AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 23 June 2016

AKU BKAN KAMALIA - BAB 14- SASYA ZAINAL



Bab 14


Hentian Puduraya, Kuala Lumpur

Adik seakan-akan mahu lemas di dalam pelukan erat dari sahabat karibnya, Johari. Beberapa orang yang lalu-lalang di hadapan mereka menoleh, memerhati gelagat Johari dan dirinya yang masih berdiri kaku. Didalam keadaan yang terkujat, terperanjat, dia membalas juga pelukan Johari yang benar-benar teruja bertemu dengannya.

            “ Ya ALLAH, Dik! Aku rinduuuuuu dengan kauuuuu!” Johari berkata perlahan di telinganya.
            Dia mengangguk mengiakan.
            “ A...a...aku pun, Ri,” bisiknya perlahan.

            Setelah puas Johari mendakap dirinya. Akhirnya, sahabatnya itu melepaskan pelukan. Johari memandang tepat ke anak matanya sambil tersenyum.
            Jika bukan kerana mata Johari yang besar macam Sharifah Aini itu, memang dia masih tidak mempercayai yang berdiri di hadapannya itu adalah Johari Bin Mustapa.

            “ Dah Dik, jom angkat beg-beg kau semua. Kawan aku dah tunggu di bawah sana tu.” Johari memberi arahan dan mengambil sebuah beg paling besar yang berada dekat dengan kakinya. Dia hanya mengangguk-angguk dan mengambil semua beg-beg dan mangkuk tingkat yang berisi nasi lemak bekalan dari kampung.

            “ Dalam mangkuk tingkat ni, mesti ada nasi lemak aku, kan?” Johari bertanya.
            Dia mengangguk lagi sambil Johari mengambil mangkuk tingkat besi berhias bunga-bunga itu dari tangannya.

            “ Kawan-kawan aku kat KL ni ajak aku makan nasi lemak antarabangsa kononnya. Dekat Kampung Baru tu ha....huh...aku rasa...eleh...tak sama dengan nasi lemak mak engkau. Nasi lemak Mak Uda...paling terangkatlah. Paling meletop! Takde siapa boleh challenge, Dik!” Kata Johari sambil berjalan laju menuju ke pintu keluar hentian Puduraya.

            Dia tersenyum.
            Iya.
Inilah dia orangnya.
            Inilah dia Johari. Johari jiran sekampung. Teman zaman kanak-kanak dan zaman sekolah.  Johari sahabatnya yang mengenali hati budinya. Yang mengetahui segala cerita dan rahsia dirinya. Yang mengenali seluruh kaum keluarganya. Inilah Johari yang tidak pernah berubah sejak dari kecil. Becok bercerita. Lucu dan gemar ketawa. Garang sekali-sekala. Lurus adakalanya. Inilah Johari. Bezanya dahulu dan sekarang adalah, Johari yang dahulu, berambut pendek dan berseluar. Johari sekarang, yang berada di hadapan matanya, yang menjemputnya di hentian Pudu ini memakai skirt dan berambut panjang terurai melepasi bahu. Baunya juga harum yang amat ketika dia dipeluk erat oleh Johari.

            “ Dik...aku nanti hendak jadi macam Julia Roberts dalam Pretty Woman  tu tau.”
            Teringat dia dengan cita-cita Johari sejak dari mereka bergelar remaja. Dia begitu taksub dengan Julia Roberts, artis wanita Hollywood yang terkenal.

            Adik menuruti langkah Johari menuruni tangga Pudu. Sebuah kereta Proton Waja sedang menanti mereka dengan bonet yang sudah siap sedia terbuka. Pemandunya seperti seorang wanita tionghua dari rupa parasnya.

            “ Meh, Dik. Letak semua beg-beg kau kat sini,” Johari memberi arahan. Adik mengangguk-angguk lagi sambil dibantu Johari meletakkan beg-beg yang dibawanya. Cuma mangkuk tingkat dan beg sandang yang berisi dompet dan dokumen peribadinya sahaja yang dibawa masuk ke dalam kereta.

            Dia meloloskan diri memasuki ke bahagian tempat duduk belakang kereta Waja itu. Suasana di dalam kereta itu juga berbau harum dan udara dari penghawa dingin yang dipasang, menyamankan suasana. Adik merasa lega. Wanita tionghua yang memandu itu berambut perang. Rambutnya lurus pendek hingga ke paras bahu.  Dia juga memakai kaca mata hitam seperti Johari. Kulitnya putih kuning. Halus dan gebu. Dia menoleh ke arah Adik dan melemparkan senyuman sambil mengangguk lembut tanda perkenalan.

            “ Moy...inilah kawan I. My best friend  tau, Moy. You boleh panggil dia, Adik. ” Johari pantas mengenalkan mereka berdua setelah menutup pintu keretanya.

            “ Oh...hai, Adik. Nama I, Alice. Tapi, you boleh panggil I, Amoy saja.” Sempat Alice menghulurkan tangan kanannya kepada Adik yang cuba menyelesakan duduknya di dalam kereta. Mereka berjabat tangan. Halus lembut telapak tangan Amoy. Mesti dia selalu memakan losyen tangan.

            “ Juls, mahu lunch dulu ka di KL?” Tanya Amoy sambil menekan lampu signal ke kanan untuk keluar dari tempat yang diparkir.
            “ Tak payah, Moy. Kita makan saja di rumah. Adik punya mak ada bawakan nasi lemak special dari kampung. You mesti suka, Moy.”
            “ Ohhh...ok, ok...I ikut saja. So, kita balik laa hor?” Tanya Amoy meminta pengesahan dari Johari. Sahabatnya itu kemudian mengangguk. Kereta Proton Waja berwarna metallic silver itu akhirnya bergerak perlahan-lahan meninggalkan hentian Pudu dan membelah trafik yang agak menyesakkan di hadapan Kotaraya dan Pasar Seni.  Melalui papan tanda yang tertera, kelihatannya Alice menuju ke Lebuhraya Persekutuan.

            “ Dik, kau cakap apa dengan mak ayah kau?” Terus dia diasak dengan soalan dari Johari ketika Alice tenang memandang ke hadapan, menumpukan perhatian ke arah pemanduannya.
            “ Hmm...aku cakap aku dapat kerja kat KL.”
            “ Habis, mak kau percaya?”
              Percaya. Tapi dia macam berat hati hendak bagi aku pergi.”
            Johari mengeluh dan menghembuskan nafas perlahan. Dia faham dan cuba membayangkan wajah Mak Uda Salimahnya. Wajah solehah seorang ibu yang penyayang.
            “ Macam mana kau pujuk mak kau? ”
            “ Hmm, aku cakaplah, dah tiba masanya aku cari kerja yang dapat gaji besar sikit sebab aku hendak tanggung Alia belajar. Lagipun, Abang Khalid dan bini dia sudah ada di rumah. Mereka boleh temankan emak dan ayah,” terang Adik kepada Johari.
            “ Mak kau terima tak dengan alasan tu?” Johari memang seperti seorang mata-mata gelap yang sedang membuat penyiasatan. Adakalanya, dia menoleh kepalanya ke belakang semasa bertanya. Alice pula hanya menjadi pendengar. Dari pemerhatian Adik, Alice begitu cekap memandu di tengah-tengah kesesakan kota.

            “ Aku pujuk perlahan-lahanlah dengan mak aku. Aku cakap, kalau Alia hendak ambil undang-undang, belanjanya besar. Duit PTPTN tu, mana cukup hendak buat beli buku-buku rujukan semua. Aku cakap, duit emak dan ayah tu, buat simpananlah untuk buat pergi naik haji atau umrah,” perlahan-lahan dia menerangkan situasi yang berlaku kepada Johari beberapa hari sebelum dia berangkat ke KL.

            “ Huh...aku takut, abang kau tu nanti yang kerjakan duit mak ayah kau tu, Dik. Masa belum kahwin dah sengkek, inikan pulak dah ada anak bini!” Pantas mulut Johari menyatakan kebenaran.

            Hmm...memang benar kata-kata Johari itu.
            Walaupun pahit. Walaupun yang dikata oleh Johari itu adalah abang kandungnya, namun bagi Adik, Johari itu lebih menyanyangi dirinya. Johari lebih memahaminya, lebih akrab dengannya dari abang kandungnya sendiri. Silap-silap, tarikh lahir Adik pun, Khalid tidak tahu berapa haribulan. Berapa keputusan SPM Adik pun, Khalid tidak pernah ambil kisah. Semasa emak dan ayah buat kenduri kesyukuran kerana Adik diterima masuk ke UiTM pun, bukannya Khalid pulang ke rumah membantu apa yang patut.

Apa makanan kegemaran Adik pun, Khalid tidak pernah peduli. Bukan seperti Abang Din. Abang Din itu, ketika harijadi Adik, akan ada pesanan SMS masuk ke telefon bimbitnya mengucap selamat dan doa. Bila pulang ke kampung, ada-ada sahaja buah tangan untuknya dan dan Alia. Abang Din memang abang kesayangan.

            “ Biarlah Ri. Aku dengan Kak Nora pun sudah agak begitu. Sebab itulah dia letak anak bini dia di rumah mak aku. Kalau anak tu tak ada susu, takkanlah mak dengan ayah aku hendak biarkan cucu dia kelaparan, kan? Akhirnya, memang mak ayah aku akan tanggung anak bini dia nanti.”

            “ Heee...memang pandaikan otak si Khalid tu? Kalau bab-bab macam gini, pandailah dia. Kalau bab-bab belajar, dok terbabas aje dia! Konon nak jadi mat rempit, jadi mat rempit pun terbabas juga! Padankan muka dia!” Johari membebel-bebel seakan-akan Khalid itu adalah adik beradik kandungnya juga. Alice tersenyum dan menggeleng-geleng kepala. Mungkin Alice juga sudah memahami sikap Johari. Mulutnya sahaja yang laser, tetapi hatinya baik.

Namun Adik tidak kisah. Sedikit pun dia tidak berkecil hati. Memang Johari ini sudah seperti adik-beradik. Johari ini sudah seperti kaum keluarganya. Apatah lagi sekarang ini, mereka berdua merantau bersama-sama di kota besar, makin akrablah hubungan mereka berdua. Apabila merantau, teman sekampung akan menjadi seperti saudara sendiri. Sakit pening, demam panas, sakit perut atau ketika menghadapi sebarang masalah, teman serumah atau sekampunglah yang paling dekat untuk menghulurkan bantuan. Adik sudah mengakui hakikat itu semasa belajar di UiTM, Perak suatu masa dahulu.

            “ Lantaklah abang kau tu apa nak jadi, Dik. Kau kat sini, kerja baik-baik, tanggung Adik kau sampai grad. Lepas tu, kau kumpul duit pulak untuk mak ayah kau naik haji. Tak payah bagi kat dia orang sikit-sikit, bagi terus dua puluh ribu, terus boleh pergi Mekah.” Johari memberi motivasi. Dirinya yang masih merasa sayu, serta-merta berasa bersemangat dengan kata-kata Johari. Dia mengangguk-angguk sendiri tanpa disedari Johari.
            ‘ Iya...aku akan cari duit banyak-banyak di KL ni. Aku hendak senangkan mak ayah aku.’

            “ Dik...kau bawa resume kau semua?”
            “ Bawa,” jawabnya pendek.
            “ Juls, nanti Adik mahu kerja mana?” Alice yang sedari tadi hanya menumpukan perhatian pada pemanduan akhirnya bertanya.
            I mahu bawa pergi ofis I lah, Moy. Boss I kata, banyak mahu pakai orang,” jelas Johari.
            Alice mengangguk-angguk. Anting-anting bulat besar yang dipakai di kiri kanan telinganya bergoyang-goyang.
           
            “ Amoy kerja mana?” Tanya Adik pula kepada teman Johari. Ramah nampaknya gadis cina ini.
            “ Ohh...I kerja di Bangsar,” jawabnya lembut.
            Adik perasan, sudah dua kali Alice memanggil Johari dengan nama ‘Juls’.

            ‘ Sudah tukar nama agaknya si Johari ni.’

            Pemanduan Alice akhirnya melalui kawasan Sunway dan melepasi pusat membeli-belah Sunway Pyramid. Menurut kata Johari, pejabat tempat dia bekerja terletak berdekatan dengan pusat membeli-belah yang terkenal itu.  

