AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 6 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 22



SETIAP petang, Ikmal akan datang menjemputnya di universiti. Nadia benar-benar rasa bahagia. Kemudian, mereka akan menjemput anak-anak pula. Usai mandi dan bersolat, mereka akan keluar makan bersama. Terasa hidupnya bagaikan mempunyai keluarga semula. Itu perjanjian antara dia dan Ikmal. Setiap hari, seolah-olah mereka adalah sebuah keluarga yang bahagia. Tidak boleh saling bertelingkah atau mempertikaikan apa sahaja. Cuma, Ikmal tidak boleh menginap di rumah. Tiga bulan, jika dia berasa puas hati, dia tidak akan mengganggu Ikmal dan rumah tangganya lagi. Itupun jika Ikmal menurut segala kehendaknya.
            “Seronok kalau selalu macam ni, terasa macam kita seperti satu keluarga. Sama seperti dulu,” luah Nadia. Wajah Ikmal yang selamba dan jarang tersenyum itu langsung tidak mengganggu impiannya. Anak-anak pula bukan main riang lagi. Bersorak gembira kalau ternampak kelibat Ikmal ada bersama sewaktu mengambil mereka di sekolah atau pusat asuhan. Hiba juga hatinya melihat gelagat mereka.
            “Dah dua minggu kita macam ni. Saya terpaksa korbankan rumah tangga saya. Harap tidak berlebihan permintaan awak tu.” Ikmal mengerling.
            “Saya berpegang pada janji, jangan awak tu mungkir janji.”
            “Ayah, hari Sabtu ni kita nak ke mana? Tak naklah duduk rumah aje,” kata along. Mulutnya pantas mengunyah chicken chop kegemarannya.
            “Nantilah ayah fikirkan,” jawab Ikmal. Hendak ke mana pula? Nanti apa pula kata Aleeya. Setiap malam dia pulang lewat, awal pagi sudah bertolak keluar dari rumah. Langsung tidak sempat berbual atau bertanya khabar isterinya itu. Dia pula sudah berjanji tidak akan bercerita tentang rancangan Nadia itu kepada Aleeya. Tentu isterinya tertanya-tanya akan perubahan dirinya. Sabarlah, sayang... hanya tiga bulan sahaja. Mampukah Aleeya bersabar dengan semua ini?
            “Ingat tak waktu saya melahirkan along, terasa macam baru semalam aje perkara itu berlaku. Awak pula menggelabah, takutlah konon,” cerita Nadia tentang kenangan lalu. Mana mungkin dia melupakan itu semua. Kelima-lima anaknya disambut oleh Ikmal. Lelaki itu berada di sisinya sewaktu melahirkan mereka.
            “Hmm… saya masih ingat.” Ikmal tersenyum. Menyambut kelahiran anak sulung begitu bermakna dalam hidup. Terasa bahagia, pertama kali menjadi seorang ayah. Wajah along dipandang sekali imbas. Sudah besar anak sulungnya. Begitu cepat masa berlalu.
            “Waktu melahirkan angah pula, awak pengsan sebab darah banyak sangat.” Nadia menutup mulut. Dia ketawa teringatkan peristiwa itu. Kecoh keadaan di dalam bilik bersalin. Doktor terpaksa memapahnya keluar. Nasib baik sempat juga menyambut kelahiran anak keduanya dengan wajah pucat lesi.
            “Ya tak ya. Saya terkejut tengok darah banyak, waktu along dulu, taklah sebanyak itu,” sambung Ikmal menyeronokkan lagi penceritaan mereka mengenang kisah lama.
            “Alang pula, bersalin di kampung, hari raya pula tu. Mak bidan membebel sebab tak dapat beraya.” Nadia ketawa mengenangkannya. Jangka dia melahirkan anak ketiga, sebulan lagi. Entah kenapa anaknya tidak sabar mahu keluar melihat dunia. Akhirnya, bersalin di rumah, tidak sempat hendak ke hospital.
            “Acik pula, terlewat dua minggu, takut saya. Ingatkan awak nak kena bedah. Nasib baik bersalin normal juga,” cerita Ikmal pula, seronok mengenangkan kelahiran anak-anaknya. Kenangan yang amat indah dalam hidupnya. Mana mungkin dia melupakan saat-saat itu.
            “Usu pula mudah melahirkannya. Tak banyak masalah,” cerita Nadia tentang kelahiran anak bongsunya yang sudah berusia dua tahun.
            “Ha’ah, kan. Ikmal memandang wajah kelima-lima anaknya. Simpati menyinggah. Anak-anaknya terpaksa hidup dan membesar tanpa dirinya di sisi. Semua kerana kesilapan dia dan Nadia. Terlajak perahu bolehlah diundur. Terlajak perbuatan dan kata, terpaksalah mereka terima padahnya.
            Nadia mencuri pandang wajah Ikmal yang tersenyum bahagia, bergurau dan ketawa dengan anak-anak. Betapa dia rindukan saat-saat dia dan Ikmal menjadi suami isteri. Kenapa dia gelojoh sangat? Kenapalah dia melayan rasa cemburu yang mendatang? Akibatnya, dia kehilangan Ikmal.
            “Hisy, ada makanan kat bibir awaklah.” Nadia mengambil tisu dan mengelap bibir Ikmal.
            “Tak apa, saya boleh bersihkan sendiri.” Ikmal cuba menolak, tetapi tangan Nadia lebih pantas mendahuluinya. Terkedu seketika. Tangan Nadia sudah berada di genggamannya. Mereka saling berpandangan. Terkesima seketika.
            “Ehem…” Along berdehem.
            Ikmal dan Nadia tersedar. Terlalu jauh Nadia mengharap. Terkejut Ikmal seketika.
            “Makan cepat. Boleh cepat kita balik,” kata Ikmal. Dia termalu sendiri.
            Nadia tersenyum. Terasa bahagia seketika mengamati pandangan tajam Ikmal yang menikam matanya. Semakin dia mendekati bekas suaminya itu, semakin sayang menebal di hati. Mampukah dia melepaskan Ikmal pergi setelah tiga bulan berlalu nanti?

