AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 13 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 29



IKMAL mengeluh berat. Melihat wajah muram dan suram Aleeya membuat hatinya rasa hiba. Nadia pula tersenyum lebar, bermakna bersambung lagi tiga bulan. Bila hendak selesai? Apa kata dia memberitahu Aleeya? Tentu Aleeya boleh memberi kerjasama denganya dan menyelesaikan masalahnya dengan Nadia dan anak-anak. Nadia pula bukan main baik dengan emak dan ayahnya. Waktu menjadi menantu dahulu, tak pula sebaik itu. Kalau ajak balik kampung, ada sahaja alasannya. Sekarang, dengar saja emaknya sakit, terus Nadia nak ikut. Hendak dilarang, syarat yang ditetapkan oleh Nadia sudah dipersetujui.
            “Nampaknya, terpaksalah awak sambung lagi tiga bulan untuk bersama saya dan anak-anak. Kan saya dah kata, Aleeya tak boleh ada di mana saya berada.” Nadia menyengih sambil memeluk tubuh. Dia menyandar di tiang anjung rumah. Anak-anak sedang bermain kejar-kejaran di laman rumah. Jiran tetangga ramai yang sudah balik. Kakak-kakak iparnya sedang berehat di dalam agaknya. Tidak pula kelihatan bayang mereka. Ayah mertuanya berada bersama emak mertuanya.
            “Kenapa awak kejam sangat?” Ikmal menggeleng kesal.
            “Siapa yang kejam? Awak atau saya?” Nadia menjeling.
            “Kenapa saya pulak yang kejam? Bukan awak ke yang paksa saya buat semua ni!” Ikmal mendengus kasar.
            “Saya ajak awak berbalik dengan saya, awak tolak! Awak ingat, saya buat semua ini, untuk kepentingan saya ke? Tu… tengok anak-anak awak tu! Mereka perlukan awak, takkan tak faham-faham juga!” bentak Nadia.
            “Sayakan dah ada isteri, takkan awak tak nampak!”
            “Isteri awak tu boleh diceraikan! Anak-anak awak tu yang paling penting.”
            “Mana boleh macam tu!” Ikmal tidak bersetuju.
            “Saya bagi saranan aje, kalau awak masih tak bersetuju, kenalah awak ikut kehendak saya, tambah lagi tiga bulan!” Nadia tersenyum sinis.
            “Janganlah pentingkan diri sendiri, Nadia.”
            “Siapa yang pentingkan diri sendiri? Awak ke saya?” Rasa hendak tumbuk sahaja bekas suaminya itu.
            “Saya juga?” Ikmal mengeluh kesal.
            “Yalah, kerja senang aje. Kita pergi pejabat kadi, nikah, selesai masalah!” ajar Nadia.
            “Tak perlu ajar saya. Kenapa baru sekarang awak nak berbalik dengan saya? Kenapa tidak dulu? Waktu saya ajak awak kembali pada saya? Awak ingat saya tak boleh dapat perempuan yang jauh lebih muda daripada awak? Anak dara pulak tu. Awak rasa tercabar, itu sebab terhegeh-hegeh nak berbalik dengan saya,” kata Ikmal geram.
            “Sedapnya mulut awak bercakap! Awak ingat saya tak ada maruah diri nak terhegeh-hegeh dengan awak? Heyi, Ikmal! Saya fikirkan lima orang anak awak tulah! Mereka nak ayah mereka! Kenapa bengap sangat ni?” tempelak Nadia geram. Berpuluh kali dia beritahu. Masih juga Ikmal menuduhnya yang bukan-bukan.
            “Apa riuh-rendah ni? Angah nak rehat pun tak boleh?” tegur kak ngah yang muncul dari dalam rumah.
            Nadia dan Ikmal memandang wajah kak ngah yang berkerut dahinya.
            “Apa bising-bising ni, Ikmal?” Kak ngah duduk di kerusi yang terdapat di anjung rumah itu. Dia memandang wajah bekas ipar dan adik bongsunya itu.