            “ Haaa, inilah Sunway Pyramid, Dik. Aku dengan Alice selalunya shopping kat sinilah. Kalau hari Ahad, kalau aku dengan si Amoy ni tak ber-dating, kita orang tengok wayang di dalam Pyramid ni. Aku suka tempat ni, Dik. Dalamnya memang macam pyramid di Mesir. Aku rasa, kau pun mesti suka,” jelas Johari seperti seorang pemandu pelancong kepada rakannya yang baru sampai dari kampung itu. Johari tahu, Adik seorang yang sangat berseni. Dia pasti sahabatnya itu akan mengkagumi senibina di dalam Sunway Pyramid yang bertemakan senireka dan hiasan di Mesir.

Adik memandang keluar tingkap dan memerhati tugu singa besar yang menjadi lambang kemegahan Sunway Pyramid. Memang senibina dan rekabentuknya menyerupai pyramid di tengah-tengah padang pasir di Mesir. Di sebelah pusat membeli-belah itu pula terletaknya Sunway Lagoon. Sebuah kawasan tema air yang terkenal dan terbesar di Asia Tenggara. Iklannya selalu juga keluar di televisyen.

            ‘ Kalau aku dah kerja dan dapat gaji, aku hendak bawa emak, ayah, Alia dan Kak Nora jalan-jalan di Pyramid ni.’

            Dia memasang angan-angan sendiri. Terbayang wajah emak dan ayah di Batu Pahat. Dia memerhati jam di pergelangan tangannya - sudah hampir ke pukul 2.00 petang rupanya. Pasti ayah sudah pulang dari masjid. Jika dahulu, pulang dari masjid, ayah akan tidur sebentar dan petangnya mungkin ke kebun pisang. Tetapi, kini, setelah anak abang Khalid ada di rumah, ayah akan bermain-main dengan cucunya seketika sebelum dia melenakan mata. Kemudian, wajah emak pula bermain di kepala. Hajat di hatinya, ingin membawa emak melancong dan bercuti. Emak bukan selalu dapat berjalan-jalan, apatah lagi melancong ke luar negeri. Kalau ada pun, hanya pergi ke rumah Pak Ngah di Melaka. Beberapa bulan lepas, Abang Din membawa emak, ayah, Alia dan dirinya ke Kuantan, Pahang.

Abang Din menyewa bilik hotel yang berdekatan dengan Pantai Cherating. Merasalah emak dan ayah duduk di hotel besar. Terkulat-kulat emak dan ayah mengadap sarapan pagi ala buffet  di restoren mewah hotel itu. Adik bersyukur kerana Abang Din tidak pernah lupa pada emak dan ayah. Bagi dirinya, semasa menjadi siswazah, pernah juga dia merasa makan-makan di hotel atau restoren mewah semasa majlis makan malam anjuran persatuan pelajar. Abang Din menunjukkan pejabat tempat dia bekerja, tempat rumah sewanya bersama beberapa orang kakitangan Tenaga Nasional Berhad yang lain. Dari Kuantan, Abang Din membawa mereka ke Kertih pada waktu malam. Barulah emak dan ayah dapat berjalan jauh dan melihat telaga minyak milik syarikat Petronas. Telaga minyak yang mengeluarkan api menjulang-julang membuatkan malam yang pekat menjadi terang-benderang. Adik juga mahu buat begitu kepada emak dan ayah jika duit simpanannya sudah berkepuk-kepuk nanti.

            ‘ Mak, doakan Adik, ya. Adik nak senangkan mak.’ Doanya di dalam hati.

            Dia kemudian teringat akan pesan emak supaya menelefon ke rumah jika sudah sampai. Diberi peringatan kepada dirinya sendiri supaya apabila sampai di rumah Johari nanti, akan segera dia menelefon emak di rumah. Dia tidak mahu emak risau. Cukuplah emak risaukan Khalid dan Alia yang baru menyambung pengajian. Dia tidak mahu menjadi beban kepada emak. Dia cukup risau apabila Kak Nora memberitahu yang emak selalu mengadu sakit dada ketika bercerita perihal Khalid kepada Kak Nora.


            USJ, Subang Jaya, Selangor

Kereta Alice kemudian menuju ke kawasan Subang Jaya. Setelah melepasi sebuah lagi pusat membeli-belah Summit, Subang Jaya, Alice terus memandu hingga ke kawasan rumah pangsapuri yang agak mewah pada penglihatannya. Goodyear Court nama yang tertera di pintu masuk kawasan pangsapuri yang dikawal oleh sekuriti.

            Adik terperasankan sebuah kawasan kolam renang ketika Alice memarkir keretanya berdekatan dengan tangga. Tidak banyak kereta yang diparkir di kawasan itu. Mungkin kebanyakan penghuni masih keluar bekerja.

            “ Ok Dik...kita dah sampai,” jelas Johari sambil membuka pintu keretanya.
            Dia juga mencapai beg sandangnya dan mangkuk tingkat. Alice yang sudah keluar dari kereta, terus menuju ke belakang kereta untuk mengambil beg-beg yang dibawa dari kampung. Dia mempercepatkan gerakan. Tidak sedap pula dia membiarkan Alice mengambil beg-begnya yang berat itu.

            “ Eh...Alice, tak apalah. I boleh angkat beg-beg tu,” ujar Adik sambil meletakkan mangkuk tingkat di bawah.
            It’s ok...it’s ok Adik. I boleh tolong juga maa,” jelas Alice sambil mengeluarkan sebuah beg bajunya. Johari juga membantu.
            ‘ Ya ALLAH, baiknya hati si Amoy ni. Syukur aku dapat kawan-kawan yang baik.’ Adik merasa sebak dengan keprihatinan kedua orang temannya itu.
            “ Moy, you ambil mangkuk tingkat inilah. Biar I bawa beg I,” cadangnya kerana rasa bersalah melihat Alice mengangkat beg bajunya yang berat dan besar. Tidak sampai hatinya hendak membiarkan seorang perempuan mengangkat beg sebesar itu. Walaupun perempuan itu masih muda dan mempunyai kudrat.
            “ Ohh...ok,” Amoy menerima cadangannya sambil mengangkat mangkuk tingkat yang terletak di atas jalan yang berturap.
            Setelah bonet kereta ditutup, Alice mengunci pintu keretanya dan mereka menaiki tangga menuju ke lif.

            “ Kau sewa tingkat berapa, Ri?” Dia bertanya ketika menanti lif berhenti di aras bawah tempat mereka menanti.
            “ Tingkat paling atas, tingkat lima.”
            Dia mengangguk-angguk.
            Ketiga-tiga teman itu akhirnya tiba di hadapan pintu yang dicat dengan warna putih. Terdapat sebuah rak kasut kayu di hadapan rumah itu. Di atasnya tersusun pelbagai jenama dan rekaan kasut tinggi yang cantik dan trendy.
            ‘ Orang KL ni, kasutnya pun macam-macam fesyen. Kalau Kak Nora datang sini, aku nak belanja Kak Nora beli kasut tinggi macam si Amoy ni punya.’
            Alice membuka kunci pintu rumah sewanya.
            “ Ok...jemput masuk, Adik,” ujarnya sambil membuka luas pintu rumahnya menyambut kehadiran Adik. Alice tersenyum lebar.

            Dengan bersusah payah mengangkat beg baju yang berat, Adik melangkah masuk ke dalam rumah sewa Johari dan Alice yang bakal menjadi tempat naungannya juga.
            Masuk sahaja ke dalam rumah sewa sahabatnya itu, Adik terpegun seketika. Cantik sungguh hiasan dalaman rumah sewa Johari. Dia terus memerhati sekeliling. Sudah pasti Alice dan Johari ini adalah insan seni sepertinya juga.
            “ Masya-ALLAH, cantiknya rumah you all!” Terus dia memuji.
            Johari dan Alice masing-masing tersenyum sampai ke telinga.

