AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 20 May 2016

ADUH, PENING! - BAB 9



ALEEYA termenung jauh. Tidak tahu harus berbuat apa. Nak marah atau nak ketawa?  Suaminya semakin sibuk dengan kerja, berniaga kecil-kecilan. Katanya nak tambah pendapatan untuk anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Semakin anak membesar, semakin besar belanjanya. Bagaikan ada dua buah rumah. Keluhan berat dilepaskan. Sudah seminggu dia pulang ke kampung tanpa suami di sisi. Sengaja ambil cuti yang masih ada. Sengaja dia meminta izin untuk pulang ke kampung. Lagipun, sekali lagi Ikmal bercuti dengan anak-anaknya dan Nadia pasti ikut. Hati siapa yang tidak cemburu.
            “Kenapa Leya? Menung jauh nampaknya?” Mak Jeha mendekati Aleeya yang duduk di muka pintu. Macam ada masalah besar yang sedang melanda hidup anaknya itu.
            “Tak ada apa, mak. Saja fikirkan masa depan sendiri. Leya dah kahwin hampir setengah tahun, tapi tak ada tanda-tanda nak mengandung. Risau pun ada juga ni,” luah Aleeya. Kalau ada anak, mungkin Ikmal akan memberi lebih perhatian kepadanya. Atau akan turut diketepikan seperti sekarang ini? Memang dia terasa dirinya diketepikan.
Setiap hujung minggu, anak-anak akan telefon suaminya, ajak suaminya keluar dan dia tidak boleh ikut serta. Kalau tidak, mereka tidak mahu bertemu dengan Ikmal. Suaminya seorang ayah yang bertanggungjawab. Anak-anak adalah dunia dan harapannya. Aleeya terpaksa akur dengan kehendak suaminya..
            “Belum ada rezeki lagi. Baru setengah tahun. Ada orang yang sudah berbelas tahun masih belum dikurniakan anak,” nasihat Mak Jeha.
            “Leya tak nak Abang Ikmal fikir Leya tak boleh mengandung, mak. Mak sendiri tahu, abang ada berapa orang anak dengan isterinya yang dulu. Dengan Leya langsung tak ada tanda-tanda. Leya ingat nak buat pemeriksaanlah. Nak pastikan Leya sihat dan subur.” Aleeya mendengus kasar.
            “Hisy… Ikmal takkan fikir macam tu.”
            “Mana kita tahu hati orang, mak.”
            “Sabarlah, Leya... jangan lupa berdoa kepada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan Leya suami isteri.” Sebagai seorang ibu, dia hanya mampu mendoakan yang baik-baik buat anak menantunya dan menasihati mana yang terdaya.
            “Leya memang boleh sabar, tapi abang?” Aleeya memandang kenderaan yang sesekali lalu di hadapan rumah keluarganya itu. Keluhan yang terlahir masih tidak mampu mengurangkan rasa gusar di hati. Hubungan Ikmal dengan anak-anaknya semakin rapat. Adakah hubungan suaminya itu juga semakin rapat dengan Nadia? Setiap malam perempuan itu akan menelefon, kononnya anak-anak nak bercakap dengan Ikmal sebelum tidur. Uh! Asyik terpaksa melawan perasaan cemburu sahaja.
            “Mak… susah juga kan hidup dengan duda yang masih hidup isterinya?”
            “Kenapa pula? Leya ada masalah dengan bekas isteri Ikmal ke?” Mak Jeha kehairanan.
            “Taklah besar mana masalahnya, tapi kalau dibiarkan Leya takutlah. Takut akan jadi besar,” luah Aleeya.
            “Jangan fikir yang bukan-bukan. Ikmal takkan berbalik dengan Nadia. Mak mertua kau sendiri yang cakap. Kalau dia masih sayangkan Nadia, sudah tentu dia takkan berkahwin lagi,” ujar Mak Jeha. Kalau tidak kerana sudah mengenali Ikmal yang merupakan anak kenalannya juga, sudah tentulah dia tidak akan benarkan Aleeya berkahwin dengan duda anak lima itu. Dia tahu, bukan mudah mendapatkan kasih anak-anak tiri yang masih ada ibunya.  Lainlah jika ibu mereka sudah berkahwin lagi.
            “Mak mertua Leya selalu telefon mak ke?” Aleeya memandang wajah emaknya.
            “Selalu juga, tapi taklah bercerita pasal kau orang aje. Kami sembang kosong,” jelas Mak Jeha tentang besannya yang sering bertanya khabar. Sesekali besannya akan datang menziarahi. Begitu juga dia dan suami. Anak-anak semua sudah besar dan ada kehidupan sendiri, tinggal berdua jadi banyaklah aktiviti yang boleh dilakukan.
            “Dah lama tak jengah mak mertua Leya, Abang Ikmal sibuk aje memanjang. Mungkin Leya akan pergi ziarah sendirilah kot. Tak nak menyusahkan abang.” Aleeya tersenyum. Emak mertuanya juga baik dan menerima diri seadannya.  Biarpun Nadia sering juga datang ke rumah mertuanya bawa anak-anak, tapi dia tidak pernah diketepikan. Belum pernah lagilah bertembung dengan Nadia dan anak-anaknya di rumah mertua. Harap-harap janganlah.
            “Sebulan sekali pergilah jengah.  Dalam Ipoh ini juga, nanti dalam perjalanan balik, singgahlah sekejap.” Mak Jeha membelai rambut Aleeya yang bertudung itu. Perasaan seorang ibu tidak pernah berubah, biarpun anaknya itu sudah menjadi isteri orang. Apatah lagi Aleeya anak bongsunya.  Sudahlah lambat berumah tangga. Itu sebab bila sahaja keluarga  Ikmal masuk meminang, dia tidak menolak. Aleeya sendiri sudah berkenalan dengan Ikmal selepas sahaja dia dirisik oleh keluarga lelaki itu. Sempatlah berkenalan juga walaupun tidak lama.
            “Baik, mak…” Aleeya tersenyum manja. Emak, tempat terbaik untuk dia bercerita dan membantu dia bertenang. Kalaulah dia tidak mempunyai emak lagi, siapalah yang sudi mendengar permasalahan yang melanda di jiwa.
            “Jom masuklah. Tolong mak masak. Ayah ada beli jering tua nak buat sambal katanya. Leya suka, kan?” ajak Mak Jeha. Suaminya pantang dengar ada anak-anak balik ke rumah. Pasti akan dicari makanan kegemaran mereka. Tidak kira siapa. Anaknya lima orang, semuanya sudah berumah tangga. Cucu sudah ada sembilan orang. Kalau mereka balik semua, riuh-rendah rumahnya. Itulah saat-saat yang paling membahagiakan.
            “Wah! Sedapnya. Dah terasa kesedapannya di tekak Leya,” puji Aleeya.
Emaknya memang pandai memasak. Dia dan dua orang kakaknya sudah diajar memasak sejak di sekolah rendah lagi. Kata emak, mudahlah tugas seorang perempuan setelah bergelar isteri. Air tangan isteri adalah pengikat rumah tangga. Betul atau tidak, dia belum alaminya. Adakah suaminya akan kekal di sisi hanya kerana masakannya? Aleeya tersenyum sendiri. Biarlah waktu yang menentukannya. Dia berserah diri kepada ILAHI. Semoga segalanya berjalan lancar dan rumah tangganya kekal bahagia selamanya.

No comments:

Post a Comment