AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 14 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 30



           
HARI yang sungguh tidak bermaya buat dirinya. Suaminya masih belum balik dari kampung. Telefon pun tidak. Takkan emak mertuanya masih tidak sihat? Aleeya mengeluh kesal. Terasa hidupnya sepi dan kosong. Sikap Ikmal membuatkan dia tertanya-tanya sendiri. Apa yang sedang berlaku? Adakah hubungan Ikmal dan Nadia sudah berbaik semula? Sudah seperti belangkas pula. Malu hendak bertanya, nanti dikatakan cemburu dan menyibuk pula. Kalau tidak bertanya, dia pula yang bersyak wasangka. Susahnya hidup.
            Serba tidak kena saja hari ini. Data yang dimasukkan ke dalam komputernya asyik salah. Malas mula menjalar di hati. Bosan menggamit tiba. Resah membuai rasa. Rindu yang menyapa bagaikan tidak ada pasang surutnya. Rindu mendengar suara suaminya, rindu dengan senyuman dan gelak ketawa suaminya. Ah!  Kenapalah susah benar hidupnya? Banyak pula dugaannya. Bukan dia ambil suami orang. Bukan dia kacau rumah tangga orang lain. Bukan dia minta suaminya memutuskan hubungan dengan anak-anaknya. Dia masih bertolak ansur. Dia masih ada rasa belas ihsan. Tetapi kenapa Nadia kejam sangat? Kenapa suaminya seperti menjauhkan diri? Apa salahnya?
            “Kak! Menung lagi?” Lin menyergah.
            Aleeya memandang selamba.
            Ait! Tidak terkejut. Boleh tahan brutal akak sorang ni?
          “Akak ni, kenapa? Muka macam ayam berak kapur aje? Atau akak tertelan kapur barus?” gurau Lin, sengaja mencipta ayat poyo untuk menggembirakan hati rakan sekerja yang sedang ditimpa masalah rumah tangga yang tidak kunjung padam. Susah juga kahwin dengan duda ini.
            “Entahlah, Lin. Pening kepala akak fikirkan masalah rumah tangga akak. Tak habis-habis dugaan datang menimpa. Apa salah akak ya?”
            “Inilah dugaan namanya, kak. Nak uji ketahanan mental dan fizikal akak aje tu. Sabarlah, kak. Bertenang. Jangan ikut hati, jangan ikut rasa. Bawa-bawalah berdoa agar semua masalah ini akan selesai segera,” nasihat Lin. Macam pakar motivasi rumah tangga pula, sedangkan dia sendiri belum berkahwin. Entah mampu, entah tidak jika diuji dengan ujian seperti ini. Semoga dia tabah dan kuat jika ditakdirkan bertemu jodoh juga akhirnya.
            “Malam ni kita tengok wayang nak tak? Ada cerita baru di panggung. Hilangkan tekanan dalam diri akak,” ajak Lin.
            “Ros dan Ina ikut sekali ke?” Aleeya tersenyum.
            “Oh! Sudah tentulah!” sampuk kedua insan yang disebut namanya tadi.
            “Uh! Macam Jenny dalam botol pula, muncul tiba-tiba,” usik Aleeya. Dia ketawa nipis.
            “Kalau saya Jenny dalam botol tu, saya lenyapkan terus si Nadia tu kak, biar tak ganggu akak lagi,” kata Ina dengan dahi berkerut.
            “Ha’ah kak... akak jangan susah hatilah. Nanti semua kerja tak jalan. Kita makan gaji kak, kalau kerja tak siap, dipanggil oleh orang atas. Nahas kita,” nasihat Ros.
            Mereka bertiga berkumpul di hadapan meja Aleeya seperti biasa. Rakan-rakan sekerja yang lain sudah faham sangat dengan perangai mereka.
            “Kau orang ni asyik keluar berjalan aje. Cemburu akaklah!” Rozita mencebik. Dia tidak berpeluang ikut rakan-rakan sekerjanya sebab suaminya tidak benarkan. Terpaksalah dengar cakap suami, kan?
            “Alah, kak… akak ada suami, kami lagilah cemburu. Kami bertiga ni dara pingitan yang kesunyian. Tak tahulah di mana kurangnya. Nak kata tak cantik, kalah Neelofa. Nak kata tak menarik, kalah Emma Maembong.” Ina menyengih. Memuji diri sendiri. Siapa lagi nak puji, kalau bukan diri sendiri, kan?
            “Masalah lagi ke, Leya?” Rozita memandang wajah Aleeya yang muram.
            “Biasalah, Rozita.” Aleeya tersenyum nipis. 
            “Inilah asam garam rumah tangga, kau bersabar dan berdoa. Itu ajelah yang mampu aku bagi tahu. Tabah ya,” nasihat Rozita sebelum kembali ke tempatnya.
            Ya, dia akan bersabar dan berdoa, semoga ALLAH SWT memberi petunjuk dan hidayah serta kesabaran yang tinggi padanya.
            “Macam mana, kak... jadi nak tengok wayang malam ni?” Lin beralih cerita.
            “Insya-ALLAH, nanti akak mesej suami akak. Kalau dia benarkan akak ikut.” Aleeya riang semula. Rakan-rakannya memang pemberi semangat yang baik. Mereka tidak pernah menasihatinya yang bukan-bukan. Malah, sentiasa menyuruhnya bersabar dan tabah menghadapi ujian ini. Mereka bukan penabur garam dalam lukanya yang dalam. Luka yang bernanah pun akan sembuh kalau baik ubat yang diterima. Merekalah ubat yang terbaik buatnya. Penenang yang mendamaikan jiwa.
            “Okey, pukul 8.00 malam kami tunggu panggilan daripada akak.” Ina mengenyit mata. Dia terus kembali ke tempatnya. Kalau lama-lama bersembang, alamat kena panggil dengan pihak yang bertanggungjawablah.
            “Okey, kak… tenang dan jangan susah hati. Hidup harus ceria. Nanti lekas tua, kak... kalau asyik berkerut dan bermuram aje. Jatuh pipi tu nanti, dah tak cantik,” usik Lin. Dia memeluk bahu Aleeya erat.
            “Terima kasih, Lin…” Aleeya tersenyum semula.
            Bolehlah dia tersenyum lama. Pasti ke dia tidak akan ingat semula dengan apa yang sedang berlaku dalam rumah tangganya? Mana boleh lupa? Ini masalah dia. Mungkin boleh mengurangkan sedikit beban di hati jika ada teman sekeliling yang mampu memberi semangat.
            Tabahlah Leya, bisik hatinya. Terasa rindu pula dengan emak di kampung. Sudah lama juga dia tidak bertanya khabar kedua orang tuanya. Bukanlah dia tidak ingat, tetapi kekangan waktu membuatkan dia tidak sempat untuk melefon dan bertanya khabar. Alasan seorang anak yang mudah lupa pada orang tua sendiri.
            Dia memandang jam tangan. Sudah menginjak petang. Tidak lama lagi, masa untuk pulang ke rumah. Suaminya, entah di mana. Tiada khabar berita. Kalau dia menelefon, ada masalah tak? Bermain dengan soalan demi soalan, jawapannya tentulah tidak seindah yang diharapkan. Akhirnya, dia menghantar pesanan ringkas kepada suami tercinta. Hanya untuk memberitahu, dia akan pulang lewat kerana bersantai bersama kawan-kawan. Usah dirisaukan ke mana dia pergi. Tahulah dia mencari jalan pulang. Sebak mencengkam hati.
 Abang, Leya rindukan abang. Hatinya berlagu sendu. Air mata yang mula nak gugur, cepat-cepat diseka dengan hujung baju. Malu dilihat oleh rakan-rakan sekerja.

No comments:

Post a Comment