AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 15 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 31



DI RUMAH mereka seperti orang asing. Bercakap tidak, kalau hendak bertanya, sepatah yang keluar, sepatah yang dijawab. Kenapa hubungan mereka menjadi dingin? Apa masalahnya? Aleeya memerhati sahaja tingkah laku suaminya dengan ekor mata. Baru petang tadi suaminya pulang dari kampung. Sepatah dia tidak bertanya, kenapa lambat. Emak teruk sangat ke? Nadia ikut balik sekali ke? Soalan lagi. Itulah yang dia pandai. Pandai reka soalan yang tiada jawapan.
            “Abang, apa nak jadi dengan kita ni? Abang buat hal abang, Leya buat hal Leya. Sampai bila? Abang kenapa? Apa dah jadi?” Akhirnya, dia bersuara juga. Bukan apa, malas nak layan persoalan yang tiada jawapannya. Dia inginkan jawapan. Itu hak dia.
            “Kenapa? Awak tak suka?” Ikmal mengerling.
            “Memanglah Leya tak suka! Leya nak abang yang dulu, yang ceria, yang penuh dengan kasih dan sayang, bukan macam ni!” bentak Aleeya. Tidak bermaksud hendak meninggi suara, tetapi dia sudah tidak mampu mendiamkan diri.
            “Abang kan ada ni? Mana abang pergi mana-mana? Mana ada masalah?” Ikmal mendengus kasar.
            “Abang sengaja nak permainkan Leya ya? Abang dah tak suka dengan Leya ke?” Aleeya menjegilkan mata. Bertikam pandangan dengan suami sendiri.
            “Kenapa cakap macam tu? Abang dah buat apa dengan Leya?” soal Ikmal. Wajahnya mencuka.
            “Abang buat apa? Abang tak tahu ke, yang abang dah abaikan Leya?”
            “Tak pun, abang balik rumah juga. Abang sediakan makan pakai Leya macam biasa. Apa yang kurang?” Ikmal mendengus kasar.
            “Abang nak berbalik dengan bekas isteri abang tu ke?” jerkah Aleeya sudah hilang kesabarannya. Hendak jaga tatasusila perempuan Melayu dan Islam sudah melayang pergi. Rasa marah dalam diri memang tidak berguna langsung. Merosakkan hati naluri seorang perempuan yang baik budi pekertinya.
            “Hai! Dah pandai meninggi suara? Dah pandai jerkah abang?” Ikmal menjegilkan mata. Membulat matanya memandang wajah Aleeya.
            “Siapa pun akan marah, bang… kalau dirinya dipersia-siakan. Leya tak pernah melarang abang mendekati anak-anak abang. Layan mereka sebaik mungkin, sebab itu dah jadi tanggungjawab abang sebagai ayah mereka. Tapi, bukan sampai mengabaikan Leya!” kata Leya bertegas.
Biarpun dia tidak suka bertengkar dengan suaminya, kalau boleh memang dia tidak mahu. Tidak menarik langsung jika asyik bercakaran. Kalau cakar Harimau tidak mengapa, mengeratkan lagi kasih dan sayang. Ini tidak, cakar musang agaknya. Aleeya mencebik.
            “Awak tu saja terperasan diabaikan. Abang tak rasa pun mengabaikan Leya.” Ikmal berdehem. Layan orang perempuan bertekak, tujuh hari, tujuh malam takkan habis.
            “Hah? Terperasan?” Aleeya mencekak pinggang. Dia boleh kata aku terperasan? Helo, aku duduk dalam dunia mana ya? Adakah aku bermimpi?
            “Yalah! Dahlah, abang dah mengantuk. Kalau awak rasa tak puas hati, ikut suka awaklah abang tak pernah abaikan Leya! Faham!” Ikmal terus naik atas katil dan merebahkan tubuhnya.
            Aleeya mengetap bibir. Dia membuka mulut seluas-luasnya. Cukup tak, nak telan suaminya itu hidup-hidup! Dia berpusing kiri, berpusing kanan. Mulutnya masih terbuka luas. Eeii! Geramnya! Boleh buat tak tahu sahaja? Mana boleh macam ini. Kalau nak lepaskan geram dan marah, kena perang betul-betul. Bukan boleh sikit-sikit. Erk… pukul dengan besi paip? Berkesan tak? Eeii… mana boleh, nanti jadi kes dera. Terpampang di dada akhbar, isteri dera suami… siapa itu? Dialah! Tak nak, tak nak! Kalaulah dia menjerit betul-betul, pasti bergema sehingga ke luar.
Matanya tepat memandang wajah suaminya yang kononnya sudah pun terlelap. Aleeya membaling bantal yang berada di tangan.  Gedebuk jatuh di tubuh suaminya. Dia tak sedar?  Tak guna! Tak guna!
            “Leya kenapa? Main baling-baling pulak?” jerkah Ikmal.
            Aleeya terkejut. Ingatkan tak sedar. Rupanya sudah bangun. Hmm… ada dia kisah. Aleeya memandang ke arah lain.
            “Tidurlah! Esok nak kerja,” marah Ikmal.
            ‘Dia marah aku? Abang marah Leya? Sampai hati abang. Apa salah Leya pada abang?  Mahu sahaja dia menangis dan meraung ketika itu. Apalah punya suami, dia minta dipujuk pun tak faham-faham juga. Datanglah pujuk! Aleeya menghentak kaki di lantai, macam budak kecil. Uh! Dia sudah tidur balik? Memang kena pujuk diri sendirilah nampaknya.
Aleeya duduk di sofa yang terdapat di dalam bilik tidur itu. Dia memandang sahaja tubuh suaminya yang sudah mula berdengkur. Sudah betul-betul tidurlah, agaknya. Aleeya mendekati.  Apalah dia nak buat untuk lepas geram ini. Tidak boleh lawan suami, berdosa. Tidak boleh berkasar, berdosa. Aleeya mendekati meja solek. Dia menyengih. Lima minit kemudian, tugasnya selesai. Dia menyengih sendiri. Tubuhnya direbahkan di sebelah suaminya yang lena. Senyuman masih mekar di bibirnya. Tahulah suaminya esok! Aleeya memejamkan mata setelah membaca doa tidur dan berzikir dalam hati sehinggalah dia terlena sendiri.
            Azan subuh berkumandang, sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya. Suara yang paling menyakitkan telinganya adalah…
            “Leya!? Buat apa ni?!” jerit Ikmal dari dalam bilik air.
            Terbuntang mata Aleeya. Dia cuba mengingati semula apa yang telah dia lakukan. Apa yang dia telah buat? Perlahan-lahan dia tersenyum. Kemudian, ketawa sekuat hati… erk… Cuma dalam hati sahaja tahu, tak berani ketawa kuat-kuat nanti kena jerkah. Matanya memandang ke arah bilik air yang masih tertutup. Tiba-tiba muncul seraut wajah yang telah siap bersolek. Pecah gelak Aleeya.

No comments:

Post a Comment