AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 13 May 2016

KERTAS BERTINTA MERAH





                Hari ini aku terima sekeping kertas yang bertinta merah terletak kemas di atas mejaku.  Dari kejauhan aku cuba membaca tulisan kecil yang samar di pandangan mata. Aku melangkah perlahan mendekati meja kerjaku.  Keluhan terluah keluar dari bibirku.  Kerutan di dahi semakin merapat, hampir mencantumkan kedua-dua keningku.  Begitu berkecamuk sekali perasaanku ketika melihat kertas putih bertinta merah yang masih terbentang kemas di atas meja itu.
                Debaran jantungku semakin berdegup kencang. Terasa seperti berlari berpuluh kilometer sejam, terasa senak perutku menahan rasa gementar.  Kering tekakku kerana  ruang rongga kerisauan mencanak mengganggu urat nadi kebimbangan yang merasuk dalam jiwa.   Kupandang kiri, kupandang kanan. Rakan-rakan sekerja sedang tekun meneruskan tugasan yang telah diamanahkan.  Aku mengeluh berat, seberat masalah yang sedang bermain difikiranku.  Terasa lemah seluruh tubuhku.  Ah! Kertas putih bertinta merah itu sekali lagi mengganggu perasaanku.  Hilang rasa fokus kepada tugasan utama yang perlu aku lakukan.
                Aku menarik kerusi yang menjadi  tempat aku melabuhkan punggungku.  Tanganku depakan lalu singgah di atas meja, mataku tetap tajam memandang kertas putih bertinta merah itu.  Bergetar bibirku menahan rasa cuak yang bergelora di hati.  Kenapalah kertas bertinta merah itu ada di atas mejaku? Bukankah tadi masih berada di meja Pengerusi  Syarikat?   Bukankah di atasnya tertulis tugasan yang harus diuruskan.  Hanya sehelai kertas itu sahaja yang ditulis oleh Pengerusi Syarikat tempatku bekerja.  Tiada dua, tiada tiga.  Debaran  naluri keamukan kerisauan yang membara mampu menghentikan seketika nafasku.  Sesak dadaku, menahan rasa gusar yang semakin menggila di hati. 
                Tidak boleh jadi!  Aku berdiri semula, kertas itu langsung tidak kusentuh. Kubiarkan sahaja. Kuperhati dari jauh. Tidak berani membaca atau membeleknya.  Sesiapa yang menyentuh, tugasan itu akan jadi haknya, itulah yang dikatakan oleh Pengerusi Syarikat sewaktu mesyuarat pagi tadi.  Aku tinggalkan seketika mejaku, kertas bertinta merah sudah berada di atas mejaku.  Siapa yang meletakkannya?  Mungkinkah Pengerusi Syarikat?  Ah! Penat berteka-teki.   Hatiku meronta-ronta hendak bertanya pada kawan-kawan yang ada.  Nanti dikatakan menolak tugasan yang diberi. Bimbang merusuh di hati. Tidak mahu digelar pemalas dan tidak bertanggungjawab. Kubawa diri ke arah pantri, berharap ketika kembaliku nanti kertas bertinta merah itu tidak ada lagi di atas mejaku.    Kududuk di pantri setengah jam lamanya.  Masih berharap dan berharap.  Aku kembali ke mejaku.  Ya Allah! Ia masih di situ? Kenapa tiada siapa yang sudi mengambilnya? Kenapa orang yang meletakkannya tidak mengambilnya semula. Kertas bertinta merah itu telah mengganggu gugat keamananku hari ini!

                Kalau tidak kerana kertas bertinta merah itu adalah nota tugasan daripada Pengerusi Syarikat sudah lamaku bakul sampahkan.  Menakut dan mengganggu hidupku.  Merosakkan seketika ketenteraman hatiku yang selama ini tenang dan damai.  Aku tidak mahu membiarkan diriku dihantui kertas bertinta merah itu.  Akhirnya tanganku laju mencapai kertas bertinta merah itu.  Kubelek, kubaca, aku mengetap bibir. Menahan rasa amarah di hati.    Asyik aku sahaja yang perlu melakukannya!  Tugasan yang aku tidak suka, yang aku tidak gemar! Kenapa aku? Kertas bertinta merah itu kucampakkan ke dalam bakul sampah. Geram benar hatiku. Sakit benar jiwaku.  Sekali lagi aku perlu memikul tanggungjawab ini. Semuanya menolak, semuanya tidak sudi, pelbagai alasan diberi.  Hanya aku yang sanggup membuat sambal belacan kegemaran Pengerusi Syarikatku. Uh!            

No comments:

Post a Comment