AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 28 June 2016

ADUH, PENING- BAB 41



IKMAL memberhentikan keretanya di hadapan rumah Nadia. Dahulu pernah menjadi rumahnya juga. Anak-anak berlari keluar, terus membuka pintu kereta dan melangkah masuk. Mereka memberi salam dan ketawa riang. Hati Ikmal tersentuh. Dia seronok melihat anak-anaknya bahagia dan ceria. Lima minit kemudian, muncul Nadia dengan senyuman manisnya. Ikmal mengeluh.
            “Kenapa lambat?” tanya Nadia dengan muka masamnya.
            “Ada masalah di rumah,” luah Ikmal.
            “Itulah, dah tahu ada anak ramai, tak payahlah kahwin lagi. Kan dah susah,” sindir Nadia.
            “Kalau saya tak kahwin, siapa nak jaga makan minum saya? Siapa nak uruskan pakaian saya? Rumah saya, siapa pula nak kemas?” leter Ikmal. Cakap senang sahaja.
            “Kahwinlah balik dengan saya.” Nadia mencebik. Kenapa susah sangat? Bukan dia tidak ada. Dia juga masih belum berumah tangga ketika itu. Orang lelaki, bukan semua pandai memujuk, ajak kahwin macam nak ajak bunuh diri sahaja. Hadiahkanlah bunga ke, coklat ke, kalau lagi mewah, barang kemas ke, baru ada kesungguhan. Ini tidak, sekadar bercakap, ajak kahwin. Mana boleh layan. Hilanglah harga dirinya sebagai seorang perempuan.
            “Ada ke saya tak ajak? Awak yang jual mahal sangat!” herdik Ikmal. Bukan dia tidak cuba. Dia merayu meminta Nadia memikirkan masa depan anak-anak, tapi bekas isterinya buat tidak tahu sahaja. Macam bercakap dengan tunggul. Setelah tahu dia berkahwin lain, baru nak kelam-kabut. Sekarang, bekas isterinya menimbulkan masalah pula dalam rumah tangganya. Suruh dia berjanji yang bukan-bukan.
            “Cara pujuk langsung tak menarik! Nak jual diri, kenalah pandai buat pemasaran dan cara menjual biarlah menyentuh hati. Ini tidak, nak jual macam tak nak aje… siapa nak!” Nadia mencebik lagi.
            “Ingat saya barang ke apa?” Ikmal mendengus kasar. Bahasa apa yang digunakan oleh bekas isterinya itu? Wajah Nadia yang disolek nipis, tampak kejelitaannya. Memang bekas isterinya itu cantik. Sekali lagi dia mengeluh. Menyesal ke? Entahlah, dia sendiri tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya sekarang ini. Berserabut! Aleeya pula sejak semalam sudah buat perangai. Bertambah serabutlah kepalanya. Ini belum ada dua isteri, macam manalah lelaki boleh kahwin sampai empat? Macam mana mereka selesaikan semua masalah?
            “Barang lama,” sindir Nadia. Dia memandang keluar tingkap. Tersenyum sendiri. Lama-lama pun masih kacak, bisik hati kecilnya. Bunyi telefon membuang jauh-jauh senyuman di hatinya. Dia tercari-cari telefon bimbitnya di dalam beg tangan. Bunyi telefon berhenti.
            “Masih tidak berubah, cubalah letak telefon tu di tempat yang mudah dicari,” tegur Ikmal. Dalam beg seorang perempuan macam-macam ada, kalau tidak percaya, cuba selongkar. Ikmal tersenyum sinis.
            “Ikut suka oranglah!” kata Nadia kurang senang. Dia terus mencapai telefonnya dan membawanya keluar. Dia memeriksa data panggilan. Amran telefon? Nak apa pula? Nadia mendengus kasar.
            “Siapa telefon?” tanya Ikmal.
            “Kawan saya,” jawab Nadia.
            “Kawan awak tu tak ada nama ke?” usik Ikmal.
            “Buat apa awak nak tahu?” Nadia mencebik. Sibuk sahaja.
            “Saja, takkan tak boleh? Awak tu kan bekas isteri saya.”
            “Bekas, tak ada kena-mengena dengan awak.”
