AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 23 June 2016

ADUH, PENING!- BAB 39



IKMAL terus pulang ke rumah setelah selesai urusannya di rumah Nadia. Kereta Aleeya sudah ada di tempat letak kereta. Sudah petang pun. Ikmal melangkah masuk ke dalam rumah. Terbau masakan isterinya. Dia terus ke dapur. Aleeya sedang memasak. Isterinya itu memang rajin ke dapur. Itulah yang dia sayang sangat dengan Aleeya. Rumah tangganya juga bersih. Tidak dibiarkan bersepah. Tenang dan damai sewaktu berada di rumah. Masalahnya dengan Nadia membuatkan dia tidak berada di rumah selalu.
            “Hai, masak apa?” sapa Ikmal.
            Aleeya yang sedang menggoreng ayam, menoleh dan hanya secubit senyuman disedekahkan. Sedekahlah, baharu dapat pahala. Kalau sekadar senyum kosong, tak dapat apa-apa, rugilah.
            “Ayam masak merah dan sup sayur… cukuplah, kan?” Aleeya menyengih secubit juga. Dia masih kenyang lagi, tengah hari tadi dia sebat KFC sehingga tiga ketul. Masak itu pun untuk Ikmal. Itu pun jika suaminya makan di rumah. Kalau tidak dijamah, dia simpan sahaja di dalam peti sejuk. Esok, boleh dijadikan sarapan, jimat belanja. Jangan sesekali membazir.
            Ikmal hanya mengangguk dan duduk di meja makan. Menunggu Aleeya siap memasak. Dia memerhatikan sahaja isterinya itu bekerja. Cekap dan cepat. Keluhan tidak pernah terlepas daripada mulutnya. Macam orang yang tidak tahu bersyukur sahaja. Hanya tahu mengeluh dan mengeluh kalau menghadapi masalah. Nampak sangat tidak kuat semangat dan tidak penyabar orangnya.
            “Abang nak makan sekarang ke?” tanya Aleeya sambil menghidangkan makanan yang sudah siap dimasaknya.
            Ikmal memandang dan mengangguk laju. Perutnya sendiri sudah berbunyi. Masalahnya dengan Nadia tidak tahu bila akan bertemu penghujungnya.
            “Leya dah kenyang. Leya temankan abang makan ya?” jelas Aleeya ketika mengisi nasi ke dalam pinggan.
            “Leya makan apa? Tadi keluar ya?” tanya Ikmal.
            Aleeya mengerut dahi. Hmm… macam mana Ikmal tahu dia keluar? Dia tidak sempat memberitahu Ikmal tadi.
            “Ha’ah, keluar dengan geng Leya aje… abang kenal mereka semua,” terang Aleeya, dia tidak mahu suaminya memikirkan yang bukan-bukan.
            “Kenapa tak beritahu abang? Biasanya Leya minta kebenaran abang?” Ikmal mencedok ayam masak merah ke dalam pinggan. Matanya tidak langsung mengusik wajah Aleeya yang berkerut seribu, kalau sempat dibilanglah.
            “Leya ada telefon abang, tapi tak berangkat. Abang kan sibuk dengan anak-anak dan bekas janda abang tu,” kata Aleeya sedikit merajuk.
            “Kalau abang tak jawab, tinggalkan pesanan atau SMS aje,” ujar Ikmal, nasi disuap ke mulut. Matanya masih lagi menunduk memandang nasi yang berada di dalam pinggan.
            “Abang nak cari masalah dengan Leya ke? Abang nak gaduh?” tanya Aleeya sedikit keras. Apa masalahnya? Memanglah dia tidak sempat bercakap dengan Ikmal dan meminta kebenaran, tetapi bukan salah dia. Dia sudah cuba menghubungi Ikmal, tiada jawapan. Dia bosan tinggal seorang diri setiap hujung minggu. Hendak suruh dia mati kering di rumah agaknya?
            “Leya merepek apa ni?” Ikmal mengangkat kening.
            “Dah tu, tegur Leya macam Leya buat salah besar,” bentak Aleeya.
            “Bukan marah, kalau Leya tak beritahu abang keluar ke mana-mana, jadi apa-apa di jalan, mana abang nak cari Leya? Abang perlu tahu Leya keluar dengan siapa? Ke mana? Faham? Itu pun takkan tak faham. Abang tegur sebab tak mahu Leya buat kesilapan yang sama lagi,” bebel Ikmal.
            “Kalau Leya semua tak boleh? Nadia boleh pula berkepit dengan abang setiap hari? Siapa isteri abang ni? Leya ke Nadia?” Hilang sabarnya. ALLAHUAKBAR! ucap Aleeya dalam hati. Dia beristighfar. Tidak baik melawan dan berkasar dengan suami. Berdosa. Malaikat pun marah.
            “Amboi! Dah pandai melawan nampak?” Ikmal menjegilkan mata. Dia memandang tajam ke arah Aleeya yang terkedu merenungnya.
            “Leya tak nak bergaduh dengan abang!” Aleeya bingkas bangun dan meninggalkan suaminya sendirian di meja makan.
            “Leya! Leya!” laung Ikmal. Dia mengetap bibir. Terasa rumah tangganya tidak aman kini. Semuanya gara-gara Nadia. Aduh! Peninglah kalau macam ini. Ikmal menghabiskan nasi di pinggan. Dia menuju ke singki, meletak pinggan di dalam singki, basuh tangan, tutup lauk-pauk dengan tudung saji yang ada. Dia terus ke ruang tamu, Aleeya sedang menonton televisyen. Keluhan dilepaskan sekali lagi. Dia menghampiri Aleeya yang bermuka cemberut. Matanya hanya memandang peti televisyen. Kehadirannya langsung tidak dihiraukan.
            “Leya perasan tak, sejak akhir-akhir ini kita sering bertekak?” luah Ikmal, dia duduk tenang di sebelah isterinya.
            Tiada sebarang kata keluar daripada mulut Aleeya. Hanya nafasnya turun naik.
            “Abang tak sukalah dengan keadaan macam ni,” sambung Ikmal lagi.
            Aleeya masih membisu. Berkutik pun tidak. Dia membiarkan sahaja Ikmal bercakap seorang diri. Dia buat-buat tidak dengar. Perhatiannya hanya ke kaca televisyen.
            “Leya dengar tak abang cakap ni?” jerkah Ikmal, hilang sabarnya bila Aleeya buat endah tak endah.
            Masih tidak ada sebarang reaksi terhadap jerkahan suaminya. Hatinya jauh lebih sakit dengan apa yang sedang berlaku dalam rumah tangganya. Ikmal hanya tahu sakit hatinya sahaja. Bagaimana dengan sakitnya hati ini? Dia tidak mahu bertegang urat. Takut terputus pula urat nadinya. Biarlah! Dia tidak akan bersuara. Tanda boikot! Boleh tak boikot suami sendiri? Aleeya memuncungkan bibirnya. Biarlah, asalkan tidak bertekak dan buat riuh di dalam rumah itu. Maklumlah tiada anak kecil, pasangan suami isteri boleh sahaja meriuhkan suasana, bagaimana? Bergaduhlah!

No comments:

Post a Comment