            “Tak ada apalah, kak ngah,” balas Ikmal, malas hendak bertekak dengan kakak keduanya itu. Nanti banyak pula ayat-ayat membunuh yang terbit daripada mulut kakaknya itu. Berbeza dengan kak longnya, yang lebih lembut dan berhemah dalam menasihati. Begitu juga abang lang dan abang chiknya, mereka tidak sekeras kak ngah. Entah ikut perangai siapalah kak ngahnya ini.
            “Kenapa si Leya datang tadi? Akak tak sukalah dengan dia, macam sombong aje dengan kak ngah,” adu kak ngah dengan wajah kelat.
            “Mana ada sombong? Kak ngah aje yang perasan,” kata Ikmal mempertahankan Aleeya.
            “Memang sombong, kak ngah... Ikmal aje yang kata tak sombong,” sampuk Nadia.
            “Kau orang berdua, tak boleh ke berbaik semula? Tak kesian ke kat anak-anak?” leter kak ngah.
            “Itulah yang Nadia bagitahu Ikmal, kak ngah, tapi dia tolak. Takut benar dengan bini dia tu.” Nadia menjeling lagi.
            “La… kenapa kau tak setuju, Ikmal?” herdik kak ngah.
            “Mana boleh kak ngah, Ikmal kan dah kahwin lain.” Aduh! Tak faham-fahamlah mereka berdua ini. Ingat dia masih bersendirian lagi agaknya. Aleeya itu dia nak campak ke mana?
            “Ala… lelaki boleh kahwin empat, setakat dua aje, bukan susah mana pun,” kata kak ngah selamba.
            “Amboi, kak ngah! Kak ngah suruhlah bang ngah kahwin lagi, kan lelaki boleh kahwin empat!” Ikmal pulang paku buah keras pada kakak kandungnya itu.
            “Hei, rumah tangga kak ngah tak ada masalah. Yang bermasalah rumah tangga kau! Dah elok berkahwin dan beranak-pinak, sampai cerai-berai. Lepas tu gatal kahwin baru. Kalau dah bercerai, ada anak pula tu, tak payahlah kahwin, bela ajelah anak-anak tu. Ini tak, menyusahkan anak-anak aje berbapa tiri dan beribu tiri. Nanti dideranya budak-budak itu, masuk surat khabar, satu keluarga tanggung malu,” leter kak ngah.
            Ikmal mendengus kasar. Sudah keluar butir bicara yang bagaikan peluru berpandu itu. Aduh, pening kepalanya! Nasib baiklah kak ngahnya tidak jadi peguam, kalau tidak habislah para hakim dan anak guamnya.
            “Ngah! Tak payahlah campur tangan dalam urusan rumah tangga adik, biar dia selesaikan sendiri. Kau pun bersalah juga Nadia, siapa suruh mintak cerai? Ikut hati sangat. Dah jadi macam ini, terhegeh-hegeh nak berbaik semula. Kau ingat kahwin ni, ikut kehendak hati kau aje ke? Waktu suka, berbaik, tak suka, minta cerai,” leter kak long dari muka pintu. Sejak tadi dia mendengar adik-adiknya saling bertelagah.
            “Kak long!” Ngah mengetap bibir. Dia mengerling kakak sulungnya yang terkenal dengan ketegasan dalam menasihati mereka adik-beradik. Nampak sahaja lembut dan tertib kata-katanya. Kalau mengamuk, lebih laju daripada peluru berpandu.
            “Apa salah Leya dengan ngah? Kenapa tak suka kat dia? Dia tu isteri adik kita. Nadia tu bekas isteri adik kita, tengok-tengoklah siapa yang harus kita jaga hatinya. Jangan berat sebelah, ngah. Kenal dulu hati budinya baru nilai orangnya,” tegur kak long lagi. Dia menghampiri adik-adiknya. Wajah mereka dipandang seorang demi seorang. Dia tidak mahu adik-adiknya saling bergaduh hanya kerana tidak sehaluan. Boleh tidak sependapat tetapi bukan sehingga memutuskan silaturahim antara mereka adik-beradik. Air yang dicincang tidak akan putus.
            “Mana ada tak suka?” Kak ngah memandang ke arah lain. Sekali kena tegur, berapi sampai ke hati. Silap hari bulan kena hukum bunuh. Baiklah dia tidak melawan hujah. Takut nanti kalah terbakar. Hangus jadi abu. Sia-sia berdebat dengan Hakim Mahkamah Syariah itu. Uh! Kenapalah dia tidak jadi peguam, bolehlah berlawan hujah dengan hakim yang berada di rumah itu.
            “Kak long bila balik Pahang?” tanya Ikmal untuk mengurangkan ketegangan yang sedang berlaku. Bila Hakim bercakap, berapi-apilah ayat yang keluar. Nanti jadi kes pula. Jenuhlah.
            “Kau pulak nak tuntut apa lagi, Nadia? Tak cukup-cukup ke apa yang dan Ikmal beri? Walaupun kak long berada di Pahang, tapi kes di Kuala Lumpur ni, kak long boleh tahu. Apatah lagi melibatkan adik kak long sendiri.” Wajah bekas adik iparnya dipandang lama. Tamak juga bekas adik iparnya itu.
            “Mana ada tuntut apa-apa lagi?” Nadia menunduk. Dia paling tak suka balik kampung jika ada kakak iparnya yang seorang ini. Berlagak sungguh. Mentang-mentanglah hakim besar. Cakap pun main ikut sedap mulut sahaja.
            “ Nadia, kau jangan nak rosakkan rumah tangga Ikmal. Kak long takkan berdiam diri. Kau jaga anak-anak kau baik-baik. Jangan abaikan mereka. Kalau kak long dapat tahu kau abaikan anak-anak buah kak long, jaga kau,” kata kak long mengingatkan Nadia. Bukan dia nak mengugut tetapi, dia tidak suka cara Nadia memaksa Ikmal berbalik semula. Melihat wajah Aleeya pun dia tahu, ada yang tidak kena. Apatah lagi Ikmal bertindak memarahi isterinya tadi.
            Nadia mengeluh berat. Susah betullah. Kenapalah bekas kakak iparnya ini balik waktu ini?
            “Ikmal pulak, jangan sia-siakan Leya. Nak isteri sebaik mana lagi? Apa lagi yang kurang? Perkara yang lepas jadikan sempadan agar tak berlaku lagi kegagalan dalam rumah tangga. Ikmal ketua keluarga, jangan jadi lembu kena cucuk hidung, walaupun oleh orang lain! Awak tu lelaki, bukan perempuan.  Kena ugut sikit dah kecut!” nasihat kak long.
            Ikmal hanya mengangguk perlahan. Kak longnya macam tahu sahaja apa yang berlaku. Nujum Pak Belalang ke kak longnya ini?
            “Sudah, jangan nak bertekak lagi. Kau Nadia, bila nak balik? Ikmal, jangan tinggalkan isteri lama-lama, tak baik. Kak ngah juga, bila nak balik? Nak tunggu angah telefon, baru nak balik?” Kak long masuk semula ke dalam rumah. Adik-adiknya kalau tidak dinasihat dan bertegas dengan mereka, macam-macam yang boleh berlaku.
Sebagai kakak sulong dan duduk jauh pula itu, dia perlu juga merisik khabar adik-adiknya sekali-sekala. Walaupun mereka sudah berkeluarga, tetapi tanggungjawab sebagai kakak yang sulung tidak pernah diabaikan. Dia tidak mahu membiarkan hubungan kekeluargaan mereka hambar dan tidak mesra. Sudahlah jarang berjumpa, bila berjumpa saling bercakaran. Itu bukan satu hubungan yang baik dan diberkati ALLAH SWT.
            Ikmal terdiam. Kata-kata kak longnya terkesan di hati. Betullah, kenapa dia harus tunduk pada bekas isterinya itu? Dia menjeling Nadia yang bermasam muka, kelat dan bibirnya panjang ke depan. Merajuklah itu bila kena tegur. Lantaklah, tak kuasa nak pujuk.

No comments:

Post a Comment