AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 13 April 2016

PAGAR KEIMANAN




                Rerumput  kegelisahan yang tumbuh subur di pagar ketenangan telah mengembalikan rempuhan kecil kekecewaan setelah gagal dalam mencari segumpal ketenangan.  Benteng keyakinan hakiki terhadap kewujudan diri ditepis dengan pantas angin kerapuhan iman yang kering kontang dengan ilmu kebatinan.  Di mana pagar yang mendinding diri dari kejahilan? Di mana pagar yang menahan diri daripada kemunafikan?  Bukankah hidup ini berpaksikan keimanan?  Bukankah hidup ini ada  manual penunjuk jalan?  Jalan yang mana akan diikuti?
                Tunduk sujud kepada Yang Esa, mencegah pagar keimanan dari terus runtuh menyembah bumi. Doa adalah pagar tegap bak senjata melindung diri.  Kekuatan diri  terletak pada kukuhnya pagar keimanan yang menyeliputi hati.   Jadilah ikan di laut dalam, biarpun dipagari masinnya air laut hanya di darat baharu berubah rasanya. 

                Keimanan tidak diwarisi dari seorang ayah kepada anaknya.  Keimanan harus dicari dan digali dengan mengikut langkah kaki menuju ke rumah ilmu yang ada di mana-mana. Usah bercerita indahnya Islam sedangkan kau tidak tahu selagi tidak menyelaminya.  Usah bercerita tentang khusyuknya ibadah sedangkan solat pun kau tidak pernah.  Usah bercerita indahnya iman di hati sedangkan kau sering menjauhkan diri.  Jalan yang mana akan kau ikuti?

                Keteguhan diri dalam mencari jalan pulang menuju redha Ilahi tidak sesukar sewaktu kita belajar berjalan dan berlari.  Jatuh bangun anak Adam dalam menuju hidup hakiki itulah ujian daripada ILAHi menguji pagar-pagar keimanan yang dikatakan kononnya kukuh di hati.  Redha, bahagia menanti.  Bantah dan membebel kata tidak adil, celaka menarik-narik runtuhnya iman tadi.  Pagar yang mana akan kau guna nanti?  Al-Quran dan Sunnah atau akalmu yang sering kecelaruan dalam mencari pagar yang sesuai untuk memagari hatimu menjadi insan yang beramal soleh dan beriman ketika menuju syurga Firdausi.
                Pilihan di tanganmu, tukul dan cangkul  keilmuan sudah sedia menanti. Galilah dan galilah sedalam mungkin agar pagar  keimanan yang kau dirikan tidak akan tumbang dan tidak boleh digunakan lagi. Jangan salah memilih, kerana tidak semua ilmu sesuai untuk kau guna pakai. Jangan salah memilih kerana pagar keimanan sesekali perlu kau buat baik pulihnya.  Bayaran baik pulihnya tidak tinggi.   Bersihkan diri dengan solat, bersihkan diri dengan zikrullah, bersihkan diri dengan amal ibadat yang tidak henti-henti. Berbuat baik sesama insan, berbuat baik di mana sahaja. Maka pagar keimananmu akan terus terpelihara kukuh dan teguh. Jadilah insan yang merendah diri biarpun ilmu di dadamu seluas  tujuh lautan yang tidak bertepi. Kerana ketinggian ilmu sahaja belum mampu menjadi pagar yang melindungi hatimu menjadi insan yang merendah diri. 

                Lihatlah di sana, indahnya pagar rumah itu.  Diperbuat daripada batu batan yang berwarna-warni, diukir dengan tulisan dan kalimah-kalimah suci, melindungi daripada syaitan dan iblis yang dilaknati oleh Ilahi.  Takut rumah dimasuki pencuri maka kau memagarinya dengan pagar berkuasa tinggi. Sesiapa yang menyentuh akan keras jadi mayat.   Adakah kau takut hatimu dimasuki syaitan dan iblis yang menjadi musuh pertama yang sewajibnya kau takuti?  Bagaimana hendak kau pagari hatimu itu?  Dengan apa?   Pagarilah hati dengan ilmu, iman dan takwa kerana di situlah letaknya jadi diri seorang  Islam sejati.  Islam itu indah jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pagar yang teguh dan kukuh agar pagar keimanan  yang kau bina tidak akan runtuh sehingga kau dikembali bertemu Penciptamu.

No comments:

Post a Comment