AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 18 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 34



IKMAL tersenyum bahagia melihat wajah anak keduanya yang tersenyum gembira. Kek chiffon berbentuk padang bola, siap dengan para pemain dan tiang golnya terhidang indah di atas meja. Malam yang sungguh bermakna buat anaknya itu. Berkali-kali Ikmal mengucapkan selamat  ulang tahun kelahiran buat angah.
            “Angah nak hadiah apa?” tanya Ikmal. Dia belum membeli apa-apa hadiah untuk anak lelakinya itu.
            “Ha’ahlah… ayah tak beli lagi hadiah untuk angah,” kata Nadia sambil mengerling Ikmal yang duduk menghadapnya. Semakin hari semakin kacak di pandangan mata. Menyesal pula minta cerai daripada bekas suaminya itu. Itulah, nasihat orang tua-tua, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Tidak berguna ke? Masih boleh diajak untuk bersama semulalah. Kenalah tahu caranya. Dia tersenyum sendiri.
            “Angah nak hadiah apa? Jangan mahal-mahal pulak?” Ikmal menanti jawapan dari mulut mungil anaknya itu.
            “Hadiah angah tak mahal, angah cuma nak, mama dan ayah berbalik semula. Itu hadiah yang angah nak, boleh tak?” Angah memandang wajah Ikmal dan Nadia silih berganti.
            Ikmal terkedu. Baru enam tahun, takkan sudah pandai minta hadiah seperti itu? Ikmal menjegilkan mata, memandang Nadia yang tersengih memandang anak kedua mereka.
            “Apa?” Nadia angkat tangan separa dada dan bahu tanda tidak tahu.
            “Ini mesti awak yang ajar,” tempelak Ikmal.
            “Apa pulak saya?” Nafi Nadia.
            “Kalau tak ada orang yang cakap, tak adalah angah pandai mintak macam tu!” kata Ikmal geram.
            “Jadi? Awak ingat saya yang ajar?”
            “Siapa lagi kalau bukan awak? Dalam perjanjian kita tak ada itu semua, faham!” Ikmal kurang senang dengan hadiah yang diminta oleh anaknya itu. Mana mungkin dia menunaikannya. Kenapa Nadia masih tidak faham-faham? Kenapa masih mengharapkan dirinya?
            “Ikmal… pernah tak awak terfikir, jika saya berkahwin lagi, anak-anak awak akan dapat ayah tiri? Kalau suami baru saya tak sayangkan anak-anak awak, macam mana?”
            “Saya akan ambil mereka! Itu awak jangan bimbang.”
            “Saya tak suka anak-anak saya ada ibu tiri!” Nadia mencebik. Tidak sesekali membiarkan anak-anaknya beribu tiri.       
            “Habis tu? Awak nak saya buat apa? Siapa yang mintak cerai? Bukan awak ke? pernah awak fikirkan anak-anak ketika tu? Awak fikirkan diri awak aje. Dah jadi macam ni, pandai pula awak gunakan anak-anak. Hei, Nadia… awak jangan pentingkan diri sendiri aje. Fikirkan orang lain sama,” bebel Ikmal. Hilang rasa sabar di hati.
            “Apa awak cakapkan ni, Ikmal? Awak salahkan saya pula? Kalau awak tak menggatal dengan bekas setiausaha awak tu, taklah jadi macam ni!”
            “Siapa yang menggatal? Awak tu yang cemburu buta! Tuduh saya yang bukan-bukan, akhirnya apa yang awak dapat? Gelaran Jandalah!” kata Ikmal tegas.
            “Mama… ayah! Kenapa bergaduh?” Along memandang wajah kedua orang tuanya.
            “Jumpa aje bergaduh, jumpa aje bergaduh. Tak boleh ke berbaik-baik?” sampuk angah pula.
            Merah padam wajah Ikmal yang cerah itu.
            Nadia memandang ke arah lain. Matanya berkaca. Hiba tiba-tiba datang menyuntik di hati. Terasa kesannya menjalar di seluruh tubuh. Kenapa keras sangat hati Ikmal? Kenapa mereka tidak boleh berdamai semula demi anak-anak?
            “Maafkan ayah!” ucap Ikmal sambil memeluk bahu angah yang duduk di sebelahnya.
            “Jom, kita makan kek,” ajak Ikmal, mengubah topik cerita. Tidak mahu mengganggu saat-saat gembira mereka bersama. Dia mengerling Nadia yang tidak memandangnya lagi.
            “Mama!” panggil along sambil menyentuh tangan Nadia.
            “Ya, sayang…” Nadia tersenyum manis. Cuba melupakan apa yang berlaku sebentar tadi.
            “Jom makan kek,” ajak along. Senyuman manis terukir di bibirnya.
            Nadia mengusap lembut kepala anak sulungnya. Dia mengambil piring dan mula memotong kek yang ada. Anak-anak riuh-rendah meminta kek kegemaran mereka itu. Kek chiffon berlapis pandan, memang sedap.
            “Mama… kami main kat taman permainan tu boleh tak?” tanya along mengharap. Angah sudah ada di sisinya turut ingin ke sana. Alang juga begitu. Tinggal yang kedua bongsu dan bongsu yang masih kecil. Taman permainan itu hanya beberapa meter dari tempat mereka duduk.
            “Boleh, tapi jangan panjat-panjat,” pesan Nadia pada anak-anaknya.
            Setelah anak-anaknya berlalu, Nadia memandang Ikmal.
            “Benci sangat awak pada saya,ya? Saya ajak awak berbalik semula pun awak tak nak. Saya tahu salah dan silap saya. Izinkan saya perbetulkannya. Lagipun kasihan dengan anak-anak. Mereka perlukan awak di sisi mereka, bukan hanya di hujung minggu. Tetapi setiap saat dan selagi nafas mereka berdetik.”
            “Saya dah berkahwin lain, Nadia. Tak mungkin saya menduakan dia,” tolak Ikmal. Bukan dia tidak simpati atau kasihan dengan anak-anak, tetapi dia tidak mahu melukakan hati Aleeya. Sekarang ini pun, dia telah melukakan hati isterinya itu. Dia tidak berdaya menerangkan apa yang sedang berlaku. Itulah syarat yang telah dijanjikan dengan Nadia.
            “Dia tak ada anak lagi dengan awak, kalau awak ceraikan dia… saya rasa ada lelaki yang akan ambil dia jadi isteri, dia masih cantik. Saya janda anak lima, siapa yang nak?” ujar Nadia. Dia benar-benar mengharap.
            “Awak ingat, senang ya? Kalau suka, kahwin. Tak suka, cerai. Bagi awak, nikah kahwin ni macam tukar baju ya?” Ikmal menggeleng kesal. Perkataan cerai mudah sahaja bermain di bibir Nadia. Matanya memandang ke arah anak-anak yang sedang bermain. Hati siapa yang tidak simpati, hati siapa yang tidak kecewa. Anak-anak menjadi mangsa bila kedua orang tua bercerai dan berpisah. Aleeya bagaimana? Adakah wajar dia menceraikan isterinya itu semata-mata memenuhi kehendak anak-anaknya? Kebahagiaan yang begitukah yang dia kejarkan? Tidak tergamak rasanya menyakiti hati Aleeya.
            “Fikirkanlah masa depan anak-anak, Ikmal!”
            “Awak bagi aje anak-anak tu kat saya, biar saya dan Aleeya jaga mereka. Awak carilah suami lain,” cadang Ikmal.
            “Mana boleh? Itu anak-anak saya!” Nadia menolak keras.
            “Kita tak ada jalan penyelesaian, Nadia. Saya takkan menceraikan Aleeya. Atas alasan apa saya nak bagi tahu pihak mahkamah sebab-sebab saya menceraikan Aleeya?”
            “Cakap ajelah awak tak hidup bahagia, dia pulak tak mengandung lagi.”
            “Rapuhnya alasan. Awak ingat mahkamah bodoh ke? Banyak sesi lagi yang terpaksa dilalui untuk membolehkan pasangan itu bercerai.”
            “Awak sengaja cari alasan ya, Ikmal?” Nadia tidak berpuas hati. Alasan, alasan, alasan. Bekas suaminya pandai mencipta alasan.
            “Ikut sukat awaklah! Kalau anak-anak persoal satu hari nanti, pandai-pandailah awak menjawabnya!” Nadia mencempung anak bongsunya dan berjalan ke taman permainan. Malas hendak menghadap wajah Ikmal. Dipujuk, dirayu, keputusan masih tidak diperoleh. Memang keras hati betullah!
            Ikmal mengeluh. Dia sendiri pening memikirkan masalah yang ada. Kalaulah dia masih solo rasanya tidak susah untuk dia berbalik semula dengan Nadia. Tapi, dia sudah ada Aleeya yang baik, setia dan bertanggungjawab itu. Mana mungkin dia tinggalkan isteri sebaik Aleeya. Entah bagaimana keadaan isterinya tadi. Ditinggalkan dalam keadaan marah. Ikmal mengeluh kesal. Maafkan abang, Leya, bisik hati kecil Ikmal.

No comments:

Post a Comment