AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 11 February 2016

IKATAN KASIH- BAB 32




Sebuah kereta peronda berhenti di hadapan rumah Kamil.  Faizul berjalan mendekati mereka.  Dia memperkenalkan  diri dan bercerita serba sedikit.  Mereka mengangguk dan melangkah keluar.
            “Dua orang anggota polis ni dah bersedia nak bawa mak cik ke balai polis, mak cik dah bersedia ke?”  Faizul serius memandang wajah Hajah Aminah sudah mula pucat.  Tangannya sudah memegang erat tangan Haji Mansor.
            “Takkan sampai nak tahan ibu saya, Inspektor? Kasihanlah, dia dah tua,”  rayu Kamil.  Bimbang pula hatinya, kalaulah benar ibunya ditahan di lokap tentu ibunya tidak mampu menghadapinya.
            “Faizul!” Rabeta memandang dengan mata berkaca.  Dia menggeleng.  Tidak setuju dengan tindakan drastik lelaki itu. 
            Faizul mengerdipkan mata.  Dia hanya mengertak, hendak tengok sedegil dan sekeras mana bekas ibu mertua Rabeta itu.
            “Tuan! Dah boleh bawa ke?” tanya salah seorang anggota polis tadi.
            “Bagaimana?  Dah bersedia nak minta maaf?  Kalau tidak mak cik, saya terpaksa bawa mereka yang menghina dan kecoh tadi ke balai?  Kita cakap di mahkamah.” 
            “Erk… tuan! Janganlah!  Kami akan minta maaf!”  kata Kamil, wajahnya pucat. 
        “Mak cik?”  Faizul memandang Hajah Aminah yang tertunduk ketakutan.  Mak cik yang seorang lagi itu pun sudah duduk dan buat pandang ke lain.  Masing-masing ketakutan.
            “Kamarul, mama balik dulu ya.  Riz, selamat bertunang.  Nanti datang jenguk mama, abang long tahu di mana mama berada.”  Rabeta memeluk kedua-dua orang anaknya.  Rasa rindu yang selama ini bertahta di hati, lebur sedikit demi sedikit.
            “Eta! Maafkan kami semua, ya.”  Kamil merenungn wajah bekas isterinya.  Wajah yang pernah singgah di hati dan matanya.  Dia mengeluh.
            “Saya balik dulu!” 
            “Erk… Eta, maafkan ibu ya,”  kata Hajah Aminah perlahan.
          “Tak apalah, ibu tak salah apa-apa pun.” Rabeta cuba tersenyum, namun dia tahu, senyumannya itu langsung tidak ikhlas.  Hatinya sudah cukup terluka dengan sikap keluarga bekas mertuanya itu. Nampaknya, semua membencinya. 
            “Ada sesiapa lagi yang sudi nak naik kereta peronda polis? Atau teringin nak merasa tidur dalam lokap?”  tempelak Faizul. 
            Para tetamu yang hadir, mula berganjak menjauhkan diri.  Masing-masing tidak mahu turut campur. Tidak pasal-pasal bermalam di lokap.
            “Lain kali, jangan sedap mulut saja menghina orang!  Tak kiralah siapa, sebagai manusia yang waras, kita sepatutnya bantu mereka yang tersesat ini kembali ke pangkal jalan, bukan membuang mereka daripada hidup kita! Beri mereka peluang kembali hidup dalam masyarakat!  Faham pak cik, mak cik?”  nasihat Faizul.  Bukan semua bekas banduan dan penjenayah itu jahat, ada sebahagiannya terpaksa dan dipaksa.  Mereka melakukan kejahatan, bukan tiada ruang dan peluang untuk mereka bertaubat dan kembali menjadi manusia yang baik.  Jalan itu  masih ada, biarlah kena caranya.  Mereka perlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Kalau keluar dan masyarakat membuang mereka, ke mana lagi mereka hendak pergi?
            “Saya maafkan kali ini, di lain kali tiada kompromi!” kata Faizul tegas.
            “Kopral! Kita balik ke balai!” Faizul berjalan mendekati kedua orang anggota polis dan mereka kembali ke kereta peronda yang diletakkan tidak jauh dari pintu pagar.  Suasana tenang kembali.
            “Terima kasih!” kata Faizul.
