AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 21 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 37 -



ALEEYA bernyanyi gembira sambil mengemas rumah. Jiwanya tenang, lapang dan terbuka. Malas hendak bertegang urat dengan suaminya lagi. Biarlah dia mengikut arus dan rentak tari suaminya itu. Hendak tengok lenggok yang bagaimana, lagu apa? Dia akan ikut selagi mampu, selagi peluh tidak menitik membasahi seluruh tubuhnya. Kalau sudah penat menari, rentaknya masih tidak berubah. Terpaksalah dia mencari jalan lain, menari lagu moden pula, kalau tidak sesuai, lebih baik berhenti dan cari jalan sendiri. Mungkin dia tidak sesuai menari, mungkin dia sesuai menyanyi ke? Aleeya menyengih sendiri, jauh benar fikirannya menerawang.
            Ikmal masih belum pulang, ke mana sahajalah suaminya itu pergi hujung minggu begini. Tinggalkan dia sendirian di rumah. Ikut suka hati dia sahaja. Nasib baik dia seorang yang positif. Bersabar dengan apa yang berlaku. Baginya, semua ini adalah ujian untuknya, menguji kesabaran diri. Buat apa marah-marah, akan mengeruhkan lagi rumah tangganya. Jika api sedang menyala, jangan sesekali siram dengan minyak, itu sebab terbakarnya semakin marak, takut-takut tidak boleh dipadamkan biarpun panggil bomba di merata tempat. Nanti sendiri juga yang rugi, macam Nadia itu. Sekarang baru nak sedar.
            Bosan juga tinggal di rumah seorang diri, dia mula berfkir. Kalau keluar dengan teman sepejabatnya yang gila-gila itu bagus juga, ceria juga hujung minggunya yang suram dan muram itu. Aleeya tersenyum sendiri.
KE MANA lagi kalau tidak ke panggung wayang. Apa sahaja cerita semuanya ditonton asalkan mampu melegakan hati dan perasaan. Mulut ketiga-tiga gadis yang sentiasa sudi menemannya membuatkan dia tidak kering gusi. Ada sahaja cerita ceria mereka. Kadangkala terasa muda dan sebaya mereka yang berotak gila-gila itu.
            “Kak… kak,” panggil Lin macam orang tengok hantu.
            Aleeya pula sibuk membelek blaus yang menarik hatinya di sebuah butik berhampiran panggung wayang tempat mereka menonton tadi.
            Lin menarik tangan Aleeya dan menolak kepalanya agar melihat ke arah restoran makanan ringan yang terdapat di Mall tersebut.
            “Apanya? Main tolak-tolak kepala pula! Ada apa?” Aleeya mengetap bibir dan menjegilkan mata.
            “Tuuu…” kata Lin sambil menunjukkan jarinya ke arah sepasang teruna dara yang sedang berbual mesra.
            Macam kenal sahaja. Aleeya mengerutkan dahi, matanya tepat memandang pasangan itu. Jika Nadia ada di sini, suaminya di mana pula? Wah… apa sudah jadi? Dia sahaja yang fikir yang bukan-bukan. Itulah kena positif. Dia ingatkan Ikmal keluar bersama Nadia, rupa-rupanya bukan. Aleeya menarik nafas lega. Apa yang penting, suaminya tidak bersama Nadia, jika Nadia keluar dengan lelaki lain, dia peduli apa. Sesuailah. Lagipun Nadia masih bersendirian. Kalau sudah bertemu dengan lelaki yang baik, apa salahnya berkahwin sahaja. Tidaklah mengganggu suaminya. Anak-anak pula, pandai-pandailah Ikmal memujuk untuk menerima dirinya sebagai ibu tiri. Hei! Ini bukan zaman ibu tiri jahat tahu, ada juga ibu tiri yang baik hati, malah jauh lebih baik daripada ibu kandung.           
            “Kak… jom makan KFC,” ajak Ina. Sudah lama juga tidak menjamah ayam goreng berperisa itu. Sedap sehingga menjilat jari.
            “Ha’ahlah, kak… jomlah!” ajak Ros pula.
            Ala… Nadia ada di situ, lecehlah! Aleeya serba salah.
            “Kita pergi tempat lainlah… banyak lagi KFC di Kuala Lumpur ni,” cadang Aleeya.
            “Alah, kejap lagi nak masuk panggung lagi… kita makan sini ajelah…” kata Lin pula.
            Aleeya mengeluh. Budak-budak ini memang. Kalau menonton wayang, sehari dua kali. Habislah duit dia.
            “Jomlah, kak…” Lin menarik tangan Aleeya. Ina dan Ros mengikut dari belakang.
            Berdebar-debar juga hati Aleeya ketika terpandangkan wajah Nadia yang tajam memandangnya. Macam hendak telan dia hidup-hidup. Macamlah dia musuh ketatnya. Dia ingat matanya sahaja ada, dia pun ada mata. Aleeya membuntangkan biji matanya. Biar terkeluar, bagus juga. Aleeya tersenyum dalam hati. Melayan perangai orang tua yang macam budak-budak boleh buat dia ketawa sendiri. Keluar dengan lelaki lain, nak main jegil-jegil, nanti dia cungkil biji mata itu keluar, baru Nadia tahu. Ingat dia sahaja yang brutal? Ini Aleeya Aneesalah… seantero dunia tahu, garang macam singa. Ya ke? Aleeya tersenyum dalam hati.
            “Kak… sini! Sini!” jerit Lin terlambai-lambai.
            Aleeya membungkam. Ait! Dia terlambat ke? Tadi bukan rakan-rakannya ada di sisinya. Cepatnya mereka jalan. Mungkin dia leka tengok Nadia sampai tidak perasan, rakan-rakannya sudah menghilangkan diri mencari tempat duduk. Aleeya menapak mendekati mereka.
            “Cepatnya kau orang berjalan,” kata Aleeya dan duduk menghadap Nadia yang membelakangkannya. Hendak juga dia tengok, siapa lelaki yang bersama dengan Nadia. Bolehlah dipanjangkan cerita kepada suaminya nanti. Pasti menjadi cerita hangat. Aleeya tersenyum lagi.
            Sebaik sahaja dia terpandangkan lelaki itu, rasanya benar-benar matanya akan terjojol keluar. Hisy… siapa kata cempedak takkan jadi nangka? Hmm… tak kisahlah boleh ke tidak. Asalkan tetap nama buah. Cepat-cepat dia mengambil beg tangannya dan menutup mukanya. Memang tak patut! Apa hubungan mereka? Macam mana mereka boleh kenal? Uh! Apa ilmu si Nadia ini pakai agaknya ya! Kali ini bukan senyuman lagi yang terlahir di hatinya, tetapi rasa sebal pula.
            “Kak… bawa turunlah beg tu… kenapa tutup muka? Abang Ikmal ada kat sini ke?” kata Ros separuh berbisik. Matanya berlegar memandang sekeliling. Tidak pula dia ternampak kelibat suami rakannya itu.
            “Kak, kenapa pula ni?” tanya Ros sekali lagi.
            “Syyy…” Aleeya meletak jari telunjuk di bibirnya, menyuruh  Ros mendiamkan diri. Lin dan Ina sedang memesan makanan dan minuman.
            “Aleeya Aneesa,” sapa seorang lelaki sambil menarik beg tangan Aleeya.
            Aleeya mengerut dahi dan menyengih memandang lelaki itu yang sudah pun berdiri di hadapannya bersama-sama dengan Nadia. Aduh! Kecilnya dunia.
            “Kenapa main sorok-sorok ni?” tanya Amran, tanpa dipelawa, terus duduk di kerusi. Nadia masih berdiri macam kayu di sebelah lelaki itu.
            “La… Amran, awak ke? Tak perasan saya… kenalkan kawan saya, Ros… Lin dan Ina sedang membeli makanan. Erk… siapa ni?” Aleeya tersenyum lebar sambil tanganya menunjuk kepada Nadia. Matanya terbuka besar, terkejut pun ya.
            “Kenalkan ini kawasan satu universiti saya dulu, kami terjumpa, tanpa sengaja,” cerita Amran tentang Nadia.
            “Oo… kawan sekolejlah kira ni ya?” Aleeya menyengih lagi.
            “Macam mana awak kenal dengan perempuan ni? Dia siapa dengan awak, Amran?” tanya Nadia pula.
            “Oo… Aleeya ni kawan sekampung saya. Dulu, sahabat baik sayalah kiranya. Pembakar semangat saya dan juga yang suka buli saya,” kata Amran memperkenalkan Aleeya kepada Nadia.
            “Kawan lama? Baguslah…” Nadia mencebik.
            Ros menjeling. Tidak suka dengan sikap Nadia yang ternampak kesombongan dan keangkuhannya.
            “Hey, ramainya… Nadia pun ada,” sapa Lin yang baharu sampai dengan makanan dan minuman yang baharu dibelinya bersama Ina tadi.
            “Kenal Nadia ke?” tanya Amran kehairanan.
            “Erk… kenal-kenal gitu aje,” sampuk Ina. Dia terus menarik Lin duduk di kerusi. Terus memberi air minuman kepada rakannya itu. Biar tidak banyak mulut. Tengok mata Aleeya yang membesar macam ikan Uji Rashid, dia pasti ada yang tidak kena.
            “Ooo… okeylah Leya, tak mahu kacau awak. Nanti kita berhubung lagi ya,” kata Amran sebelum berlalu meninggalkan empat sahabat itu bersama Nadia. Berkali-kali Nadia memandang Aleeya.
            Sempat pula Aleeya menunjukkan penumbuk. Geram betul dia. Nanti panjanglah cerita Nadia pada Ikmal. Uh! Dia tidak sempat memberitahu Ikmal tentang Amran yang baharu ditemui semula. Kalau cerita versi Nadia pasti tidak ada yang baiknya. Uh! Tak guna betullah. Positif, positif… detik hati kecil Aleeya.

No comments:

Post a Comment