            Dinding utama rumah itu dilekatkan dengan wallpaper yang bercorak bunga ros kecil-kecil berwarna merah hati. Pada dinding yang lain pula dicat warna merah berry yang amat muda. Terdapat jambangan bunga hydrangea berwarna pink dan putih sebanyak tiga tangkai di atas meja makan bulat dengan pasu kaca yang tinggi. Rumah itu terdapat tiga bilik semuanya. Semua pintu-pintu bilik dicat dengan warna putih. Sofanya juga berwarna putih dan dua buah kerusi jati betawi menghiasi ruang tamu rumah itu. Permaidaninya bercorak moden berwarna coklat muda. Meja kopinya pula adalah sebuah meja kaca jernih yang di atas meja kaca itu terletak sejambak jambangan bunga ros segar berwarna putih dan merah. Sebuah televisyen 32 inci diletakkan berdekatan dengan tingkap. Di bawah rak televisyen, tersusun rapi cakera padat pelbagai filem. Agak mewah juga kehidupan Johari dan Alice pada pandangan Adik. Terdapat sebuah cermin besar di kawasan meja makan dan ini membuatkan ruang tamu itu kelihatan besar dan luas. Tirainya pula hanyalah dari bidai buluh. Sebagai salah seorang graduan yang belajar tentang Hiasan Dalaman, Adik mengakui kepakaran Johari dan Alice menghias rumah ini.

            “ Dik...kau dengan aku kena kongsi bilik eh,” jelas Johari sambil mengangkat sebuah beg baju dan menuju ke bilik yang kedua.
            “ Eh...aku ok aje, Ri. Dapat tumpang rumah kau ni pun, aku dah bersyukur. Tidur di ruang tamu pun boleh kalau bilik kau sempit. Nanti, kita kongsi bayar sewanya eh?”
            “ Jangan nak mengada-ngada nak tidur kat ruang tamu pulak! Bilik aku besarlah. Kau tidur aje dalam bilik. Pasal sewa tu, nanti-nanti kau fikirkan. Kita cari kerja untuk kau dulu.”
            Dia tersenyum, mengangguk.
            ‘ Ri...Ri... kau ni, memang tak ada gantinya.’
            “ Juls, you dengan Adik kemas-kemas dulu hor...I siapkan lunch. Sudah lapar maaa,” kata Alice sambil menuju ke dapur dengan membawa mangkuk tingkat.
            “ Oh ok ok...thanks Moy...I pun lapar, Moy.”

            Adik mengikut Johari memasuki bilik tidur yang bakal menjadi tempat dia beristirehat satu hari nanti.
            “ Ri...kenapa Amoy panggil kau, Juls?”

            Johari memandang tepat ke arahnya. Kemudian mimik mukanya berubah. Dia tersengih.
            “ Hehehe...sebab nama aku kat KL ni....Julia!”
            Adik ketawa terbahak-bahak.
            “ Aku dah agak dah! Budak bertuah! Kau mesti nak capai cita-cita kau hendak jadi Julia Roberts, kan?”
            “ Eiiii! Dia memang idola aku, Dik! Kau macam tak tahu?”
            “ Aku tahulah. Sebab tu aku tanya kau dalam bilik ni. Aku tak kantoikan kau depan Amoy.”
            “ Alah, Amoy tahu nama sebenar aku sebab masa hendak sewa rumah ni, dia siap buat perjanjian. Macam itulah orang cina. Dia orang memang suka black and white. Sain-sain dokumen perjanjian sewa beli semua. Nanti senang, tak ada dakwa-dakwi,” jelas Johari panjang lebar.

            Adik hanya mengangguk-angguk. Setelah meletakkan begnya, dihantar pula punggungnya ke lantai marmar sambil menyandarkan tubuhnya di dinding yang berwarna lavender lembut. Bilik itu juga berbau haruman lavender. Bilik Johari agak besar pada pengamatannya. Terdapat sebuah katil saiz queen dengan tilamnya disalut cadar berwarna hijau muda bercorak paku-pakis. Terdapat meja solek dan sebuah kabinet baju yang agak besar. Johari lantas membuka suis penghawa dingin, menutup pintu dan tingkap biliknya yang terbuka. Udara yang berhembus dari penghawa dingin itu menyamankan tubuh Adik yang agak keletihan. Johari juga duduk bersila berhadapan dengan Adik sambil bersandar di dinding yang bertentangan. Dari dapur, kedengaran bunyi Amoy mengambil pinggan-pinggan kaca dan gelas. Kelentang-kelentung bunyinya. Jika emak mendengar bunyi-bunyi seperti itu, mesti mulut emak membebel kerana pantang emak membuat kerja di dapur sambil tetamu boleh mendengar pinggan mangkuk berlaga-laga.

            “ Ri...lagi satu. Hmm, maaflah kalau aku nak tanya ni benda sensitif ya.”
            “ Eh tanya ajelah. Kau ni, macam tak kenal aku...nak berformal-formal macam soalan dari wartawan pulak, geli aku.”
            Adik tersenyum, dia menelan air liur sebelum bertanya, “ Ri...kau sewa satu rumah dengan Amoy, perempuan bukan muhrim ni, tak kena cekup ke dengan pencegah maksiat?” Keningnya berkerut ketika bertanyakan soalan yang agak sensitif kepada Johari.           
           
            Sekali lagi Johari memandang tepat ke wajah Adik. Dia mengerutkan kening. Dada Adik berdebar-debar. Dia risau jika dia mengguris perasaan Johari dengan soalan tadi. Sudahlah lama mereka tidak bertemu. Dia tidak mahu membuat Johari berkecil hati di awal pertemuan ini.
            “ Siapa perempuan?”
            Gulp. “ Errr...Amoy tu?”
            Mimik muka Johari berubah. Dia seperti menahan tawa yang akan terburai.
            “ Amoy? Perempuan? ” Johari bertanya Adik dengan wajah yang serius.
            “ Haah. Iyalah. Kau orang tak kena saman ke, kena cekup ke atau boyfriend si Amoy tak marah ke? ” Adik teringatkan kenyataan Johari yang, jika Amoy tidak keluar ber-dating pada hari Ahad, dia dan teman serumahnya akan keluar menonton wayang bersama-sama.
            “ Kah!Kah!Kah!” Johari ketawa terbahak-bahak dengan kenyataan Adik. Adik pula memandang pelik ke arah wajah Johari yang ketawa sambil terpejam-pejam matanya. “ Adoi Dik...sakit perut aku ni ha! Kalau Amoy tahu, dia mesti suka!”
            “ Eh...kau janganlah cakap dengan dia, Ri. Takut nanti dia kecil hati pulak, ” Adik risau.
            “ Takkk...maksud aku, kalau aku beritahu Amoy kau ingat dia perempuan, dia mesti suka!” Jelas Johari yang masih terkekeh-kekeh ketawa sambil menggeleng-geleng kepala.
            “ Habis? Alice tu bukan perempuan ke?” Tanya Adik dengan kening yang berkerut. Serta-merta terbayangkan tubuh langsing Amoy dengan kulit kuning langsat, cerah dan halus gebu. Telapak tangan Amoy ketika bersalaman dengannya tadi pun terasa lembutnya. Sebab itulah dia tidak mahu Amoy mengangkat beg bajunya yang berat. Dia tidak mahu tangan halus itu birat dek beg bajunya yang berat macam batu.
            “ Dikkk...nama sebenar si Alice tu, Wong Ah Leng! Cina jinjang dari Ipoh! Hahaha...,” Johari masih terus ketawa dan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil wajah Adik masih terus keliru.
            “ Wong Ah Leng?” Bisiknya perlahan.
            “ Haah, Wong Ah Leng. Amoy tu macam aku juga, Dik! Tapi aku ni Julia Roberts, dia nak jadi Alice in Wonderland! ”
           
            Wajah Adik yang kebingungan membuatkan Johari semakin terkekeh-kekeh ketawa. Adik cuba memproses kata-kata Johari di dalam otaknya yang ligat berfikir.

            “ Amoy tu macam kau?! Errr...maksud kau...errr...maksudnya, dia pun...errr...dia pun, lelaki macam kau?” Tanya Adik, bingung.
            “ Haaa...iyalah! Kau jangan risaulah. Tak adanya kita kena cekup dengan JAIS. Kalau ustaz-ustaz JAIS datang, dia tengok kad pengenalan Amoy dengan aku, mesti dia orang yang minta maaf dan terus balik,” ujar Johari terkekeh-kekeh.
           

Dia mengangguk perlahan sambil menelan air liur. Di telapak tangannya masih terasa kehalusan dan kelembutan jari-jemari Alice ketika bersalaman dengannya tadi.
           
            “Juls...Adik...jom lunch. I sudah siapkan tempat makan ni.” Dari ruang makan, terdengar suara Amoy memanggil mereka berdua dengan suara yang lembut persis seorang gadis.

No comments:

Post a Comment