AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 26 May 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 3 nukilan ROHANI DERAMAN



Kamaruzaman melangkah turun dari bas ekspres. Dia menyedut udara segar tanpa penghawa dingin dengan dada yang lapang.
“Assalamualaikum! Ini Pak Cik Zaman ke?” Seorang anak muda menegurnya. Dia menoleh kemudian mengangguk. Anak muda itu segera bersalam dan mencium tangannya.
“Saya Ahmad Mursyid, anak Ahmad Adham. Abah suruh saya jemput pak cik. Marilah,” ajak anak muda yang bernama Ahmad Mursyid itu dengan senyum.
Beg yang ada di tangan Kamaruzaman segera diambil. Dan dengan penuh hormat dan kasih sayang, tangan Kamaruzaman dipimpin ke arah sebuah kereta. Hati Kamaruzaman tersentuh. Sungguh pandai Kartina mendidik anaknya dengan budi bahasa dan kesopanan. 
“Abah teruja sangat nak jumpa pak cik. Sejak semalam, bila dapat tahu pak cik nak datang, dia asyik menyebut nama pak cik,” kata Mursyid ketika kereta meluncur meninggalkan terminal bas itu.
“Dia sihat?”
“Pak cik tak tahu?” Mursyid menoleh dan meneliti wajah Kamaruzaman.
“Kenapa?” tanya Kamaruzaman dengan hairan. Giliran matanya pula menyapu wajah anak muda yang lebih banyak mirip Ahmad Adham itu.
“Abah masuk hospital. Balik dari menunaikan umrah, dia asyik demam. Sebelah tubuhnya tak boleh bergerak. Kata doktor, abah mengalami kekejangan dan dia lumpuh sementara.”
Kamaruzaman terkejut. “Jadi, dia telefon dari hospital? Dia tak cakap pun dia sakit?”
“Saya ingat pak cik tahu. Abah saya memang macam tu. Selagi mampu dia tak akan menyusahkan perasaan orang lain,” jawab Mursyid. Matanya terus tertumpu ke jalan raya.
“Mak?” Terluncur soalan itu dari bibir Kamaruzaman. Dia sedikit terketar. Entah kenapa, hatinya tiba-tiba dihurung risau.
“Ibu sangat sedih. Setiap hari dia menangis. Mungkin dia bimbang kalau abah pergi  meninggalkannya.”
Kamaruzaman diam. Dia termenung. Terbayang di matanya, air mata Kartina membasahi pipi. Terdengar di telinganya esakan halus yang menyentuh kalbu. Sungguh belas.
Kereta yang dipandu Ahmad Mursyid sampai di hadapan sebuah rumah yang tersergam mewah. Mata Kamaruzaman tidak berkelip. Rupanya Ahmad Adham bukan calang-calang orang. Tentunya Kartina amat berbahagia dengan semua yang dimilikinya. Keluarga yang bahagia dengan harta yang menimbun.
“Kenapa kita tak terus ke hospital?” tanya Kamaruzaman sebelum pintu kereta dibuka.
“Abah pesan, suruh bawa pak cik jumpa ibu di rumah. Dan dia mahu pak cik berehat dulu. Tengah hari nanti kita ke hospital,” jawab Mursyid sambil menjinjit beg pakaian Kamaruzaman.
Sekali lagi hati Kamaruzaman meruntun terharu. Alangkah baiknya hati dan budi orang yang bernama Ahmad Adham itu. Kalau lelaki lain, pasti tidak akan memberi ruang kepadanya untuk muncul di dalam kehidupannya.
“Pak cik duduk dulu. Biar saya panggil ibu. Ibu ada di dapur tu, tengah siapkan sarapan pagi untuk kita,” kata Mursyid sambil melangkah ke arah dapur.
Kamaruzaman duduk dengan selesa di ruang tamu itu. Mata Kamaruzaman melilau ke sekeliling ruang. Gambar-gambar keluarga tersusun rapi di sebuah almari antik. Namun yang paling menarik hati Kamaruzaman ialah sekeping gambar Ahmad Adham sedang menerima pingat dari kebesaran dari seorang sultan. Kartina tersenyum gembira di sebelahnya. Rupanya dia sudah bergelar Datuk. Kartina sudah bergelar Datin.
“Abang dah sampai? Abang sihat?” tegur Kartina dengan senyum manis.
Kamaruzaman menoleh. Matanya terpaku pada wajah Kartina. Jubah hitam dengan tudung putih itu menyerlahkan kemanisan dan ketenangan yang jelas di wajahnya.
“Alhamdulillah, abang sihat. Cuma, abang terkilan kenapa Tina tak beritahu abang bahawa  Adham sakit?”
“Abang, dia tak benarkan. Dia tak nak abang datang semata-mata nak tengok dia. Dia nak abang datang sebagai tetamu rumah ini.”
