AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 21 May 2016

ADUH, PENING! - BAB 10



NADIA duduk di sisi Ikmal yang asyik dan leka memerhatikan anak-anak bermain air. Ini kali kedua mereka bercuti bersama-sama. Kali ini, di Perak pula. Sengaja dia mencari destinasi yang jauh dari Kuala Lumpur, biar isteri baru bekas suaminya tidak boleh turut serta. Harap-harap kali ini perempuan itu tidak skodeng dia dan Ikmal lagi sekali.
            “Seronok kalau selalu macam ni, kan,” kata Nadia. Senyuman terlakar di bibirnya.
            “Hmm…” Hanya itu yang terlahir di bibir Ikmal.
            “Tengok, anak-anak pun gembira. Awak tak rasa apa-apa ke?” Nadia menguis tangan Ikmal yang tidak memandangnya. Pendakap gigi yang dipakai selama enam bulan dari sekarang terasa sakit pula. Nak cantik punya pasal, tak kisahlah, sakit pun sakitlah.
            “Nak rasa apa? Baguslah!” Ikmal mengangkat kening.
            “Ikmal! Kita rujuk balik!”
            “Hah?” Ikmal tersedak. Bukan tersedak air, tersedak air liur. Wajah Nadia dipandang lama.
            “Awak jangan bergurau soal nikah kahwin ni, Nadia.”
            “Gurau apa pulak? Ini permintaan anak-anaklah. Mereka suruh saya tanya awak, jika kita boleh rujuk semula?” Nadia mengerling.
            “Permintaan anak-anak atau awak?” usik Ikmal sambil pecah gelaknya. Mereka sudah berpisah hampir setahun. Selepas enam bulan, emak dan ayahnya suruh dia berkahwin lagi dengan anak rakan keluarganya. Dia tidak menolak setelah berkenalan dengan isterinya itu. Kalau sudah ayah dan emak yang memilih, sudah pastilah perempuan itu seorang yang baik walaupun umurnya agak terlajak banyak.  
Enam bulan sudah berlalu, enam bulan jugalah dia telah menjadi suami kepada Aleeya Aneesa yang sempoi dan sangat memahami itu.  Kebahagiaan terasa di hati. Sayang sudah menjelma di jiwa. Tidak mungkin dia meninggalkan isterinya itu hanya kerana ingin berbaik semula dengan Nadia, bekas isterinya.
            “Tak kisahlah! Apa yang penting, kita lakukan demi kebahagiaan mereka, macam mana?” Nadia masih mengharapkan jawapan daripada Ikmal.
            “Awak carilah orang lain. Saya masih boleh berada di sisi anak-anak, bila-bila masa aje. Tak payah nak kahwin semula dengan awak.” Ikmal menolak dengan baik.
            “Tiada lelaki yang sebaik awak, Ikmal.” Nadia menunduk. Itulah hakikatnya. Kenapalah dia perengus sangat. Kalaulah dia bertenang dan bersabar, tentulah rumah tangganya tidak hancur seperti hari ini. Sudah tentu dia masih lagi isteri Ikmal. Anak-anak pula tidak terpisah dengan ayah mereka. Cemburu telah menghancurkan kebahagiaan sendiri.
            “Tahu pun!” kata Ikmal bangga. Dia menyengih.
            “Perasanlah tu. Pantang kena puji!”
            “Itulah awak, saya dah rayu kat awak supaya kita tak bercerai. Awak ingat, saya ni tak laku lagi agaknya? Ramai lagi anak dara kat luar tu mengendeng tau. Akhirnya, anak dara juga yang jadi isteri saya. Terasa bahagia di hati,” omel Ikmal.
            “Huh! Anak dara tua, bolehlah,” sindir Nadia.
            “Mana ada tua? Muda daripada awak tau!” Ikmal mendengus kasar.
            “Apa-apa ajelah! Awak fikirkan cadangan saya tu. Jangan tidak-tidak. Demi masa depan anak-anak,” kata Nadia, masih tidak berganjak dengan cadangannya itu.
            “Mama, ayah!” Along berlari mendekati kedua orang tuanya yang sedang rancak berbual.
            “Dah puas mandi? Panggil adik-adik naik, kita pergi makan, Seha pun dah bangun.” Nadia mencium anak bongsunya yang baharu berusia dua tahun.
            “Horey! Seronoknya kalau selalu macam ni. Ayah tinggallah balik dengan kami. Tak syoklah duduk asing-asing,” kata along. Matanya memandang wajah Ikmal dan Nadia silih berganti.
            “Okey, jom kita pergi makan,” ajak Ikmal. Tidak mahu anak sulungnya itu memanjangkan lagi cerita. Tadi Nadia, ini anaknya pula. Boleh sakit kepalanya.
            “Awak! Kenapa susah sangat? Kita kan pernah jadi suami isteri. Saya janji akan ubah perangai dan sikap saya. Kita buka buku baru.” Nadia masih mengasak Ikmal agar menerima cadangannya.
            “Nadia, boleh tak kita jangan bincangkan hal ni depan anak-anak. Lagipun, saya tak fikir cadangan awak tu baik untuk kita. Awak jangan lupa, saya ada isteri tau. Awak nak ke bermadu dengan isteri saya tu?” Ikmal kurang senang dengan desakan Nadia. Macam terdesak sangat.
            “Saya nak awak pertimbangkan cadangan saya ni. Bukan berat pun!” Nadia mula hendak naik angin. Dia tahu suamiya sudah berkahwin lagi. Bermadu? Poligami? Uh... tak mungkinlah. Dia akan buat sehingga perempuan itu meninggalkan Ikmal. Demi anak-anak, dia sanggup buat apa sahaja.
            Baru sekarang dia terasa betapa kesalnya dia meminta cerai daripada Ikmal. Betapa sukarnya hidup sendiri. Biarpun dia punya pendapatan sendiri, tetapi tetap tidak sama ketika dia ada suami. Ini bukan soal duit atau harta, tetapi masa depan anak-anaknya. Baru terfikir, tidak mahu mereka hidup tanpa seorang ayah, biarpun Ikmal sering menghabiskan masa bersama mereka, tetapi tetap tidak sama. Dia ingin kembali hidup bersama Ikmal.
Lelaki itu seorang yang bertanggungjawab, baik dan penyayang. Memang tidak dinafikan Aleeya bertuah bersuamikan Ikmal. Dia sahaja yang sudah terlepas dan menolak tuah. Nadia mengetap bibir. Terasa sebak menjalar di hati. Kalau boleh ingin sahaja dia merayu dan merintih dengan Ikmal agar menerima dia kembali.
            Tidak! Dia tidak boleh kelihatan seperti sangat terdesak. Anak-anak masih ada. Baik dia gunakan mereka untuk memujuk Ikmal. Selalunya permintaan anak-anak Ikmal tidak pernah tolak. Itulah senjata dan harapannya sekarang ini.
            “Awak nak makan apa? Dari tadi mengelamun,” sapa Ikmal. Dia memandang wajah Nadia yang suram itu. Apa pula yang difikirkan oleh Nadia agaknya. Ikmal bingkas bangun dan memilih makanan yang ingin dimakannya. Macam manalah isterinya di rumah. Mungkin masih di kampung. Dia yang mengizinkan Aleeya pulang ke kampung. Lagipun sudah lama dia tidak membawa isterinya pulang ke kampung halaman. Perasaan rindu menyapa di hati. Wajah ceria dan redup itu menari-nari di ruangan mata. Ikmal tersenyum memikirkan gelagat Aleeya yang manja dan kebudak-budakan itu. Rasa kasih dan sayang terus kekal di hati.
            “Kita dah ada di Ipoh ni, tak nak balik jengah bekas mertua awak ke?”  tanya Ikmal.  Dia bercadang sebelum balik, dia akan singgah menziarahi emak dan ayahnya. Emak mertuanya?  Tidak mungkinlah, takkan nak bawa Nadia bersama.  Lagipun Aleeya berada di kampungnya itu.  Tidak pasal-pasal perang besar terjadi. 
            “Singgahlah kejap kut,” jawab Nadia. 
            Ikmal hanya mengangguk. Hubungan bekas isteri dan keluarganya tidaklah rapat sangat waktu mereka masih bersama.  Nadia  akan menolak jika kerap diajak pulang ke kampungnya.  Ada sahaja alasannya.  Dia mengeluh perlahan. 

No comments:

Post a Comment