AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 20 February 2016

IKATAN KASIH - BAB 33




Nazatul memeriksa jumlah penghuni RIKA yang berdaftar. Semakin hari semakin bertambah. Dia perlu berbuat sesuatu. Membesarkan tempat itu. Perlu penambahan bangunan baharu. Dia mengeluh.  Malam semalam, Rabeta membawa pulang empat orang lagi. Tiga daripadanya masih bersekolah.  Kasihan, salah seorang daripadanya nyaris dijadikan pelacur.  Nasib baik sempat diselamatkan. 
            Zara pula ke kedai milik RIKA, melawat dan memastikan segala urusan berjalan lancar.  Rabeta pula sibuk dengan urusan perkahwinannya yang semakin hampir.   Lusa dia perlu ke mahkamah, kesnya meminta cerai fasakh akan dibicarakan.  Dia berharap Zaheer akan hadir.  Menurut  peguamnya, Zaheer tidak dapat dihubungi dan tidak tahu di mana lelaki itu tinggal.  Susahlah kalau begini, dia mengeluh keras.
            Usai mengemas kini, dia melangkah keluar dari pejabat. Beberapa orang pekerjanya tekun dengan tugas masing-masing. Suasana tenang dan damai di RIKA membuatkan jiwanya tenteram.  Bunyi bising-bising di pintu pagar membuatkan matanya beralih ke arah itu.  Kelihatan pengawal keselamatan sedang bergaduh dengan seseorang.  Dia menuruni anak tangga dan menuju ke pintu pagar.  Dahinya berkerut. 
            Lelaki itu berpakaian lusuh, memaki hamun pengawal keselamatan  yang tidak membenarkan dia masuk.  Nazatul mendekati.
            “Ada apa encik?” tegur Nazatul.
            “Bagi anak aku balik?  Siapa benarkan kamu bawa mereka lari?”  tengking lelaki itu sambil mencekak pinggang.   Matanya membulat memandang wajah  Nazatul. 
            “Anak-anak encik? Siapa nama mereka?’ tanya Nazatul. 
            Nazatul pasti lelaki itu ada kena mengena dengan empat orang mangsa yang baharu sahaja masuk semalam.  Dia memandang pengawal keselamatan dan mengarahkan sesuatu dengan ekor matanya.  Bagaikan mengerti, pengawal keselamatan terus mencapai telefon.
            “Kau jangan nak bersandiwara dengan aku! Aku tahu mereka ada di sini?  Apa hak kau nak culik mereka?  Aku boleh saman kau kerana menculi anak-anak aku!” marah lelaki itu lagi.
            “Culik?  Jangan sebarang tuduh ecik.  Kami tak culik anak-anak encik.” Nazatul menafikannya. 
            Lelaki itu menolak Nazatul dengan kasar hingga hampir tersungkur.  Pengawal keselamatan yang masih berdiri memerhati, cuba memukul lelaki itu. Nazatul menghalang.
            “Encik jangan main kasar.  Kalau encik berkasar, saya takkan berdiam diri,” kata Nazatul sedikit kasar.  Geram pula tengok manusia yang tidak berbudi bahasa ini.
            “Kau yang main kasar! Pulangkan anak-anak aku!”jerkah lelaki itu.
            “Baik encik balik!” halau Nazatul.
            “Kau jangan nak halau aku! Aku takkan balik selagi anak-anak aku tak kau pulangkan! Manusia jenis apa kau ni, ambil anak orang tanpa kebenaran?”
            “Manusia jenis apa  encik ini hingga sanggup membiarkan anak sendiri dilacurkan?”  tengking Nazatul.  Geram pula dengan perangai kurang ajar lelaki itu.  Tahu marah dia sahaja.  Dia juga berhak marah.
            “Itu aku punya pasal!”  lengking lelaki itu. Mukanya cemberut.
            “Punya pasal?  Tunggulah hingga kami dakwa encik,”  kata Nazatul.  Jika lelaki itu masih berkeras, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap lelaki itu.
            “Aku nak tengok sejauh mana kau berani?” kata lelaki itu keras.
            “Apa bising-bising ni?”  sapa seorang lelaki berpakaian seragam polis.  Dia mendekati Nazatul dan lelaki yang bising-bising  di pintu pagar RIKA.
            Lelaki itu menoleh.
            Fakhrul mencekak pinggang, memandang wajah lelaki itu. Dia mengangkat kening.
            “Erk… mereka ni culik anak-anak saya, encik,” kata lelaki itu,  wajahnya pucat.
            “Culik?  Awak silap agaknya.  Anak gadis awak yang meminta bantuan daripada salah seorang pekerja di sini. Antara aduannya, awak telah menjual anak awak kepada peminjam wang haram dan mereka pula telah menjualnya kepada seorang bapa ayam.  Kami jumpa anak awak di sebuah rumah pelacuran sedang memperdagangkan diri, ada apa-apa yang ingin awak jelaskan?  Kalau tak boleh, kita boleh berbincang di balai,” kata Fakhrul.  Dia benar-benar marah dengan ayah yang tidak bertanggungjawab.  Hanya mementingkan diri sendiri.
            “Erk… mana boleh macam itu encik.” 
            “Awak tahu undang-undang ke?”soal Fakhrul.
            “Saya ada waran tangkap terhadap awak. Anak awak telah buat laporan polis.  Ikut saya balik ke balai.” Fakhrul mengeluarkan gari dan terus menggari lelaki itu.  Kehadirannya ke  RIKA sengaja menempah masalah.  Puas anggotanya mencari lelaki itu di tempat biasa yang sering dia melepak.  Rupanya dia buat kecoh di sini.  Bagaimana pula lelaki itu tahu Rumah Ikatan  Kasih?  Persoalan yang sedang bermain di benaknya.  Pasti ada yang memberitahu.
            “Takkan saya ditahan, encik?  Lepaskan saya. Saya tak salah!’ rayu lelaki itu.  Hilang sudah marahnya.
            “Awak ni manusia ke? Seorang ayah ke? Anak sendiri awak lacurkan? Awak ingat dengan berjudi, awak boleh kaya? Senang ke hidup awak? isteri awak pun melarikan diri, anak-anak pula terbiar?  Hidup awak bererti ke? Bahagia? Tenang? Datang sini nak marah orang lain, atas kesilapan diri sendiri? Awak ingat negara ini tiada undang-undang?”  soal Fakhrul bertubi-tubi, sebelum memanggil orangnya membawa lelaki itu ke kereta peronda yang sudah sedia menunggu.
            “Encik! Saya tak salah!” jerit lelaki itu.  Dia meronta untuk melepaskan diri.
            “Terima kasih Fakhrul,” ucap Nazatul.
            “Rabeta mana?” tanya Nazatul  semula.
            “Dia jumpa anak-anaknya, mereka temankan dia membeli barang-barang hantaran,” cerita Fakhrul sambil tersenyum bahagia.
            “Akak tumpang gembira untuk kamu, tak sabar nak jadi ‘emak’ pengantin,”  usik Nazatul. 
            Mereka sama-sama tersenyum.
            “Bagaimana dengan Huda dan adik-adiknya?” Fakhrul menoleh memandang  ke arah kereta peronda polis yang bergerak meninggalkan kawasan itu.  Fakhrul melambai. 
            “Dia akan dihantar ke rumah anak yatim, mungkin di sana dia dan adik-adiknya boleh dapatkan pelajaran dan pengawasan yang lebih baik.  Akak sudah pun buat laporan kepada pihak Kebajikan Masyarakat. Mereka akan ambil tindakan segera untuk menyelamatkan budak-budak itu.
            “Alhamdulillah, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu, ada tugas lain menanti.” Fakhrul memohon diri. 
            “Terima kasih Fakhrul,”  ucap Nazatul. 
***
Rabeta tersenyum riang di samping kedua orang anaknya. Jasmina sudah lebih tenang. Kamarul pula sesekali turun ke RIKA. Dia berasa lega kerana keterbukaan mereka.
            “Mama tak nak balik tengok Nenek Kemboja?” Kamarul menghabiskan nasi goreng kampung yang berbaki di dalam pinggan. 
            “Nantilah dulu, mereka masih marah,” jelas   Rabeta.  Siapa yang tidak rindukan orang tuannya itu.  Rindu yang menyapa di hati, kasih sayang yang tidak pernah bertepi. Semua itu menggugat dan membuatkan hatinya merana. Kalaulah mereka tahu apa yang dia rasakan ketika itu. 
            “Nenek rindu sangat dengan mama, cubalah telefon. Sekurang-kurangnya hati nenek lega jika tahu mama sihat saja,” ujar Jasmina. Hidupnya lebih tenang. Panggilan daripada Zaheer langsung tidak dijawab. Tidak teringin langsung untuk bertemu lelaki itu. Lelaki yang telah menghancurkan hatinya, menelan kepercayaannya.
            “Nantilah, mama belum bersedia.” Hatinya masih terasa pedihnya. Biarpun kasih mereka menggunung terhadapnya, demi nama baik keluarga, dia rela hidup terbuang. 
            “Okeylah, barang-barang semua dah beli.  Kami tumpang gembira untuk mama, semoga mama bahagia di samping suami baharu nanti,” ucap Jasmina, lengan mamanya diraih, dipeluk erat.
            “Terima kasih sayang.” Rabeta mencium pipi Jasmina.
            “Kamarul! Jasmina! Buat apa di sini?” jerkah seorang lelaki. Mata lelaki itu membulat memandang Kamarul dan Jasmina.
            “Ayah!” Kamarul dan Jasmina bingkas bangun.
            Rabeta terdiam. Wajah cemberut Ramadan dipandang dengan mata penuh simpati.
            “Ayah dah pesan, jangan jumpa dia ni, kamu degil ya?” marah Ramadan. Mati-mati dia ingatkan anak-anaknya akan menuruti arahannya. Sakit hatinya melihat kemesraan mereka sejak dari tadi. Dia ditipu hidup-hidup oleh kedua orang anaknya.
            “Ayah, janganlah macam ni, orang tengok tu, malulah!” tegur Jasmina.
            “Tahu malu! Kamu keluar dengan penjenayah tak malu?” soal Ramadan, geram.
            “Ramadan!” Rabeta mengetap bibir. Tidak henti-henti panggilan itu diletakkan di kepalanya. 
            “Pergilah balik, Kamarul, Jasmina. Lain kali kita bertemu lagi ya.” Rabeta memujuk. Pipi Jasmina dibelai. Dia tidak mahu mereka menjadi mangsa kebencian Ramadan terhadap dirinya. Hati  kalau sudah tidak suka, semua buruk di pandangan mata.
            “Kau jangan ganggu anak-anak aku!” tengking Ramadan.
            “Tanpa saya anak-anak ini tak ada,”  balas Rabeta. Bekas suaminya hanya tahu memarahi dirinya, dia juga  tahu marah.
            “Dasar perempuan…”  Ramadan menjeling tajam.
            “Nak kata saya perempuan apa?” Rabeta menjegilkan mata. Jangan sesedap rasa sahaja hendak menghina. 
            Para pelanggan yang berada di medan selera itu memandang ke arah mereka. Telinga mendengar, mulut sudah mula memberi komen.
            “Padanlah Zaheer cari kau sampai ke rumah, Habiskan masa dengan perempuan ni, rupa-rupanya.”
