AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 22 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 38



NADIA mendengus kasar. Dia memandang wajah Amran yang sedang tenang memandu. Lelaki yang berstatus duda itu tetap kacak di matanya. Tetapi hatinya langsung tidak tergoda, sesuai sangatkan duda dan janda, detik hati kecilnya. Tidak sangka sama sekali, Aleeya adalah sahabat Amran ketika kecil dahulu. Pernah juga lelaki itu bercerita tentang zaman kanak-kanaknya dan sering menyebut nama seorang perempuan, tetapi dia tidak ingat nama itu. Rupanya perempuan itu adalah Aleeya. Amran sudah lama mencari perempuan itu. Rupanya perempuan itu ada di depan mata Nadia sendiri.
            “Bila awak bertemu dengan kawan awak tu? Dah lama jumpa semula ke?” Nadia mengerling.
            “Siapa? Leya? Ooo… baru aje berjumpa. Secara kebetulan, di tempat kerja saya,” jelas Amran jujur.
            “Dah pernah keluar bersama ke?” Nadia terus bertanya.
            “Hari kami bertemu itu jugalah… dia dah kahwin. Mana boleh keluar dengan isteri orang kerap-kerap. Nanti benjol dahi saya. Kalau dengan awak tak apalah. Saya duda, awak janda. Tak ada siapa yang nak marah!”
            “Yalah tu!” Nadia mencebik. Tidak suka dia dengan perkataan ‘janda’.
            “Kenapa Nadia? Tak suka dengan gelaran ‘Janda’?” Amran menggeleng.
            “Taklah… saya yang pilih. Bukan salah sesiapa pun,” ujar Nadia, sebal.
            “Kita berkawan dah lama tau… rasanya saya kenal nada suara awak tu.” Amran menyengih. Perempuan di sebelahnya mudah beremosi. Pantang terkecil hati, pasti marahnya berjam-jam, kadang-kadang berhari-hari. Rajuknya sukar dipujuk. Itu sebab agaknya rumah tangganya gagal separuh jalan.
            “Yalah…” Nadia mencebik. Malas berlawan cakap dengan lelaki yang suka menegur tindak-tanduknya. Kalaulah lelaki itu tahu yang dia sedang dalam proses memujuk bekas suaminya berbaik semula, dan bekas suaminya itu kini adalah suami Aleeya, sahabat kepada Amran, pasti kecoh. Pasti berkodi-kodi bebelan yang akan singgah di telinganya. Mahu berkilo-kilo pula tahi telinganya nanti. Nadia mengeluh.
            “Awak macam kenal aje dengan Leya dan rakan-rakannya? Awak memang kenal mereka, kan?” Amran mengerling Nadia yang memandang bahu jalan.
            “Taklah… mungkin mereka pernah jadi pelajar saya agaknya,” jawab Nadia. Tidak mungkinlah dia berkata benar. Macam dia fikirkan tadilah. Boleh deman panas jadinya jika mendengar nasihat dan motivasi diri daripada rakannya itu. Malaslah!
            “Mungkin jugalah, kan?” Amran tersenyum. Usai menghantar Nadia pulang, dia terus pulang ke rumah.

