AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 24 May 2016

PELAYARAN KASIH - ROHANI DERAMAN



 p
enerbangan dari Lapangan Terbang Jeddah yang membawa 260 orang penumpang yang baharu selesai mengerjakan umrah, mendarat di KLIA dengan selamat. Wajah mereka kelihatan semakin ceria. Kerinduan kepada tanah air dan keluarga akan segera terubat.
Begitu juga dengan Kamaruzaman. Dia melangkah keluar dari balai ketibaan dengan hati girang. Matanya terpaku ke arah Firdaus yang berdiri sambil melambai kepadanya. Dia segera mendekat.
“Selamat pulang abah.” Firdaus memeluk dan merangkul tubuhnya sebagai tanda rindu. Dia membalasnya. Juga sebagai tanda rindu. 

“Mana cucu abah?” Dia melilau mencari Aiman Haziq dan Dayana Putri.
“Minta maaf abah. Mereka berdua ada kelas penting hari ni. Tak boleh ponteng. Kalau tak, mahunya mereka nak pergi sekolah,” jawab menantunya Zurie selepas mencium kedua pipi Kamaruzaman sebagai tanda kasih dan hormat.

“Tak apalah. Kita jumpa di rumah nanti,” ucap Kamaruzaman dengan tenang dan perlahan.
“Abah duduklah dulu. Biar saya uruskan bagasi abah,” kata Firdaus pula sambil memimpin Kamaruzaman ke sebuah kerusi yang ada di ruang menunggu.
“Zu ke tandas sekejap. Abah tunggu ya,” kata Zurie pula.
Kamaruzaman angguk dengan senyum. Kadang-kadang dia rasa begitu senang kerana Firdaus dan Zurie selalu melayannya seperti anak kecil. Dalam masa yang lain, kadang-kadang dia rasa rimas kerana semua pergerakannya dipantau oleh mereka.
“Untunglah kau ada anak menantu yang prihatin, Zaman. Tak macam aku ni. Kalau menantu tak pedulikan aku, aku tak kecil hati sangat. Tapi bila anak sendiri tak ambil kisah, hancur rasa hati.” Pernah dia mendengar keluhan Haji Mat, sahabatnya. Alhamdulillah, untuk itu memang dia bersyukur sangat. Anak dan menantu, melayannya dengan baik.
“Maaf encik, boleh saya duduk?” Suara seorang lelaki bertanya. Kamaruzaman mendongak. Seorang lelaki yang juga berkopiah dan berjubah putih menghadiahkan senyum. Dia kelihatan amat uzur hingga terpaksa dipapah oleh seorang wanita. Kamaruzaman segera mengangguk dengan senyum tulus. Ingatan syukurnya terhadap keberuntungan dirinya kerana ALLAH memberikan kasih sayang anak dan menantu, semakin dirasai.


Dia merenung ke depan. Kalaulah Firdaus tidak ada dalam hidupnya? Alangkah sepinya hidup. Ibarat  alam yang kusam dan tidak berwarna. Tiba-tiba terlintas di hatinya, adakah Firdaus rasa beruntung menjadi anaknya?
“Abah, Fir cuma ada abah dalam dunia ini. Jadi Fir akan sayang abah dunia dan akhirat.” Itu yang selalu dikatakan oleh Firdaus. Dan dia tersenyum senang.
“Tunggu siapa?” tanya lelaki  yang baharu duduk di sebelahnya. Suara kedengaran mesra dan ramah. 
Kamaruzaman menoleh. “Saya tunggu anak saya menguruskan beg. Encik ...”
“Saya Ahmad Adham,” jawab lelaki itu sambil menghulurkan tangan sebelum sempat Kamaruzaman habiskan perkataannya. Mereka berjabat salam. Erat tanpa curiga.
“Saya juga menunggu anak-anak menguruskan bagasi,” sambung Ahmad Adham lagi.
Kamaruzaman sekali lagi angguk. Namun seketika pandangan matanya tertumpu kepada wanita yang berada di sebelah Ahmad Adham. Matanya seperti pernah melihat wanita itu. Dia cuba dan cuba untuk mengecam betul-betul. Memang wanita itu pernah ditemuinya.
Memang dirasakan wanita itu amat dekat dengan memorinya. Namun,  dalam usia enam puluh lapan tahun itu ingatan begitu lambat mengimbau sesuatu.
“Ini isteri saya Kartina.” Ahmad Adham memperkenalkan selepas melihat wajah Kamaruzaman yang keliru.


Kamaruzaman tersentap. Wajah wanita yang dikenalkan sebagai Kartina itu direnung lagi. Benar. Memang sah. Itu memang Kartina. Wajahnya memang sangat berubah dari tiga puluh tahun yang lalu. Tubuhnya agak gempal.  
Tiba-tiba dada Kamaruzaman berdebar. Darahnya tiba-tiba menjadi amat gemuruh. Dia tidak mampu terus merenung wajah Kartina. Dia tunduk. Jauh di sudut hatinya, dia beristighfar dan cuba memujuk hati agar bertenang.
“Apakah benar apa yang Tina nampak ini? Apakah benar ini Abang Zaman?” Kartina pula meneliti wajah Kamaruzaman dengan mata sangsi.
“Benar Tina,” jawab Kamaruzaman, perlahan. Anggukannya yang berkali-kali, membenarkan kenyataan itu.
“Ya ALLAH! Maafkan Tina kerana tak mengenali abang.  Ini suami Tina. Abang, ini Abang Zaman bekas suami Tina.” Kartina berpaling kepada Ahmad Adham dan memperkenalkan dengan selamba.
Sekali lagi Ahmad Adham menghulur tangan dengan senyum, sedangkan Kamaruzaman begitu teragak-agak dan bimbang.
 “Oh, jadi inilah lelaki  yang pernah hadir dalam hidup isteri saya. Inilah nama yang selalu bermain di bibirnya sehingga terbawa-bawa dalam mimpi,” kata Ahmad Adham dengan ketawa santai.
“Abang …” Kartina mencubit bahu Ahmad Adham dengan gerak manja. Ahmad Adham mengaduh dengan manja juga.
Hati Kamaruzaman yang keliru bertambah keliru dengan apa yang dilihatnya. Debaran di dadanya semakin tidak teratur. Sandiwara apakah yang sedang mereka mainkan? Itu yang melekat dalam fikiran Kamaruzaman.


“Encik Zaman, jangan bimbang. Saya tak apa-apa. Saya gembira dapat berjumpa encik. Sepatutnya sejak dulu kita bertemu muka begini. Tapi ALLAH tak ketemukan kita. Hanya DIA yang tahu apa sebabnya,” kata Ahmad Adham sambil menepuk-nepuk belakang tangan Kamaruzaman yang masih belum dilepaskannya.
“Janganlah berencik dengan saya. Panggil saja Zaman. Saya minta maaf kalau Encik Adham tak selesa dengan pertemuan ini,” balas Kamaruzaman.
“Eh tidak! Saya memang dah lama bersedia untuk bertemu.”
“Maksud awak?” Kamaruzaman semakin hairan. Dia menagih jawapan dari Ahmad Adham. Namun ketika itu, Firdaus dan Zurie muncul dengan sebuah troli yang mengandungi bagasi miliknya. Soalan tinggal soalan yang tidak berjawab.
“Ini anak saya Firdaus dan menantu saya Zurie. Fir, ini Encik Ahmad Adham dan isterinya Kartina,” kata Kamaruzaman memperkenalkan. Mereka bersalaman. Zurie mencium tangan Kartina dan memeluknya, mesra. Seperti sudah lama berkenalan.
“Apa khabar pak cik, mak cik? Dari Mekah juga ke?” tanya Firdaus ketika menjabat tangan Ahmad Adham.
“Ya, kami menunaikan umrah. Tapi kami tak jumpa abah Fir di sana, terjumpa di sini pula,” jawab Ahmad Adham dengan ramah seolah-olah sudah lama kenal.  Mereka berbual santai sebelum berpisah.
Kemudian mereka saling bertukar nombor telefon sebagai tanda silaturahim akan dipanjangkan.

