Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 14 Mei 2016

LAGU





                Aku kebingungan seketika melihat tingkahlakunya seperti cacing kepanasan.  Rimas pun ada.  Seperti aku pula yang ditimpa masalah.  Pening pun ya.  Alahai… hendak ditegur tidak pasal-pasal mengamuk pula dia.  Tidak ditegur, sakit pula mata memandang.
                “Kau ni kenapa? Tak boleh duduk ke?” soalku.  Berdecit mulutku menahan geram.  Rasa hendak tampar sahaja mukanya agar dia bertenang. 
                “Mana boleh aku nak bertenang, kang kalau keluarga dia tanya, apa aku nak jawab?” katanya, nampak benar kerisauan di wajahnya yang pucat lesi itu.
                Aduhai, bukan hendak jumpa Perdana Menteri! Detik hati kecilku.   Urat perutku sudah berguling-guling ketawa melihat perangai kawan yang seorang ini. Nama sahaja lelaki, tetapi penakut mengalahkan perempuan. 
                “Kau nak pergi ke tidak ni?” tanyaku. Aku sudah siap berpakaian. Kerana kasih seorang kawan, aku sanggup temankan kawan baik aku itu bertemu bakal  mertuanya.  Itulah yang menggelabah tidak tentu arah. 
                “Setakat jumpa orang tua si Milah, apalah yang kau nak takutkan. Mereka makan nasilah, bukan makan orang!” tegurku. 
                “Kau boleh cakaplah.  Cuba kau berada di tempat aku ini!” desisnya perlahan. 
                “Oi!  Yang kau takutkan sangat ni kenapa?  Apa masalahnya?  Kau ada kerja, bukan calang-calang pula itu. Engineer, gaji boleh tahan.   Rumah sudah ada, kereta besar menjalar, duit simpanan di ASB, ASN, Tabung Haji, duit PTPTN sudah selesai bayar, takkanlah emak dan ayah si Milah tidak setuju?” leterku panjang lebar.   Yalahkan, sekurang-kurangnya terjamin masa depan, tidak ada hutang piutang yang terpaksa ditangggung.
                “Masalahnya… Uh!”  Dia masih gelisah.
                “Kau nak pergi ke tidak? Nanti tidak sempat pula?” leterku.  Penat bersiap, aku batalkan janjitemu aku dengan teman wanitaku semata-mata ingin menemani sahabat baikku ini. 
                “Naklah!” jerkahnya.
                “Apa hal  jerkah aku pula?”  Aku jerkah dia semula.  Aku mencebik. Nanti aku merajuk tidak mahu ikut, baharu dia tahu!
                “Hasrul sayang! Pergilah pakai seluar kau tu, sejak tadi kau hanya memakai boxer tu, sakit mata aku tengok.  Bersiaplah, masa terus berjalan, jalan raya sesak, kalau terlewat, kan tidak bagus. Pertemuan pertama dengan bakal mertua macam pergi temuduga nak dapatkan kerja, kau faham tak?” bebelku. 
                Dia memandang ke bawah, kemudian ketawa sendiri.  Sah, sahlah sudah tidak betul, aku menggeleng.  Kalau aku ikut ketawa sama, pasti aku sudah sama gila dengan dia.  Hasrul, Hasrul!
                Dia berlari naik ke tingkat atas, turun semula 10 minit kemudian.  Berpakaian kemas, berkemeja dan bersluar slack. Rambut tersisir rapi.  Aku tersenyum, maklumlah bakal bertemu bakal mertua.
                Di dalam restoran yang dijanjikan, aku dan Hasrul duduk menghadap Milah dan kedua orang tuanya.  Mata kami saling memandang antara satu sama lain.  Aku pula terasa mengelabah apabila ditenung oleh kedua orang tua  Milah. Tidaklah garang sangat wajah mereka.  Tenang sahaja.
                “Lagu mana ni? Hang nak mai meminang bila?” tanya ayah Milah dengan wajah serius.
                “Saya tak cipta lagu pak cik, saya kerja sebagai engineer,” jawab Hasrul penuh yakin.
                Aku memandang wajah Milah yang tersenyum memandangku dan Hasrul.
                “Yalah pak cik tau hang kerja apa, pak cik tanya lagu mana  hang  nak datang meminang si Milah?” tanya ayah Milah sekali lagi.
                “His! Pak cik ni… takkan nak meminang Milah kena cipta lagu?” jawab Hasrul.
                Aku tepuk dahi!
                Milah menyengih memandangku.
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan