AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 30 June 2016

ADUH, PENING! - BAB 43



ALEEYA menunggu dengan sabar di hadapan fakulti tempat Nadia bekerja. Dia melihat sendiri suaminya menghantar Nadia ke situ. Jadi, selama ini suaminya menghantar Nadia ke tempat kerja? Kenapa dia tidak tahu? Kalau diikutkan hati yang tidak waras mahu sahaja dia menghempuk perempuan yang tidak tahu malu itu. Hoi, itu suami akulah! Sampai bila hidupnya harus begini?
            “Nadia!” panggil Aleeya yang keluar dari celah sudut bangunan fakulti tempat Nadia mengajar.
            “Kau!?” Nadia mengerutkan dahi. Dia memandang sekeliling, takut-takut kalau Aleeya ada membawa gengnya. Datang seorang diri ke? Beraninya. Tentu Aleeya melihat adegan mesranya dengan Ikmal tadi. Nadia menyengih sendiri. Hari ini, Ikmal bukan main mesra lagi dengannya. Baguslah kalau begitu. Biar Aleeya tahu, Ikmal sudah berbaik dengannya dan kemungkinan mereka akan berbaik semula.
            “Boleh kita bercakap sekejap?” tanya Aleeya. Dia ingin selesaikan masalah yang tidak pernah kunjung padam itu. Kalau rumah terbakarlah, bukan sekali hangus, malah mampu jadi abu.
            “Aku ada kelaslah. Lain kalilah,” tolak Nadia.
            “Aku dah periksa dengan bahagian pentadbiran, kelas kau bermula sejam lagi. Jangan nak bohong aku!”
            “Kau nak apa ni? Antara aku dan kau, tak ada perkara yang ingin kita sembangkan.”
            “Of course ada. Aku nampak apa yang berlaku tadi. Kau ingat aku tak terasa? Tak tahu cemburu? Kalau kau nak anak murid atau rakan sekerja kau dengar apa yang kita bincangkan, aku tak kisah kita berbual di sini.” Aleeya mengangkat bahu. Memang dia tidak kisah pun. Sudah penat asyik menjaga hati orang lain, sedangkan hatinya direntap dengan kasar tanpa belas kasihan.
            “Jomlah, masuk bilik aku,” ajak Nadia. Dia pun tidak mahu kecoh-kecoh. Tidak pasal-pasal jatuh maruah dan harga dirinya.
            Aleeya mengikut langkah Nadia menuju ke pejabat perempuan itu. Seram juga duduk dalam satu bilik. Buatnya Nadia bawa keluar parang panjang, keris, pisau atau tukul besi, jenuhlah dia. Hendak lari ke mana? Alahai, sepatutnya dia duduk berbual di kawasan awam sahaja. Jika Nadia bertindak agresif, pasti ada orang membantu dan ada saksi yang melihat. Ini dalam bilik, macam-macam boleh berlaku. Aduh, ketar juga lututnya!
Dia bukanlah berani sangat. Tetapi terpaksa demi rumah tangganya. Dia bukan pernah bergaduh dengan orang. Tidak pernah sama sekali. Sejak berkahwin dan diganggu oleh bekas isteri suaminya membuatkan sikap semulajadinya berubah. Manusia boleh berubah mengikut keadaan agaknya. Tidak mengapa. Kalau Nadia main kasar, dia juga tidak akan berdiam diri.
            “Kau nak apa?” Nadia memeluk tubuh. Dia duduk bersandar di dinding pejabatnya.
            Aleeya memandang bilik yang tidak begitu luas, mungkin sizenya 10x10. Terdapat sebuah rak buku yang dipenuhi dengan fail dan buku-buku yang tersusun kemas. Meja kerja, kerusi dan sebuah komputer riba. Di atas meja tersusun fail-fail. Boleh tahan juga bilik pensyarah ini. Kemas dan tersusun rapi. Bersih. Kalaulah perangai sama bersih dengan bilik ini, kan bagus?
            “Aku nak mintak, kau jangan ganggu suami aku lagi! Itu aje. Lagi satu, aku harap kau tak pengaruhi anak-anak kau supaya membenci aku. Kau ni manusia ke? Sepatutnya, kau ajar anak-anak kau hormatkan aku. Aku ni isteri ayah mereka, tak kisahlah emak tiri pun. Kenapa kau kejam sangat? Lepas tu, kau asyik berkepit dengan suami aku. Kau ingat aku tunggul, tengokkan aje?” kata Aleeya, macam pistol yang terlepas pelurunya. Bertaburan ke lantai tanpa sempat terkena sasaran. Kalau boleh biarlah perempuan itu sedar akan kesilapannya mengganggu rumah tangga orang lain.
            “Kalau kau tak suka, kau berambuslah! Aku lebih berhak dalam hidup Ikmal daripada kau. Ikmal, ayah anak-anak aku. Mereka berhak untuk hidup bersama Ikmal. Bukan kau!” Nadia tersenyum sinis. Kalau ikutkan hati mahu sahaja ditinju isteri bekas suaminya itu.
            “Kenapa pula aku kena berambus? Kau tu yang sepatutnya berambus! Kau dah pun bercerai dengan suami aku. Kenapa masih terhegeh-hegeh nak berbalik pada dia? Kau kahwin sajalah dengan Amran. Dia pun duda, sesuailah sangat dengan kau!”
            “Amran? Bukan selera aku! Kau ajelah kahwin dengan dia!” Nadia tersenyum sumbing.
            “Ewah, ewah! Main cadang-cadang pulak. Kau ingat tukar baju ke apa?” Aleeya menyinsing lengan baju. Kalau perlu bergomol pun, dia sudah tidak kisah. Perempuan degil seperti Nadia perlu diajar. Buat malu kaum hawa sahaja.
            “Hei, Leya… aku takkan berdiam diri. Aku akan dapatkan Ikmal semula. Aku akan ambil balik hak anak-anak aku, kau faham tak? Kalau kau tak suka, kau boleh berambus. Jangan ganggu kebahagiaan anak-anak aku!” tengking Nadia.
            “Nadia, tolonglah! Anak-anak kau masih boleh bahagia, kalau mereka bersama dengan aku juga. Yang penting, kau redha dan biarkan mereka bersama-sama aku. Jangan tamak, tolonglah!”
            “Jangan harap! Kau langkah mayat aku dulu! Mereka anak-anak aku dan takkan jadi anak-anak kau!” Nadia mengetap bibir. Tidak akan sesekali dia membiarkan anak-anaknya tinggal bersama Aleeya. Dia yang lebih berhak. Perempuan itu pengacau sahaja.
            “Kenapa kau tamak sangat? Kau kejam, Nadia!” Aleeya mendengus kasar. Bercakap dengan orang bijak pandai ini, susah rupanya. Ikutkan perasaan sendiri sahaja, langsung tidak memikirkan hal orang lain.
            “Ikut suka akulah! Okey, boleh tak kau berambus sekarang! Menyampah aku tengok muka kau!” halau Nadia.
            “Aku akan pergi, Nadia... tapi aku takkan biarkan kau rampas Ikmal! Dan aku takkan tinggalkan dia!” kata Aleeya tegas. Ingat semudah itu? Dia tidak akan mengalah. Dia akan pertahankan rumah tangganya sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.
            “Kau takkan menang, Aleeya… senjataku lebih utuh daripada kau! Anak-anak,” kata Nadia sambil tersenyum sinis.
            “Jika ALLAH tak izinkan, semua itu takkan berlaku. Aku serahkan semuanya kepada ALLAH.” Aleeya melangkah pergi, meninggalkan Nadia sendirian di ruang kerjanya. Hatinya sudah cukup sakit dengan apa yang berlaku. Nadia tetap berkeras. Dia juga tidak akan mengalah. Kalau terpaksa berperang pun, berperanglah!  Dia sudah tidak peduli.
            “Ikut suka kaulah!” Nadia menendang meja.
            Aleeya melangkah laju menuju ke keretanya. Hatinya sarat dengan rasa geram dan marah. Jiwanya meronta, rasa hendak dibunuh sahaja bekas isteri suaminya itu. Rasa hendak dihentak-hentak kepala perempuan itu biar berkecai. Aduh! Apa yang aku merepek ini? Macam orang tidak ada agama pula. Jangan berfikir yang bukan-bukan. Aleeya mengeluh berat. Langkahnya semakin laju. Cuaca panas, matahari mengganas membakar setiap inci perut bumi. Agaknya sama panas dengan hatinya sekarang ini. Berasap jadinya.
            “Leya! Leya!” laung seseorang.
            Aleeya menoleh. Uh! Mana pula datangnya lelaki ini? Buat apa dia di sini? Aleeya mengerut dahi. Masalah, masalah, masalah!

No comments:

Post a Comment