        “Bila-bila masa!”  kata salah seorang anggota polis itu sebelum memandu meninggalkan kawasan tersebut.
            Rabeta mengeluh keras.  Menyesal pun ada, suka dan gembira juga terselit di hati.
           “Buat apa tercegat lagi tu?  Awak nak tunggu mereka halau awak lagi?”  Faizul membuka pintu kereta. 
            Rabeta menurut tanpa berkata apa-apa.  Dia duduk kaku, membisu.
            Faizul mengerling. Wajah muram Rabeta membuat hatinya sedih.  Padanlah perempuan itu gelisah sahaja tadi.  Sebabnya sudah terjawab.  Selama ini Rabeta tidak pernah menceritakan tentang kampung halamannya.  Bertahun-tahun tinggal di Rumah Ikatan Kasih, tidak pernah sekalipun Rabeta bercerita hendak balik ke kampung bertemu kedua orang tuanya. Rupanya dia bukan sahaja dibuang keluarga, malah dibuang oleh orang kampungnya juga. 
            “Ini tempat asal awak?” tanya Faizul, kereta dipandu meninggalkan kawasan rumah Kamil. Mata orang kampung di kiri, kanan masih memerhatikan Rabeta, saling berbisik, saling berkata-kata sesama sendiri. 
            “Ya, inilah tempat saya membesar.” 
            “Mereka tak dapat lupakan apa yang awak lakukan?  Kejam sungguh!”  Faizul mengeluh kesal.
            “Entahlah, saya sendiri tak faham?”  
            “Boleh tahan mulut bekas mertua awak tu! Kejam betul! Macam mana awak boleh tahan jadi menantu dia?”  Faizul mencuri pandang wajah suram Rabeta, simpati menjengah dalam hati.  
            “Rumah orang tua awak di mana?” 
            “Perlu ke awak tahu?”
            “Hish, perlulah, saya kan bakal tunang awak.”
          “Nantilah, saya serabut ni.”  Rabeta tidak mahu membincangkan tentang keluarganya. Kejadian tadi masih lagi menghantuinya. Akhirnya bertemu muka juga dengan anak-anaknya, hanya Riyana yang tidak kelihatan. Adakah dia takut untuk bertemu dengannya?  Rabeta mengeluh halus.
            “Awak bersabar ya,” pujuk Faizul.  Dia faham perasaan Rabeta.  Masyarkat masih belum boleh menerima sepenuhnya kehadiran bekas penjenayah dan banduan dalam hidup mereka.    Bagi mereka, penjenayah tetap penjenayah, banduan tetap banduan biarpun telah dibebaskan.
            “Saya sudah lama bersabar. Kenapa mereka masih tidak boleh memaafkan saya? Maaf tadi saya panggil awak dengan panggilan nama saja!” Rabeta mendengus kasar.  Fikiranya berserabut, kata-katanya juga sudah tunggang terbalik.  Wajah  bengis bekas mertuanya begitu menyentuh hatinya.  Marah sangat orang tua itu terhadapnya. 
            “Saya yakin awak kuat, itu sebab ALLAH uji awak.”
            “Saya tak cederakan suami saya, percayalah Inspektor!”  Rabeta tetap menafikan. Bukan dia yang melakukannya. 
            “Saya percaya dan yakin dengan awak. Lupakanlah tentang hal itu.  Awak dah ada kehidupan baharu,”  pujuk Faizul lagi. 
            “Insya-ALLAH, saya sedang cuba.  Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga tengok anak-anak saya.” 
            “Alhamdulillah…” sambung Faizul, turut berasa gembira.  Biarpun ada duka, namun terselit juga rasa bahagia di hati Rabeta. 
            “Awak kena kuat semangat demi mereka.”  Faizul tidak mahu Rabeta terlalu memikirkan mereka yang membencinya sedangkan masih ramai lagi yang menyayanginya.  Wajah kelat itu dipandang sekali lagi.  Dia menggeleng kesal.  Hati perempuan, mudah sangat terusik.  Biarlah Rabeta melayan perasaannya  sendiri.  Sehari dua sahaja, selepas itu akan sejuk kembali.  Itulah perempuan.  Dia tersenyum sendiri.  Kereta di pandung mengikut had laju yang ditetapkan. 

No comments:

Post a Comment