AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 28 May 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 8 Karya Novelis Rohani Deraman




S
udah seminggu Muhayat pulang dari luar negara. Bermakna sudah seminggu dia dijamu dengan bermacam juadah kegemarannya. Dia dimanja. Dia  diberikan sepenuh perhatian sehingga dia rasa hanya dia seorang anak Kartina dan Ahmad Adham.
“Sejak abang balik, berat badan Syid naik mendadak,” kata Mursyid pada satu hari ketika sedang mengadap makan malam.
“Kenapa pula?” tanya Muhayat sambil mengunyah makanan.
“Sebab setiap hari ibu masak sedap-sedap. Macam-macam ada ni,” jawab Mursyid, ketawa. Muhayat ikut ketawa. Hanya Kartina dan Ahmad Adham yang saling berpandangan.

“Syid yang tak pernah minta nak makan apa. Ibu masak ikut selera. Okey, mulai esok ibu masak ikut selera Syid pula. Boleh gitu?” Kartina mengerdipkan mata kepada Mursyid yang menyengih dengan mulut yang juga belum berhenti mengunyah.
“Abah pun nak buat pesanan esok,” kata Ahmad Adham.
“Abah nak makan apa?” tanya Muhayat.
“Abah nak makan masak lemak daun turi dengan ikan sepat masin.”
“Syid nak ikan keli masak asam pedas pekat-pekat.”
Kartina ketawa. Permintaan mereka amat menyenangkan hatinya. Dia sudah berkira-kira pagi-pagi esok akan mengajak Muhayat ke pasar. Banyak barang yang hendak dibeli.
“Ermm… kalau Syila ada, tentu dia minta ibu masakkan dia sambal udang dengan petai,” kata Kartina. Dia teringat kepada anak gadisnya itu. Sudah enam bulan Marsyila mula bertugas sebagai doktor di sebuah hospital di Sabah. Selepas tamat belajar, itulah hospital pertama dia dihantar bertugas.
“Tina rindukan Syila?” Ahmad Adham meneliti wajah Kartina. Dia mencari jawapan dari kerlipan mata seorang ibu. Dia menyelongkar resah rindu di celah senyumnya.   
Kartina diam.
“Kalau ibu rindu, esok kita ke sana. Kita ziarah Syila. Sabah dan Ipoh tak jauh sangat,” kata Muhayat.
“Ish! Tak payahlah. Dia dah kata, tak lama lagi dia akan balik,” Tingkah Kartina.

“Dia nak cuti? Tapi dia baru sahaja bekerja,” kata Muhayat, menoleh ke arah Kartina.
“Bukan cuti tapi dia ada kursus jangka pendek di Hospital Ipoh,” jawab Kartina.
Muhayat angguk. Mereka terus menikmati hidangan sambil berbual santai. Sekali-sekala perbualan itu bersulam ketawa. Sangat mesra.   
Selepas makan, Ahmad Adham tidak terus masuk ke bilik. Dia segera memberi isyarat kepada Kartina agar duduk di ruang tamu untuk seketika. Masanya sudah tiba untuk mereka memberitahu Muhayat berkenaan Kamaruzaman. Mereka tidak mahu bertangguh lagi.
“Hayat, boleh abah dan ibu cakap sesuatu dengan Hayat?” tanya Ahmad Adham.
“Cakaplah abah. Asal abah jangan cakap abah nak kahwin lain,” gurau Muhayat dengan ketawa kecil. Kartina ikut ketawa, sengaja berlagak santai untuk menutup debaran yang sedang berdetak di dadanya.
“Kami dah jumpa abah kandung Hayat. ALLAH Maha Berkuasa menentukan semuanya. Kami jumpa dia ketika balik dari umrah tempoh hari,” kata Ahmad Adham memulakan bicara.
Muhayat segera mengangkat wajahnya. Dia merenung wajah Ahmad Adham dan wajah Kartina silih berganti. Dia tidak terkejut. Hanya membatu. Dia langsung tidak teruja. Malah geraknya semakin selamba
“Nanti kita boleh jemput dia ke sini. Dia tentu suka dapat jumpa Hayat. Hari tu, masa dia tengok  gambar Hayat pun dia begitu gembira hingga dia menitiskan air mata,” tambah Ahmad Adham lagi.

Muhayat tetap diam. Dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Hanya melepaskan pandangan kosong dengan jiwa yang kosong.
“Bila kita boleh jemput dia ke sini?” tanya Ahmad Adham tanpa mempedulikan sikap hambar Muhayat.
“Nak buat apa abah susah-susah. Hayat pun tak rasa nak jumpa dia pun!” Akhirnya Muhayat meluahkan rasa hatinya.
“Kenapa Hayat cakap macam tu? Abah sengaja nak rapatkan Hayat dengan dia.” Ahmad Adham meneliti wajah Muhayat.
“Tapi untuk apa? Dia sendiri tak pernah harapkan Hayat wujud dalam hidupnya. Dia ada keluarga sendiri. Dia ada hidupnya sendiri.” Suara Muhayat mula bergetar. Dia mula rasa kurang selesa dengan apa yang didengarnya.
“Hayat, jangan fikir  yang bukan-bukan tentang dia. Dia tak pernah tahu pun Hayat lahir dari benih dia. Ibu yang bersalah kerana tak berusaha beritahu dia,” kata Kartina pula selepas dia membaca rasa kurang senang yang mula bercambah di hati Muhayat.
Muhayat mengawal dirinya.  
“Walau apapun yang dia buat pada ibu dulu, ia tak ada kena mengena dengan Hayat. Dia adalah ayah kandung Hayat. Ibu sendiri tidak pernah berdendam dengannya. Jadi, ibu nak Hayat pun dapat terima dia dengan baik.” Kartina menarik tangan Muhayat dan menggenggamnya erat. Dia seperti sedang menuntut sebuah tanggungjawab dari seorang anak.
“Benar kata ibu itu. Abah sendiri tak pernah berusaha untuk singkirkan dia dari hidup Hayat. Sebab itu dari kecil abah sering bercerita mengenai dia kepada Hayat. Sekarang masanya dah sampai untuk abah serahkan Hayat kepada dia,” kata Ahmad Adham pula.

“Jadi, abah nak buang Hayat dari hidup abah?” Tiba-tiba Muhayat menempelak. Matanya tajam merenung wajah Ahmad Adham.
“Bukan macam tu. Kasih sayang abah pada Hayat hingga akhir hayat abah. Abah cuma nak kembalikan Hayat kepada yang lebih berhak. Hayat adalah anak kandungnya. Hayat adalah darah dagingnya,” balas Ahmad Adham cuba membuat Muhayat faham apa yang cuba dibuatnya.
Muhayat menarik muka masam.
“Tolonglah Hayat. Jangan buat abah rasa bersalah seumur hidup abah. Abah dah janji pada diri abah, sebelum abah menutup mata abah akan temukan Hayat dengan dia. Janganlah buat abah mungkir janji dan menjadi seorang yang munafik.”
“Baiklah jika itu yang abah nak. Tapi, abah jangan harap hati Hayat ini boleh terima dia begitu mudah selepas tiga puluh tahun!” Muhayat bangun. Dia tidak mahu berlama-lama di ruang tamu itu lagi. Entah kenapa, dia rasa hatinya mendadak marah mendengar hal itu.
“Berilah dia masa bang. Mungkin dia terkejut. Dah lama dia hidup dengan kasih sayang abang. Itu yang dia rasa keliru dan serba salah. Tolong maafkan anak saya itu bang,” kata Kartina dengan suara sebak.
“Tina! Kenapa cakap macam ni. Dia anak abang juga! Jangan Tina pula nak buang abang dalam hidup Muhayat,” sergah Ahmad Adham. Kata-kata Kartina itu kurang disenanginya. Dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya.
Kartina juga tidak mungkin akan memutuskan hubungan kasih itu. Tidak pernah dilupakan bagaimana besarnya pengorbanan Ahmad Adham terhadap dia dan Muhayat. Semuanya masih diingat.

Selepas menerima talak dari bibir Kamaruzaman, Kartina rasa sungguh lapang dan lega. Dia rasa seperti hamba yang merdeka dari tuannya. Dia rasa seolah-olah rantai api yang membelenggunya sudah terputus.
Walau bagaimanapun, kenangan cintanya bersama Kamaruzaman tidak pernah dilupakannya. Sangat manis kenangan itu, walaupun pengakhirnya ia menjadi hempedu hidupnya.
Kartina melangkah membawa hati yang kecewa dan hancur. Bagaimanapun, dia tidak mahu kekecewaan itu menghancurkan hidupnya. Dia perlu membina sebuah kehidupan baru. Dia perlu meninggalkan tapak-tapak kenangan lama untuk membina tapak yang baru. Dia perlu bekerja untuk menampung hidupnya.
Selepas berhari-hari berjalan mencari kerja, akhirnya dia mendapat kerja di sebuah kantin. Alhamdulillah. Dia rasa sangat bersyukur kerana dia boleh menjadikan kesibukannya untuk melupakan kisah cintanya yang terluka itu.
Namun, selepas dua bulan sedar ada perubahan sedang berlaku pada dirinya. Dia kerap pening. Dia kerap lemah dan pitam. Akhirnya dia terpaksa menemui doktor. Dan pengesahan yang didengarnya sungguh tidak terduga.
Dia hamil! Ketika itu Kamaruzaman sudah tiada di sisinya untuk dikhabarkan berita itu. Lalu dia membawa kandungannya pergi jauh dari pengetahuan bekas suaminya itu. Dia melahirkan jauh dari keluarganya juga. Kemudian, dia berusaha membesarkan anaknya itu sendirian. Hinggalah dia menemui lelaki berjasa, Ahmad Adham.  Itulah sejarah kelahiran Muhayat yang tidak mungkin dilupakan.
Kenangan itu berlalu. Tiba-tiba Kartina menjadi hiba. Serta merta pula dia menangis teresak-esak. Entah kenapa dia rasa amat tersentuh dengan kata-kata Ahmad Adham itu. Sudah begitu lama dia bergantung hidup dengan lelaki itu.

Ahmad Adham ibarat pohon kasih yang besar dan merimbun. Akarnya bertunjang kuat dalam hati dan nubarinya. Tidak dapat dibayangkan kalau pohon kasih itu tiada. Atau dahannya patah. Atau daun-daunnya kering dan layu..
“Maafkan Tina bang. Tina tak bermaksud begitu. Abang adalah orang yang paling berjasa membesar dan memberi kasih sayang kepada Muhayat. Jasa dan kasih sayang abang terlalu besar untuknya. Cuma bila dia mula menunjukkan muka masamnya pada abang, Tina rasa bersalah.”
Ahmad Adham segera menarik Kartina ke dalam pelukannya. Dia tidak mahu Kartina terus menangis kerana tangisan Kartina itu adalah tangisannya juga.



No comments:

Post a Comment