, kalau akak sayang emak dan abah, akak ikutkan apa yang abah beritahu tadi."


Itulah nasihat suami saya pada anak perempuan kami. Alhamdulillah, dia faham akan tanggungjawab dia sebagai perempuan yang beragama Islam. Kalau anak kita faham tentang kepentingan menutup aurat dan peranannya sebagai muslimat, tiada masalah untuk mengajak dia menutup aurat dengan sempurna.Itulah tanggungjawab kita sebagai orang tua. Marilah sama-sama kita galakkan anak-anak remaja perempuan kita menutup aurat dengan sempurna. Sama-samalah kita sokong kempen ini. Kongsiikanlah di wall kawan-kawan. Nyatakan sokongan kawan-kawan tentang Kempen Menutup Aurat.

ERTI KEHIDUPAN

Saya pernah berniaga, pernah buka restoran, pernah makan gaji, pernah jadi majikan, pernah jadi ketua, pendek kata, macam-macam kerja sudah saya lakukan. Dari menjual kacang goreng pedas yang dibungkus sampailah mempunyai sebuah restoran yang gah di Putrajaya. Sekarang saya jadi penulis pula. Semua usaha yang saya lakukan, saya buat yang terbaik, cuba yang terbaik, namun... hanya setakat mampu sedang-sedang sahaja kejayaan yang diraih. Ada orang berusaha sedikit sahaja, tetapi kejayaannya luar biasa. Ada ketika kita pasti terfikir, kenapa aku tidak boleh maju seperti orang itu? Kenapa aku tidak boleh berjaya seperti orang ini. Sudah tentu persoalan akan lahir di fikiran, kita akan terus bertanya dan bertanya sehingga adakalanya kita ingin menyalahkan takdir hidup kita sendiri. Betul tak?

Hah! satu sahaja jawapan yang harus kita renungankan bersama, kaji, hayati, fahami. SESUNGGUHNYA REZEKI ITU ADALAH PEMBERIAN ILAHI. Bukan banyaknya duit tanda kebahagian, bukan banyaknya jualan tanda kejayaan, tetapi rasa bersyukur dengan rezeki yang diterima itu adalah yang terbaik. Dalam kita berniaga, jangan khianat, jangan ada cemburu, jangan ada hasad dengki. biar sedikit tetapi berkat agar hidup kita di akhirat kelak beroleh kejayaan dan kebahagian.

Salam sayang  buat teman-teman yang budiman. Muhasabahlan diri sendiri setiap hari, agar hidup menjadi lebih bererti.

JANGAN LUPA JASA ORANG LAIN

Assalamualaikum dan selamat pagi,  biar muka tembok, jangan bermuka-muka. Jangan lupa selawat ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw sebanyak seribu kali hari ini.

Pernah tak kita berjasa kepada seseorang, selepas itu dia buat dajjal pada kita, tidak kenang jasa kita, kita marah dia, kita maki dia dan anggap dia sebagai insan yang melupakan jasa baik kita? Pernah tak kita berjasa pada seekor kucing, kita beri ia makan dan minum, beri ia kasih sayang tetapi dia balas dengan menaburkan najis di hadapan laman rumah kita? Marahkan? Sakit hati? Kita tertanya-tanya kenapa kawan kita itu tidak tahu mengenang budi, mengenang jasa yang telah kita taburkan.
Ops! Jangan marah! setiap kebaikan yang kita beri, jangan sesekali kita harapkan jasa daripada insan yang telah kita buat jasa itu. Mereka tidak mungkin mampu membalasnya. Percayalah! Hanya Yang Satu yang akan membalas jasa-jasa kita itu. Hanya ALLAH SWT yang akan membalas segala kebaikan kita itu. Jadi, tekadkan azam, buat baik hanya kerana ALLAH, kerana hendak mendapat SYURGA ALLAH, kerana ingin mendapat keberkatan dan rahmat daripada ALLAH, pasti hati kita tidak akan sakit. Jika kawan yang kita berjasa itu tidak membalas kebaikan kita, tetapi ALLAH akan hantar insan lain pula untuk membalas jasa dan budi yang telah kita tabur. Berbudilah kepada sesiapa sahaja, kerana ganjarannya jauh lebih baik daripada ALLAH SWT.

Jangan lupa dapatkan buku-buku terbaharu dari Alaf 21 yang bakal berada di pasaran.

JANGAN ADA ALASAN


Assalamualaikum dan salam maghrib. Ingat gadis ini? Siti Muslihah. Saya bangga dengan sikapnya, kekuatan yang ada pada dirinya tidak semua orang ada. Begitu juga keluarganya. Syabas! Dia tidak menjadikan kekurangan diri untuk hidup menderita, dia tidak menjadikan kekurangan diri untuk hidup sengsara atau meratap, menghiba. Dia bangun, bangkit untuk terus berjaya. Bukan berjaya sebagai orang berpangkat besar, rumah besar, kereta besar, tetapi bangkit menjadi manusia yang positif, terbuka, semakin mendekati ALLAH swt.
Begitulah dengan diri kita, jangan jadikan kegagalan itu satu kekalahan, orang yang kalah adalah orang yang tidak berusaha dan tidak buat apa-apa untuk terus berjaya. Jadikan gadis ini sebagai inspirasi dalam kita mengejar kejayaan.
Kita sempurna, apa yang menghalang kita untuk berjaya?

MUDAHNYA BERSEDEKAH


Assalamualaikum dan selamat pagi, jangan lupa jawab salam sebab ia memberi pahala kepada kita, pagi-pagi dah dapat pahala, kan?
Ingin tak saya peringatkan kepada teman-teman semua bahawa hidup meraih syurga ALLAH tidak susah?
JAGA LISAN KITA yang bermaksud jagalah apa yang keluar dari mulut kita. Bercakap yang baik itu adalah satu amalan yang mulia, jangan lupa, lidah akan menjadi saksi kemungkaran kita di akhirat kelak.
Jangan juga lupa bahawa SEDEKAH menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan selagi tidak melakukan dosa-dosa besar dan menyekutukan ALLAH.
Orang yang memberi itu lebih mulia daripada yang meminta. Bersedekah bukan hanya dengan wang ringgit tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai cara, senyum juga satu sedekah, mengucapkan salam juga satu sedekah, menjawab salam juga satu sedekah. Membersihkan ranting dijalan juga satu sedekah, jadi marilah kita sama-sama bersedekah di pagi yang mulia ini dengan menjawab salam teman-teman di FB yang singgah di wall kita.
Semoga kehidupan kita akan terus memberi makna dan bererti buat orang lain.

Isnin, 8 Februari 2016

LELAKI ITU...



            30 hari dibahagi empat, hanya tinggal beberapa minggu dia berada di sisi.  Berpuluh tahun menyulam kasih dan sayang, akhirnya dia menyerah kalah kepada takdir yang mendatang.  Semakin lama, semakin parah hatinya menahan rasa cemburu, terpinggir, sepi. Rela dalam keterpaksaan akhirnya memakan diri, keredhaan yang tidak hadir dengan keikhalasan akhirnya menjahanamkan sendiri jiwa baik yang pernah ada dalam diri.  Fikiran jahat yang sering hadir setiap kali lelaki itu tidak ada di sisi membuatkan jiwanya kacau sentiasa.  Cuba menyahkan jauh-jauh perasaan itu.  Cuba membuang rasa cemburu yang bertiup kencang di sanubari.
 

***
            Lelaki itu hadirnya  sesekali,  lantaran ada tiga lagi lokasi yang harus dia pergi.  Kehadirannya sekadar singgah bertanya khabar, bercerita serba sedikit tentang kehidupan sehariannya ketika ketiadaannya di sisi.  Hati perempuannya sering terluka, setiap kali dia berpergian bertemu tiga lagi perempuan yang sama seperti diri ini.  Mungkin juga perasaan mereka sama seperti dirinya. 
            Lelaki itu tidak pernah hadir di klinik tempat  pemeriksaan bulanan ketika dia mengandung.  Malah ketika melahirkan, dia sendiri yang menguruskan.  Kerana sewaktu hari melahirkan giliran lelaki itu di tempat lain.  Tidak boleh berkompromi soal giliran, biarpun sakit demam.  Kata orang,  tidak ada belas ehsan. Tidak mungkin!  Namun, itulah yang terjadi. Pandai-pandailah sendiri. Untung dia masih punya ibu dan ayah serta adik beradik yang sudi menghulurkan tangan. 
            Lelaki itu juga tidak hadir ketika mencukur jambul anak sulongnya.  Sibuk dengan  urusannya sendiri.  Sebagai perempuan yang berkongsi kasih, usah mengeluh.  Tiada yang indah dalam hidup ini jika hanya tahu mengeluh.  Sabar dan tabah.  Menelan segala yang berlaku jauh-jauh ke dalam perut kalbu.  Air mata sering hadir menjadi peneman yang setia, menyejukkan hati yang sedang panas membara. Menenangkan jiwa yang sering dilanda laser cemburu yang kejam hadirnya, membunuh kebaikan yang bertahta.  Ah! sudah hilang keikhlasan di jiwa, lama-lama semakin pudar warnanya.
            Lelaki itu juga tidak pernah hadir pada hari pertama anak sulong mereka masuk ke sekolah.  Hanya dia yang menghantar sambil si anak bertanya;
            ”Mana ayah?” 
            Jawapan apa yang boleh diberikan? Anak itu tidak akan memahami jika dia menerangkan  lelaki itu hanya mengikut giliran.  Kebetulan bukan giliran dia di rumah itu.  Perempuan pertama yang sering terpaksa menelan jauh-jauh rasa terkilan demi mengejar kebahagian yang kononnya mampu memberi payung emas di syurga ILAHI nanti. Mampukah dia memiliki payung yang indah itu? Sudah pasti berkilau warnanya menerangi seluruh syurga lantaran pancaran keikhlasan seorang  perempuan membenarkan  lelaki itu bernikah lagi, lagi dan lagi.
            Kenapa baharu sekarang mengeluh?  Kenapa baru sekarang terasa kesal mengalir di hati.  Bak air terjun yang tidak putus mengalir biarpun dalam kemarau yang panjang.  Bila penat berlenggang mendekati dengan sebakul bunga kehampaan, apa lagi yang akan lahir dilubuk jiwa? 
            Lelaki itu juga tidak hadir sewaktu dia kelelahan mengandungkan anak kedua.  Dengan tubuh yang letih, tekak yang meloya, badan lemah dan tidak berdaya digagahi juga menghantar anak ke sekolah dan menguruskan rumah tangga.  Lelaki itu hanya hadir menuntut kehendak batinnya sahaja.   Air mata begitu dekat dengan diri, umpama air sungai yang mengalir tanpa penghujungnya.  Menahan rasa geram, marah dan cemburu yang bermain-main di jiwa yang merekah lantaran kemarau perhatian daripada lelaki itu.  Mentang-mentang dia isteri tua, yang sudah hilang serinya.  Berkahwin lagi dan lagi bagaikan menukar baju yang terdapat dijualan murah. Selang tidak sampai sebulan, mudah benar  perempuan-perempuan itu menerima kehadiran lelaki itu.  Tanpa usul periksa?  Apa yang lelaki itu ada?  Harta?  Mungkin, lelaki itu seorang yang berpangkat besar, kereta besar dan rumah besar.  Mungkin itu yang menjadi cermin kepada keyakinan perempuan-perempuan yang sudi menjadi madunya.
            Apa guna rumah besar, duit banyak jika segalanya diuruskan sendiri?  Duit tidak boleh membeli kasih sayang. Duit tidak boleh memberi masa, duit juga tidak boleh membeli cinta.  Hati yang rusuh semakin dibiarkan semakin rosak binasa.  Tiada pujuk rayu daripada lelaki itu. Hati yang remuk, pujuklah sendiri.
            “Abang sudah sediakan semua keperluan, nak apa lagi?  Bukan abang tak balik!  Bukan abang tak  datang jenguk. Kenalah faham.  Abang ahli perniagaan terkenal. Perlu bekerja kuat untuk menambah kekayaan yang ada.  Untuk siapa?  Untuk awak dan anak-anak juga.  Bukan untuk awak sahaja, malah untuk tiga orang lagi madu awak itu,” kata lelaki itu sewaktu dia meluahkan apa yang dirasa.
            Semua ada, cukup lengkap dan cukup sempurna. Bagaikan tinggal di sebuah istana siap dengan dayang-dayang pengasuhnya.  Hati seorang perempuan, katanya tidak pernah puas dengan yang ada.  Hanya tahu meminta dan merunggut.  Hati seorang perempuan mintanya banyak sehingga melebih-lebih pula. 
            Lelaki itu tidak pernah hadir di majlis perkahwinan adik-adiknya.  Kesibukannya mengalahkan seorang menteri.  Lelaki itu juga jarang menjawab telefon, alasannya tidak manis menjawab telefon ketika berada bersama isteri-isteri yang lain.  Dia bukan sengaja menelefon,  hanya ingin memberitahu pemergiaan arwah ayahnya sahaja, arwah ayah mertua lelaki itu.  Saudara mara membuka mulut yang lidahnya tidak bertulang, berkata ikut suka  tanpa memikirkan kesannya jauh di sudut hati yang paling dalam.  Meraung sendiri, memikirkan sindiran-sindiran yang menjengah telinga. 
