AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 18 April 2016

IKATAN KASIH - BAB 35



Faizul memandang wajah Jamilah yang masih nyenyak tidurnya.  Badannya sudah sedikit berisi. Sudah mampu menyuap sendiri makanan ke mulutnya.  Sudah boleh ke bilik air.  Tubuhnya sudah kembali bertenaga.  Dia mengeluh.  Kesan ketagihan dadah juga sudah tiada.  Doktor berusaha memulihkan kembali fizikal Jamilah.    Sudah lama dia mengenali Jamilah, tugasnya diunit Jenayah dan Maksiat membuatkan dia didekati oleh Jamilah.  Perempuan itu meminta pertolongannya untuk menyelamatkan perempuan-perempuan yang dilacurkan oleh suaminya sendiri.  Sejak itu mereka sering bekerjasama.  Melalui  Jamilah jugalah dia mengenali Rabeta yang kini menjadi pengurus Rumah Ikatan Kasih menggantikan Jamilah yang telah ditangkap oleh Zahir, suaminya sendiri.  Dia dikurung dan diseksa.  Faizul menyandar di sofa.  Dia tidak mahu mengejutkan Jamilah yang sedang enak dibuai mimpi. Biarlah Jamilah berehat sepenuhnya. 
            Jururawat yang keluar masuk ada ketika mengganggu tumpuannya.  Suara orang mengerang kesakitan sesekali menjengah telinga.  Mungkin terlalu sakit aganya sehingga tidak mampu menahan lagi.  Kalau duduk hospital, pelbagai penyakit boleh dilihat, membuatkan dia insaf.  Bersyukur kerana dia sihat walafiat.  Masih kuat dan bertenaga.    Rezeki yang paling berharga adalah kesihatan yang baik.  Mencegah itu lebih baik dari mengubati.  Nasib baik Jamilah diletakkan di biilik kelas pertama.  Hanya Jamilah sendirian di bilik itu.  Dia tidak mahu Zahir ketahui tempat Jamilah disembunyikan.  Biarlah Jamilah sembuh sepenuhnya dan kembali semula ke Rumah Ikatan Kasih.
            Faizul yakin, pasti Zahir sedang mencari Jamilah. Biarkan.  Biar dia separuh gila mencari isterinya itu.  Nyawa Jamilah dalam bahaya, jika Zahir tahu di mana Jamilah berada.  Banyak rahsia Zahir ada di dalam tangan Jamilah, itu sebab dia dikurung dan diseksa oleh suaminya sendiri.
            Bosan duduk seorang diri membuatkan dia berasa mengantuk. Beberapa kali dia tersenguk dan menguap.  Kalaulah ada kawan berbicara, tidalah terasa mengantuk sangat. Sesekali dia mengeliat, menghilangkan lenguh di tubuhnya.
            “Inspektor!” Jamilah menegur.  Perlahan-lahan dia cuba bangun dan duduk.
            “Kak Milah? Berrehatlah,” suruh Faizul.   Hilang rasa mengantuknya melihat Jamilah sudah pun terjaga daripada tidurnya.
            “Maafkan akak kerana menyusahkan Inspektor sekali lagi.” Jamilah memandang wajah Faizul.  Dia benar-benar terhutang budi dengan lelaki itu.  Faizul sudah seperti adiknya sendiri. 
            “Kenapa Eta tak datang ziarah akak? Tina mana?” Jamilah tercari-cari kelibat orang yang disayanginya. Sejak dia diselamatkan, kedua-dua insan itu tidak kelihatan.
            “Mereka tak tahu saya dah selamatkan akak,” jelas Faizul.  Sekalian menjawab pertanyaan Jamilah.
            “Ya ke? Tapi kenapa?”  Jamilah mengeluh.
            “Saya nak akak sembuh betul-betul dahulu, baharu saya bawa mereka ke mari.  Saya tak nak mereka tengok keadaan akak yang lemah.  Nanti pasti mereka bersedih.  Lagipun saya tak mahu Zahir tahu tempat ini.  Tentu dia akan mengekori mereka berdua atau mencari mereka. Biar mereka tak tahu, akak selamat di sini.  Nanti akak akan dapat bertemu dengan mereka juga.  Akak bersabar ya,” tutur Faizul.
            “Teruk sangat ke keadaan akak, Inspektor?” Jamilah memegang pipinya sendiri. Lengan dan jari jemarinya dibelek.  Memanglah dia kurus.  Hidup bertemankan sebiji mentol dan sebuah katil bujang, tiada peluang untuk memanjakan diri.  Makan pun ala kadar sahaja.  Kadangkala langsung tidak diberi makan.  Makannnya juga dicampur dengan dadah, bagi melemahkan dirinya. 
            “Kalau akak nak jumpa mereka. Akak kena benar-benar sembuh.  Lagipun pihak polis hendak mengambil kenyataan akak tentang kegiatan Zahir.”
            Jamilah membuka laci  kecil yang berada di tepi sudut katilnya.  Dia mengeluarkan pen drive yang sudah lama berada di dalam simpanannya.  Dia sorokkan di tempat yang tidak boleh ditemui oleh Zahir.  Dia sempat menyalin semua maklumat tentang kegiatan Zahir di dalam pemacu pena itu.  Sudah lama dia menyalin maklumat tersebut.  Harap berguna kepada pihak polis.  Semua maklumat, orang hubungan Zahir, pelacuran dan pengedaran dadah ada di dalam itu.  Kalau boleh dia mahu kegiatan jenayah Zahir lumpuh.
            “Semua maklumat ada di dalamnya, Inspektor.” Pemacu pena itu bertukar tangan.
          “Terima kasih Kak. Kami akan siasat dahulu segala maklumat yang ada ini.  Jika semua maklumat sudah terkumpul, kami akan segera bertindak.  Akak berehatlah ya.  Dah lama saya di sini.  Insya-ALLAH, esok saya datang lagi,” kata Faizul sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu.  Pulang ke pejabatnya dahulu. Dia juga perlu ke Rumah Ikatan Kasih.  Sudah seminggu dia tidak ke sana.  Bagaimana agaknya keadaan Rabeta setelah peristiwa di rumah bekas suaminya.  Sudah tenangkah dia?
            Faizul kembali ke pejabatnya dahulu selepas mendapatkan maklumat yang diperlukan daripada Jamilah.  Maklumat itu diharap dapat membantu pihak polis untuk memberkas Zahir dan melumpukah semua kegiatan haramnya.  Bagaimana manusia yang ada akal boleh hidup dengan merosakkan orang lain? Menjual anak-anak gadis orang untuk dijadikan pelacur.  Menjual dadah kepada anak bangsa sendiri, sedikit pun tiada rasa simpati.  Kalaulah anak dia sendiri yang menagih, bagaimana agaknya?  Hish, ada dia kisah? Anaknya sendiri pun hampir hendak dijual, inikan anak orang.  Apa dia peduli, itulah yang sering difikirkan tentang Zahir dan penjenayah yang sama waktu dengannya.  Mereka hanya memikirkan keuntungan dan duit sahaja.
            Tidak kurang juga yang sanggup menjadi keldai dadah demi mendapatkan duit yang banyak.  Ramai yang telah ditangkap dan dipenjarakan di luar negara.  Tapi, masih ada juga yang masih tertipu dan bagaikan tidak sedar bahawa mereka telah dipergunakan.  Waktu ditangkap baharulah terkial-kial menafikan.  Sudah terlambat.  Akhirnya merengkoklah dalam penjara. Kalau nasib tidak baik, ke tali gantunglah tempat terakhir. 
            Sebagai anggota polis, mereka akan terus membenteras dan menangkap mereka yang terlibat.  Biar lahir berapa ramai sekalipun pengedar dan penagih, tugas tetap tugas.  Hukum bunuh pun tidak mampu menghalang mereka dari terus melakukan jenayah itu.  Malah semakin menjadi-jadi pula. Ada yang berani memasak sendiri dadah tersebut. Ingin cepat kaya dan dengan cara mudah. Mudahkah?  Tidak juga, hidup dalam ketakutan, takut diberkas oleh pihak berkuasa, tidak selamanya mereka lepas bebas, akhirnya tertangkap juga.
            Faizul meneliti pemacu pena yang telah dibuka, terpampang senarai nama dan tempat perniagaan Zahir.  Bukti sejumlah besar wang keluar, masuk dalam akaun Zahir.  Jumlah perdagangan yang besar.  Sudah jutawan rupanya lelaki itu.  Hidup bertunjangkan kesengsaraann orang lain, selama mana agaknya dia mampu terlepas.  Habislah lelaki itu kali ini.  Semua bukti yang ada akan disiasat satu persatu.  Biar lambat, asalkan kes itu selesai dan tidak tergantung atau gagal separuh jalan kerana tidak cukup bukti.  Faizul mengetap bibir.  Lelaki itu tidak ubah seperti pengkhianat negara, agama dan bangsa.  Selayaknya dia ke  tali gantung sahaja. Dia bukan sengaja hendak menjadi penghukum, tetapi itulah hakikatnya.


No comments:

Post a Comment