Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 26 Mei 2016

ADUH, PENING! - BAB 14




HARI Isnin yang penuh dengan ketenangan. Harap-harap hari ini tidak ada masalah yang menyinggah. Dua hari lagi tanpa suami di sisi. Kali ini anak-anak tirinya hendak ke puncak Cameron Highlands. Kenalah suaminya angkut juga mereka ke sana. Dia seperti biasa tidak dibenarkan ikut serta. Rasa hendak menangis. Tapi, apa gunanya? Suaminya akan tetap pergi demi rasa cinta dan sayangnya yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap anak-anaknya. Nadia? Seperti biasalah, menyibuk di situ.
            Suaminya sampai di rumah pun hampir tengah malam tadi. Ada strawberi bersalut coklat, hadiah untuknya. Mampukah hadiah itu melembutkan hatinya yang semakin parah dimamah masalah Nadia dan suaminya? Dia akan cuba menghadapinya sekuat yang mungkin. Tercalar dan terluka.
            “Aleeya!” jerit seseorang. Suara itu bergema di seluruh tempat letak kereta yang sunyi dan sepi itu. Keadaan di Putrajaya, mana ada riuh-rendah. Walaupun banyak kenderaan, tapi sunyi dan sepi bagaikan tiada penghuni.
            Aleeya menoleh.
            Nadia?
            “Kau nak apa?” tanya Aleeya selamba. Apa pula masalah perempuan ini? Bukankah dua hari sudah pergi bercuti dengan suaminya, tak puas-puas lagi ke?
            “Aku bagi amaran terakhir kat kau! Lepaskan Ikmal, tinggalkan dia!” paksa Nadia.
            “Kau siapa nak suruh aku buat semua tu? Kau tak ada hak dalam rumah tangga kami. Kenapa pula aku nak tinggalkan suami aku? Apa pula salah dia?” Aleeya melawan. Dengan suami jangan melawan, tapi kalau suami itu kaki brutal, naik kaki tangan, boleh lawan. Kalau perempuan ini main kasar, dia juga boleh main kasar.
            “Kau tahu apa jadi kat kami di Cameron Highlands? Kau tak nak tahu?” kata Nadia sedikit berbisik.
            “Tak perlulah bercerita. Semua cerita kau tu bohong belaka!” Aleeya menolak untuk mendengarnya. Perempuan itu ada agenda dan sudah tentu sanggup lakukan apa sahaja untuk memenuhi agendanya itu.
            “Ini…” Nadia menunjukkan telefon bimbitnya. Terpampang gambar suaminya sedang memeluk Nadia dengan begitu mesra sambil dikelilingi oleh anak-anak mereka.
            Bergetar jantung Aleeya melihatnya. Suaminya takkan lakukan hal seperti itu. Suaminya tidak akan menyentuh, hatta sehelai pun rambut Nadia. Suaminya tahu halal dan haram. Aleeya memandang wajah Nadia dengan rasa geram yang membuak di dada.
            “Ini baru sikit. Lama-kelamaan, kau tahulah sendiri, kan? Aku pernah jadi isteri dia, aku tahu apa yang dia mahukan daripada seorang isteri,” kata Nadia bangga.
            “Kau bangga dengan dosa dan noda yang kau lakukan? Memang peliklah kau ni. Waktu kau jadi isteri Ikmal, kenapa kau tak buat macam ni? Dah jadi janda dia, baru kau terhegeh-hegeh nak tunjuk romantik? Kau ingat Ikmal tak cerita kat aku ke tentang kau? Kau ingat, aku tak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga kau?” kata Aleeya geram. Terhambur semua perasaan yang telah bernanah di hati. Terkeluar semua perkataan yang tidak sepatutnya diluahkan. Itu sebab kemarahan adalah kawan syaitan yang terbaik. Kemarahan mampu memusnahkan sikap yang baik dalam diri.
            “Itu semua tak penting. Aku akan rampas kembali Ikmal daripada kau!” Nadia menarik tudung Aleeya sehingga senget jadinya.
            “Kau fikir aku akan biarkan?” lengking Aleeya. Rasa marah meletup-letup dalam hati. Kalau suaminya ada di hadapannya mahu sahaja dia menerkam. Air mata mula mengalir keluar. Tidak sanggup melihat gambar yang dipaparkan kepadanya tadi. Masih terbayang kemesraan kedua manusia itu. Kenapa semua ini berlaku dalam hidupnya? Kenapa dugaan sekuat ini yang harus dia tempuhi?
            “Kak!” panggil seseorang.
            Aleeya menoleh sekali lagi. Dia masih berdiri di tempat letak kereta dengan juraian air mata. Tangisannya tidak mampu dihentikan. Dia menangis kerana marah, sakit hati dan geram. Adakah suaminya sudah mula bermain kayu tiga di belakangnya? Dia memberi izin bukan untuk suaminya membuat onar. Kalau sudah suka kembali dengan bekas isteri, kahwin sajalah. Kenapa buat dosa seperti ini? Biarpun mereka mungkin tidak sampai terlanjur, tetapi mendekatkan diri seperti ini boleh mengundang apa sahaja bakal berlaku.
Dia akan melarang, bukan melarang suaminya berkahwin semula dengan jandanya itu, tetapi melarang suaminya keluar lagi dengan Nadia dan anak-anaknya. Kalau nak juga, dia harus ikut bersama. Dia tidak mahu berkongsi bergelumang dosa. Bukanlah dia baik sangat, tapi biarlah sedikit kebaikan yang dilakukan mampu membawanya ke syurga.
            “Ros, akak ambil MC… nanti beritahu Kak Rozita ya?” Aleeya melangkah laju menuju ke keretanya kembali. Dia perlu cari suaminya. Dia perlu selesaikan masalah ini. Semakin hari dibiarkan, semakin menjadi-jadi pula. Nadia memang berani dan nekad rupa-rupanya.
            “Kak!” laung Ros. Dia menggeleng. Memerhatikan sahaja langkah laju teman sepejabatnya itu.
            Dalam kereta, Aleeya hanya menangis. Tidak terluah dengan kata-kata perasaan marah yang menggila di hatinya. Air matanya semakin laju mengalir. Tergamak suaminya menyentuh bekas isterinya. Tergamak suaminya memeluk tubuh badan bekas isterinya?  Ingat dia tidak ada hati dan perasaan ke? Ingat dia tidak ada rasa cemburu dan marah? Dia bukan robotlah. Dia manusia dan perempuan. Tak tahu ke apa? Terbayangkan wajah manis suaminya awal pagi tadi. Seronok sangatlah dapat peluk percuma. Uh! Yang perempuan pun tak tahu malu, sanggup dan merelakan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan