AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 4 April 2016

ADUH PENING! - BAB 2



 Aleeya melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya diparkirkan di belakang kereta suaminya. Awal pula suaminya balik hari ini. Matanya meliar mencari kelibat seseorang. Ke mana pula? Mungkin bersantai di bilik agaknya. Langkahnya diayun laju mendaki tangga ke tingkat atas yang menempatkan barisan tiga bilik termasuk bilik utama. Dua bilik lagi dikhaskan untuk anak-anak tirinya jika mereka bermalam di rumah itu. Sebenarnya, belum pernah lagi mereka bermalam di rumah itu.

            Pintu bilik ditolak perlahan. Suaminya sedang berbaring sambil tangan diletakkan di atas dahi. Masalah meruncing agaknya. Dia mendekati dan melakarkan senyuman buat suami tercinta. Sayanglah siapa tak sayang. Biarlah duda anak lima sekalipun, tetap segak dan kacak di mata. Perutnya sedikit boroi, biarlah. Asalkan sihat sentiasa.
            “Abang!” panggil Aleeya sambil duduk menghadap Ikmal yang masih berbaring. Mata terpejam rapat. Tidurkah atau buat-buat tidur?
            “Dah balik?” Ikmal membuka mata perlahan-lahan lalu bingkas duduk bersila di atas katil.
            “Abang dah bayar bil-bil Nadia tu?” tanya Aleeya, ingin benar dia mengetahuinya. Eh, dia punya hak untuk tahu. Dia kan isteri lelaki itu.
            “Dah. Kalau tak, alamat bergelaplah budak-budak tu. Nadia tak nak bayar, bil kuning dah sampai. Mahu atau tak, kenalah abang bayarkan,” jelas Ikmal.
            “Hah! Sampai macam tu sekali? Kering hati betul Nadia tu.” Aleeya terkedu mendengarnya. Sampai hati seorang ibu sanggup biar anak-anaknya bergelap. Nasib baik tak sempat bergelap. Uh!
            “Biarlah, anak-anak saya juga. Mahu tak mahu kenalah bayar, kan?” Ikmal tersenyum.
            Aleeya turut tersenyum. Sabar sungguh suaminya. Kalau dia belum tentu sesabar itu. Memanglah anak-anak suaminya. Tapi, bekas isteri suaminya takkan tak boleh bayar bil-bil itu? Hei, Nadia tu pensyarah tahu! Gaji besarlah. Takkan kedekut kut? Aleeya mencebik. Sengaja nak menyusahkan suaminya. Ingat besar sangat gaji suaminya sebagai pengurus syarikat swasta? Bolehlah hidup walaupun tak mewah mana. Tapi, janganlah memeras macam ini. Aleeya mendengus sendiri.
            “Leya nak mandi dan solat dululah. Lepas tu nak masak. Abang nak tolong Leya memasak ke?” tanya Aleeya sambil melenggok manja.
            “Boleh jugalah,” jawab Ikmal sambil menyengih.
            Aleeya mengenyit mata. Masalah Nadia dan suaminya biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia tidak mahu masuk campur. Nanti lain pula ceritanya. Boleh tahan juga mulut bekas isteri suaminya itu.  
            Usai memasak seringkas mungkin, janji kena dengan selera. Sawi masak bening, ikan selar goreng cili, sambal belacan dan ulam-ulaman, cukup menyelerakan. Air tangan sendiri. Kalau sendiri tak puji siapa lagi. Melihat suaminya berselera menjamah masakannya sudah cukup membuat hatinya berbunga riang. Sama-sama mengemas meja makan dan sama-sama perut kenyang. Baru sahaja melangkah beberapa tapak ke ruang tamu, telefon suaminya berbunyi. Masing-masing memandang ke arah meja kopi yang terletak di ruang tamu. Di situlah letaknya telefon bimbit mereka. Sudah berjanji, di meja makan tiada sesiapa pegang telefon. Kononya hendak menghabiskan masa bersama-sama. Sambil makan sambil berbual.
            “Nadia,” kata Ikmal sambil mengeluh perlahan.
            Aleeya menggeleng. Apa Nadia nak lagi ni? Aleeya terus melabuhkan punggung di sofa. Dia membiarkan suaminya berbual dengan Nadia di telefon. Manalah tahu ada masalah dengan anak-anak. Sesekali matanya menyinggah di wajah suami yang terpamer pelbagai reaksi. Risau pula tengok wajah cemberut suaminya. Kalau Nadia telefon sahaja, hilang kemanisan di wajah itu. Aleeya mengeluh dalam hati. Simpati bercampur bimbang.
            “Kenapa bang? Nadia nak apa?”
            “Anak-anak cuti sekolah minggu depan. Nadia suruh abang bawa mereka bercuti. Dia nak ikut sekali, tapi tak bagi bawa awak,” ujar Ikmal dengan muka sebal.
            “Kenapa pula? Saya ni kan isteri abang? Hisy…. Undang-undang mana dia pakai?” Aleeya terkejut mendengarnya. Bercuti dengan anak-anak dan jandanya? Biar kentang! Mana boleh macam tu? Hei, dia kan isteri yang sah pada Ikmal. Bukan perempuan simpanan! Macam-macamlah Nadia ini.
            “Jadi, saya tak boleh ikut abang bercutilah?” tanya Aleeya sedikit kesal.
            Laju anggukan Ikmal.
            Aleeya memeluk tubuh. Dia memandang tepat ke mata suaminya. Dia harus marah atau ikut sahaja kehendak mereka berdua?
            “Tak kira, nak ikut juga!” kata Aleeya berkeras.
            “Kalau awak ikut, anak-anak tak nak bercuti dengan abang,” jelas Ikmal serba salah.
          “Sejak bila anak-anak abang tak suka dengan saya ni? Sebelum ni, okey aje?” Aleeya mengetap bibir.
            “Entahlah… awak kan kerja. Takkan nak ambil cuti pula?” Ikmal memandang wajah Aleeya minta kepastian.
            “Saya rela ambil cuti tanpa gaji daripada membiarkan suami saya bercuti dengan anak-anak dan jandanya!” kata Aleeya keras. Dia mencebik.
            “Cemburu ke?” Ikmal menjeling manja. Terasa hendak ketawa. Takkan cemburu kot?
            “Ini bukan soal cemburu atau tak. Mana boleh abang ketepikan saya!” Aleeya berwajah serius. Memanglah cemburu, bisiknya dalam hati. Itukan janda suaminya. Mereka pernah hidup bersama. Buatnya menyulam kisah lama, apatah lagi mereka ada anak bersama, habislah dia. Uh! Memang tak boleh percayalah.
            “Alah, pergi dua tiga hari aje. Nanti penat pula awak,” kata Ikmal.
            “Helo… abang! Ingat saya dah tua sangat ke? Tua lagi Nadia tu tau!” Aleeya mencebik.  Bibirnya sudah mula memaparkan kemuncungan yang tidak boleh tidak terpaksa dipamerkan. Biar suaminya tahu, dia sedang berasa hati. 
            “Laa… janganlah banding-bandingkan. Abang tahulah, itu sebab abang cari yang muda.” Pecah gelak Ikmal.
            “Huh! Tak kelakar pun.” Semakin panjang muncung Aleeya. Dia tidak kira, tidak kisah, nak jadi apa pun jadilah. Dia tetap akan ikut. Kata putus daripadanya. Tak boleh pakai kata putus daripada suami dan bekas isteri suaminya itu. Memang mangkuk ayun betullah. Menggelegak pula hatinya nanti. Tidak pasal-pasal tercetus perang dingin.
            “Awak tak payah ikut ya?” pujuk Ikmal sambil mengerdipkan mata.
            “Tak tergoda pun!” Aleeya terus angkat kaki menuju ke bilik.
            Dia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya pula asyik memandang ke pintu.  Apa alasannya untuk pergi? Apa yang harus dia lakukan? Kena ada strategi. Kena ada jalan. Biar Nadia tidak perasan yang dia datang secara sengaja. Uh! Tak kuasa nak biarkan suaminya bersendirian dengan jandanya. Tolonglah! Mak cik ni belum buta mata tau, entah-entah nak mengendeng dengan suaminya. Ada hati nak balik kembali agaknya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Dia tidak boleh membiarkan Nadia mempergunakan anak-anak sebagai senjata untuk menyusahkan suaminya.
