AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 18 April 2016

MEREKA BUKAN PERTUALANG




            Kedatangan Sultan Mamud Syah menambah meriahkan lagi majlis perkahwinan  anak Bendahara Seri Maharaja Tun Fatimah dan Tun Ali anak Seri Nara Di Raja.  Paluang kompang, bunyi-bunyian gendang, serunai menjadikan majlis semakin meriah.  Para tetamu jauh dan dekat serta rakyat jelata pelbagai lapisan masyarakat berpusu-pusu turut sama meraikan majlis perkahwinan yang gilang gemilang itu.  
            Terkesima pandangan mata Sultan Mahmud Syah sewaktu melihat wajah Tun Fatimah suami isteri  yang datang menghadap Baginda mengangkat sembah, tanda hormat dan mengalu-alukan kedatangan Baginda.   Berdegup jantung Baginda melihat wajah nan ayu itu.  Terpaku seketika pandangan mata, melekat kukuh di wajah nan mempersonakan itu. Kenapa tidak pernah Bendahara Seri Maharaja memberitahu akan puterinya ini?  Detik hati kecil Baginda. 
            Tanpa menyentuh sedikit pun makanan yang terhidang, Baginda berangkat pulang dengan hati berombak marah dan geram.  Wajah Tun Fatimah melekat di fikiran.  Terbayang-bayang wajah jelita itu mengganggu tidur dan waktu senggang Baginda. Benar-benar hati Baginda sudah tertawan dengan kejelitaan Tun Fatimah yang tiada tandingannya itu.
            Hati Baginda menampak dendam. Sejak itu langkah Bendahara Seri Maharaja sentiasa tampak sumbang di pandangan Baginda,  Ada sahaja yang tidak kena dengan  tingkahlaku Bendahara Seri Maharaja.  Kata-kata yang terluah di mulut Bendahara Seri Maharaja bagaikan sembilu.  Menghiris hati Baginda yang sedang merasuk marahnya terhadap Bendahara Seri Maharaja.  Dendam kesumat yang tidak bertepi, hanya kerana tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepada Baginda.  Namun, tidak terucap sebarang keluhan dari mulut Baginda. Hanya memendam di dalam hati, bergejolak resah membunuh akal fikiran yang waras.
            Mandi tidak basah, makan tidak kenyang, tidur tidak lena.  Hanya wajah Tun Fatimah yang bermain di mata.  Hilang selera makan Baginda.  Perasaan kesal bertali arus dalam diri. Berkata-kata sendiri tidak henti-henti.  Ringan sahaja mulut Baginda ingin bertanya, kenapa Bendahara Seri Maharaja tidak memberitahu tentang Tun Fatimah?  Hati sudah jatuh cinta, hati sudah jatuh sayang, biarpun Tun Fatimah sudah bergelar isteri orang.   Keluhan berat dilepaskan, menatang sakitnya di dada. 
*** 
            Di istana para pembesar Negeri sudah berkumpul untuk bertemu Baginda Sultan Mahmd Syah yang akan hadir bila-bila masa. Bendahara Seri Maharaja berserta Temenggung Tun Hassan melangkah masuk dan duduk di tempat yang biasa menjadi tempat duduk mereka di dalam Istana.
            Raja Mandaliar, adalah Syahbandar Negeri Melaka  dan merupakan orang paling kaya baharu sahaja masuk ke Balai Rong Seri. Terlihat akan Bendahara Seri Maharaja, beliau terus menerkam mengangkat sembah. Terkejut Bendahara Seri Maharaja akan kelakuan Raja Mandaliar yang kurang sopan di pandangan mata.
            “Raja Mandaliar!  Bukan hamba yang layak disembah! Tuan hamba sudah tidak tahu adabkah?  Kalau dilihat  oleh Baginda, bukankah tidak molek jadinya?  Hamba sama sahaja dengan tuan hamba!” tegur Bendahara Seri Mahajara agak keras nadanya.
            “Maafkan hamba Bendahara,”  jawab Raja Mandaliar.  Terasa malu dirinya ditegur di hadapan pembesar-pembesar Negeri, ada yang memandangnya dengan sinis, tidak kurang  juga bercakap sesama sendiri. Terasa panas di dalam hati.  Ada ubi, ada batas, ada hari bolehku balas, detik hati kecil Raja Mandaliar. 
***  
            Usai melawat persekitaran kampung, dan memastikan keselamatan para peniaga dan rakyat jelata, Tun Hassan yang berjawatan Temenggung duduk berehat di anjung rumah bersama para pembantunya.  Dia berasa gembira, kerana keamanan Melaka masih terpelihara.  Biarpun ada gangguan di pelabuhan akibat perbuatan orang-orang Portugis.  Itu semua sudah dapat diselesaikan. 
            “Ada apa-apa aduan yang ingin tuan hamba sekalian beritahu hamba?” tanya Tun Hassan.  Matanya memerhati ke arah para pembantunya seorang demi seorang. 
           “Ada datok, ada banyak kedai-kedai yang sudah terlebih pembinaannya sehingga mengganggu jalan. Hamba takut, jika dilihat Sultan pasti murka.  Molek kiranya, kedai-kedai yang terlebih binaannya itu dirobohkan,” adu salah seorang pembantu  Tun Hassan.
          “Baiklah, jika itu aduan  tuan hamba.  Ukur setiap kedai yang ada, jika sudah dipastikan mengganggu jalan, hendaklah dirobohkan.  Jangan  pilih kasih atau beri peluang kepada sesiapa sahaja,” arah Tun Hassan tegas.  Biarpun beliau pernah cuba diberi suapan oleh seorang peniaga namun ditolaknya.  Rasuah pemusnah bangsa dan negara, detik hati kecil Tun Hassan. Tidak tergamak melakukannya. 
            “Baik datok, akan segera kami lakukan,” sampuk salah seorang daripada mereka. 
            Tidak sampai beberapa waktu, keenam-enam pemuda yang ditugaskan oleh  Tun Hassan terus ke kawasan deretan kedai yang terdapat di kawsan  perkampungan Melaka.  Mereka mula mengukur kedai-kedai tersebut. Jika berlebihan sehingga mengganggu jalan terus dirobohkan. 
            Saudagar-saudagar kaya yang berniaga mula berasa bimbang kalau-kalau kedai mereka akan dirobohkan.  Mereka tahu Tun Hassan tidak akan menerima suapan.  Tanpa pengetahuan Tun Hassan para saudagar telah memberi suapan kepada para pembantu Tun Hassan bagi mengelakkan kedai mereka dirobohkan.
            Nina Sura Dewana adalah ketua saudagar di Melaka.   Beliau bimbang dengan keadaan yang berlaku, maka diberitahu kepada Raja Mandaliar dan mereka sama-sama bertemu dengan Bendahara Seri Maharaja bagi memberhentikan kerja-kerja meroboh kedai-kedai yang ada. 
            “Hari sudah jauh petang, hamba rasa, molek kiranya tuan hamba berdua datang esok sahaja,”  kata Bendahara Seri Maharaja. Bukan tidak sudi menerima kehadiran kedua manusia itu, tetapi hari sudah hampir senja.  Maghrib singkat sahaja waktunya.  Kalau sudah berbicara, takut terlebih waktunya. 
            “Baiklah, kami berdua akan datang semula, esok,” jawab Raja Mandaliar.  Dia juga mempunyai perniagaannya sendiri.  Tidak mungkinlah dia membenarkan kedainya dirobohkan.
            Usai sampai di rumah Nina Sura Dewana sudah mula berkira-kira.  Perkara itu perlu diselesaikan segera.  Kalau perlu malam itu jugalah dia  ingin bertemu  Bendahara.  Nina Sura Dewana mengambil 10 kati emas dan dipersembahkan kepada Bendahara Seri Maharaja.
            “Kenapa tidak tunggu sehingga esok tuan hamba. Sudah jauh malam ini,” kata Bendahara Seri Maharaja ketika menyambut kehadiran Nina Sura Dewana.
            “Kerja yang baik, sepatutnya disegerakan.  Ini ada emas 10 kati buat Datok Bendahara, janganlah menolak. Hamba ikhlas,” jelas Nina Sura Dewana. Emas tersebut bertukar tangan. 
            “Baiklah, tuan hamba sudah memberi, tidak molek hamba menolaknya,” ucap Bendahara Seri Maharaja.  Rezeki jangan ditolak.   Setelah berbincang lebih kurang. Nina Sura Dewana berasa senang hati dan kembali ke rumah.
            Bendahara Seri Maharaja menyimpan emas yang diberi.  Beliau memerhatikan sahaja langkah saudagar kaya itu meninggalkan rumahnya.
*** 
            Kitul yang mengetahui akan perbuatan saudaranya itu, berasa kurang senang dengan tindakan Nina Sura Dewana yang telah memberi sepuluh kati emas kepada Bendahara Seri Maharaja.  Dia mengeluh berat.  Kepada orang mahu sahaja saudaranya itu memberi, dia yang banyak hutang ini tidak pula saudaranya itu bermurah hati. Rasa amarah merasuk jiwanya.  Dia berfikir seketika. Apa yang harus dia lakukan, hutangnya dengan Raja Mandaliar harus diselesaikan.  Beberapa waktu kemudian, Kitul tersenyum sendiri. Langkah diatur menuju ke rumah Raja Mandaliar. Malam yang kelam tiada menjadi halangan untuk dia menyampaikan apa yang sedang bermain di fikiran.  Sampai di rumah Raja Mandaliar, daun pintu diketuk beberapa kali.
            Raja Mandaliar yang sedang duduk bersantai bersama keluarganya terkejut dengan kehadiran tetamu lewat malam begini. Siapalah agaknya? Detik hati kecilnya. 
            “Siapa?” tanya Raja Mandaliar. Risau bertandang. Takut-takut ada orang yang ingin membuat onar. Maklumlah sudah larut malam. 
            “Hamba Kitul, bukalah pintu.  Ada perkara yang ingin hamba sampaikan,” jawab Kitul. Matanya melilau memandang kiri dan kanan.  Suara unggas malam, cengkerik bersahut-sahutan. Risau juga di hati, takut ada musuh yang menanti. Kedinginan malam menyapa tubuhnya yang kurus.
            “Kitul? Ada apa tuan hamba datang malam-malam buta ke rumah hamba?” tanya Raja Mandaliar sebaik daun pintu terbuka. 
            Kitul melangkah masuk dan terus duduk di rumah ibu. Matanya memandang ke arah kaum keluarga Raja Mandaliar yang sedang beristirehat.  Dia tersenyum.
            Raja Mandaliar kehairanan, apa pula hajat lelaki ini, adakah ingin berhutang lagi? Hutang yang lepas pun belum berbayar, katanya  Raja Mandaliar di dalam hati.
            “Tuan hamba ingin berhutang lagikah?” Tidak mungkinlah lelaki itu datang ke rumah tanpa ada sebab musabab.
            “Hamba ada berita panas ingin sampaikan kepada datok. Malam tadi, saudara hamba Nina Sura Dewana telah bertemu Bendahara Seri Maharaja.  10 kati emas bertukar tangan,”  cerita Kitul serius. Lakonan biar menjadi.
            “10 kati emas? Untuk apa?” Raja Mandaliar terkejut mendengarnya.  Bukankah mereka sudah berjanji untuk bertemu Bendahara esok hari. 
            “Untuk apa lagi! Upah untuk membunuh datoklah. Sekarang mereka sudah berbincang untuk menamatkan riwayat datok! Baiklah datok berhati-hati,” kata Kitul bersungguh-sungguh. 
            Terkejut  Raja Mandaliar mendengarnya.Tidak disangka Nina Sura Dewana sanggup membayar harga nyawanya?  Apa salahnya?  Uh! Perkara ini tidak boleh didiamkan.  Dia perlu bertindak. 
            “Kitul, hutang tuan hamba dengan hamba selesai!  Hamba akan buat perhitungan dengan Bendahara, ini Raja Mandaliarlah!  Hamba tidak akan berdiam diri!” ujar Raja Mandaliar dengan wajah yang marah.  Perasaan dendam yang tertanam di hati, hidup semula.  Dia mengetap bibir. 
            Kitul tersenyum bahagia.  Hanya dengan sedikit cerita, hutang yang ada selesai semuanya. Mudah sungguh kerjanya.    
***
            Raja Mandaliar tidak senang duduk.  Resah bertandang, tidak mungkin mampu melelapkan mata.  Dia perlu buat sesuatu.  Sebelum Bendahara mengerjakannya, dia terlebih dahulu akan memusnahkan Bendahara Seri Maharaja.  Malam itu jugalah Raja Mandaliar ke rumah Laksamana Koja Hassan, orang kepercayaan Sultan. Kata-katanya tidak pernah disanggah Sultan.  Dengan membawa hadiah yang mahal-mahal, Raja Mandaliar sanggup meredah malam menuju ke rumah Laksamana Koja Hassan. 
            Laksamana Koja Hassan menerima kehadiran Raja Mandaliar dengan tanga terbuka. 
            “Apa hajat tuan hamba datang ke rumah malam-malam ini?  Bawa hadiah bersama, seperti ada cerita yang menarik ingin disampaikan kepada hamba.” Laksamana Koja Hassan mengerut dahi. Wajah bengis Raja Mandaliar mengusik hatinya.  Siapa yang dimarahi oleh Raja Mandaliar.
            “Hamba mendapat perkhabaran, bahawa Bendahara Seri Maharaja ingin naik takhta, dengar kata beliau sudah menempa ciu emas dan kaus emas.   Tinggi sungguh cita-cita Bendahara, Sultan pun hendak diderhakai! Hamba berkata benar, Datok Laksamana bolehlah periksa dan lihat sendiri nanti,” cerita Raja Mandaliar bersungguh-sungguh.
            “Apakah benar perkhabaran tuan hamba?” Laksamana Koja Hassan memandang ke arah hadiah yang terbentang di hadapan mata.  Dia memandang wajah Raja Mandaliar yang serius. Benarlah agaknya kata-kata Raja Mandaliar, tidak mungkin dia menipu.
            “Kalau benarlah cerita tuan hamba, akan hamba khabarkan segera kepada Sultan.  Bendahara Seri Maharaja tidak harus dibiarkan.  Berani Bendahara ingin menentang Sultan dan  ingin menaiki takhta!” Laksamana Koja Hassan berang.     
            Raja Mandaliar tersenyum. Laksamana Koja Hassan percaya akan ceritanya.  Habislah riwayat tuan hamba, Bendaraha Seri Maharaja, detik hati kecil Raja Mandaliar. Jangan sesiapa berani melawannya, dia tidak akan berdiam diri. 
*** 
            Bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan.  Azan subuh sudah berkumandang.  Laksamana Koja Hassan bangun lebih awal daripada biasa.  Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata mendengar cerita Raja Mandaliar buat hatinya gelisah tidak tentu arah.  Awal pagi lagi dia sudah melangkah ke Istana, perkhabaran itu perlu diberitahu segera.
            “Awal sunggu Laksamana datang bertemu Beta? Ada perkhabaran apa Laksamana?” tanya Sultan Mahmud Syah.
            “Hamba membawa perkhabaran tidak molek, Tuanku,” sembah Laksamana Koja Hassan.
            “Perkhabaran apakah itu?”  Sultan Mahmud mula gelisah.  Adakah Portugis masih mengganggu di Lautan Melaka, atau ada masalah di pelabuhan.
            “Bendahara Seri Maharaja hendak merampas kuasa Tuanku. Sudah banyak emas dikumpulkan untuk melawan Tuanku! Sebelum beliau bertindak, baiklah Tuanku buat sesuatu,” jelas Laksamana Koja Hassan.
            “Apa?  Bendahara ingin melawan Beta?  Dasar manusia yang tidak mengenang jasa!” marah Sultan Mahmud Syah dengan wajah menyinga.  Dendam kesumat yang bertali arus dan hidup subur dalam hati mencanak keluar, menerja akal fikiran. Meragut rasa hormat terhadap Bendahara Seri Maharaja.    Perasaan marah yang masih berbuah lebat di hati dibiarkan ranum dan hanya menunggu masa untuk dipetik.  Maka, masanya telah tiba. Tanpa usul periksa. Sultan Mahmud Syah memanggil Tun Sura DiRaja dan Tun Indera Segara membawa keris Baginda ke rumah Bendahara. 
            “Tuanku!”
            “Jalankan sahaja perintah Beta! Jangan ada yang membantah!”  Sultan Mahmud Syah melepaskan api kemarahan yang telah lama tersimpan kemas jauh disudut hati Baginda.
            Tun Sura DiRaja tidak mampu berkata apa-apa. Menurut sahaja perintah yang telah dititahkan.  Berlalulah mereka berdua ke rumah Bendahara Seri Maharaja. Turut diikuti beberapa orang pengawal DiRaja.
            Ucapan salam diberi tanda adab orang-orang Melayu yang bertandang ke rumah orang.  Tun Sura DiRaja menunjukkan keris yang berada di dalam bekas perak kepada Bendahara Seri Maharaja yang menyambut kedatangan tetamu DiRaja itu.
            “Apa erti semuanya ini  Datok?” tanya Tun Hassan dengan garang.  Tahu benar dirinya akan keris tersebut.
            Bendahara Seri Maharaja terdiam seketika. Memikirkan tindakan Sultan Mahmud Syah yang tiba-tiba.  Memikirkan salah dirinya.
            “Hamba hanya menurut perintah Datok,” jawab Tun Sura DiRaja dengan wajah muram. 
            “Sudah hilang akalkah Sultan?  Dosa apa ayahanda hamba, maka hendak dihukum bunuh?” marah Tun Hassan, sudah mula membuka langkah untuk melawan.
            “Jangan diteruskan niatmu itu Hassan!  Pantang Melayu menderhaka! Titah Sultan, tidak boleh dibantah!” Bendahara Seri Maharaja memandang tajam wajah Tun Hassan yang memerah.
            “Kalau titah membawa rebah! Apa guna dituruti ayahanda!”  Tun Hassan tidak mampu bersabar. 
            “Adat Melayu sejak turun temurun tidak pernah derhaka, Hassan!” kata Bendahara Seri Mahajara lagi. 
            Kali ini Tun Hassan mendengar kata-kata ayahandanya. Senjata di tangan dicampakkan.
            “Adakah kerana harta yang hamba miliki maka, hamba dihukum bunuh Tun Sura?” tanya Bendahara Seri Maharaja.
            Tun Sura DiRaja membisu, hanya keluhan yang terlahir dari bibirnya.
            Tun Hassan naik ke rumah, diambilnya peti yang berisi emas berkati beratnya itu. Hendak dibuangkan ke dalam sungai berhampiran rumah.
            “Tun Hassan! Usah dibuang emas-emas itu. Bukan sebab itu kita dihukum.  Biarlah harta itu bermanfaat buat Sultan,”  tegah Bendahara Seri Maharaja
            “Bukan Datok Bendahara sahaja yang dihukum, tetapi semua keluarga lelaki Datok turut ihukum bersama,” terang Tun Sura DiRaja.
            “ALLAH!, Jalankan sahajalah perintah Sultan, Tun Sura.” Bendahara Seri Maharaja tidak melawan, jauh sekali membantah perintah yang dititahkan.
            “Pengawal! Bawa semua kaum keluarga Bendahara, kita ke tempat hukuman!” arah Tun Sura DiRaja.           
            “Ayahanda! Datok! Takkan suami hamba juga akan dibunuh?” soal  Tun Fatimah hiba.  Hatinya terbakar geram.  Keris berada di tangan, bersedia untuk melawan sesiapa sahaja yang mendekati dirinya
            “Jangan ada sesiapa yang berani melawan!” arah Bendahara Seri Maharaja.  Matanya tepat memandang wajah Tun Fatimah yang sudah dibasahi dengan air mata.
            Seluruh keluar Bendahara Seri Maharaja dibawa ke tempat hukuman. 
            “Maafkan hamba Datok Bendahara, hamba hanya menjalan tugas yang telah diamanahkan!” kata Tun Sura DiRaja sambil menunjukkan keris kepunyaan Sultan Mahmud Syah di hadapan Bendahara Seri Maharaja.
            “Hamba redha dengan ketentuan ILAHI, sudah sampai ajal hamba, izinkan hamba mengambil wuduk terlebih dahulu.” Bendahara Seri Maharaja mengambil wuduk  dan menunggu hukuman dijalankan. Syahadah diucapkan. Redha menerima takdir yang telah ditentukan kepadanya.  Selain Bendahara Seri Maharaja, Tun Hassan, Seri Nara DiRaja dan Tun Ali, suami Tun Fatimah turut dibunuh oleh Tun Sura DiRaja dan Tun Indera Segara.
            Tun Fatimah hanya mampu melihat dengan linangan air mata.  Pesan ayahandanya tetap utuh di hati. Jangan jadi Melayu yang menderhaka.   Hilang ayahanda, hilang keluarga dan hilang suami.  Air mata yang mengalir bagaikan tidak mahu berhenti.  Siang malam berendam duka.  Siang malam mimpi ngeri datang bertandang. Wajah-wajah insan tersayang bermain di ruangan mata. Melihat sendiri kaum keluarganya dibunuh menambah sakit di hati.  Tun Fatimah menahan marah. Orang yang membuat fitnah harus terima hukuman terhadap apa yang mereka lakukan kepada kaum keluarganya.
*** 
            Atas perintah Sultan Mahmud Syah, semua harta kepunyaan Bendahara Seri Maharaja dirampas dan Tun Fatimah juga dibawa ke Istana.  Bertambah-tambahlah berduka Tun Fatimah. Sultan Mahmud Syah telah menyakiti hatinya.  Menyakiti seluruh keluarganya.  Bagaimana mungkin dia boleh mengahwini Sultan Mahmud Syah?  Di hati tiada cinta, tiada sayang, yang ada hanya dendam yang membara, membakar setiap inci hatinya. 
            “Dinda, sudah-sudahlah berduka.  Perkata sudah lama berlalu, semoleknya adinda lupakan sahaja.  Air mata tidak akan membawa mereka kembali ke dunia,” pujuk Sultan Mahmud Syah. Lara hatinya. Hiba jiwanya melihat wajah muram Tun Fatimah hampir setiap masa.  Siang malam berkalang duka, meratap menghiba insan yang telah tiada.
            “Dinda inginkan seorang Sultan yang adil lagi bijaksana! Bukan seperti kanda, yang membuat keputusan tanpa usul periksa!  Ayahanda adinda, taat dan setia orangnya. Mana mungkin menjadi derhaka dan ingin merampas takhta!” luah Tun Fatimah geram. 
            “Apa yang dinda katakana ini?  Tidak mungkin kanda melakukan kesilapan?  Kanda menerima  perkhabaran daripada orang yang kanda percayai!” Sultan Mahmud Syah berkerut dahi. Kata-kata Tun Fatimah menembak jauh ke dalam hati Baginda.  Adakah Baginda telah melakukan kesilapan yang disengajakan?  Bukankah aduan itu diterima daripada Laksama Koja Hassan yang amat dipercayainya. Tidak mungkin Laksamana Koja Hassan menipu?
            “Kanda, Sultan yang baik adalah Sultan yang adil lagi bijaksana, Membuat keputusan bukan mengikut hawa nafsu marah dan dendam.  Bersihkanlah nama ayahanda dan keluarga adinda.  Tolonglah siasat siapa punya angkara sehingga terhukumnya keluarga adinda yang tidak berdosa,” rayu Tun Fatimah dengan linangan air mata. 
            Sultan Mahmud Syah terdiam seketika.  Memandang wajah Tun Fatimah yang jelita, membuat hatinya bertambah sayang.  Pujaan hati berada di hadapan mata, biarpun mendapatkannya dengan cara yang tidak baik dipandangan mata, tetapi demi cinta, Baginda sanggup berbuat apa sahaja.
            “Baiklah dinda.  Akan kanda siasat punca angkara.  Jikalau terbukti ayahanda Bendahara benar-benar derhaka, kekanda harap adinda redha dan tidak bersedih lagi,” kata Sultan Mahmud Syah.  Dipeluk erat isteri tercinta dengan penuh kasih dan sayang.  Usahlah menangis lagi adinda, kanda akan bahagiakan adinda sehingga ke akhir hayat, detik hati kecil Sultan Mahmud Syah.
*** 
            Di Balai Rong Seri, para Pembesar Negeri Melaka sudah berada di tempat masing-masing menunggu kehadiran Sultan Mahmud Syah. Laksamana Koja Hassan. Raja Mandaliar dan Kitul turut berada di situ setelah diperintahkan datang menghadap.
            Ketika Sultan Mahmud Syah melangkah masuk, semua pembesar memberi tunduk  hormat.  Sultan Mahmud Syah duduk di singgahsana yang diperbuat dari batu permata yang tinggi nilainya. Wajah Baginda serius sahaja.  Mata Baginda melirik ke arah para pembesar Negeri Melaka yang menunggu dan menanti apa sahaja arahan daripada Baginda.
            “Laksamana Koja Hassan, hari ini beta mahu, tuan hamba ceritakan kepada Beta, benarkah Bendahara Seri Maharaja sudah menempah ciu dan kaus emas serta ingin merampas takhta Beta?” tanya Sultan Mahmud berang. Tidak sabar menunggu jawapan daripada Laksamana Koja Hassan yang tergagap-gagap menjawab.
            “Cakap Laksamana!” tengking Sultan Mahmud. Hilang kesabarannya.   Baginda sudah bangun berdiri, terasa ringan tangannya melihat sikap Laksamana Koja Hassan.
            “Adakah tuan hamba lihat sendiri barang-barang itu?” tanya Sultan Mahmud lagi.
            “Hamba tak nampak Tuanku! Hamba terima perkhabaran daripada Raja Mandaliar,” jawab Laksamana Koja Hassan tergagap-gagap. 
            “Tak nampak!?  Raja Mandaliar! Terangkan pada Beta, apa semuanya ini?” kemarahan Sultan Mahmud sudah sampai kemuncak.  Ada yang tidak kena sahaja dengan kedua-dua pembesarnya itu.
            “Ampun Tuanku!  Hamba pun tidak tahu, Kitul yang beritahu hamba,” jelas Raja Mandaliar pula.
            “Apa semuanya ini?  Dia kata dia! Siapa yang beritahu sebenarnya?”  tengking Sultan Mahmud Syah.  Adakah dia sudah tersilap menjatuhkan hukuman?Ah!  wajah diraup dengan kedua belah tangan. Rusuh hatinya menahan getar di jiwa.  Sultan jenis apakah diri ini?  Pemerintah yang tidak berhati perut, menjatuhkan hukuman tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.
            “Kitul! Apa pula alasan tuan hamba?” Sultan Mahmud Syah memandang tajam wajah Kitul yang menunduk memandang lantai.
            “Hamba hanya mereka cerita yang Datok Bendahara ingin membunuh Raja Mandaliar, tapi bukan memberitahu yang Datok Bendahara ingin derhaka atau merampas kerajaan Tuanku! Hamba buat semua itu semata-mata hendak melangsaikan hutang hamba,”  ujar Kitul ketakutan. 
            Suasana di Balai Rong Seri riuh rendah dengan suara pembesar yang lain. 
            “Diam semua! Nampaknya, tuan hamba bertiga mempermainkan Beta!  Tuan hamba  bertiga telah memalukan Beta!  Pengawal!  Bawa ketiga-tiga mereka, dan jatuhkan hukuman. Raja Mandaliar dan Kitul beserta keluarga di hukum bunuh,  Laksamana Koja Hassan pula dibuang Negeri.  Segala harta milik mereka bertiga dirampas.  Sultan Mahmud Syah mengeluh kesal.  Kesilapan yang tidak mampu dimaafkan oleh sesiapa pun.  Sebagai pemerintah sebuah Negeri yang gilang gemilang, tidak sepatutnya perkara seperti itu berlaku.  Baginda benar-benar kesal. Menghukum insan-insan yang tidak berdosa. Menghancurkan hati dan perasaan keluarga Tun Fatimah yang masih bernyawa. Ah! Semuanya berpunca kerana dendam dan hasat dengki, perasaan iri hati yang beraja di hati. Menghancurkan rasa ehsan dan belas kasihan.Sultan Mahmud Syah benar-benar kesal.  Nasi sudah menjadi bubur, yang sudah meninggal tidak mungkin hidup kembali.  Semoga apa yang berlaku menjadi sempadan buat mereka di masa hadapan. 
*** 
            Tun Fatimah berasa lega.  Pengkhianat yang sebenar sudah dihukum.  Nama baik keluarganya sudah dibersihkan.  Mereka bukan petualang.  Mereka rakyat yang setia. Menerima sahaja hukuman yang dikenakan.  Berpantang Melayu menderhaka, itulah pesan Almarhum ayahanda, akan diingat sampai bila-bila.
            “Adinda! Maafkanlah keterlanjuran kekanda membuat keputusan sehingga menghukum Almarhum ayahanda Bendahara yang tidak berdosa.  Kekanda benar-benar kesal. Kekanda menyesal adinda!  Kerana marah dengan ayahanda yang tidak mempersembahkan adinda kepada kekanda, kanda ikutkan sahaja rasa kecewa dengan menghukum mereka.”
            “Sudahlah kanda, usah dikenangkan lagi.  Yang pergi, takkan kembali.  Mereka yang bersalah, sudah pun dihukum.  Adinda harap kanda jadikanlah iktibar akan kejadian ini.  Sebelum buat keputusan selidikilah dahulu.  Sultan yang adil akan disayangi rakyat, kekanda,” nasihat Tun Fatimah. 
            “Baiklah adinda. Kanda berjanji, akan membahagiakan adinda sehingga akhir hayat kanda.”  Sultan Mahmud Syah tersenyum bahagia.  Biar pun masih ada rasa ralat di hati. Namun, tidak mampu berbuat apa-apa. Terlanjur perbuatan tidak mungkin mampu berpatah semula.  Semoga di masa hadapan, Baginda akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.
           
           

No comments:

Post a Comment