AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 8 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 24



HANIDA memandang wajah Nadia yang ceria sejak akhir-akhir ini. Dia perasan, kawannya datang kerja dihantar dan diambil oleh Ikmal. Adakah mereka telah berbalik semula? Kalau benar, baguslah. Kalau tidak takkanlah Ikmal hari-hari datang ke mari.
            “Aku tengok kau gembira aje sekarang ni. Ada apa-apa yang aku tak tahu?” tanya Hanida sewaktu mereka keluar makan bersama.
            “Kenapa? Takkan kau suka tengok aku bermuram durja dan muka cemberut macam asam keping yang terlebih kering?” Nadia tersenyum.
            “Taklah, selalunya kau tak macam ni.Selama dua minggu ni, aku nampak perubahan kau,” ujar Hanida. Dia kenal Nadia, jadi dia perasan jika perempuan itu berubah sikap atau tingkah laku. Mereka sudah lama kenal. Sekilas ikan di air, sudah diketahui jantan betinanya.
            “Aku gembira salah, aku sedih pun salah. Jadi, kau suka tengok aku masam muka dan marah-marah?”
            “Taklah. Mesti ada sesuatu yang menyebabkan kau gembira. Lagi satu, aku selalu nampak Ikmal hantar kau. Kau dan dia dah berbaik ke?”
            Nadia tersenyum. Dia menyandar di kerusi. Jarinya bermain-main dengan straw di dalam gelas berisi jus tembikai kegemarannya. Dia memandang wajah Hanida yang begitu teruja menunggu jawapan daripadanya.
            “Aku sedang pujuk dan dalam sesi memikat semula Ikmal. Aku minta tempoh tiga bulan. Kalau tak berjaya menambat hatinya, aku sedia melepaskannya pergi untuk selama-lamanya,” jelas Nadia.
            “Hah? Beraninya kau bermain api. Jangan sampai diri sendiri kecewa, Nadia,” pesan Hanida.
            “Kalau aku tak cuba, aku tak tahu hasilnya. Kena beranilah, kan?”
            “Kau kawan aku, Nadia. Aku tak nak kau menangis tak berlagu sebab Ikmal tolak kau mentah-mentah setelah tempoh itu berlalu,” ujar Hanida lagi.
            “Biarlah. Aku harap waktu tu aku dah bersedia.” Nadia sedar perbuatannya itu bakal mengundang kekecewaan di hatinya. Biarlah. Dia tidak mahu kalah sebelum berperang. Hati Ikmal harus ditawan semula. Tiga bulan cukuplah untuk dia memenangi hati lelaki itu. Hak anak-anaknya perlu dikembalikan. Aleeya tidak layak untuk Ikmal, begitulah sebaliknya. Ikmal hanya untuk dirinya dan anak-anak.
            “Aleeya macam mana? Kau tak sedar ke, kau telah sakitkan hati perempuan lain?”
            “Biarlah, apa aku peduli!” Nadia mendengus kasar. Tidak perlu fikirkan perasaan orang lain. Dia buat semua ini demi anak-anaknya. Dia tidak mahu mereka membesar tanpa seorang ayah di sisi mereka.
            “Kau sakitkan hati seorang perempuan, sama seperti kita. Cuba kau duduk di tempat dia, dan dia duduk di tempat kau. Bukan Aleeya yang merampas Ikmal daripada kau, kenapa pula kau nak rampas Ikmal daripada dia?” Hanida mengeluh kesal.
            “Apa aku peduli!” Nadia menjeling.
            “Kenapa kau tak nak sebelahi aku, Hanida? Kenapa kau suka membantah apa saja yang aku buat? Kau tu kawan aku, sahabat aku. Sepatutnya kau sokong tindakan aku, tak kiralah apa pun!” lengking Nadia, geram.
            “Sebab aku kawan kaulah, aku tak suka kau hancurkan hidup orang lain demi kebahagian diri sendiri. Boleh tak kau faham!” kata Hanida bertegas.
            “Uh!” Nadia mengeluh keras.
            “Nadia, cinta tak boleh dipaksa. Memang, dulu mungkin Ikmal cintakan kau. Tapi sekarang, keadaan sudah berubah. Sepatutnya kau doakan kebahagiaan dia, bukan menjadi orang ketiga yang hancurkan rumah tangga yang baru sahaja dibinanya.”
            “Aku perlu juga fikirkan masa depan anak-anak aku, Hanida. Mereka perlukan ayah mereka. Kau kena faham masalah aku!” Nadia mengeluh berat.
            “Mereka masih ada ayah. Ikmal seorang ayah yang baik. Dia tak abaikan anak-anak dia. Dia masih beri segala keperluan mereka. Apa lagi kau nak?” Hanida tidak mahu sahabatnya itu tersalah jalan. Sebagai sahabat sudah menjadi tanggungjawabnya menasihati apa yang perlu. Bukankah Islam menggalakkan agar saling menasihati, berpesan-pesan sesama kita agar tidak tersalah simpang?
            “Kau hanya fikirkan perasaan orang lain saja. Perasaan aku dan anak-anak macam mana?” Nadia tidak mahu mengalah. Dia tahu apa yang sedang dia lakukan. Kenapa Hanida sukar untuk memahami keadaannya?
            “Bukan macam tu... kau ada kerjaya. Gaji kau lumayan, aku rasa cukup untuk kau tanggung anak-anak kau, ditambah dengan duit pemberian Ikmal, lebih daripada cukup. Bukan kau seorang yang jadi janda, Nadia. Ramai lagi di luar sana. Bayangkan jika kau kehilangan terus Ikmal daripada hidup kau dan anak-anak, meninggal misalnya. Waktu itu apa kau nak buat? Bertolak ansurlah!” nasihat Hanida.
            “Uh!” Nadia mengeluh.
            “Kau bukan mangsa keadaan, tapi kau yang cipta keadaan menjadi seperti ni. Sikap degil dan keras kepala kau tu tak bawa kau ke mana-mana pun. Malah, kau kehilangan orang tersayang.”
            Nadia diam. Kisah yang sudah berlalu usahlah dikenang. Memang salah dia yang bertindak membuta-tuli, sekarang sendiri yang susah dan merana.
            “Aku sayangkan kau, Nadia. Aku tak nak kau hanyut dengan impian yang tak pasti. Jadi, berhati-hatilah. Jangan sampai memakan diri,” kata Hanida, sebelum mereka kembali semula ke tempat kerja. Semoga sahabatnya itu sedar, tindakannya akan menghancurkan hati orang lain.
            Nadia terdiam. Sepanjang perjalanan, dia tidak berkata apa-apa. Memanglah kata-kata Hanida benar kesemuanya, tetapi dia tetap dengan keputusannya. Memenangi hati Ikmal untuk kembali kepadanya dan anak-anak.

No comments:

Post a Comment