AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 2 February 2016

IKATAN KASIH - BAB 31








            Hujung minggu yang amat mendebarkan hatinya.  Tiupan angin pagi menyapa lembut pipinya.  Ketenangan  Rumah Ikatan Kasih mendamaikan jiwanya.  Awal pagi lagi Faizul sudah hadir di hadapan bangunan pejabat pusat itu. Rabeta pula sudah bersedia untuk keluar bersama lelaki yang bakal menjadi suaminya.  Dia mengajak Faizul menemaninya ke majlis pertunangan Rizqi.  Hatinya tidak kuat untuk pergi sendirian.  Alamat yang tercatat dekat dengan kampung halamannya.  Terasa jantungnya berdegup kencang.  Kenapa perasaannya berasa berlainan sekali.  Peluh dingin menyimbah tubuhnya.
            “Awak tak apa-apa ke?” tanya Faizul, apabila melihat Rabeta seperti menggelabah sahaja.  Tidak pernah dia melihat keadaan Rabeta seperti itu.  Kalau setakat berhadapan dengan penjahat, perempuan itu cukup berani.  Kali ini berlainan sekali.   Apa yang meresahkan Rabeta? Persoalan yang bermain di ruang fikirannya.   
            “Saya baik-baik saja,” jawab Rabeta.
            “Kalau awak keberatan hendak ke majlis tu, baik kita tak payah pergi.  Takut saya tengok keadaan awak.  Muka dah  berpeluh, gelisah saja sejak tadi.  Risau saya.” Faizul memandu dengan tenang, menuju ke destinasi yang dituju.  Dengan menggunakan GPS tidaklah susah mencari tempat itu.
            “Kita dah sampai, kalau mengikut alamat, inilah tempatnya.”  Faizul memandang kiri dan kanan. Deretan kenderaan beratur di bahu jalan.  Kawasan rumah banglo setingkat itu dipenuhi dengan khemah.  Para tetamu sudah memenuhi setiap ruang.
            Rabeta benar-benar serba salah. Kenapalah dia bersetuju untuk hadir?  Bukan dia tidak tahu alamat itu berada di kampung halamannya. Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan, doanya dalam hati. Kerana ingin sangat mengetahui siapa Kamarul membuatkan dia membuang perasaan bimbang yang bersarang di hati.  Nama yang tertera di kad tersebut sama dengan nama bekas suaminya.  Dia tidak pernah tahu, bekas suaminya telah berpindah kembali ke kampung itu.  Rupanya mereka tinggal berdekatan dengan orang tuanya.
            Rabeta melangkah keluar dari perut kereta.  Dia digamit oleh Faizul yang sudah pun berada di luar.  Dia cuba tersenyum, tapi hambar. Berat sungguh kakinya hendak melangkah. Pelbagai persoalan sedang bermain difikirannya.  Cantik rumah itu, begitu juga lamanya.
            “Rabeta.”  Faizul memerhati wajah pucat Rabeta.  Dia menarik hujung baju kurung
Rabeta duduk di sebelahnya. 
            “Saya ambil air minuman untuk awak, ya.”  Faizul melangkah bangun menuju ke bahagian terhidangnya air minuman untuk tetamu.  Dia mencapai cawan polisterin dan menuang air ke dalamnya.  Langkah diatur kembali ke arah Rabeta.  Dahinya berkerut, langkahnya mati.
            “Kau! Kau buat apa di sini?  Siapa jemput kau?  Kenapa kau datang?” jerkah Hajah Aminah.  Dia mencekak pinggang, memandang garang ke arah  Rabeta yang turut terkejut melihat kelibat bekas mertuanya.  Hajah Aminah terkejut melihat bekas menantunya ada di situ.  Sewaktu hendak ke dalam rumah, dia terpandangkan Rabeta  yang duduk tenang di kerusi  berhampiran khemah untuk tetamu yang diundang.
            “Ibu!” Hanya perkataan itu yang keluar daripada mulut Rabeta.  Air mata sudah mula bertakung ditubi rmatanya. Dadanya semakin sesak.  Suara Hajah Aminah yang kuat itu mampi didengari oleh semua tetamu yang ada.  Tahulah dia sekarang, Kamarul yang datang bertemu dengannya, adalah anaknya sendiri.
            “Kenapa ni Minah?” tanya Haji Mansor yang terkejut mendengar suara tinggi isterinya.
            “Ini, ada anak hantu di sini!” Hajah Aminah menunding jari ke arah Rabeta.  Sakit benar hatinya.  Geram melihat wajah bekas menantunya yang ada di situ.  Siapa yang menjemput perempuan itu?
            “Kau? Buat apa kau di sini?”  Giliran Haji Mansor pula bertanya.
            “Saya dijemput aya, mak.  Saya tak tahu pun ini rumah Abang Kamil,” terang Rabeta tergagap-gagap.  Dia memenuhi jemputan orang.  Dia bukan suka menghampakan permintaan orang lain.
            “Baik kau berambus keluar dari sini! Kau perempuan tak malu, kan?  Kau tu pembunuh!  Kau bekas banduan! Kau nak malukan cucu aku dengan status buruk kau tu?”  sindir Hajah Aminah. Langsung tiada belas ehsan terhadap bekas menantunya.
            “Jika benar anak-anak saya ada di sini, biarlah saya bertemu mereka sebentar.  Lepas tu, saya akan pergi dari sini,” rayu Rabeta. Matanya melilau mencari kelibat Kamarul.  Rupanya, benarlah… pemuda yang hadir tempohari adalah anak sulongnya.    Sayang sekali dia tidak mengecam wajah anaknya sendiri.
            “Kau tak boleh jumpa mereka!” jerit seorang lelaki yang muncul di pintu utama, matanya tajam memandang Rabeta. Dia mengatut langkah,  mendekati.
            “Abang Kamil?”  Air mata Rabeta mengalir laju.  Wajah yang pernah dirindui sepanjang masa ketika di tahan di penjara.  Lelaki yang pernah menyentuh hatinya.  Ayah kepada anak-anaknya.
            “Siapa jemput kau?” tanya Kamil kassar. Rasa marah mencengkam hati.
            “Saya, ayah!”  Kamarul mendekati Rabeta. Tangan mamanya diraih dan dicium berkali-kali. Tubuh  Rabeta dipeluk erat.  Dia menangis kerana terlalu rindu.
            “Ya ALLAH, Kamarul!”  Rabeta mencium pipi anak sulongnya berkali-kali.  Rasa rindu membuak di hati.  Akhirnya dia bertemu juga dengan anak-anaknya.
            “Kenapa Kamarul buat macam ni? Kenapa nak rosak dan malukan kami?” Hajah Aminah memandang tajam wajah Kamarul.  Sakit pula hatinya dengan sikap cucu sulongnya itu. Memandai-mandai menjemput Rabeta.
            “Mama?” Rizqi yang sudah siap berpakaian untuk majlis pertunangannya, mendekati Rabeta yang masih kaku berdiri di sebelah Kamarul.
            “Rizqi?”  sebak dada  Rabeta.  Anak-anak yang amat dirindui berada di hadapannya.
            “Mama!” Rizqi berlari, memeluk Rabeta erat. Meluahkan rasa rindu yang sarat di hati.  Dia tiak menyangkan abang sulongnya benar-benar mencari mama mereka.
            “Mama ke mana? Kenapa mama tidak cari kami selepas keluar penjara?” tanya Kamarul. Dia tidak menghiraukan mata ayah, datuk dan nenek yang memandangnya dengan perasaan marah.
            “Mana Riyana?  Adik Riyana mana?” Dia ingin sangat bertemu Riyana.  Walaupun mereka pernah bertembung muka, tetapi dia tidak kuat untuk berterus terang dengan gadis itu.
            “Kenapa ni?”  tanya Riyana dengan dahi berkerut.  Sejak tadi dia melihat sahaja perempuan itu dimarahi oleh neneknya.  Sejak tadi jugalah dia melihat perempuan itu berdiri kaku, bagaikan terkejut.  Kini, perempuan itu menangis dan sedang memeluk abang dan kakaknya.  Siapa perempuan itu?  Soalan yang sedang bermain difikirannya.
            “Riyana! Masuk!” arah Habsah yang berada di belakang gadis itu.  Dia membiarkan sahaja keluarga mertuanya memerahi  Rabeta.  Belum sempat dia berbuat apa-apa…
            “Jangan masuk campur!” arah emaknya yang datang menarik tangannya.
            “Mak!” Habsah meronta minta dilepaskan.  Wajah emaknya dipandang seketika, mata emaknya sedang merenung Rabeta yang sedang menangis di laman rumah itu.   
            “Jom!” Hajah Kamalia menarik tangan Habsah. Hancur hatinya melihat anak buahnya sendiri, dihina dan dicaci sesuka hati. Biar besar mana sekalipun dosa dan kesalahan Rabeta dahulu, dia sudah pun menerima hukuman selama 15 tahun, tidak cukupkah lagi?  Dia sendiri tidak faham.
            “Nak ke mana, mak?” Habsah kurang selesa dengan tindakan emaknya..
            “Balik rumah mak! Biar mereka bergusti sesama sendiri.  Kau jangan sesekali hina sepupu kau sendiri, faham?”  larang Hajah Kamalia.
           
            “Nak balik ke mana? Ini rumah Chahlah mak.”  Habsah menarik tangannya semula. 
            “Mak menyesal kahwinkan kau dengan Kamil!” Hajah Kamalia mencuka. Kalaulah dia tahu perangai buruk menantunya, mati hidup balik dia tidak akan benarkan anaknya berkahwin dengan Kamil. Sikap keluarga besannya sudah cukup mengecewakan hatinya.  Sanggup memalukan anak buahnya. Langsung tidak menjaga air muka orang lain. Hiba hatinya melihat anak buahnya menangis.  Salahkah dia berhubung dengan anak-anaknya?  Dia terus melangkah pulang.  Tidak sanggup berlama di situ. Nasib baik adik dan adik iparnya tidak hadir.  Kalau tidak pasti jadi perang besar di situ.
            Rabeta terus dihina dan dicaci sesuka hati oleh Hajah Aminah tanpa sedikit pun rasa bersalah dan belas ehsan.  Perasaan benci yang tertanam di hati sejak bekas menantunya itu mencederakan anaknya semakin membuak-buak di hati.  Dia memang ingin sangat berhadapan dengan bekas menantunya itu.  Sudah terlalu lama dia memendam perasaan marahnya.
            “Pergi dari sini Eta!  Jangan ganggu majlis kami,” halau Kamil.  Rasa benci membunuh semua perasaan cinta dan sayangnya terhadap Rabeta.  Yang ada hanya perasaan dendam dan marah di hati.
            “Kamarul, Rizqi!  Masuk!” arah Kamil kepada anak-anaknya yang masih lagi memeluk Rabeta.
            “Hoi! Dengar tak, ayah kalian suruh masuk?” jerkah Hajah Aminah.  Sakit matanya melihat adegan tiga beranak itu.  Rabeta tidak layah berada di samping cucu-cucunya.
            “Nenek!” Kamarul tidak setuju langsung dengan sikap nenek dan ayahnya.
            “Kau nak jadi anak durhaka ke?” marah Haji Mansor yang sesekali masuk campur.
            “Kamarul akan jadi anak durhaka,  jika menghalau dan membiarkan mama dimalukan!” kata Kamal tegas.
            “Kau diam! Jangan nak ajar ayah pula?”  marah Kamil.
            “Rizqi! Masuk!” jerit Kamil  Suasana menjadi kecoh. Para tetamu mula bercaka sesama sendiri
            “Kenapa Kamarul jemput perempuan ini?  Kamarul nak malukan mama dan ayah?” Marah Kamil.
            “Mama berhak hadir!  Bukan ke Rizqi anak mama juga?”  soal Kamarul,mempertahankan tindakannya sendiri.
            “Ooo… penjenayah ni dah bebas?  Tadi aku tengok dia datang dengan sorang lelaki, entah-entah dah jadi kupu-kupu malam, siapa yang nak bertemankan bekas penjenayah dan banduan ni?  Nasib baik kau ceraikan dia, Kamil.  Kalau tak malu keluarga kita!” sampuk seorang perempuan yang sebaya emak mertuanya.
            Rabeta memandang wajah perempuan itu.  Air mata diseka dengan jarinya.  Dia mengetap bibir. 
            “Hei Rabeta!  Baik kau berambus! Kau pengacau saja di majlis ni, memalukan keluarga aku tak habis-habis!” kata Hajah Aminah kasar.
            “Ibu!” Rabeta memandang emak mertuanya, mohon belas ehsan agar dia dibenarkan melihat Rizqi bertunang.    Dia tidak dapat melihat anak-anaknya membesar di hadapan mata, sekurang-kurangnya hari bahagia anaknya itu, dapatlah dia turut sama berasakan kegembiraannya.    
            “Kau nak suruh pihak lelaki tolak anak kau ni?  Kau ingat mereka suka berbesankan bekas penjenayah?  Bekas banduan? Hey! Aku sendiri tak sudi bermenantukan kau, inikan pula orang luar!”  jerkah Hajah Aminah.  Dia tidak menghiraukan penduduk kampung yang melihat dan memerhati.  Mereka bercakap sesama sendiri.  Para tetamu yang terdiri adik-beradik sebelah Kamil menjuihkan bibir ke arah Rabeta, memandang jijik.
            “Baliklah!”  halau mereka.
            Rabeta memandang wajah-wajah mereka, sebahagian daripada para tetamu amat dikenalinya.  Bukankah dia pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Kamil.  Hatinya bernanah duka.
            “Cukup! Dah puas mengata tunang saya?  Dah puas menghina dia?  Apa?  Bekas penjenayah bukan manusia?  Tak ada perasaan? Tak ada hati?  Awak Kamil, perempuan yang awak hina ini, adalah ibu kepada anak-anak awak!  pernah melayan nafsu dan menyediakan segala keperluan awak, ini cara awak melayan dia?  Biar banyak mana pun dosa dia terhadap awak, 15 tahun dia dihukum! Tak cukup lagi ke? Mak cik pula, sepatutnya sebagai orang tua, bombing yang muda, bukan menambah garam pada luka!  Hina orang ikut sedap hati saja.  Kalau terkena dengan batang hidung sendiri, bagaimana? Sanggup ke hadapi?”  tengking Faizul. Berapi telinganya mendengar butir bicara mereka. Hinaan dan cacian yang dilontarkan mengusik hatinya. 
            “Ewah,ewah,ewah! Nak jadi hero pula kat sini! Ini rumah anak aku, ini kampung aku! Kau orang luar buat apa masuk campur!  Aku nak hina ke, aku nak caci ke, itu hak aku! Kau siap?  Setakat tunang! Ada aku peduli!”  jawab Hajah Aminah, sedikit pun tidak gentar melawan Faizul.
            “Saya tak nak bersikap kurang ajar dengan mak cik.  Baik, jika mak cik tak nak hentikan perbuatan mak cik ni, jom ikut saya ke balai! Saya boleh tahan mak cik kerana mengganggu ketenteraman awam! Saya Inspektor Faizul dari Cawangan Jenayah dan Maksiat! Ada sesiapa yang nak tidur lokap hari ini?”  Faizul memandang wajah mereka yang memandang jijik kepada Rabeta.
            “Erk…  Inspektor polis? Dahlah Minah, jom kita masuk dalam rumah.”  Haji Mansor menarik tangan isterinya. Kalau sudah melibatkan pihak polis, panjang lagilah ceritanya. 
            “Awak kenapa? Takut sangat dengan polis?  Dia bukan boleh buat apa-apapun!”  Hajah Aminah masih berkeras.
            Faizul mengetap bibir.  Orang tua ini memang tidak makan saman. Dia menjeling tajam ke arah Hajah Aminah yang mencekak pingggan merenungnya.  Mereka saling memandang.  Perasaan marah mendidih di dalam hati Faizul.
            “Baik!”  Faizul mengeluarkan telefon bimbitnya.  Dia menelefon seseorang.
            “Inspektor buat apa?” tanya Haji Mansor.
            “Saya panggil kereta peronda, saya terpaksa tahan isteri pak cik!”  kata Faizul tegas.
            “Faizul!”  Rabeta cuba membantah.
            Faizul mengangkat tangan dan memandang tepat ke mata Rabeta.
            Kamarul dan Rizqi memeluk tubuh masing-masing.  Sedikit pun tidak membantah.
            “Inspektor! Takkan sampai nak bawa ibu saya ke balai polis?” Kamil menggelabah. 
            “Kalau tak nak saya bawa ibu awak ke balai polis, minta maaf dengan tunang saya, sekarang juga! Banduan dalam penjara tu, lebih baik sikap dia daripada manusia di luar ni tau?  Suka-suka nak hina orang!  Apa, banduan dan penjenayah tak boleh insaf ke? Tak boleh jadi baik? Jangan ingat berjubah, berkopiah, kita dah cukup baik?  Cermin diri dulu, sebelum nak tuding jadi kat orang lain!” lengking Faizul.  Inilah manusia, mudah sangat cari kesalahan orang lain, kesalahan sendiri tutup rapat-rapat.  Dia mendengus kasar.

No comments:

Post a Comment