            “Perempuan ini, mama Jas, ayah. Mama kandung Jas. Mama  berhak bertemu kami. Kami sudah cukup dewasa untuk membezakan baik dan buruk.” Tiada langsung berniat hendak menyakitkan hati ayahnya, tetapi sikap ayahnya terhadap mamanya memang tidak boleh diterima. Apa lagi yang ayahnya inginkan?  Berapa lama lagi harus menghukum mamanya itu?
            “Dah pandai melawan ya? Kerana dia, kamu sanggup melawan ayah yang membesarkan kau orang? Selama ini, dia buat apa, hah?” Apa jasa dia?” 
            “Ayah? Kami bukan melawan. Ini hakikat. Perempuan yang ayah benci ini adalah mama kandung kami, tidak kira berjasa atau tidak, membesarkan kami atau tidak. Inilah perempuan yang telah melahirkan kami ke dunia ini.” Jasmina sedih dengan kata-kata ayahnya.
            “Pergilah balik, malu orang tengok kita bertengkar seperti budak kecil. Maafkan anak-anak, Ramadan. Mereka tidak bersalah, saya yang ajak mereka tadi.” Rabeta mengangkat beg plastik yang berisi barang-barang hantarannya. Dia tidak menoleh lagi. Kewajarannya untuk menunggu di situ sudah tiada. Penghinaan Ramadan keterlaluan terhadap dirinya.
            “Mama!” panggil Jasmina. Dia mengejar Rabeta.
            “Jas!” panggil Ramadan pula.
            Jasmina menoleh. Air matanya sudah merembes keluar. Hiba hatinya melihat ayahnya sewenang-wenang menghina mamanya. Tiada sedikit pun rasa simpati atau bersalah. Seolah-olah mama tidak pernah wujud dalam hidup mereka. Yang ada hanyalah kebencian yang bertakhta di hati.
            “Ayah kejam, tak baik ayah malukan mama seperti itu. Mama juga manusia, ada perasaan, ada maruah diri,” tegur Kamarul. Kalau dia duduk di tempat mamanya pasti hatinya terhiris luka.
            “Kau diam!” marah Ramadan. “Jom balik!”  perintah Ramadan lagi.
            Jasmina dan Kamarul tegak berdiri. Berasa kecewa dengan sikap Ramadan. Tentu hati mama mereka terluka, sedih dan pasti hari ini mama akan berendam air mata. Jasmina mengeluh keras.  Kamarul menunduk dengan perasaan membuak-buak kemarahannya. Ya ALLAH, aku tidak mahu menjadi anak durhaka, tetapi sikap ayahnya yang tidak mahu memaafkan memang menjengkilkan. 
            “Kau orang nak ayah heret korang ke kereta?” ugut Ramadan. Tidak peduli lagi dengan pandangan dan renungan orang lain.  Ini keluarganya, haknya untuk melakukan apa sahaja.
            “Jom balik Jas, jangan kita jatuhkan maruah diri kita lagi,” ajak Kamarul, tidak mahu memanjangkan cerita. Nanti kalah pula drama adaptasi.
            “Ayah tak ada perasaan!” kata Jasmina keras. Dia menonong jalan selaju yang boleh, meninggalkan ayah dan abangnya di belakang, Air matanya masih lagi mengalir. Wajah sugul mamanya menyinggah di mata. Terasa pedih di hatinya. Hdup sebagai banduan tidak pernah mengundang gembira, hingga sudah keluar pun memanggil kedukaan duduk  bersama.
            Rabeta mengesat air mata yang mengalir. Sampai bila dia harus dihina oleh orang yang amat dikenali dan pernah bertakhta di hatinya?  Kalau orang orang, dia mungkin boleh menerima kerana mereka tidak mengenali siapa dirinya, tetapi penghinaan diterima daripada lelaki yang pernah duduk bersama, tidur sebantal dan makan sepinggan dengannya. Tidak kenalkah lagi dengan dirinya? Semakin difikir, semakin laju air matanya mengalir. 

No comments:

Post a Comment