AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 17 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 33



MATANYA dijegilkan sebesar mungkin. Aleeya yang menunduk dan tidak berani memandangnya sedikit pun tidak menyentuh hatinya. Sengaja hendak menyusahkan dirinya. Malu dia dengan Juita dan Shukri tadi. Nasib baik mereka pekerja dia. Kalau tidak pasti dia digelakkan.
            “Kenapa Leya tak bagitau yang baju abang pakai tu terbalik?” herdik Ikmal.
            “Laa… abang perasan ke? Ada orang perasan ke?” tanya Aleeya perlahan. Mukanya masih tidak berani diangkatkan untuk memandang Ikmal.
            “Siapa yang tak perasan? Leya sorang aje tak perasan!” jerkah Ikmal.
            “Leya nak tegur pasal baju abanglah pagi tadi. Abang menonong aje pergi. Tak sempat nak bagitau. Itulah lain kali jangan tahu nak marah isteri aje.” Aleeya mencebik.
            “Kenapa tak tegur terus?” Ikmal menghentak meja.
            “Tak sakit tangan ke bang, main hentak-hentak ni?” sindir Aleeya.
            “Leya nak kenakan abang lagi ya?”
            “Taklah... yang abang marahkan Leya, kenapa? Baju terbalik tu salah abang. Kalau abang dengar cakap Leya pagi tadi, taklah abang diketawakan,” kata Aleeya. Memang dia ada halang Ikmal dan ingin beritahu tentang baju terbalik itu. Tetapi suaminya yang kuat dan tinggi egonya itu buat tidak faham. Nasiblah.
            “Uh! Abang nak keluar. Tak payah masak. Kalau Leya nak makan apa-apa pergi ajelah beli di kedai depan tu,” kata Ikmal. Dia sudah pun berada di pintu utama.
            “Abang! Sesekali duduklah di rumah, temankan Leya,” rayu Aleeya mengharap. Wajah suami tercinta hinggap di mata.
            “Abang dah janji dengan anak-anak. Hari ni hari lahir angah. Abang nak bawak dia orang keluar,” terang Ikmal.
            “Nadia ikut sekali ke?” tanya Aleeya perlahan.
            “Mak mereka ikut sekalilah… kalau tak macam mana nak bawak yang kecik tu,” jawab Ikmal.
            “Tak boleh bawa Leya sekali ke?” tanya Aleeya. Dia berdiri di muka pintu.
            “Leya sendiri tahu jawapannya, kan? Nadia tak suka Leya dekati anak-anaknya,” jelas Ikmal.
            “Abang kenalah bertegas dengan bekas isteri abang tu. Leya ni isteri abang tau. Bukan perempuan simpanan!” bentak Aleeya, geram.
            “Kenapa cakap macam tu? Abang keluar nak raikan hari lahir angah aje, bukan nak bercengkerama di luar tu,” kata Ikmal tegas.
            “Yalah, minggu lepas hari lahir along. Bulan ini hari lahir angah. Esok hari lahir alang, dan seterusnya. Hari lahir siapa lagi abang nak raikan?” Aleeya mendengus kasar.
            “Leya! Mereka tu anak-anak abang tau! Dah menjadi tanggungjawab abang. Leya tak boleh membantah atau melarang!”
            “Leya pulak siapa pada abang?” Aleeya mengetap bibir. Berdebar jantungnya. Berair tubir matanya. Ikmal hanya tahu menjaga hati dan perasaan anak-anaknya, bagaimana dengan perasaan dia sebagai seorang isteri? Haknya mana?
            “Sudahlah! Lain kali kita bincang!” Ikmal mendengus kasar. Malas melayan omongan Aleeya yang semakin hari semakin menyakitkan hati. Sudah pandai melawan pula itu.
            “Abang!” jerit Aleeya. Hilang rasa malunya pada jiran sekeliling. Dia mendengus kasar, memandang kereta suaminya meluncur meninggalkan pekarangan rumah dengan hati yang membara. Kalaulah ada batu di hadapannya sekarang, rasanya dia sudah baling kereta suaminya. Geram! Mana boleh tahan! jeritnya sendiri di dalam hati.
            “Kenapa Leya?” sapa jiran sebelah yang menjengah.
            Alamak! Kuat sangat ke jeritannya? Aleeya benar-benar serba salah. Dia mendekati pagar rumah yang memisahkan ruang laman rumahnya dan ruang laman jirannya. Aleeya menyengih. Buat muka selamba dan gembira.
            “Tak ada apa-apa Kak Na, Abang Ikmal terlupa bawa telefon bimbitnya,” kata Aleeya. Takkanlah nak cerita yang sebenar. Biarlah berbohong, demi maruah diri.
            “Ingatkan apa tadi. Takut juga Kak Na ada apa-apa tadi,” kata Kak Na. Dia mengurut dada.
            “Okeylah Kak Na, Leya masuk dulu ya…” Aleeya meminta diri sebelum panjang pertanyaan jirannya itu.
            “Yalah… kalau ada apa-apa, cepat-cepatlah beritahu Kak Na ya?”
            “Baik kak…” Aleeya tersenyum lagi. Dia terus masuk ke dalam rumah. Daun pintu ditutup perlahan. Tidak mahulah tunjuk yang dia memprotes pula kalau dia tutup pintu kuat-kuat.
            Aleeya menapak ke dalam bilik yang semakin sepi dan sunyi itu. Apa yang telah berlaku dengan rumah tangganya? Kenapa Ikmal berubah? Sudah dua bulan Ikmal buat tak endah dengannya. Menangis? Ya! Hanya itu yang dia tahu untuk melegakan perasaannya. Melegakan rasa gundah-gulana. Rasa sepi yang terus mencengkam hati. Ada suami bagaikan tiada. Kenapa dengan suaminya? Ah! Kalau macam ini selamanya, boleh gila jadinya. ‘Bermadu’ dengan anak-anak tiri yang diracun fikirannya oleh bekas isteri suaminya bukanlah mudah. Memang tidak patut! Hak dia dinafikan dengan begitu mudah. Makan hati berulam jantunglah jawabnya.
            Matanya tidak henti-henti memandang jam di dinding. Mengira setiap saat dan waktu yang berlalu. Ternanti-nanti kelibat suami tercinta. Bukan hendak menyerang, tetapi ingin bertanya. Kenapa ada perubahan dalam diri? Tidak ada lagikah cinta di hati? Kalau sudah tidak suka, hantarlah dia kembali ke rumah orang tuanya. Ini bukan drama minggu ini. Ini hakikat. Dia tidak boleh bertenang atau bersabar jika inilah kehidupan yang ingin disajikan. Biarpun bertutup baik, bersih tetapi jika hati terusik, terganggu tetap tidak mampu menjamahnya.
Biarlah dia hidup sendiri, daripada menanggung derita yang panjang. Selagi bernyawa anak-anak suaminya itu, selagi itulah suaminya terpaksa menghabiskan masa dengan mereka. Itulah hakikatnya.  Padan muka dia, tak nak selidik dahulu, sama ada anak-anak tirinya suka atau tidak dengan dia. Sudah jadi macam ini, apa yang harus dia lakukan lagi? Terima seadanya, telan selagi boleh. Bersabar dengan ujian dan jangan berhenti berdoa dan berharap semuanya akan selesai dengan jalan penyelesaian yang baik buat semua.
            Hati, bersabarlah. Jiwa, bertenanglah. Kalbu, redhalah. Ya ALLAH hanya pada-MU kuberharap dan berdoa agar ENGKAU permudahkan segala urusan perjalanan rumah tanggaku, doa Aleeya di dalam hati. Mata terpejam perlahan-lahan membuang jauh rasa sakit di hati.

No comments:

Post a Comment