Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 22 Mei 2016

GURU




                Aku berjalan jatuh, bangun dan bangkit sekali lagi.  Tidak pernah dapat berjalan dengan betul, asyik ada sahaja yang tidak kena.  Tidak tahu di mana silapnya?  Adakah kakiku pendek sebelah, atau langkahku tidak betul?  Persoalan demi persoalan sering bermain dalam kotak fikiranku, kenapa sukar sangat untuk aku berjalan dengan betul?  Apa lagi yang harus aku lakukan agar jalanku stabil dan tidak jatuh lagi.  Ada ketika aku rasa tidak mahu berjalan lagi, bagaimana aku hendak berlari sedangkan berjalan pun aku tidak mungkin.  Kalau aku tidak belajar berjalan, bagaimana aku hendak ke mana-mana?  Tidak mungkin aku hanya menjadi pemerhati melihat keindahan alam yang luas di luar sana. Apa yang harus aku lakukan?

                Suatu hari, datang sepucuk surat yang tidak aku duga, ada seseorang ingin mengajar aku berjalan. Aku memandang surat itu lama, biar betul?  Adakah aku tersalah baca? Berkali-kali surat itu kutatap. Kuambil dan aku meneliti setiap perkataan yang ada.  Ya, aku tidak silap. Ada orang yang sudi mengajar aku berjalan dengan betul. Aku tersenyum bahagia, ada juga insan yang sudi mengajar aku berjalan biarpun orang itu tidak mengenali siapa aku, tetapi aku mengenali dirinya kerana aku sering terlihat namanya di dalam suratkhabar. Orang yang hebat yang sudah berlari jauh, sememangnya orang inilah yang aku perlukan untuk aku mampu berjalan dengan baik.
                Setiap bulan aku memulakan langkah pertamaku dengan bantuan seorang yang boleh kuanggap sebagai seorang guru.  Dia akan mengajar aku mengatur tapak, satu persatu sehingga aku mampu melangkah dengan jayanya.  Tidak jatuh lagi, tidak goyah lagi.   Setapak demi setapak aku melangkah perlahan-lahan.  Dia seorang guru yang baik,  setiap tapak langkahku diperhatikan satu persatu, begitu teliti, sehingga  dari satu tapak menjadi dua tapak, dari tapak yang kecil, semakin lebar dan besar.  Akhirnya langkahku tidak cangguh lagi, biarpun tidak begit stabil, masih ada cacat celanya, tapi aku tetap berpuas hati.  Inilah langkah pertamaku untuk aku terus boleh berlari-lari anak.
                Langkah seterusnya, aku belajar pula dengan seorang lagi guru yang begitu ikhlas menegur, biarpun tidak secara formal ajarannya, namun aku memperbaiki langkahku yang tidak kukuh itu.  Sekali lagi langkahku yang pincang dan tidak begitu baik itu diperbaiki. Alhamdulillah, aku sudah boleh berlari-lari anak.  Aku masih tidak berpuas hati. Aku teringin berlari laju, pecut semahunya sama seperti orang lain.
                Aku bertemu dengan seorang insan yang layak digelar Ratu Pecut, lariannya cantik sekali, tidak sumbang, sudah diiktiraf, dihargai oleh ramai pakar-pakar dalam bidangnya.  Aku teruja ingin belajar, biar aku juga mampu berlari sehebatnya, langkahku secantik langkahnya.  Impianku semakin menjadi kenyataan, tanpa bimbingan mereka yang bergelar guru, aku tidak akan menjadi seperti hari ini.  Mereka adalah insan-insan  hebat yang sentiasa tersemat di hatiku.  Kerana mereka telah mengajar aku melangkah dengan betul, dari berjalan, berlari-lari anak, kini aku boleh berlari pantas biarpun masih belum mampu menandingi kepantasan mereka berlari di padang yang luas. 

                Aku masih belajar untuk memastikan larian pecutku tidak kecundang atau tidak mengikut kelajuan yang sepatutnya.  Masih banyak yang perlu aku pelajar, agar larianku cantik, kemas dan kuat.  Setiap hari aku berada dan dikelilingi oleh mereka-mereka yang telah menjadi guruku tanpa mereka sedari.  Terima kasih atas segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan