AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 1 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 18



DUDUK di ruang tamu menghadap kedua orang tuanya bagaikan orang bersalah menunggu dijatuhkan hukuman gantung sahaja. Ikmal memandang wajah kedua orang tuanya. Nadia duduk dengan anak-anak dengan muka sedih seperti menjadi mangsa pula. Orang tuanya pula memandang macam hendak telan dia hidup-hidup. Aleeya awal-awal lagi terus ke dapur menyibukkan diri. Malas agaknya hendak campur tangan masalah kekeluargaan yang tidak pernah ada penghujungnya.
            “Apa dah jadi ni, Ikmal?” tanya Haji Raub. Wajah anak lelakinya ditenung lama. Masalah betullah anak-anak sekarang. Sudah bercerai pun masalah tidak selesai.
            “Jadi apa pula, ayah?” Ikmal kurang senang dengan nada suara ayahnya.
            “Nadia mengadu kau tak pedulikan anak-anak, tak ambil tahu hal mereka, tak bagi duit yang cukup untuk belanja mereka,” susun Haji Raub.
            “Mana ada ayah? Tiap-tiap minggu saya bawa budak-budak ni bercuti. Sampai saya abaikan Leya. Nadia pulak bagi syarat tak boleh bawa Leya bersama. Kami dah cukup bersabar dengan sikap Nadia. Sekarang ni, dia buat cerita nak burukkan saya!” luah Ikmal. Matanya merenung tajam ke arah Nadia yang menunduk bagaikan orang teraniaya.
            “Habis tu Nadia cakap, Ikmal jarang menjenguk mereka?” Hajah Hanizahh memandang wajah anak lelakinya tidak beralih.
            “Kenapa awak cakap macam tu, Nadia?” tegur Ikmal.
            “Memang pun, seminggu berapa hari aje awak datang jenguk anak-anak?” Nadia mencebik.
            “Cukuplah tu! Takkan saya nak datang hari-hari?” marah Ikmal.
            “Kenalah! Inikan anak-anak awak? Takkan saya seorang nak jaga mereka. Mana saya mampu?” Nadia tidak mahu kalah. Dia akan terus bermain sandiwara selagi Ikmal masih berpegang dengan keputusannya.
            “Hisy…” Ikmal mengeluh. Ini sudah lebih.
            Aleeya yang berada di dapur hanya mampu mengeluh mendengar butir bicara mereka yang berada di ruang tamu. Nadia sudah menggunakan kedua orang tua mertuanya pula agar segala rancangannya berjalan lancar. Memang berani perempuan itu! Pandai pula menggunakan anak-anak lagi. Hebat! Hebat!
            “Ikmal jangan abaikan anak-anak, ini tanggungjawab Ikmal. Ayah tak mahu orang tuduh jadi ayah yang tak bertanggungjawab. Hanya tahu buat anak, tapi tak pandai nak jaga!” lengking Haji Raub. Sakit juga hatinya mendengar bebelan Nadia sejak semalam mengatakan Ikmal langsung tidak menghiraukan anak-anak.
            “Bila masa pula Ikmal abaikan mereka? Cuba tanya along, setiap minggu Ikmal bawa mereka berjalan.” Ikmal memandang wajah anak sulungnya yang langsung tidak berani memandangnya.
            “Along! Betul tak, ayah selalu bawa along dan adik-adik keluar, kan?” Ikmal mengerut dahi. Anaknya tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri.
Wajah cemberut Nadia yang memandang along dengan jegilan mata membuatkan dia syak sesuatu. Nampaknya, Nadia telah mempengaruh anak-anak agar melawannya.
            “Mak minta maaf, Nadia. Mungkin Ikmal terlepas pandang dan terlupa. Nadia jangan bimbang, mak akan pastikan Ikmal tak abaikan cucu-cucu mak ni,” kata Hajah Hanizah.
            “Saya dah tak bekerja mak. Siapa nak tanggung makan minum saya dan anak-anak?” terang Nadia.
            “Hah? Awak berhenti kerja? Tapi, kenapa?” Ikmal terkejut. Biar betul bekas isterinya. Sanggup berhenti kerja?
            Bunyi cawan jatuh membuatkan mereka yang berada di ruang tamu menoleh.
            Aleeya cepat-cepat mengangkat cawan yang jatuh ke lantai. Sejak dari tadi buat air masih tidak siap-siap. Dia mencuri dengar sebenarnya. Aduh! Sakit jantungnya. Perempuan itu berhenti kerja? Pensyarah pula tu, aduhai… apa pula permainan Nadia. Aleeya meletak tangan di kepala. Sakitnya kepala dia. Pening, pening!
            “Siapa nak jaga budak-budak ni, kalau saya bekerja? Mana cukup duit nak hantar ke pusat jagaan, mak, ayah. Semuanya dah mahal sekarang ini. Mahu tak mahu, terpaksalah Nadia berkorban,” jelas Nadia.
            “Awak memang gila, Nadia!” Ikmal menggeleng kesal.
            “Saya kena bayar duit pengasuh tau tak?” Nadia menjeling, dia mula menangis.
            “Ikmal kena selesaikan masalah ini, mak tak nak cucu-cucu mak terabai,” pesan Hajah Hanizah. Dia mendekati bekas menantunya dan memujuknya.
            Ikmal mendengus kasar. Pandai sungguh bekas isterinya berlakon. Boleh tahan juga. Tapi bab berhenti kerja itu memanglah sangat hebatnya. Dia menahan rasa marah di hati. Nasib baik depan orang tuanya. Kalau hanya ada dia dan Nadia, dia tidak akan peduli. Ikut suka kaulah, siapa suruh berhenti. Wajah anak-anak dipandang. Semua menunduk, takut benar dengan mama mereka.
            “Ikmal, sebagai lelaki, kita harus bertanggungjawab. Ayah tak suka anak ayah lepas tangan dan lari daripada tanggungjawab. Cucu-cucu ayah ni masih kecil, perlukan kalian berdua, jangan jadikan mereka mangsa hanya kerana kalian dah bercerai,” nasihat Haji Raub.
            “Ya, ayah. Ikmal tahu. Ikmal akan cuba yang terbaik. Ikmal akan pastikan anak-anak mendapat cukup semuanya,” luah Ikmal.
            “Along nak ayah kahwin balik dengan mama!” kata Along kuat.
            Aleeya yang berada di dapur, urut dada mendengarnya. Hampir jatuh sekali lagi cawan yang berada di tangannya.
            Ikmal menjegilkan mata. Pasti Nadia sudah ajar along bercakap seperti itu.
            “Along!” Ikmal hampir menjerit.
            “Hah!” Haji Raub terkejut mendengarnya.
            “Kami nak ayah kami semula,” sambung along tersekat-sekat.         
            Ikmal mengeluh, macam baca skrip pula. Tidak lancar langsung mengucapkannya.
            “Mana boleh along! Ayah dah kahwin dengan Mak Cik Leya,” terang Ikmal.
            “Kami tak suka Mak Cik Leya! Kami nak mama.” Along mula menangis.
            “Angah pun nak mama kahwin semula dengan ayah.” Angah tersenyum. Baru berumur enam tahun.
            Wah! Habis anak-anak semua pandai berlakon.  Habislah dia, dengus Ikmal dalam hati.
            “Kahwin semula?” Haji Raub mengeluh. Susah juga ini. Ikmal sudah pun berkahwin. Takkan nak berpoligami pula? Haji Raub memandang wajah bekas menantu dan anak lelakinya. Dia merenung pula cucu-cucunya. Kalau demi kebaikan cucu-cucunya tidak ada salahnya. Tetapi mengenangkan Aleeya anak kawannya sendiri buat hatinya resah. Apa pula kata besannya nanti.  Haji Raub menyandar di kerusi kayu jati yang menjadi perabot pilihan di ruang tamunya.
            “Kahwin semula?” Hajah Hanizah terkedu seketika. Dia memandang wajah Nadia yang masih lagi menangis di bahunya. Biar betul? Aduh!
            “Tak mungkin ayah, mak!” Ikmal menolak. Aleeya dia nak campak ke mana?
            Aleeya sudah tersandar di kerusi. Hilang rasa nyawanya seketika. Terasa jantungnya berhenti berdegup. Mahu sahaja dia menangis di situ juga. Nadia memang bijak. Sanggup dia mempergunakan anak-anak demi merealisasikan impiannya. Apa yang harus dia lakukan?
            “Kalau cadangan itu mampu membantu Nadia dan merapatkan semula hubungan Ikmal dan anak-anak, apa salahnya,” kata Haji Raub.
            “Ayah! Ikmal tak setuju. Ikmal tak mampu nak ada dua orang isteri. Cubalah faham! Anak-anak mana faham masalah orang tua. Nadia, tolonglah. Jangan buat saya macam ni!”
            “Siapa nak tanggung saya? Kalau saya tak berkahwin dengan awak, anak-anak macam mana?” Nadia memandang wajah Ikmal. Langsung tiada rasa simpati dengannya. Dia terpaksa berhenti kerja demi mendapatkan simpati kedua orang tua Ikmal dan Ikmal sendiri. Alih-alih lelaki itu tetap tidak setuju. Habislah rancangannya, asyik tidak menjadi. Pendakap gigi yang dipakainya memang sakit dan bertambah sakit ketika hatinya sedang membakar api kemarahan itu.
            “Awak kembalilah bekerja. Saya bayar duit pengasuh anak-anak nanti. Tolong jangan menyusahkan saya!” pinta Ikmal.
            “Awak kejam!” Nadia menangis lagi.
            “Ikmal!” Haji Raub mengharap Ikmal mempertimbangkan permintaan anak-anaknya.
            Ikmal menggeleng laju.
            Haji Raub dan Hajah Hanizah hanya mampu mengeluh berat.
            Nadia mengetap bibir. Rancangannya gagal lagi. Sia-sia dia berhenti kerja! Dia mengetap bibir. Anak-anak dipandang dengan perasaan sebal di hati. Tak guna! detik hati kecilnya.
            Aleeya menarik nafas lega. Suaminya masih bertegas dengan keputusannya sendiri.

No comments:

Post a Comment