“Kenapa macam tu?”
“Dia memang macam tu. Kalau boleh dia memang tak nak orang tahu dia sakit.”
Kamaruzaman sekali lagi terdiam dan termenung. Ketika dia termangu-mangu itu seorang wanita Indonesia keluar menghidangkan minuman.
“Jemput minum bang,” kata Kartina.
Dia merenung hidangan di hadapannya. Kuih rendang kasturi? Kuih kegemarannya sejak dari kecil. Dulu dia merasainya dari hasil tangan ibunya. Kemudian dari hasil tangan bekas isterinya. Dia merenung kuih itu seperti sedang merenung wajah Kartina.
Matanya segera beralih kepada Kartina.
“Tina tak pernah lupa kuih kegemaran abang,” kata Kartina dengan senyum yang dirasakan sungguh menawan. Dia beristighfar dan menghalau syaitan yang menghasutnya agar tergoda dengan senyuman itu.
“Lepas minum, abang masuklah ke bilik tu. Abang rehatlah dulu. Nanti kita akan ke hospital,” kata Kartina sambil menunjukkan ke arah sebuah bilik di hujung tangga. Kemudian Kartina bangun.
“Tina nak masak untuk hidangan tengah hari kita. Abang Adham nak makan ayam percik. Tina ke dapur dulu ya.”
Kamaruzaman angguk. Tangannya mencapai sekeping kuih rendang kasturi. Dengan bismillah, kuih itu disuakan ke mulutnya. Rangup. Cukup manisnya. Cukup juga lemaknya. Sudah lama tidak merasai keenakan kuih itu.
Yang dibeli selama ini tidak sama dengan yang sedang ada dalam kunyahannya. Air tangan Kartina tetap tidak berubah!
Kemudian dia meneguk pula air kopi dari cawan yang cantik itu. Tekaknya rasa segar dan basah. Kemudian tanpa menunggu lama, dia menyandang begnya dan berjalan ke arah bilik yang ditunjukkan. Dia perlu berehat. Tulang belikatnya rasa sakit dan kakinya lenguh akibat perjalanan jauh itu.
Dia menolak daun pintu. Bilik itu sangat bersih, kemas dan cantik susunan perabotnya. Di dinding tergantung sebuah gambar pemandangan air terjun yang dikelilingi hutan yang menghjiau.
‘Selera dia tetap tidak berubah. Tetap suka pada gambar-gambar pemandangan dan keindahan alam,’ kata hatinya. Dia tersenyum senang. Senang dengan suasana di rumah itu.
Telefon bimbitnya berdering. Dengan cepat dia menjawab.
“Abah dah sampai ke?” Suara Firdaus kedengaran penuh prihatin di hujung talian.
“Dah Fir. Maaflah, abah terlupa nak telefon Fir.”
“Amboi abah! Dah jumpa kawan lama dia, langsung terlupa pada kami,” balas Firdaus dengan ketawa.
Kamaruzaman menyeringai dengan wajah kelat. Dia rasa tersindir. Kalaulah Firdaus dapat melihat wajahnya ketika itu, baru dia tahu bahawa hatinya tersentuh dengan gurauan itu.
“Abah ada kat mana ni?” tanya Firdaus.
“Abah kat rumah kawan abah tu lah.”
“Dah jumpa dia? Apa yang mustahak sangat hingga dia minta abah ke sana?”
“Belum jumpa dia lagi.”
“Tadi abah kata dah ada kat rumah dia?”
“Anaknya yang menjemput abah. Kawan abah tu di hospital, sakit.”
“Hah? Tenat ke abah?” Suara Firdaus cemas.
“Tengah hari ni baru abah nak menziarahinya. Sekarang abah nak rehat sekejap. Nak luruskan kaki yang kejang ni.”
“Baiklah abah. Abah rehatlah. Apa-apa hal abah telefon Fir atau Zurie. Jangan lupa makan ubat ya abah,” pesan Firdaus sebelum mengucapkan salam perpisahan. Dia angguk berkali-kali, seolah-olah Firdaus ada di hadapannya.
Telefon dimatikan dan disimpan semula dalam poket seluarnya. Dia membaringkan badan di katil empuk itu dengan harapan dapat tidur sebentar sebelum bergerak ke hospital.
MASA melawat agak lengang. Mungkin kerana wad yang mereka lawati adalah wad kelas satu.  Tidaklah sibuk seperti wad biasa atau wad kelas tiga.
“Terima kasih kerana sudi datang,” kata Ahmad Adham, tersenyum menyambut huluran tangan Kamaruzaman. Dia bangun dan menyandarkan diri ke katil.
Kamaruzaman rasa terharu dengan senyuman itu. Dia tunduk.
“Kenapa dengan awak?” tanya Ahmad Adham ketika melihat wajah muram Kamaruzaman.
“Saya sedih tengok keadaan awak macam ni,” jawab Kamaruzaman, jujur.  Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa belas melihat wajah pucat Ahmad Adham dan tubuhnya yang terlantar itu. 
“Heh, jangan macam ni. Saya tak apa-apa. ALLAH sedang menguji saya. ALLAH juga sedang membersihkan dosa-dosa saya. Mudah-mudahan bila sampai ajal saya, saya akan pergi seperti saya lahir dulu. Bersih dan suci.” Ahmad Adham berkata tenang sambil menggenggam tangan Kamaruzaman. Getaran kecil dapat dirasakan dalam genggaman itu.
“Tina, tengoklah bekas kekasih awak ni. Dia takut saya mati tinggalkan awak. Patutnya dia suka kan?” Ahmad Adham mengalihkan pandangannya kepada Kartina yang duduk di hujung kepalanya.
Dada Kamaruzaman seperti diledak bom!
“Abang… Apa ni?” Kartina meleretkan matanya. Ketawa Ahmad Adham pecah berderai. Namun gurauan itu tidak lucu buat Kamaruzaman. Dia tidak mampu tersenyum, apa lagi untuk ketawa. Dadanya sedang menahan sebuah gelora.  Dia tunduk diam dan menyepikan diri. Dia membiarkan ketawa Ahmad Adham usai.
Suasana sepi. Ahmad Adham termenung seperti sedang mencari-cari ilham untuk bersuara. Kamaruzaman pula menunggu dengan sabar.
“Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyakitkan hati awak. Saya hanya bergurau.”
“Saya tak suka awak bergurau begitu.” Kamaruzaman berkata dengan jujur.
Ahmad Adham menarik tangan Kamaruzaman dan menggenggamnya erat sebagi tanda memohon maaf.    
“Awak tentu tertanya-tanya kenapa saya nak jumpa awak. Sebenarnya ada perkara yang saya nak selesaikan dengan awak sebelum saya mati.
Sebelum ini saya amat risau kalau saya tak dapat jumpa awak sebelum saya mati. Namun, ALLAH Maha mendengar doa saya ketika di Baitullah.”
“Apa doa awak?” Kamaruzaman merenung Ahmad Adham.
“Saya minta ALLAH ketemukan saya dengan awak, walau sekejap.”
Kamaruzaman semakin hairan. Dia tidak dapat membaca apakah perkara yang begitu mustahak itu. Daripada mana Ahmad Idham tahu perihal dirinya?
“Ada hal nak saya sampaikan pada awak. Penting sangat. Sebab itu saya suruh awak datang.”
“Apa dia? Tak bolehkah kita tunggu hingga awak sihat?” Kamaruzaman semakin teruja dan hairan.
Ketika itu Ahmad Adham meneliti wajah isterinya Kartina. Dia seperti sedang mencari kata izin dari wanita itu. Dengan perlahan, Kartina angguk.
“Tidak. Saya tak nak bertangguh dan berlama-lama lagi menyimpan rahsia ini. Cukuplah tiga puluh tahun.” Ahmad Adham berhenti. Matanya masih menatap wajah Kartina yang mula tunduk.
Hati Kamaruzaman semakin tidak keruan. Gelisah dan resah berganding menjadi satu. Ahmad Adham dan Kartina seperti sedang menyimpan satu rahsia yang besar.
“Katakanlah. Jangan buat saya bingung macam ni,” desak Kamaruzaman.
“Saya nak berkisah mengenai anak awak,” kata Ahmad Adham.
“Anak saya? Siapa?”
Ahmad Adham tidak segera menjawab. Dia sebaliknya menoleh semula kepada Kartina. Dia sedang memberi ruang untuk Kartina yang berkisah. Namun, Kartina tetap tunduk dan langsung tidak memberikan reaksi bahawa dia yang akan berbicara dan berkisah.  
“Benar-benarkah Zaman tidak tahu akan hal ini?” tanya Ahmad Adham.
“Hal apa?” Fikiran Kamaruzaman semakin tidak menentu dan keliru.
“Hal Muhayat.”
“Siapa Muhayat?”
“Anak Zaman dan Tina.”
Kamaruzaman tersentak. Matanya terpaku dan tidak berkelip menatap wajah Ahmad Adham. Benarkah apa yang didengarnya? Dia cuba menyakinkan hatinya. Untuk pertama kali telinganya mendengar nama Muhayat. Dan nama itu sangat asing baginya. Dia menggeleng beberapa kali.
“Tina, betulkah apa yang abang dengar ni?” Kamaruzaman menoleh kepada Kartina dan cuba mencari jawapan yang benar.
Kartina angguk. “Semasa kita berpisah dulu, Tina membawa benih abang bersama Tina. Tina mengandung dua bulan. Itulah Muhayat.”

No comments:

Post a Comment