AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 22 May 2016

ADUH, PENING - BAB 11



Aleeya meneliti jam di tangan. Sudah sepuluh minit, dia menunggu di restoran makanan ringan kegemaran masyarakat Malaysia. KFC. Bayang Nadia masih tidak kelihatan. Apa lagi yang perempuan itu inginkan? Tidak puas-puas lagikah mengganggu hidupnya dan Ikmal? Siang malam menelefon, mahu sahaja dijeritkan. Kalaulah tidak kerana menjaga tatasusila seorang perempuan Melayu dan beragama Islam, sudah tentu diamuknya perempuan itu. Sudah bercerai, dahlah! Buat apa dikenang-kenang lagi? Aleeya mendengus kasar. Matanya tercari-cari kelibat Nadia. Langsung tidak menepati masa. Memang menyusahkan orang. Ingat dia tidak bekerja agaknya. Helo, tinggal sejam sahaja lagi. Nanti tak sempat pula dia nak makan tengah hari.
            “Lama dah tunggu?” sapa Nadia dengan muka manis dan terus duduk di hadapan Aleeya.
            “Lamalah juga. Lain kali datanglah cepat. Saya ni bekerja, makan gaji,” luah Aleeya.
           “Dah pesan makanan ke? Saya belanja,” kata Nadia tanpa rasa bersalah. Minta maaf pun tidak.
           “Tak apa, terima kasih sajalah. Saya tak lapar,” jawab Aleeya selamba. “Apa hal suruh saya datang sini? Macam penting aje.”
            “Memanglah penting. Kalau tak, tak sudi saya nak jumpa awak,” kata Nadia kasar.
           “Ingat saya sudi sangat ke?” Aleeya tidak mahu kalah. Hatinya memang sudah sakit dengan perbuatan perempuan yang tidak tahu malu itu.
           “Aku nak kau tinggalkan Ikmal. Anak-anak nak kami berbalik semula. Kau hanya perosak dan pengacau kebahagiaan kami. Kau dengar tak?” kata Nadia berterus terang. Tidak mahu bermain kata-kata, buang masa sahaja.
            “Hah!? Apa kau merepek ni?” Aleeya terkejut. Rasanya dia tidak salah dengar. Memang sahlah bekas isteri suaminya itu hendak berbalik semula dengan suaminya. Padanlah bukan main lagi setiap hari menelefon, minta itu ini, tanya itu ini… rupa-rupanya ada agenda sendiri.
            “Aku tak merepek tau. Hei, perempuan! Kalau kau tak nak aku halau macam anjing kurap, baik kau berambus cara baik. Tak kisahlah kau nak buat macam mana pun. Yang penting, kau tak ada antara aku, Ikmal dan anak-anak kami. Kau siapa nak hidup antara kami? Kau sendiri tahu, Ikmal sanggup buat apa sahaja untuk anak-anaknya.” Nadia mencebik. Dia memandang sinis wajah Aleeya.
            “Kau nak halau aku? Kau ingat aku tak boleh halau kau?” Aleeya tidak mahu kalah. Perempuan ini memang nak cari pasal dengannya. Dia sudah cukup bersabar. Hampir setiap minggu keluar bersama suaminya. Semuanya kerana anak! Dia sendiri sudah bosan dengan alasan itu. Dia masih mendiamkan diri kerana hormat dengan suaminya. Dia tidak mahu anak-anak itu berasa tersisih.
            “Kau tengoklah nanti, siapa yang akan Ikmal pilih. Aku takkan bermadu dengan kau. Ikmal hanya akan ada seorang isteri, iaitu aku! Ada faham?”
            “Ewah, ewah, ewah! Bukan main lagi kau ya? Kau ingat, aku suka nak bermadu dengan kau! Langkah mayat aku dulu. Kau sendiri yang minta cerai dengan Ikmal, sekarang kau nak jilat balik? Memang muka tak malulah kau ni!” Aleeya masih boleh mengawal nada suaranya. Tidak mahu menjadi isu di situ. Tidak pasal-pasal ada yang ambil gambar curi dan masukkan dalam Youtube. Ketika itu, satu dunia dapat lihat dia bertegang urat dengan Nadia kerana berebut lelaki. Uh… buat malu kaum sahaja!
            “Kau tak ada apa-apa dengan Ikmal. Rasanya, Ikmal tak kisah berpisah dengan kau. Aku pulak ada lima senjata utuh yang mampu membawa Ikmal kembali ke sisi aku! Baik kau menyerah ajelah. Kau pasti akan kalah!”
            “Kau fikir senjata kau aje! Aku pun ada senjata tau!” Aleeya mengetap bibir. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia bertumbuk ketika itu juga.
            “Tinggalkan Ikmal! Faham tak!” bentak Nadia.
            “Kalau aku tak tinggalkan dia?” Aleeya melawan kembali.
            “Kau akan menyesal, perempuan!” Nadia menunjukkan penumbuknya.
            “Nampak penumbuk kau aje. Aku tak ada penumbuk?” Aleeya menyengih. Dalam hati berputar ligat perasaan marah yang menjulang tinggi, tunggu meletup sahaja.
            “Aku minta baik-baik ni, aku tak nak main kasar. Ikmal hak anak-anak aku. Ayah anak-anak aku. Mereka perlukan Ikmal. Kau jangan jadi batu penghalang antara mereka!”
            “Hei… kau sedar tak apa yang kau mintak ni? Kalau kau tahu, kau perlukan Ikmal dulu, kenapa kau mintak cerai? Aku kahwin dengan dia pun, tak ambil hak kau tau. Kalau kau tak sanggup jaga anak-anak kau tu, biar aku aje yang jaga. Kau carilah lelaki lain.”
            “Jangan nak ajar aku!” marah Nadia. Boleh tahan juga isteri bekas suaminya ini. Tidak mahu kalah. Melawan juga. Itu sedikit pun tidak menggentarkan hatinya. Dia akan terus melawan sehingga berjaya mendapatkan apa yang dia inginkan. Ikmal tetap akan jadi miliknya semula. Perempuan itu akan dinyah jauh-jauh.
            “Nadia, aku takkan mengalah dengan mudah. Ikmal suami aku. Kau tak berhak menghalang hubungan kami. Kau juga tak berhak nak paksa aku tinggalkan dia. Kau dah tak ada dalam hatinya. Pergilah cari kehidupan sendiri. Tak usah susahkan aku dan Ikmal. Anak-anak kau tetap akan ada ayah. Aku tak halang pun Ikmal berhubung dan keluar dengan mereka. Aku tak sekejam kau!” Aleeya malas hendak berlama-lama di situ. Hatinya sudah cukup sakit dengan kata-kata Nadia. Jika Nadia beria-ia mempertahankan hak anak-anaknya. Dia juga berhak mempertahankan haknya sebagai seorang isteri. Nadia bukan sesiapa lagi dengan suaminya. Hubungan mereka sudah lama putus.
            “Aleeya… kau jangan cabar aku!” Nadia mengetap bibir.
            Aleeya tersenyum sinis dan berlalu meninggalkan restoran itu. Nadia memandang tajam ke arahnya. Pandanglah sehingga lebur sekali pun, dia tidak akan berganjak. Apa punya perempuan. Memang tak tahu malu. Sudah bercerai, kan? Buat apa lagi memujuk rayu. Bukan tidak ada lelaki di luar sana yang boleh dijadikan pasangan hidup yang baru, kenapa nak dikutip kembali yang telah dibuang? Ini bukan barang, tetapi manusia yang ada perasaan dan hati. Mahukah suaminya berpatah semula dengan Nadia? Itu persoalannya. Kalau suaminya setuju, dia tidak mampu menghalangnya. 
Tidak! Dia tidak boleh mengalah sebelum berperang. Jika Nadia ada anak-anak untuk dijadikan senjata, dia pula ada cinta yang utuh untuk suaminya. Tengoklah nanti siapa yang akan menang. Jika Nadia memaksa untuk berperang, dia tidak akan menyerah kalah.

No comments:

Post a Comment