IKMAL gelisah. Dia memerhati keluar rumah. Ternampak Nadia dengan seorang lelaki. Siapa pula lelaki itu? Rasanya macam kenal? Amran ke? Ikmal berteka-teki. Nadia yang sudah pun berada di laman rumah di dekati.
            “Bukan Amran ke tu?” tanya Ikmal sambil matanya memandang kenderaan yang dipandu Amran berlalu pergi.
            Nadia memandang wajah Ikmal. Hari ini, Ikmal menjaga anak-anak sementara dia keluar membeli barang dapur. Dia pergi menaiki teksi sahaja tadi. Lagipun bukan jauh sangat pasar raya itu dengan rumahnya.  Tidak sangka bertembung dengan Amran yang juga sedang membeli barang dapur. Lantas, lelaki itu mempelawa untuk menghantarnya pulang. Tidak sangka pula akan bertemu Aleeya dengan geng poyonya itu. Buat sakit kepala dan sakit hati sahaja.
            “Ha’ah… saya terjumpa dia di mall tadi,” terang Nadia dengan muka selamba.
            “Kenapa tak ajak masuk? Kan saya juga rakan sekolej dengan dia,” jelas Ikmal, takut-takut Nadia terlupa.
            Nadia tepuk dahi. Kenapa dia terlupa? Aduh! Mereka bertiga berkawan baik sewaktu belajar dahulu. Macam mana dia boleh lupa? Teruk sangatlah ingatannya. Pening, pening. Nadia pula kawan baik Amran. Aduh! Nadia mengeluh.
            “Kenapa muka awak pucat? Jangan cakap, awak nak sambung balik hubungan awak dengan Amran? Kan dia dah berkahwin?”
            “Kalau ya pun, kenapa? Tak boleh? Awak cemburu?” Nadia menjeling.
            “Saya? Cemburu? Tak ada masa! Lagi cepat hal kita selesai, lebih baik. Tak payah tengok muka awak. Kalau awak nak berbalik dengan Amran jadi isteri kedua dia pun, peduli apa saya? Tapi, saya tak izinkan awak jaga anak-anak.” Ikmal mendengus kasar.
            “Saya tak nak orang lain. Bukan lelaki lain, bukan juga Amran. Tetapi awak! faham tak? Saya nak awak sebab awak ayah anak-anak saya! Saya tak nak anak-anak saya ada ibu tiri atau ayah tiri. Itu pun awak tak boleh nak faham ke?” lenking Nadia. Matanya berkaca. Rasa hendak menangis di situ juga. Benci benar lelaki itu dengan dirinya.
            “Mana boleh? Saya dah kahwin! Awak suka buat saya peninglah! Lama-lama boleh dapat migrain saya ni… sakit orang perempuan sebab banyak sangat fikir.”
            “Urusan awak dah selesai, kan? Saya nak balik… entah-entah Leya dah lari dari rumah sebab merajuk dengan saya,” bentak Ikmal.
            “Tak ada merajuknya, ada di mall tu… sedang berseronok dengan kawan-kawan dia yang tiga suku tu,” cerita Nadia tentang seterunya itu.
            “Hah? Aleeya ada di mall? Dia tak minta izin saya pun?” Ikmal kehairanan. Biasanya kalau Aleeya hendak ke mana-mana akan SMS atau WhatsAppnya. Hari ini, kenapa tidak pula? Wah, isterinya sudah pandai keluar pintu belakang, detik hati kecil Ikmal.
            “Tak payah nak kerutkan dahi awak tu fikirkan isteri awak tu. Fikirkan hal anak-anak awak ni juga!” tengking Nadia, dia menolak Ikmal ke tepi dan melangkah masuk ke dalam rumah.
            Ikmal memandang langkah kasar Nadia. Pening, pening. Cakap Melayu pun tidak faham, dia nak cakap bahasa apa? Mana mungkin dia berkahwin semula dengan Nadia? Kenapalah susah sangat bekas isterinya hendak mengerti.
            “Ikmal… kalau macam tu, apa kata awak ceraikan Leya? Biar dia kahwin dengan Amran. Amran pun dah menduda, kematian isteri,” cadang Nadia.
            “Hah? Apa awak cakap tadi? Awak gila ke, apa? Cadang yang bukan-bukan. Ingat kahwin ni macam tukar baju ke? Awak bolehlah. Tak pun awak ajelah kahwin dengan Amran!” kata Ikmal kasar. Amboi! Main tukar-tukar pula. Ingat jawatan kosong ke?
            Kahwin dengan Amran? Nadia mencebik. Degil betul bekas suaminya ini. Tak mahulah! Nadia mendengus geram.

No comments:

Post a Comment