            Lelaki itu juga tidak pernah hadir sewaktu dia menahan kesakitan sewaktu melahirkan anak kedua, sekali lagi, kaum keluarganya terpaksa menguruskan segala-galanya. Lelaki itu hanya menghantar duit melalui mesin yang hanya tahu mengeluarkan jumlah yang diperlukan.  Sekali lagi air mata menjadi peneman paling setia.  Hilang rasa bahagia menyambut orang baru dalam keluarga besar itu.  Dengar kata isteri kedua dan ketiga mengandungkan anak sulong.  Keempat masih belum dengar khabar beritanya.  Dia belum permah berjumpa madu-madunya.  Mungkin juga mereka tidak tahu yang diri mereka berkongsi suami dengan perempuan lain?
            “Kenapa abang tak bawa isteri-isteri abang berjumpa saya?” tanya dia satu hari ketika sedang duduk bersantai di laman rumah sambil menikmati minuman petang yang disediakan oleh pembantu rumah itu.
            “Perlukah? Nanti awak pula tidak selesa,” ujar lelaki itu dengan wajah selamba.
            “Mereka tidak tahu yang mereka bermadu ya, bang?” tanya dia lagi.    Dia pasti, lelaki itu merahsiakan identiti diri yang sebenarnya. 
            “Awak tak perlu ambil tahu!  Bukankah aman duduk begini, tiada siapa yang mengganggu!’ tempelak lelaki@ suaminya itu.
            “Saya isteri abang. Saya perlu tahu!” katanya tegas.  Sudah penat bermain sandiwara sedangkan pentasnya tidak ada.
            Lelaki itu tidak menjawab. Mungkin belum sedia untuk bercerita tentang kehadirannya kepada isteri-isteri yang ada.
            Lelaki itu tidak pulang sebulan lantaran marah dengan soalan yang ditanyakan.  Kejamnya dia.  Membiarkan dirinya sendirian merawat anak-anak yang memerlukan kasih sayang seorang ayah.  Sudah tentulah lelaki itu.  Seperti orang bunian, hadirkan hanya sesekali.  Alasan  sering hadir  di bibir lelaki itu merobek hatinya yang terluka parah  dilanggar pengabaian. Sekali lagi, tangisan menjadi peneman paling setia.
            Ah! Syurga Ilahi mahal harganya. Jika tidak kuat pasti tersasar hati. Pasti jauh dari syurga itu.  Lelaki itu sering menguji hatinya.  Sering mengusik jiwa kesabarannya.  Sering mengundang rasa amarah yang semakin hari, semakin membina tembok yang tinggi. Perlukan penukul  belaian untuk merobohkannya.  Dia insan biasa yang tidak kuat menghadapi ujian yang getir ini. Dia insan yang lemah, jiwanya rapuh, hatinya selembut sutera. Perempuan tinggi nafsunya, akalnya cuma satu. Mengikut perasaan dalam bertindak tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri.  Lelaki itu buat dirinya berjauh hati. 
            “Abang, saya tidak sanggup lagi. Lepaskan saya, biarlah saya hidup sendiri.  Selama ini pun saya bersendirian menguruskan segala-galanya.  Abang ada atau tidak, sama sahaja.  Untuk apa kita masih bersama, sedangkan diri ini seperti menukut di tepi gantang?  Abang ada lagi tiga orang perempuan yang bergelar isteri yang mampu membahagiakan abang!” ujarku sewaktu dia pulang setelah lama kami tidak bertemu.  Anak-anak juga tidak teruja hendak mendekatinya.  Lelaki itu seperti orang asing buat mereka.
            “Awak sudah gila atau hilang akal? Bagaimana hendak menyara hidup?” tempelaknya.
            Dia hilang akal kerana lelaki itu. Tidak tahan lagi menjadi mangsa keadaan.  Bukan terseksa kerana tidak cukup makan dan pakai tetapi terseksa lantaran hati tidak dipedulikan. 
            “Rezeki di tangan ALLAH, bukan di tangan abang.  Mungkin jodoh kita setakat ini sahaja, anak-anak abang masih perlu dibiayai, sebab itu tanggungjawab abang.  Tentang saya, pandai-pandailah saya meneruskan kehidupan sendiri.  Selama ini pun saya berdikari sendiri,” luahnya. Sudah malas hendak berperang kata.  Tidak mahu terus sengketa, mengutuk di hati sehingga -menebal menjadi dosa.  Elok-elok menempah syurga, neraka menjadi galang gantinya.  Biarlah susah sendiri daripada susah berdua sehingga memakan diri.  Tidak mahu menunggu sehingga bongkok tiga baharu dia minta dilepaskan. Biarlah ketika kuat dan tegap ini dan dia mampu mencari makan lagi. 
            “Kalau sudah kehendak awak, saya tidak mahu menahannya,” kata lelaki itu. 
            Dia terkedu, adakah dia meminta sebab benar-benar ingin berpisah atau sekadar untuk membuatkan lelaki itu teruja untuk memujuk rayunya? Kenapa ada sedih di hati sedangkan perpisahan ini dia yang pinta?  Sekian lama hidup bersama, dengan satu lafaz, hancurlah segalanya.  Dia kehilangan tempat bergantung, anak-anak tidak lagi sebumbung dengan ayah mereka.   Rajuk seorang perempuan pada lelaki itu sebenarnya minta dipujuk dan dirayu. Tetapi, bila cinta tiada di hati, perpisahan adalah jalan terbaik buat mereka berdua.

***

NUKILAN BONDA NOR -  PEREMPUAN DAN PERKAHWINAN.

PEREMPUAN DAN PERKAHWINAN

Aku sedang mengira
Berapa ramai yang telah kehilangan suami kini merinduinya setengah mati?
Berapa ramai pula yang masih punya suami namun sudah tidak pandai menghargai?
Berapa ramai yang belum menginjak alam rumahtangga lalu tertunggu-tunggu untuk mengharunginya?
Berapa ramai pula yang sudah menempuh alam perkahwinan dan kini tidak sabar-sabar untuk diceraikan?

Gila!
Ia jumlah besar yang kalau ku kira pasti tersasar.
Aku cuba mengira dan mengira namun pandanganku pula yang berbinar
Ternyata airmata menjadi bahasa yang tidak mampu menaksirkan angka
Entah kenapa aku melihat ramai wanita punya rasa yang hampir sama.
Bagi mereka jodoh itu ada atau tiada, tetap ada saja yang tidak kena.

Aduhai..
Kisah perempuan dan perkahwinan kadang mengelirukan
Takdir yang hadir seringkali tak seindah bayangan
Apa yang diharap akhirnya itu juga yang diratap
Yang dianggap anugerah akhirnya menjadi padah melahirkan gundah, resah dan gelisah.
Hidup seorang salah, hidup berdua juga salah!

Sebenarnya perempuan mahu apa?
Kalau yang diminta adalah syurga, bukankah perlu dibayar maharnya?
Mahu ke syurga perlu diuji
Perlu ada keperitan yang mengocak hati
Perlu bersabar dan bersabar lagi
Namun pada sedikit hal yang menyakitkan hati,
Mengapa enggan?
Mengapa hilang pertimbangan?
Mengapa lupa hidup berTuhan?

Wahai perempuan,
Cubalah bertahan.
Meski pun jodohmu ada atau tiada
Meski siapa pun dia atau apa pun tingkahnya
Ingatlah satu perkara
Kita ke syurga atau neraka kerana kita
Bukan kerana sesiapa!