Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Mei 2016

ADUH, PENING! - BAB 15




BAGAIKAN petir sabung-menyabung itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Aleeya. Belum pernah Ikmal melihat isterinya berkelakuan begitu. Marahnya sudah sampai ke puncak agaknya. Bebelan dan leteran berapi-api. Nasib baik biliknya ada pintu, jika tidak satu pejabat boleh dengar suara isterinya itu. Sambil mencekak pinggang, air mata berjuraian mengalir. Aleeya terus bercerita dan meluahkan isi hatinya. Terdiam dan terkedu Ikmal seketika. Selama dia mengahwini isterinya itu belum sekalipun Aleeya bersikap seperti ribut taufan yang memusnahkan apa sahaja yang ada di hadapan mata.
            “Leya… boleh berhenti tak? Dengar apa yang abang nak cakap ni,” pujuk Ikmal. Tidak mahu sama-sama meninggi suara atau keadaan akan jadi lebih teruk. Biarlah dia berlembut dan memujuk. Orang tengah marah, jangan ditambah kemarahannya.
            “Nak cakap apa lagi, bang? Bukan main lagi abang ya, siap peluk-peluk bagai!” tempelak Aleeya. Dia mundar-mandir di dalam pejabat yang serba mewah itu. Memang cantik dan menarik, namun langsung tidak menarik hatinya. Dia lebih berminat menyelesaikan masalah yang ada.
            “Gambar tu budak-budak yang paksa kami. Kami sendiri tak nak, dah puas menolak. Abang nak buat macam mana?” cerita Ikmal.
            “Hah? Budak-budak yang suruh, jadi abang ikutkan? Abang tahu dosa tak? Tahu halal dan haram tak? Atau abang memang nak berbaik dengan janda abang tu?” marah Aleeya tidak mampu bertahan lagi. Alasan! Anak konon!
            “Kalau anak-anak abang tu suruh terjun bangunan, abang nak terjun ke? Atau terjun laut? Cakap bang?”
            “Leya, abang bukan sengaja. Semuanya berlaku secara spontan. Dah terlambat nak patah balik. Abang tengok budak-budak dah ambil gambar kami,” jelas Ikmal.
            “Leya tak percaya! Leya benarkan abang keluar setiap minggu dengan anak-anak abang, bawa sekali bekas isteri abang. Leya sanggup duduk rumah, tunggu abang balik. Leya percaya, abang takkan buat perkara tak senonoh dengan bekas isteri abang. Leya yakin dengan kejujuran abang. Tapi rupanya, abang sama saja dengan orang lain! Pengkhianat! Kalau dah suka sangat dengan bekas isteri abang tu, beritahu saja. Leya rela undur diri!”
            “Leya! Apa Leya cakapkan ni? Abang tak bermaksud ke situ.” Ikmal terkejut. Aleeya benar-benar marah kali ini.
            “Abang, Leya dah penat terpaksa bersaing dengan anak-anak abang. Bekas isteri abang yang masih mengejar abang. Leya letih, bang. Leya juga ada perasaan, Leya juga ada hati. Abang ingat, Leya tak cemburu ke tengok abang keluar dengan keluarga lama abang tu? Ingat hati Leya tak sakit? Tapi, Leya biarkan sebab Leya tak nak anak-anak abang berasa terabai. Tetapi bukan dengan bekas isteri abang!” rungut Aleeya panjang lebar.
            “Leya…” Ikmal terdiam sekali lagi. Rupa-rupanya Aleeya menyimpan marah di hati.
            “Leya mohon dengan abang. Jangan buat perkara macam tu lagi. Kisah lama pasti akan berulang, bang. Abang kan pernah hidup bersama dia. Leya takut abang tak sabar menahan godaannya.” Aleeya mengetap bibir. Rasa sebak terus mengganas di hati.
            “Leya… maafkan abang!” Ikmal cuba memegang tangan Aleeya yang menangis sayu di hadapannya.
            “Maafkan Leya!” Aleeya memandang wajah Ikmal. Dia tidak suka bersikap seperti ini. Dia tidak suka bersedih seperti ini. Ini bukan dirinya.
            “Abang akan cuba tak lagi meluangkan masa bersama anak-anak abang setiap minggu. Abang akan lebihkan masa bersama dengan Leya,” pujuk Ikmal. Dia benar-benar rasa bersalah.
            “Leya tak larang abang meluangkan masa bersama anak-anak abang, tetapi bukan bersama dengan Nadia.” Aleeya memandang wajah suaminya. Bukan meletakkan syarat, tetapi untuk kebaikan bersama.
            “Baik, baik!” Ikmal mengangat tangan bagaikan orang berikrar.
            Aleeya menyeka air mata dengan tisu yang ada. Dia melemparkan senyuman. Dia meraih tangan Ikmal dan menciumnya.
            “Memang Leya marah, Leya sakit hati, Leya cemburu, tapi Leya buat semua ini demi kebaikan kita bersama,” terang Leya. Wajahnya ceria semula. Dia tidak suka marah-marah, nanti cepat tua. Dia tidak suka sakit hati, nanti hidup sendiri yang tidak ceria.
            “Leya… maafkan abang. Abang lupa yang isteri abang ada perasaan dan hati. Abang lupa Leya juga perempuan, ada perasaan cemburu. Maafkan abang. Semua yang berlaku secara spontan. Abang akan cuba elakkan perkara ini berlaku lagi. Abang janji!”
            “Jangan berjanji aje, tapi di belakang Leya, abang buat lagi,” kata Aleeya sambil menjeling manja. Sedu-sedannya sudah berkurangan. Rasa sebak semakin menurun. Memaafkan itu adalah ubat sakit hati. Kalau tak percaya kenalah selalu memaafkan. Biar betapa parah hatinya tadi, tetapi setelah memaafkan suaminya terasa ringan rasa bahu.
            “Leya kena percaya pada bang. Jangan dengar cakap orang lain ya. Dalam hati abang hanya ada Leya. Nadia kisah silam abang. Hubungan abang dengan dia hanya sebagai seorang kawan, tak lebih daripada itu. Kami berhubung kerana anak-anak. Abang dah tak ada perasaan terhadap dia. Percayalah!” terang Ikmal. Itulah yang sebenarnya. Hanya bekas isterinya yang masih terhegeh-hegeh mengejarnya.
            “Leya yakin dan percayakan abang.” Aleeya tersenyum lagi. Dia menarik nafas lega. Terasa ringan sedikit bebannya. Rupanya saling berkomunikasi antara pasangan mampu menyelesaikan masalah yang mendatang. Salah dia juga, tidak mahu berterus terang dan bertanya dengan suaminya.  Dia hanya membiarkan masalah itu berlarutan sehingga menjadi nanar di hatinya.
            “Lepas ni, Leya jangan pendamkan apa-apa lagi dengan abang. Sebesar mana pun masalah, kita selesaikan bersama,” pinta Ikmal. Dia sendiri rasa bersalah. Kenapalah dia bodoh sangat mengikut kehendak anak-anaknya untuk bergambar romantik dengan Nadia, sedangkan mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi. Bodohnya dia! Nampaknya selepas ini, dia harus berkeras dengan Nadia. Tidak lagi mengambil mudah dalam semua perkara. Dia perlu menjaga hati Aleeya sebagai isterinya sekarang.
            Aleeya memandang wajah suaminya dengan penuh kasih dan sayang. Ikmal, suaminya dan dia akan mempertahankan kebahagiaan rumah tangganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan