AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 9 April 2016

IKATAN KASIH - BAB 34



Rabeta mengesat air mata yang berbaki. Hatinya masih diulit pilu biarpun sudah seminggu perkara itu berlalu.   Masih jelas dipendengarannya kata-kata penghinaan yang lahir daripada mulut mereka yang  amat dikenalinya.  Wajah penuh kebencian bekas mertuanya meragut tangkai hatinya.  Suatu ketika dahulu, hubungan mereka cukup mesra, sarat dengan kasih dan sayang.  Kini, yang ada hanyalah kebenciaan yang menyala-nyala dalam diri.  Begitu  juga dengan bekas suaminya. Langsung tiada ruang untuk dia menagih simpati.  Mereka membencinya atas perkara yang bukan dia lakukan. Kejam sungguh mereka. 
            Hatinya semakin sayu melihat Kamarul dan Rizqi yang telah menginjak dewasa.  Malah anak keduanya itu bakal berumah tangga.  Dia tidak dapat menikmati saat-saat indah bersama dengan mereka.  Melihat mereka membesar, menghantar mereka ke sekolah, bertengkar dan bergurau senda dengan mereka.  Tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama Rizqi. Membantu anak gadisnya memilih pakaian untuk hari bahagianya.  Dia kehilangan saat-saat indah itu.
            Remuk  hatinya memikirkan mereka.  Dia tidak mahu apa-apa dalam hidupnya kini,  hanya anak-anaknya.  Merekalah hatinya.  Hanya kasih sayang mereka yang diharapkan.  Ya ALLAH, Kau berilah aku peluang kedua, doanya dalam hati.  Dia ingin bersama mereka, mendekati dan mengenali mereka kembali.  Menyayangi, memeluk dan mencium mereka.  Mendengar cerita tentang kehidupan mereka.  Mendengar rintihan dan ketidakpuasan hati mereka.  Air matanya gugur lagi. 
            Ayahnya telah melarang keras dia kembali ke kampung itu. Kini, dia memahaminya.  Penduduk kampung masih membencinya, masih menganggapnya penjenayah,  bakal menjadi perosak minda anak-anak mereka.  Sungguh dasyat tuduhan mereka.  Sedangkan dia membesar di kampung itu, mereka mengenali dirinya.  Kenapa begitu sekali hukuman yang terpaksa di terima?  Rabeta mengeluh keras.

            15 tahun keluarganya menyulam duka.  Hinaan dan cacian bukan hanya kepada dirinya, malah ahli keluarganya juga.  Dia benar-benar rasa bersalah.  Kenapa ahli keluarganya harus diaibkan?  Kenapa mereka yang terkena tempias atas perbuatan yang tidak dia lakukan? Patutnya adiknya marah sangat,perasaan sayang selama ini wujud dalam dirinya, bertukar benci, hanya kerana dirinya bergelar penjenayah dan banduan.  Dia tidak pernah terfikir kehidupannya akan jadi seperti ini.  Kalau benar, dia yang melakukan, biar seluruh negara ini menghinanya, dia tidak akan terasa, sudah tentu dia berhak dihina, tetapi dia tidak melakukan perkara itu.  Kesalahan diletakkan di bahunya hanya kerana senjata itu ada cop jarinya.  Pisau dari dapurnya, tentulah mempunyai cop jarinya.

            Tidak mungkin dia akan mencederakan orang yang disayanginya. Cinta mereka mekar sejak di bangku sekolah lagi.  Menyulam kasih dalam rumah tangga yang bahagia, damai dan  tenteram.  Kalau tergigit dan terluka sesekali, itulah asam garam rumah tangga. Dosa semalam terus mengekori, bagaikan bayang-bayang yang rakus, merampas segala kegembiraan di hati dan hidupnya.  Bunyi hon kereta di hadapan pintu pagar Rumah Ikatan Kasih mengganggu lamunannya.  Dia mengerut dahi. Air mata yang berbaki diseka dengan hujung baju.  Dia berdiri, memerhati… siapakah gerangan yang datang bagaikan samseng. 
            “Puan, nak buka ke pintu!  Lelaki tu dah bising-bising, marahkan pengawal tu,”  kata seorang petugas Rumah Ikatan Kasih yang datang mendekatinya.
            “Bukalah,” arah Rabeta. Ingin juga dia tahu, siapa punya angkara.  Masuk ke tempat orang tiada adab sopan. 
            Pemuda tadi berlari semula ke pintu pagar dan menyuruh pengawal keselamatan membuka pintu pagar. 
            Kereta itu meluncur laju dan berhenti di pondok wakaf tempat Rabeta duduk mengelamun sebentar tadi.
            Rabeta terpinga-pinga melihat kenderaan Mercedez Benz 4 siri itu berhenti di hadapannya.  Keluar seseorang dengan muka bengis dan garang. 
            “Hoi! Mana kau sembunyikan isteri aku?” jerit Zahir, tanpa memberi salam.
            Rabeta kebingungan.  Apa pula lelaki ini merepek?  Bila pula dia sembunyikan isteri lelaki itu?  Dia belum dapat apa-apa maklumat pun?  Takkan Jamilah sudah dibebaskan?  Tapi siapa yang membebaskanny?
            “Apa En. Zahir cakap ni?” Rabeta berdiri tegak.   Matanya membuntang memandang wajah Zahir yang menyinga merenungnya.  Dia langsung tidak takut.  Buat apa takut dengan  lelaki seperti itu?
            “Mana Jamilah?  Mana kau sembunyikan dia?” tengking Zahir.  Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Agendanya lebih penting.  Mencari Jamilah, isterinya yang sudah diselamatkan. 
            “Papa!” Tina menerpa mendekati Rabeta.
            “Mana mama kau? Mana kau sembunyikan dia?” tanya Zahir seperti orang gila.
            “Bukankah mama ada dengan papa? Kenapa tanya kami?”  Tina mencebik.  Wajah lelaki itu dipandang dengan hati yang sakit.  Kalau tidak kerana agama menyuruh dia menghormati orang tuany sendiri, sudah tentulah, itulah lelaki yang paling dibenci dan tidak mahu melihat hatta bayangnya sekalipun.
            “Kau orang dah culik! Lepas tu buat tak tahu!” marah Zahir.  Dia sudah mula melangkah untuk menghampiri Tina dan Rabeta.
            Suasana di laman Rumah Ikatan Kasih mula kecoh.  Penghuni-penghuni yang ada, sudah keluar menunggu dan menanti apa yang bakal  berlaku.  Jika Zahir bertindak kurang ajar, mereka tahu bagaimana hendak menghalaunya.  Lelaki yang telah memusnahkan hidup hampir separuh penghuni pusat itu. 
            “Apa papa merepek ni?  Siapa culik mama?”  Tina cuak. Mamanya tiada bersama papanya?  Mamanya ke mana?  Siapa yang selamatkan mamanya?
            Matanya tidak berkelip memandang wajah kedua perempuan itu.  Seorang anaknya sendiri dan seorang lagi bakal menjadi ibu mertuanya,ironinya. 
            “Baliklah, En. Zahir.  Kami tak culik pun Kak Milah dan kami tak tahu di berada di mana? Pergilah cari sendiri.”  Rabeta memandang sinis. Nampaknya sahabatnya itu tidak lagi berada di dalam genggaman lelaki itu, tapi sahabatnay ada di mana?
            “Kalau aku dapat cari dan tahu Jamilah berada di sini, aku bakar tempat ini! Kau dengar tak?”  jerkah Zahir.  Dia meludah ke tanah.  Penumbuk diacukan kepada Tina dan Rabeta.
            “Oh ya, sebelum aku berambus dari sini.  Aku ada hadiah untuk kau Rabeta!”  Zahir masuk ke dalam perut kereta dan keluar dengan sebuah album gambar.  Dia mencampak album itu ke atas meja batu yang terdapat di pondok wakaf itu.
            Rabeta dan Tina saling memandang sesama sendiri.
            “Semoga kaubertambah bahagia, wahai bakal mama mertuaku!” kata Zahir riang.  Dia ketawa terbahak-bahak.   
            “Sudah hilang akal agaknya.”  Tina memandang album gambar yang berada di atas meja.  Dia mengambil dan membukanya.  Gambar majlis pertunangan seorang gadis.  Cantik gadis itu, siapa gadis ini?
            “Gambar apa itu Tina?” tanya Rabeta. Dia memandang sahaja kereta Zahir sehingga hilang dari pandangan.  Penghuni-penghuni rumah tersebut juga turut bersurai setelah diarahkan.  Wajah Tina Tina ditatapnya.  Mama mertua?  Siapa pula mama mertua?  Keluhan terlahir di bibirnya.
            “Entahlah kak.  Gambar majlis pertunangan seorang gadis, tak tahulah gambar siapa?” Tina menghulurkan album itu kepada Rabeta.  Album itu bertukar tangan.
            “Ya ALLAH! Ini gambar pertunangan anak mak cik, Tina!” jelas Rabeta.  Dadanya  berdebar.  Dia terus menyelak helaian album itu satu persatu.  Ada gambar Zahir yang sedang memeluk erat pinggang anak gadisnya, Rizqi.  Lemah lututnya. Baharu sahaja dia bersulam duka, kini kesedihan itu datang kembali.  Dia tidak kuat berdiri.  Adakah… Ya ALLAH!  Rabeta terjelepuk jatuh. Berpinau matanya, pening kepalanya.  Apa yang sedang berlaku?
            “Mak cik!” Tina memeluk erat bahu Rabeta.  Dia memandang gambar-gambar yang ada.  Dia mengucap panjang.  Apa yang telah papanya lakukan? Air matanya tidak mampu dibendung lagi. Adakah papanya akan terus menyakiti setiap perempuan yang mendekatinya>  Kenapa semua ini berlaku?

No comments:

Post a Comment