AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 19 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 35



ALEEYA berjalan seperti orang malas. Hidupnya benar-benar rasa tidak bahagia. Tubuhnya juga terasa lesu dan tidak bermaya. Kalau kepala sudah sarat dengan masalah, hati pula terasa hiba memanjang, segala urat saraf juga tidak mahu berfungsi dengan baik. Maka terciptalah kemalasan tahap gaban. Gaban itu apa? Entahlah… orang selalu sebut. Dia pun sebutlah. Tidak kisahlah, asalkan boleh sebut dan eja. Dia melintas jalan tidak pandang kiri dan kanan.  Kepalanya berat, hatinya sarat dengan masalah sehingga kosong di dalam fikiran.
            ‘Pon! Pon!’ jerit hon kereta.
            Aleeya terkejut. Dia memandang kiri dan kanan. Alamak! Dia berada di jalan raya rupanya. Kereta yang berada di hadapannya dan hampir melanggarnya itu dipandang lama.
            “Hoi! Tepilah!” jerit pemandu kereta mewah BMW berwarna perak itu.
            Uh! Padanlah sombong dan berlagak, rupanya pakai kereta mewah.
            “Nak mati ke?” jerit pemandunya lagi.
            Aleeya cepat-cepat ke tepi. Dia belum hendak mati lagilah. Memang dia tidak perasan yang dia sudah ada di jalan raya. Ingatkan masih di bahu jalan.
            “Kalau nak bunuh diri, pergi kat rel kereta api!” Sempat lagi pemandu kereta itu menyindir.
            “Hoi! Siapa yang nak mati? Awak kot?” balas Aleeya tidak mahu kalah. Dia menjelirkan lidah ke arah pemandu BMW itu. Langsung dia tidak gentar.
            “Dik… janganlah lawan. Kang jadi kes lain pula, memang salah adik tadi,” tegur seorang pengawal keselamatan yang ada di situ.
             Aleeya memandang lelaki itu. Mungkin pengawal keselamatan yang bekerja di bank berhampiran.
            “Memanglah salah saya, bang. Tapi, janganlan menyindir kata saya nak bunuh diri. Bunuh diri tu berdosa besar, ALLAH tak ampunkan orang yang sesat macam tu. Saya masih ada agama, masih waras,” terang Aleeya. Dia menyengih dan melangkah masuk ke dalam bank. Dia ingin mengirimkan duit buat keluarganya di kampung. Berdebar-debar juga hatinya akibat dihon oleh pemandu kereta BMW itu. Berlagak! omel Aleeya sendiri.
            Usai memasukkan duit, Aleeya terus melangkah keluar. Kali ini, dia memang cemekap. Apalah yang ada di dalam kepalanya. Dia langsung tidak memandang kiri, kanan dan hadapan. Pintu cermin yang ditolaknya dengan kuat telah terkena seseorang. Alamak! Bala lagi, bisik hati kecilnya.
            “Hoi! Tak nampak orang ke?” marah lelaki yang terkena lempangan cermin pintu di bank komersial itu.
            Aduh! Aleeya serba salah. Habislah! Kalau patah hidung lelaki itu, mahu dia kena saman. Memanglah dia tidak nampak kemunculan lelaki itu.
            “Awak lagi? Awak ni, kenapa? Banyak berangan ya? Kalau nak kahwin dengan anak raja sekalipun, beranganlah di rumah!” jerkah lelaki itu tanpa rasa segan-silu.
            Ewah, ewah, ewah… bahasa. Indahnya! Orang Melayu ke? Aleeya menjegilkan mata. Orang ramai yang berada di dalam bank semuanya sudah memandang mereka yang bertengkar itu. Malu besarlah nampaknya kali ini, kata Aleeya dalam hati.
            “Sedapnya mulut awak bercakap! Saya tak sengajalah! Mana saya tahu awak nak masuk? Ada tertulis di mana-mana ke yang kata awak nak masuk ke dalam bank ni?” marah Aleeya, tidak mahu kalah. Malulah kalau dia mengalah. Tengok itu, ramai menjadi saksi. Ops! Jangan dirakamkan sudahlah, masuk Youtube, seantero dunia kenal dirinya. Malulah!
            “Sudahlah, pergi balik! Menyusahkan orang aje. Tadi nak bunuh diri, sekarang nak bunuh orang pulak!”
            “Bunuh diri? Siapa? Awak? Siapa pulak nak bunuh orang? Awak jugak ke?” Aleeya mencebik. Dia menjeling tajam.
            “Awaklah!” Lelaki itu menunjuk penumbuk.
            Aleeya terdiam seketika. Daripada dia melayan mat poyo yang datang entah dari mana itu, baiklah dia kembali ke pejabat. Urusannya di bank sudah selesai. Masalahnya dengan lelaki itu, biarlah selesai di mahkamah akhirat. Malas nak fikir.
            “Hoi! Nak ke mana tu? Dah nak bunuh diri, menyusahkan orang. Nak bunuh orang pun tak tahu nak minta maaf ke?” kata lelaki itu agak lantang.
            Amboi! Sedapnya dia bercakap. Ingat dia tidak ada maruah agaknya. Orang dalam dan luar bank semuanya sudah memandang adegan terlebih melampau mereka berdua. Disuruh dia pula minta maaf? Aleeya menoleh. Wajah lelaki itu diamati. Kacaknya! Hmm... ingat ya, dia sudah bersuami. Kacak macam muka bangla yang tak siap. Ejek Aleeya dalam hati. Kejap, kejap, kejap! Macam kenal saja wajah ini ya? Tapi di mana? Aleeya mengerut dahi.  Dia mula berfikir. Ligat akalnya menerawang jauh mengingatkan kisah silam. Kisah sepasang teruna dan dara yang bermain air di kali sambil memancing ikan puyu untuk dibuat pekasam.
            “Hah! Berangan! Memang nak berlakilah tu!” sindir lelaki itu. Dia memeluk tubuh, matanya tajam menikam mata Aleeya yang sedang merenungnya.
            “Apa pandang-pandang? Nak goda akulah tu!”
            “Goda kau? Tak kuasa aku!” Aleeya buat geli-geleman. Kacak lagi suaminya. Muka macam tong pecah, ada hati nak perasan.
            “Tak tahu minta maaf ke?” jerkah lelaki itu.
            “Ya, ya, ya... minta maaflah! Saya tak sengaja!” kata Aleeya selamba. Erk… nak tanya ke tidak ini? Aleeya berfikir sejenak.
            “Minta maaf pun macam terpaksa aje,” kata lelaki itu lagi.
            “Orang dah minta maaf pun dah kira baik tau!” Aleeya menjeling. Berlagak betul.
            “Boleh saya tahu nama awak?” tanya Aleeya ingin tahu.
            “Kenapa? Nak buat laporan polis pula? Atau nak berkenalan dengan lelaki sekacak saya,” sindir lelaki itu.
            “Tak kuasa saya.” Aleeya mendengus kasar.
            “Ingat cerita dalam novel ke? Kalau terlanggar aje jatuh cinta?” Lelaki itu ketawa nipis.
            Sah! Sah! Sah memang dia! Macam manalah boleh terserempak di sini? Wah, sudah tidak tembam lagi, kacak bergaya. Pakai kereta mewah. Baju berjenama. Kerja apakah dia? Kali terakhir mereka bertemu kira-kira 25 tahun yang lalu. Tinggi juga dia. Wah, hari ini dia telah melakukan dosa, membelek wajah lelaki lain. Memang tidak patutnya Aleeya oi!

No comments:

Post a Comment