            “Ayah dan mama ni kalau berjumpa, tak boleh ke cakap baik-baik? Asyik nak gaduh aje,” tegur along.
            “Along!” Nadia menjegilkan mata. Kurang senang mendengar teguran anak sulungnya itu.
            “Maaf along,” kata Ikmal. Dia terlupa anak-anak turut berada di dalam kereta. Tidak manis bertekak dan bertenang urat di hadapan mereka. Tidak seharusnya mereka menonton adegan yang menyakitkan hati itu. Dia benar-benar kesal. Cukuplah anak-anak menjadi mangsa akibat penceraiannya dengan Nadia. Biarlah mereka melihat dia dan Nadia saling berkawan dan baik-baik sahaja. Bukan bermasam muka dan cakap ikut suka, main lepas.
            “Lain kali jangan bergaduh lagi tau,” pesan along sekali lagi.
            “Baik along,” sambut Ikmal.
            Nadia mendengus kasar. Anak-anak semakin membesar, semakin pandai mengajar orang tua. Dia tidak suka anak-anaknya bersikap seperti itu. Seolah-olah tidak menghormati dirinya sebagai orang tua mereka. Dia dan Ikmal bukan bertekak, cuma berlainan pendapat, itu sahaja. Anak-anak mana faham. Kalau sudah meninggi suara, semuanya disangka bergaduh.
            “Ingat tu, Nadia... Awak jangan nak tinggi suara dengan saya, anak-anak tak suka.” Ikmal menyengih.
            “Uh!” Nadia mendengus.
            Ikmal tersenyum.
            Telefon bimbit Nadia berbunyi semula. Dia terus menjawabnya.
            Ikmal membiarkan sahaja Nadia melayan si pemanggil.
            “Siapa?” tanya Ikmal setelah Nadia menamatkan panggilan itu.
            “Kawan,” jawab Nadia.
            “Saya tahu kawan, tapi siapa?” Ikmal memandang sekali imbas wajah Nadia yang tersenyum manis. Macam baharu dapat bunga sahaja, senyum sehingga ke telinga. Itulah senyuman yang dipamerkan sewaktu dia menghadiahkan Nadia sejambak bunga ros waktu ulang tahun kelahirannya beberapa tahun yang lalu.
            “Perlu ke awak tahu?” kata Nadia sinis.
            “Kalau tak nak bagi tahu tak apa.” Ikmal tidak mahu berbalah kata dengan Nadia lagi. Tidak pasal-pasal kena tegur dengan anaknya sekali lagi. Kenapa dia harus menyibuk? Bukan urusan dia. Biarlah Nadia nak berkawan dengan sesiapa sahaja. Dia tidak perlu ambil tahu, melainkan jika bekas isterinya itu mahu berkahwin lagi. Dia perlu tahu siapa lelaki yang bakal menjadi ayah tiri kepada anak-anaknya. Dia tidak mahu lelaki yang bukan-bukan menjadi ayah anak-anaknya. Bukan dia tidak pernah terfikir akan hal itu. Berbalik dengan bekas isterinya? Tidak mungkin. Aleeya, dia hanya memikirkan Aleeya. Mahukah Aleeya berkongsi dengan Nadia? Poligami mudah dilafazkan, bukan mudah mengharunginya.
            “Malam ni saya ada temu janji, awak tolong jaga anak-anak, boleh?” tanya Nadia setelah sampai di tempat kerjanya.
            “Jaga anak-anak? Awak nak ke mana lagi?” Ikmal mendengus kasar. Dia baru bercadang nak ajak Aleeya keluar malam ini. Hati isterinya itu harus juga dipujuk. Bukan membiarkan rajuknya membunuh kebahagiaan rumah tangga mereka berdua.
            “Saya ada temu janji dengan kawan lama, takkan nak tolak? Awak sendiri yang suruh saya cari teman lelaki. Takkan saya nak keluar kena bawa anak-anak sekali?” sindir Nadia.
            Ikmal terdiam. Temu janji? Seorang lelaki? Biarlah. Mungkin lelaki itu baik dan boleh menjadi penggantinya. Tidaklah Nadia terus memaksa untuk kembali bersama.
            “Baiklah.” Ikmal mengeluh. Habislah! Bertambah sehari lagilah perang dingin antara dia dengan Aleeya.

No comments:

Post a Comment