AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 15 May 2016

ADUH, PENING! - BAB 6



IKMAL membetulkan kedudukan tubuh along, anak sulungnya dengan Nadia yang sudah pun terlelap di katilnya sendiri. Dia perlu balik ke rumah. Entah apa yang difikirkan oleh Aleeya kerana semalaman tidak pulang ke rumah. Dia tidak mahu Aleeya menyangka yang bukan-bukan. Kalau tidak kerana menunaikan permintaan anak sulungnya yang meminta dia tidur di situ, tentu dia tidak akan melakukannya. Buatnya ditangkap basah dengan bekas isterinya, haru!
            “Awak nak balik ke?” tanya Nadia yang sudah pun menunggu di hadapan pintu bilik anak sulungnya. Wajahnya muram.
            “Semalam, saya dah temankan along. Rasanya dia tak apa-apalah kot. Siang tadi saya dah bawa dia ke IOI Mall. Cukuplah untuk hari ini,” kata Ikmal sambil melangkah turun ke ruang tamu. Dia harus bergegas pulang sebelum malam semakin pekat kehitaman.
            “Ayah nak balik ke? Tak syoklah!” kata angah merengek manja.
            “Ayah kena baliklah. Kasihan Mak Cik Leya tinggal sendiri,” pujuk Ikmal.
            “Ayah tidurlah lagi di sini. Macam dulu-dulu!” kata alang pula.
            “Tak boleh, sayang. Nanti polis tangkap!” jelas Ikmal. Bukan mudah untuk membuat anak-anaknya faham bahawa dia dan mama mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi.
            “Acik nak tidur dengan ayah,” kata anak kedua bongsu yang sudah mula pandai bercakap.
            “Tak bolehlah malam ni ya. Nanti-nanti pula ayah datang,” pujuk Ikmal sekali lagi.
            “Lecehlah. Ayah tak bolehlah balik rumah Mak Cik Leya… dia bukan ibu kita orang!” kata angah agak lantang.
            “Angah!” tegur Ikmal, kurang senang dengan nada kata anak keduanya itu. Baharu berumur tujuh tahun tetapi sudah pandai membentak.
            “Awak pergilah balik, nanti marah pula bini awak tu,” sindir Nadia.
            “Awak pula kenapa? Kenapa anak-anak cakap macam ni?” tanya Ikmal kurang senang.
            “Tak ada apa-apalah!” jawab Nadia sedikit kasar. Dia menjeling. Rasa cemburu terlahir di hati. Sejak bekas suaminya berkahwin lain, hatinya tidak pernah tenang. Memang dia cemburu. Helo… lelaki itu pernah jadi suaminya. Lelaki itu masih bersisa di hatinya. Bercerai bukan kerana benci, bercerai kerana ada sebabnya tersendiri. Keegoan mengatasi segalanya. Dia terlalu mengikut kata hati, akhirnya segalanya musnah begitu sahaja. Dia ingatkan jika dia berkeras dan meminta cerai, Ikmal akan datang memujuk dan merayu. Telahannya silap.
Ikmal lelaki yang juga tinggi egonya. Akhirnya, mereka bercerai atas alasan yang cetek. Dia juga yang menyesal. Waktu mula bercerai, dia tidak pernah ambil kisah sangat, dan memberi ruang kepada Ikmal untuk bertenang. Dia hanya menunggu masa untuk mendapatkan semula kasih sayang Ikmal. Anak-anaklah pertaruhannya. Rupanya dia silap. Ada perempuan lain yang berjaya menambat hati bekas suaminya itu. Akhirnya, dia juga yang menggigit jari, merana sendiri.
            “Saya balik dulu. Ada apa-apa dengan along, beritahu saya.” Ikmal terus melangkah keluar.
            “Ayah, nanti datang tidur sini lagi ya,” kata angah pula.
            Ikmal hanya mengangguk.  Mana mungkin dia bermalam di rumah itu lagi. Itu bukan lagi rumahnya, biarpun dia yang membayarnya setiap bulan. Rumah itu sudah pun ditukar milik kepada bekas isterinya demi anak-anak.
            Wajah-wajah muram yang memandangnya dipandang sekali imbas. Terpancar kesedihan di wajah anak-anak. Ikmal terkedu sendiri. Bukan mudah bercerai apatah lagi jika ada anak bersama pasangan yang lalu. Apakan daya, keegoannya dan Nadia telah menghancurkan lima hati. Tidak mungkin dia berbalik pada Nadia dan anak-anak kerana dia juga sudah punya keluarga lain. Ikmal mengeluh sendiri.

HAMPIR pukul 10.00 malam baharulah Ikmal sampai di rumah. Sunyi dan sepi. Lampu di ruang tamu masih terpasang. Mungkin Aleeya masih belum melelapkan mata atau masih menonton rancangan kegemarannya. Pintu yang berkunci dibuka perlahan-lahan. Dia melangkah masuk dan matanya terus terpandangkan Aleeya yang sedang menonton televisyen seperti jangkaan awalnya tadi. Dia mendekati.
Aleeya hanya menoleh sekali imbas. Tiada sebarang riak di wajah itu.
            “Abang dah makan?” tanya Aleeya perlahan. Cuba bertenang dan bersabar sedangkan di dalam hatinya lava gunung berapi sudah berasap dan menunggu masa hendak meledak sahaja. Jangan silap cakap, mahu dia meroyan bagaikan orang gila yang terlupa makan ubat siang tadi.
            “Belum. Leya dah makan?” Ikmal memegang bahu Aleeya dan memicitnya perlahan-lahan. Niat di hati hendak memujuk, tapi melihat reaksi Aleeya yang tenang dan tidak marah-marah membuatkan hatinya menarik nafas lega.
            Picitlah, picit. Ingat hatinya tenang agaknya? Jangan cakap perkara yang menyakitkan. Memang meletuplah nanti. Dia masih tahu menghormati suami sendiri. Tengok keadaan jugalah kalau nak mengamuk pun.
            Aleeya bingkas bangun dan menuju ke dapur. Dia memanaskan semula lauk-pauk yang telah dimasak tadi. Dia sendiri belum menjamah apa-apa, masih berharap dan menunggu kepulangan suami tercinta. Kalau sehingga tiga hari masih tidak pulang, baharulah dia buat laporan ke pejabat agama.
            “Mari makan,bang!” panggil Aleeya. Dia menyenduk nasi dan menghidangkannya. Langsung dia tidak bertanya kenapa suaminya tidak pulang semalam. Langsung dia tidak bertanya kenapa suaminya tidak menelefon. Biarlah, biar. Hati sendiri rajuk, biarlah sendiri yang pujuk.
            “Terima kasih,” kata Ikmal lalu duduk menghadap Aleeya yang berwajah manis. Dia menarik nafas lega kerana Aleeya tidak marah padanya. Nasi yang terhidang dijamah dengan penuh selera. Sesekali bergurau mesra bagaikan tiada apa yang berlaku.
            Aleeya menahan duka di hati. Biarlah dia memendam rasa agar hati suaminya tidak tercalar. Sehinggalah mereka berdua melelapkan mata, kisah semalam langsung tidak ditanya. Biarlah berlalu kisah duka. Semoga esok menggapai bahagia.
            Ikmal mengeluh berat. Wajah tenang Aleeya yang lena di sebelahnya ditatap lama. Terasa bersalah di hati. Ketenangan Aleeya telah merobek perasaannya. Dia bersalah dalam soal ini. Kerana ingin menjaga hati anak-anak, dia mencalar perasaan Aleeya, isteri yang begitu memahami. Maafkan abang, bisik hati kecilnya. Tangan lembut Aleeya ditarik ke dada. Dibelai dan dicium berkali-kali. Semoga mereka berbahagia sehingga ke Jannah, doanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment