AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 20 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 36



PECAH gelak mereka berdua. Kejadian yang tidak disangka-sangka membawa pertemuan semula. Jejak kasih yang tidak diduga. Geli hati memikirkan kejadian tadi. Sama-sama kasar, sama-sama brutal. Memang perangai sama. Nasiblah mereka tidak berjodoh, kalau tidak boleh runtuh rumah mereka. Kalau sudah hari-hari bertekak, berperang tetapi tidaklah sampai berparang. Lama juga mereka tidak berjumpa, setelah Aleeya dan keluarga berpindah dari kampung neneknya. Sejak itu mereka terus terputus hubungan ditambah lelaki itu masuk ke sekolah berasrama penuh.  Lagilah mereka terpisah jauh.
            “Kau masih garang ya, Leya. Aku ingatkan dah besar panjang, berubahlah hendaknya. Tapi masih sama. Brutal betul.”
            “Kau pun apa kurangnya, Amran. Langsung tak pandai nak berlembut dengan perempuan. Cakap kasar aje, ada ke perempuan yang nak dekat dengan kau ni?”
            “Kau ingat aku teruk sangat ke?” Amran menyengih. Wajah Aleeya yang sudah banyak berubah itu dipandang lama. Tetap cantik, walaupun tidaklah secantik Amy Mastura.
            “Tak sangka kita akan bertemu lagi ya?”  kata Aleeya gembira.
            “Macam mana kau boleh cam aku tadi? Aku langsung tak kenal kau.” Amran mengerut dahi. Bagus sungguh ingatan sahabatnya itu. 25 tahun berpisah, bukan semua orang mampu mengenali antara satu sama lain. Melainkan mereka saling berhubung.
            “Ketawa kau memang aku tak lupa, walaupun kau dah tak montel macam dulu. Tapi,  iras-iras wajah kau tu masih ada. Kau dah lama berpindah dari kampung kan?” terang Aleeya.
            “Hebat kau ya? Kau bekerja di mana sekarang? Sudah berumah tangga? Anak berapa orang?” tanya Amran ingin tahu cerita tentang sahabat sekampungnya itu. Waktu kecil dahulu, mereka memang rapat. Macam belangkas. Di mana ada Aleeya, di situ ada Amran. Di mana ada Amran, di situ ada Aleeya. Namun keadaan dan masa telah memisahkan mereka.
            “Aku bekerja di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, sudah berumah tangga. Anak belum ada rezeki,” jelas Aleeya tidak menyembunyikan tentang siapa dirinya.
            “Dah berumah tangga? Wah… siapakah lelaki yang bernasib malang itu?” usik Amran.
            “Tak guna kau! Kau pulak?” tanya Aleeya turut ingin mengetahui kehidupan sahabat lamanya itu.
            “Aku pengurus di bank tadi tulah. Dah kahwin, tapi dah bersendirian semula. Anak… macam kau juga, tak ada rezeki.”
            “Kau bercerai?” Aleeya mengorek rahsia peribadi sahabatnya itu.
            “Cerai mati, kanser pangkal rahim. Sewaktu kami baru saja berkahwin, baru tahu isteri aku hidap penyakit yang berbahaya tu. Kami berusaha pelbagai cara untuk mengubatinya. Bertahun-tahun dia menderita, akhirnya… ALLAH lebih menyayanginya. Aku redha,” cerita Amran tentang kehidupannya.
            “Maafkan aku...” Hiba Aleeya mendengarnya. Tidak sangka sahabatnya itu diuji sebegitu sekali.
            “Mak dan ayah kau macam mana? Mereka sihat? Masih ada lagi?” Hanya pertanyaan dan persoalan yang terlahir di bibir mereka.
            Panjang ceritanya. Setebal 400 muka surat pun rasanya tidak cukup. Banyak cerita yang ingin ditanya dan ingin dikongsikan bersama. Pertemuan semula yang membawa keceriaan di wajah Aleeya.  Lelaki itu sudah jauh berbeza. Kacak dan bergaya. Tidak lagi kotor, berdaki sana sini. Hanya dia sahaja yang sanggup berkawan dengan Amran gemuk, itulah gelaran yang diberi oleh rakan-rakan sekampung mereka. Tetapi, Amran seorang yang pandai dalam pelajaran, terutama matematik. Itu sebabnya jadi pengurus bank. Dia pula hanya pegawai kanan di Kementerian Pelajaran.  Tidak kisahlah, asalkan rezeki halal. Bukan ambil hak orang lain atau merompak harta benda orang. 
            Amran bukan anak orang berada. Di kampung mereka dahulu, keluarga dialah yang paling miskin, tinggal pun menumpang di atas tanah orang lain. Tapi emak dan ayahnya seorang yang rajin bekerja. Tidak berkira dalam mencari rezeki. Keluarga Aleeya mengajikan emak Amran sebagai pembantu rumah. Tiap-tiap bulan dapatkan upah. Amran pula tidak ramai adik beradik. Rasanya dia anak tunggal pasangan tersebut. Selepas keluarga Aleeya berpindah keluar dari kampung itu, mereka tidak lagi bertemu. Pernah juga mereka pulang ke kampung, tetapi ketika itu Amran tidak ada lagi di kampung, menurut neneknya, keluarganya dapat tanah rancangan dan Amran dapat masuk asrama penuh. Orang pandailah katakan, kesusahan tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya. Alhamdulillah, kejayaan sudah menjadi milik lelaki itu.
            “Bila lagi kita boleh berjumpa? Banyak benda aku nak tanya pada kau Leya. Aku tak sangka akan jumpa kau juga akhirnya. Hari malang buatku tetapi hari paling bermakna dalam diriku. Nasib baik kau kenal aku, kalau tidak kita akan terus terpisah selama-lamanya,” ujar Amran gembira. Hatinya berbunga riang.
            “Insya-ALLAH, tapi aku kenalah ajak suami aku, tak bolehlah keluar berdua-duaan dengan kau, berdosa. Akukan isteri orang,” terang Aleeya.
            “Ya tak ya juga, kan. Lain kali bawa suami kau, boleh aku berkenalan dengannya,” pelawa Amran. Dalam pergaulan kena ada batas-batasnya, terutama jika temannya itu sudah berkeluarga dan isteri orang pula. Jangan cari pasal kalau tidak mahu benjol di kepala.
            “Tak sangka kita akan bertemu semula, kan Leya… kau pula semakin matang dan cantik,” puji Amran tanpa segan-silu. Itulah hakikatnya.
            “Jangan puji lebih-lebih, kang terkoyak kain yang aku pakai ni,” gurau Aleeya.
            Amran ketawa gembira.
            Mereka ketawa bersama.
            “Tentu orang tua aku gembira bertemu kau, Leya. Sesekali mereka sebut juga tentang keluarga kau. Tentu orang tua kita akan gembirakan kalau mereka bertemu kembali,” ucap Amran. Terbayang wajah kedua orang tuanya yang semakin uzur namun masih bersemangat dan kuat bekerja.
            “Aku nak sangat jumpa keluarga kau, mungkin satu hari nanti, aku boleh singgah jumpa mereka,” kata Aleeya sebelum mereka berpisah buat kali kedua. Di harap ada pertemuan kedua dan seterusnya. Silaturahim antara mereka, semoga tidak akan putus selamanya, detik hati kecil Aleeya setelah berpamitan dengan Amran. Hatinya ceria semula. Jiwanya lapang dan tenang.

No comments:

Post a Comment