HAMPIR tengah malam barulah Ikmal sampai di rumah. Keadaan di ruang tamu sudah gelap-gelita. Tentu Aleeya sudah tidur. Dia tidak mahu mengganggu waktu rehat isterinya itu. Dia terus melangkah ke dalam bilik. Memang benar. Aleeya sudah pun dibuai mimpi indah. Dia pula terpaksa menghadapi kerenah Nadia dan anak-anak.
Usai membersihkan diri, dia terus merebahkan tubuhnya di sebelah Aleeya. Terdengar dengkuran kecil daripada isteri tercinta. Ya ALLAH, aku berdosa kepadanya. Tidak tergamak menghancurkan hati dan perasaan Aleeya yang begitu baik dengannya. Belum sekalipun Aleeya bertanyakan kenapa dia pulang lewat. Mungkin juga isterinya itu resah, tetapi tidak pula bertanya. Serba salah jadinya.
            Ikmal memandang siling. Ingatkan setelah bercerai, dia hanya perlu memberi nafkah untuk anak-anaknya, rupanya tidak. Dia harus membayar keperluan bekas isterinya juga. Siap main ugut-ugut lagi, seperti sekarang. Pening betul kepalanya memikirkan keadaan ini. Penat juga terasa. Macam ada dua buah rumah pula. Pagi-pagi lagi sudah pergi ambil Nadia di rumah, hantar anak-anak ke sekolah dan tempat mengasuh. Dia pula berkejar ke pejabat. Memanglah penat terpaksa pula berlawan dengan kesesakan jalan raya. Ah! Terasa hendak menjerit sahaja. Duit pula laju perginya. Pandai sungguh Nadia mempergunakannya. Dia pula bagaikan tidak mampu dan berdaya untuk melawan. Ikmal memejamkan mata. Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat dia, Nadia, anak-anak dan Aleeya.

No comments:

Post a Comment