AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 24 April 2016

IKATAN KASIH- BAB 36



Mereka duduk mencangkung. Masing-masing gelisah. Takut dan bimbang jelas terpancar di wajah mereka. Tidak kurang juga yang bermuka selamba, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Alah bisa tegal biasa agaknya.
            “Encik, tolong lepaskan saya. Malu saya kalau anak bini saya tahu,” pinta seorang lelaki tadinya tertangkap separuh bogel. Mukanya pucat lesi. Jelas terpancar ketakutan di wajahnya. 
Suasana di spa itu riuh rendah. Beberapa orang anggota polis mengawal keadaan.Beberapa pekerja spa juga telah ditahan dan diambil butiran diri. Pelanggan, hanya bertuala atau tanpanya, dicekup. Beberapa keping kondom kelihatan bertaburan di lantai. Panik!
            “Lepaskan? Sabar encik, kita ke balai dulu,” jawab Fakhrul. 
            “Jangan macam tu encik, berapa encik nak? Saya sedia bayar.” Sedikit berbisik.
            “Pak cik, awak dahlah buat salah. Lepas tu nak rasuah saya?” tempelak Fakhrul. “Sarjan! Bawa mereka ke balai bila dah siap semuanya.” pesan Fakhrul.
            “Baik, Inspektor.”
***
            Merah padam wajah Zaheer ketika menerima panggilan telefon daripada Joe. Hampir jatuh jantungnya.  Dia menendang meja yang terdapat di anjung rumah. Geram, marah, semuanya bercampur menjadi satu. Boleh gila, kalau selalu begini.  Jantungnya boleh berhenti berdenyut, jika setiap ketika mendapat berita celaka begini.
            “Kau tak pergi balai ke? Lepaskan anak-anak ayam kita tu?” tanya Zaheer. Sudahlah sukar hendak mendapatkan bekalan, yang ada makin menyusut pula.
            “Gila ke bos? Ada ke nak suruh saya ke balai?  Bos nak suruh saya kena tangkap ke?” Joe mula berleter. 
            “Kau carilah jalan! Hantar orang lain ke. Buatlah sesuatu!” perintah Zaheer lagi.
            “Tak boleh bos! Mereka ada bukti! Mana boleh lepas senang-senang. Silap haribulan masuk dalam, bos.” Joe mengetap bibir. 
            “Saya nak balik ke rumah bos ni, jangan suruh saya jamin sesiapa, cari nahas. Polis tengah buru bos tau!”
            “Joe, Joe!” jerit Zaheer. Panggilan telefon telah dimatikan.
            “Tak guna, habislah orang-orang aku!” jerkah Zaheer.
            “Orang-orang abang? Kenapa bang?” Zaki mendekati. Wajah sugul Zaheer menarik perhatiannya.
            “Erk… pekerja abang, rupa-rupanya tak ada permit. Imigresen buat serbuan di tapak projek.  Habis semuanya kena tahan. Kalau begini, boleh tertangguh la projek abang,” jelas Zaheer.          “Jenuh tu bang, kalau salah pertimbangan, majikan boleh dipenjarakan!’ 
            “Nantilah abang cuba ke pejabat imigresen.”
            “Seelok-eloknya. Setiap negara ada undang-undang, bang. Bukan boleh langgar sesuka hati, silap  haribulan kita juga yang teruk,” nasihat  Zaki.
            “Mana abang tahu mereka tak ada permit, semua itu kerja penyelia abang,” hujah Zaheer. Zaki terdiam.           
Bunyi kenderaan membelok masuk dengan laju mengganggu butir bicara mereka. Kereta berhenti di hadapan anjung rumah. Breknya mengejut dan panik. Joe keluar tergesa-gesa. 
            “Macam mana?” tanya Zaheer. Tidak sempat Joe menutup pintu kereta.
            “Bos kena tengok sendiri,” ujar Joe, matanya melirik ke arah Zaki yang  turut memandangnya.
            “Jom!” Zaheer melangkah masuk ke dalam perut kereta yang tidak dimatikan enjinnya.
            “Boleh saya ikut?” tanya Zaki.
            “Erk… tak payahlah.”  Zaheer menolak.
            “Yalah, Adik Bos. Tak payahlah!” sampuk Joe, menggelabah. Habislah kalau Zaki ikut sekali. Hendak ke mana?  Boleh bocor rahsia mereka.
            “Okeylah…”  Zaki akhirnya mengendur.
            “Gila! Semua ini gila!” jerit Zaheer di dalam kereta, melepaskan api kemarahannya. Segala penat lelahnya hancur musnah. Boleh hilang akalnya. 
            “Sabar bos!” pujuk Joe. Dia sendiri sakit hati melihat ‘harta karun’ Zaheer diangkut dengan lori polis tadi. Beberapa orang pelanggan turut dicekup sama. Nasiblah.
            “Kau nak aku sabar macam mana lagi? Habis bisnes aku! Kalau macam ni hari-hari, boleh gulung tikar aku!”  marah Zaheer lagi.
            “Bos lepas marah dengan saya pun tak gunalah! Bukan saya yang buat laporan, atau buat serbuan.”  Joe mengetap bibir. 
            “Macam mana mereka tahu tempat itu? Siapa yang bocorkan rahsia?” Zaheer menggenggam penumbuk. 
            “Manalah saya tahu!”
            “Jangan-jangan Nazatul!”  tuduh Zaheer.
            “Mana pula Puan Nazatul tahu, bos. Waktu spa itu dibuka Puan Nazatul dah keluar dari rumah sewa bos,” terang Joe. Itulah yang dia ingat.
            “Mungkin ada polis yang menyamar jadi pelanggan kita agaknya bos?” Joe berfikir sejenak.  PDRM sekarang semakin canggih. Sama hebat dengan polis negara luar. Kalau setakat nak mengesan spa itu bukannya susah.
            “Habislah aku kalau macam ni!” keluh Zaheer.  Dia menyandarkan tubuhnya, Hatinya dilakar kemarahan yang amat sangat.
            “Kita cari jalan lain bos! Di mana kemahuan, di situ ada jalan,” pujuk Joe, memberi kata-kata semangat.
            “Mana nak dapat anak-anak ayam lagi? Cuba kau cakap?” Zaheer mendengus kasar.
            “Kita bela ayam betullah bos, taklah kena cantas selalu!”
            “Kalau kau rasa nak makan sup kaki ayam campur kaki kau, cakaplah lagi,” ugut Zaheer. Pembantunya yang suka berjaket kulit itu menyeringai.
            “Habis? Bela anak ayam kaki dua asyik kena serbu dengan musang!”
            “Minggu depan hubungi  beberapa pembekal.  Minta mereka hantar stok tambahan. Pendapatan aku dah susut ni! Aku kan dah nak kahwin?”
            “Kahwin? Dalam keadaan darurat ini pun, bos masih fikirkan perempuan!” sangkal Joe.
            “Hoi! Perempuan itu boleh bikin duitlah! Kau dah lupa?” marah Zaheer. Memang sengal dan lurus bendul betullah si Joe ni. Hanya tahu membebel sahaja. 
            Zaheer menahan rasa marah yang berketul di hati. Pihak polis sedang bermain cak-cak dengannya.  Pasti mereka akan meneruskan operasi membersihkan bisnesnya. 
***
           
***
Zaki membelek, sehelai demi sehelai. Bingung seketika. Dia mengeluh beberapa kali. Kain tudung pula bukan semuanya sama. Ada yang bersaiz, ada yang saiz bebas, tidak kurang yang berbentuk selendang.
            “Encik nak beli apa? Boleh saya bantu?”  tegur seorang gadis yang bertudung dan berjubah. 
            Zaki menoleh dan termalu sendiri. Beberapa orang pelanggan wanita turut sibuk memilik tudung kegemaran mereka.
            “Saya nak beli tudung untuk isteri dan anak perempuan saya. Remaja…mungkin erk…”  Zaki menyengih.
            “Saya Zara,” kata gadis itu memperkenalkan diri.
            “Zara?  Sama  seperti nama anak buah saya.  Mungkin sama usia dengan adik,”  kata Zaki.
            “Mungkin anak buah encik lebih cantik dan manis, berbanding saya,” puji Zara. Wajah Zaki ditatap seketika. Dia teringatkan seseorang. Tetapi tidak ingat siapa dan di mana.
            “Encik orang Kuala Lumpur ke?” tanya Zara. Wajah itu membuatkan dia bertanya lanjut.
            “Ha ah…” kata Zaki mengakui. “Cantik kedai ini, harga tudung-tudung di sini pun murah,” puji Zaki.
            “Kami baru buka beberapa minggu yang lalu, encik.  Jadi kami adakan harga promosi,”  jelas Zara.
            “Bagaimana dengan pilihan saya ni? Sesuai ke?” Sambil menunjukkan beberapa helai tudung dan selendang.
            “Nama saya Zaki, panggil Pak Cik Zakilah.  Rasanya umur Zara lebih kurang anak buah pak cik saja.” Zaki memperkenalkan diri.
            “Zaki? Samalah dengan nama bapa saudara saya yang tinggal di Australia. Tapi, dah lama kami tak berhubung dengan dia. Entah ingat dengan kami atau tidak? Dulu waktu saya masih kecil, kami selalu berhubung.  Lepas itu senyap saja,” cerita Zara.
            “Australia? Kebetulan pula, pak cik pun sebenarnya dari sana.” Dahi Zaki berkerut. “Siapa nama ayah Zara?”
            “Zaheer,” jawab Zara, sebal. Benci menyebut nama itu. Sakit hati.
            “Zaheer?” Zaki sedikit menjerit. Sah-sahlah gadis yang berdiri di hadapannya adalah anak saudaranya sendiri. Kecilnya dunia, dan ALLAH memakbulkan doanya.
            “Kenapa? Macam kenal saja, pak cik?” Zara membungkus tudung dan selendang tadi.
            “Memanglah kenal. Abang pak cik!” Zaki ketawa kuat. 
            Zara bingung seketika. Kejap, kejap… akalnya sedang menuju ke destinasi imbas semula. Wajah pelanggan lelaki itu dipandang lama.
            “Ini Zara, anak Kak Nazatul, kan?” teka Zaki. Laju anggukan Zara.
            “Pak Su Ki?”  tanya Zara, memohon kepastian.
            “Ya!” Zaki ketawa gembira. Beberapa orang pelanggan menoleh melihat tingkah laku mereka berdua            .
            “Puas pak cik tanya papa, di mana korang. Pak su tak tahu pun mama Zara dah bercerai dengan papa.” Zaki mengeluh.
            “Pak su bila balik?” soal Zara.
            “Sudah dua minggu,” jawab Zaki.
            “Erk… kita minum di luar, boleh sembang lama,” ajak Zaki lagi.
            “Boleh juga.” Zara bersetuju, lagipun tidak manis dia bersembang di ruang kedai itu. Banyak perkara ingin diluahkan kepada bapa saudaranya itu.  Lagipun mamanya sedang mencari ayahnya sekarang.  Tentu pak sunya mempunyai maklumat tentang papanya.
            “Tak sangka kita berjumpa di sini, Zara apa khabar?”
            “Alhamdulillah, baik pak su. Pak su macam mana?  Sihat?”
            “Jom pak su… kita jumpa mama,” ajak Zara. 
            “Alhamdulillah, tak sia-sia pak su keluar berjalan hari ini,”  jawab Zaki. Hatinya berbunga mekar, tidak sabar hendak bertemu ahli keluarganya sendiri. 



No comments:

Post a Comment