“Kita akan jumpa lagi nanti. Ada perkara yang kita kena selesaikan sebelum kita mati,” bisik Ahmad Adham ke telinga Kamaruzaman sebelum berpisah. Kata-kata itu seperti sebuah amaran. Juga dirasakan seperti sebuah permintaan. Namun Kamaruzaman tidak sempat bertanyakan apakah maksud di sebalik yang tersirat.
Dia membawa kata-kata itu pulang sampai ke rumah bersama kerlipan mata Kartina yang kelihatan resah.
“Abah, kita dah sampai. Abah mengelamun apa ni?” tanya Firdaus ketika membuka pintu kereta. Sejak dari lapangan terbang, dia melihat wajah Kamaruzaman berubah muram. Seperti ada yang tidak kena pada pertemuan dengan pasangan suami isteri tadi.
“Tak ada apa-apa. Mungkin abah letih.”
“Kalau macam tu, marilah ke bilik abah. Abah berehat dulu sementara Zurie siapkan makan malam kita,” kata Zurie memimpin tangan Kamaruzaman keluar dari kereta.
Kamaruzaman hanya mengikut. Sampai di bilik, dia berbaring dengan bibir yang tidak kering dengan istighfar dan zikir. Dia cuba melelapkan mata. Dia cuba melupakan Kartina. Dia cuba melupakan  pertemuan itu.
Namun semakin dicuba, semakin pula wajah itu muncul dengan senyum dan suaranya yang tidak berubah.
“Ya ALLAH! Dugaan apa yang sedang Kau berikan padaku? Kenapa di penghujung hidupku ini, baru aku jumpa dia. Betapa lama aku mencarinya dan Engkau tidak mempertemukannya. Sekarang baru kami bertemu. Apakah rahsia di sebalik pertemuan ini, ya ALLAH!” Kamaruzaman berbisik kepada dirinya sendiri.

Lama dia termenung dan mencari-cari jawapan. Namun kemusykilan tetap tidak terjawab.  Akhirnya dia bangun dan menuju ke bilik air. Kebetulan sudah masuk waktu maghrib. Dia segera berwuduk. Keresahannya perlu diubati dengan solat.****

Kamaruzaman menyeka peluh yang menitik laju di dahi. Matahari yang semakin meninggi, mula menyengat kulitnya. Pohon-pohon renek yang memagari halaman rumah itu direnung dengan senang hati. Dia baru sahaja menggunting ranting pohon-pohon itu untuk mencantikkannya. Sebulan sekali, memang dia akan mengguntingnya.
“Kalau abah tak larat, tak payahlah buat. Fir boleh upah orang. Abah rehatlah,” kata Firdaus setiap kali melihat dia menggunting pohon-pohon yang sentiasa segar merimbun itu.
“Abah masih larat lagi. Lagipun, kalau abah perlu buat sedikit kerja untuk keluarkan peluh. Duduk sahaja pun, badan abah ni sakit. Selagi boleh bergerak ni, biarlah abah buat kerja-kerja di sekeliling rumah ni,” jawab Kamaruzaman dengan senyum.
Dia mendongak ke langit. Cuaca cerah. Dia bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang melihat alam. ALLAH masih memberi peluang dia melakukan amal ibadat untuk menyucikan diri dari dosa-dosa lama.
“Tok Bah, ada orang telefon ni!” panggil Dayana Putri dengan suaranya yang nyaring.
Kamaruzaman sekali lagi menyeka peluh. Dia berjalan dengan tergesa-gesa masuk ke rumah.

“Siapa?” tanyanya kepada Dayana Putri yang menghulurkan gagang telefon.
“Entah. Dia kata dia kawan tok bah.”
Kamaruzaman tidak  membuang masa. Dia terus menjawab panggilan itu dengan salam yang tertib dan penuh takzim.
“Minta maaf mengganggu. Tok bah sedang buat apa tadi?” Suara seorang lelaki bertanya dengan mesra. Ada hilaian halus di hujung talian.
“Saya sedang membersihkan pokok-pokok di halaman. Sejak balik dari Mekah, baru hari ini ada masa nak buat kesempatan untuk berbuat begitu. Siapa ni?” Kamaruzaman bertanya. Dia memang tidak mengecam suara lelaki itu.
“Enta tak cam suara ana?” Lelaki itu bertanya dengan ketawa berdekah-dekah. Kamaruzaman cuba mengecam. Namun akalnya tidak dapat menangkap dan mengecam suara itu. Dia menjadi bingung.
“Mudah benar sahabat hamba ni lupa pada sebuah pertemuan. Rasa hamba belum sebulan kita bersua muka di lapangan terbang. Kini sahabat da lupa pada hamba?” tanya suara itu mengubah cara bercakap.
“Ya ALLAH! Ahmad Adham! Baru saya ingat!” Kamaruzaman menepuk dahi seolah-olah geraknya sedang dilihat oleh orang yang bercakap di hujung talian. Suara ketawa Ahmad Adham pecah berderai.
“Awak apa khabar?” tanya Ahmad Adham setelah ketawanya usai.
 “Alhamdulillah, saya sihat. Awak berdua?”
“Tina sihat. Cuma saya ...” suara Ahmad Adham tiba-tiba berubah. Ia menjadi lebih perlahan dan bergetar.
“Kenapa dengan awak?”

“Awak tengok keadaan saya masa kita jumpa tempoh hari? Saya dah terlalu lemah. Dah lama sangat saya ni membebankan Tina dan anak-anak. Saya semakin rasa bersalah,” jawab Ahmad Adham.
“Sabarlah. Jangan cakap macam tu. Kita tak minta hal ini berlaku. Tapi ALLAH yang berikan semuanya. Kena terima dengan reda.”
“Ya, saya memang dah cukup reda. Cuma saya kasihankan Tina, dia terlalu taat. Dia terlalu setia.”
Kamaruzaman menelan air liur. Dia kurang faham dengan kata-kata Ahmad Adham. Dia seperti keliru dengan sikap lelaki itu. Apakah dia sengaja menduga hati seorang lelaki lain?
“Jangan salah faham. Saya hanya berkata dari hati saya yang jujur. Saya tak bermaksud apa-apa. Tujuan saya telefon awak ni, kerana ada perkara yang saya nak bincang dengan awak. Tapi, tak elok rasanya kalau melalui telefon ini sahaja. Apa kata kita jumpa. Saya akan turun ke Johor Bahru,” kata Ahmad Adham.
Kamaruzaman segera terbayangkan kepayahan Ahmad Adham. Dengan langkah yang tidak sasa, mungkin agak sukar untuk dia bergerak. Tidak baik menyusahkan orang yang lemah seperti itu.
“Tak apa saya boleh ke sana. Kasihan awak nak berjalan jauh ke sini,” kata Kamaruzaman dengan tiba-tiba.
“Boleh ke? Tak menyusahkan awak?”
“Saya akan rasa lagi susah kalau biarkan awak yang uzur datang dari Ipoh ke Johor Bahru semata-mata nak jumpa saya. Saya akan segera ke sana,” jawab Kamaruzaman dengan cepat.

“Telefon saya bila dah sampai. Saya akan suruh anak saya ambil awak di stesen bas. Terima kasih Zaman,” balas Ahmad Adham dengan suara lemah.
Perbualan di talian usai. Talian pun sudah dimatikan. Namun fikiran Kamaruzaman tetap melayari sebuah kenangan lama. Sungguh lama. Tiba-tiba dia rasa dibelit rasa bersalah dan rasa berdosa.
Lalu ketika itu dia teringat pada doanya di hadapan rumah ALLAH  semasa menunaikan umrah tempoh hari.
‘Ya ALLAH, akulah hamba-Mu yang berdosa. Ampunilah aku ya Tuhan. Jika aku berdosa dengan makhluk-Mu yang lain, ketemukan aku dengan mereka agar dapat aku memohon maaf. Sesungguhnya hanya ENGKAU Yang Maha Tahu.’
“SubhanaALLAH!  Maha Besar Engkau Ya ALLAH. Kau temukan aku dengan dia. Kau makbulkan doaku. Aku akan memohon maaf atas semua kesalahanku pada dia. Aku akan ...” Tiba-tiba Kamaruzaman sebak. Sudah lama dia berdoa. Sekarang baharu ALLAH makbulkan. Ssudah
Biarpun dia rasa agak terlewat, namun dia tetap menerimanya dengan pasrah. Baharu kini semuanya muncul. ALLAH telah pertemukan dia dengan kenangan lama itu.  ALLAH telah perkenankan doanya.  ALLAH sedang membuka peluang untuk dia memohon maaf sesama insan. Dia memang berdosa. Dia memang khilaf.
Tiba-tiba dia rasa jantungnya berdegup kencang. Peluh pula merencik halus di dahinya. Dia duduk menyandar di sofa dengan wajah pucat.
“Tok bah, kenapa ni?” Cucunya Dayana Puteri muncul berdiri di hadapannya.

“Ambilkan ubat tok bah di bilik. Dalam botol atas meja. Cepat!” suruhnya kepada Dayana Puteri yang kelihatan bimbang. Dengan langkah cepat, Dayana Puteri berlari ke arah bilik tidur Kamaruzaman.
Tidak lama, botol ubat itu bertukar tangan. Tidak lama juga ubat itu menuruni anak tekak dengan seteguk air. Dayana Puteri membantu Kamaruzaman berbaring di sofa. Wajah anak gadis Firdaus itu kelihatan gusar dan bimbang.
“Yana telefon papa ya?”
“Tak payahlah. Kejap lagi okeylah ni,” kata Kamaruzaman dengan lemah. Dia cuba pejamkan mata dan bertenang. Dia cuba melupakan dosa lama. Dia cuba melupakan wajah Kartina yang masih macam dulu, tenang dan sentiasa tersenyum.
Akhirnya, dia terlelap. Semua keresahannya dihanyutkan. Dia terlena oleh kesan pil yang ditelannya.
Selepas beberapa ketika, dia terjaga. Tiba-tiba  semua kenangan silam tertera jelas. Tanpa diundang, ingatan menjalar kepada kisah lama hidupnya.
Dia berkahwin dengan cinta. Kemudian bahagia tanpa sengketa. Wanita yang menjadi isterinya seorang yang sangat baik dan beriman. Namun kedurjanaannya yang telah menghancurkan sebuah mahligai cinta.   
Semuanya gara-gara dia berkenalan dengan Naimah, seorang wanita yang cantik menawan serta seksi dan lincah. Lantaran kelincahan itu dia hanyut dalam arus asmara yang tidak bertepi. Banyak masa dan wang dihabiskan bersama wanita itu daripada isteri dan anaknya.
“Bila kita nak kahwin?” tanya Naimah ketika mereka sedang hanyut dalam arus noda pada satu malam.




“Kahwin?” Dia terkejut. Memang dalam fikirannya tidak pernah ada niat itu. Dia sekadar ingin berpoya-poya. Seperti seekor kucing yang tidak mahu melepaskan peluang mendapat ikan yang terdedah di hadapannya. Seperti seekor lalat yang gemarkan benda yang busuk dan terdedah!
“Ya, kahwin. Sampai bila awak nak usung saya ke hulu ke hilir macam ni? Saya pun ada maruah. Keluarga saya pun tahu malu!”
“Tapi, awak tahu saya ni dah kahwin. Ada anak satu.”
“Itu bukan masalah yang berat. Itu juga bukan alasan untuk awak lari dari tanggungjawab berkahwin dengan saya.”
“Awak nak bermadu?”
“Apa salahnya? Awak pun mampu kan?” Naimah berpaling dengan renungan mata tajam kepadanya. Di bibir wanita itu menguntum senyum penuh makna.
“Tapi, isteri saya mesti tak suka. Dia mesti terluka,” ujarnya perlahan.
“Jadi? Awak lebih fikirkan perasaan isteri awak dari saya? Kalau macam tu, baik kita putuskan saja hubungan ini. Awak telah membuang masa saya!” Suara Naimah mula meninggi.
“Saya tak sampai hati. Dia tu terlalu baik,” ujarnya lagi.
“Jadi, selama ini awak hanya nak main-mainkan saya saja?”
“Bukan macam tu. ”
“Kalau bukan macam tu, kita kena kahwin. Tak kiralah isteri awak suka atau tidak. Bukannya awak nak kena minta izin dengan dia!” tegas Naimah.


No comments:

Post a Comment