            “Awak berlatih berkawad ke?” Ikmal melangkah masuk sambil menyengih.
            “Uh!” Alamak! Apasal tak perasan suaminya masuk ke bilik? Aduh, kantoi!
            “Alah… awak keluarlah dengan kawan-kawan sekerja awak. Kan dah lama awak tak keluar dengan mereka.” Ikmal menarik tangan Aleeya dan duduk di birai katil.
            Nak pujuk supaya jangan pergilah tu. Maaflah, dia bukan jenis yang makan pujuk. Keluar dengan kawan-kawan? Hmm… idea terkini dan terbaik. Aleeya mula menguntumkan senyuman. Wajah suaminya di sisi dipandang seketika.
            “Yalah! Nak buat macam mana, diam tak diam terpaksalah ‘bermadu’ secara tiba-tiba!” sindir Aleeya.
            “Ada ke situ pula.” Ikmal mengecilkan mata, memandang wajah Aleeya dengan tanda tanya.
            “Tak bermadu ke namanya? Tiba-tiba tak boleh ikut waktu abang bercuti dengan bekas janda abang dan anak-anak? Apa namanya tu?” soal Aleeya.
            “Hisy… salah tafsiran tu.” Ikmal ketawa.
            “Salah tak salah, itulah yang saya rasa. Abang jangan nak main dan bermadu kasih pula dengan Nadia,” ugut Aleeya. Matanya dijegilkan.
            Ikmal ketawa kuat.
            “Ketawalah, ketawa! Kalau dah hati terpanah dengan kilat cinta si Nadia tu… waktu tu abang jangan cakap saya tak bagi amaran! Saja gunakan anak nak dekat dengan abang! Itu taktik namanya, bang. Orang perempuan ni kalau dah tak laku, takut hidup sendiri, bekas duda pun nak dijilat balik tau!” kata Aleeya tegas. Geram mencanak masuk. Berapi-api mata dan hatinya.
            “Awak ni, jauh perginya tu. Itulah banyak sangat baca novel, sampai perkara macam itu pun awak boleh fikirkan.”
            “Tapi tak mustahilkan, kan, kan?” Aleeya tidak mahu kalah. Nadia memang sengaja minta yang bukan-bukan sedangkan mereka sudah lama bercerai. Sudah makan tahun pun. Bila Ikmal berkahwin dengannya, mulalah muncul kembali Nadia secara tiba-tiba. Kalau cemburu kata cemburu. Hisy, kenapa Nadia tidak cari suami baru? Orangnya masih cantik, bergaya walaupun anak lima.
            “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Hati saya hanya ada awak,” ucap Ikmal sambil merebahkan diri di sebelah Aleeya yang masih bersila di atas katil.
            “Kena fikir, bang. Malang tak berbau tau,” kata Aleeya lagi.
            “Malang apanya pula?” Ikmal mengerut dahi.
            “Malanglah suami kena rampas dengan jandanya semula! Boleh buat cerita dan lagu tau.” Aleeya merebahkan diri di atas katil. Kepalanya masih ligat berfikir. Uh… masalah!
            “Jangan fikir yang bukan-bukan, nanti hati sendiri yang sakit,” usik Ikmal.
            “Ketawalah! Ketawa… kalau jadi apa-apa, jangan abang salahkan saya!” Aleeya mencebik.  Geram pula hatinya bila ceritanya tidak dipercayai. Hei, dia perempuan juga tau. Dia tahu apa yang tersimpan dalam hati seorang perempuan seperti Nadia. Mesti ada sebabnya, kenapa dia tidak boleh ikut bercuti.
            “Tidurlah, esok nak kerja. Jangan marah-marah, nanti cepat tua.”
            Aleeya mendengus kasar, dia melemparkan bantal ke muka Ikmal. Pecah gelak lelaki itu.

No comments:

Post a Comment