AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 22 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 13- SASYA ZAINAL



Lebuhraya Utara-Selatan

Ketika dia terlihat papan tanda yang menunjukkan yang bas sekarang melalui kawasan Nilai, Negri Sembilan...segera dia mengambil telefon bimbitnya dan menghantar pesanan SMS kepada Johari seperti yang telah diarahkan. Mungkin Johari akan mula bergerak dari rumah. Dia juga tidak pasti berapa jauh perjalanan antara Subang Jaya dan hentian bas Pudu. Dia faham benar dengan kesesakan trafik di Kuala Lumpur. Mungkin Subang Jaya itu sebenarnya dekat sahaja dengan Puduraya, tetapi kerana kesesakan lalulintas, Johari perlu merancang perjalanannya terlebih dahulu. Jam digital yang terletak di bahagian hadapan di dalam bas menunjukkan pukul 10.30 pagi. Di dalam satu jam lagi, pada firasatnya sampailah dia di hentian Pudu.

            Aku tunggu kau di kaunter Polis depan tangga tu.
            Johari membalas pesanan SMSnya yang terakhir.

            Adik tidak tahu, apa yang akan jadi kepada hidupnya jika Johari tidak menawarkan diri untuk membantu. Dia mungkin akan mencari jalan untuk keluar dari rumah dan mencari kerja di Johor Bahru. Tetapi oleh kerana Johari bersungguh-sungguh mengajaknya bekerja di Kuala Lumpur, dia mengikut pendapat temannya itu.
           
“ Dik...kalau kau datang kerja sini, kau boleh buat kerja part time.” Cadang Johari.
“ Kerja part time apa pulak yang aku nak buat Ri? Kerja full time pun belum tentu dapat.”
“ Dik...KL ni lombong emas tau tak! Siapa yang rajin kerja, rajin cari duit, mesti kaya kat KL ni. Kau boleh buat interior deco kau tu secara freelance. Rumah kat sini, kebanyakannya guna khidmat interior deco professional. Kau belajar tinggi-tinggi kat UiTM buat apa kalau kau tak gunakan kelebihan kau tu? Kau boleh ambil upah mekap pengantin masa hari minggu. Banyak benda boleh buat tambah duit, Dik. Mahu tak mahu aje.”

Adik menarik nafas panjang. Dia berdoa, moga ALLAH memudahkan urusannya, meluaskan pintu rezekinya untuk mencari rezeki yang halal di Kuala Lumpur nanti. Wang itu nanti, niatnya hendak tanggung adiknya Kasih Alia belajar dan juga akan diberi kepada emak dan ayah.

Semasa di Batu Pahat, selain menolong Kak Nora menghias pelamin dan dulang-dulang hantaran, Adik bekerja di sebuah pusat membeli-belah sebagai promoter pakaian lelaki. Dengan gaji dan komisen RM900.00 itu, dia berjimat cermat membantu emak dan ayah membayar bil-bil air dan elektrik. Duit itu juga dibuat beli barang-barang runcit dan pasar untuk mereka makan anak-beranak. Dia tahu emak dan ayah menyimpan duit untuk mengerjakan fardhu haji.

Ramai rakan-rakan tempat sekerjanya mencadangkan agar dia bekerja di bahagian pentadbiran kerana kelulusannya. Tetapi dia malas hendak pening kepala. Bekerja di bahagian pentadbiran bermakna menguruskan hal-ehwal pekerja. Dia lebih gemar bekerja sebagai promoter, tidak perlu pening-pening kepala. Senang hendak ambil cuti. Senang hendak tolong Kak Nora pada musim orang buat kerja kahwin. Apabila membantu Kak Nora juga, kakak angkatnya itu tidak pernah lokek memberinya upah yang setimpal dengan bantuannya. Kadang-kala dia merasakan yang Kak Nora membahagi dua upah yang diterima dari pihak pengantin.

“ Kak Nora...apa banyak sangat ni? Saya tolong sikit aje, kak.”
Teringat lagi dia ketika Kak Nora menghulurkan wang sebanyak RM700.00 kepadanya setelah dia membantu kakak angkatnya itu memasang pelamin, menghias meja makan utama dan menghias bilik pengantin.
“ Alah Dik...ambillah. Rezeki jangan ditolak. Kalau kau tak ada, siapa yang hendak tolong Kak Nora panjat tangga pasang lampu, lekatkan bunga-bunga, daun-daun semua tu? Ini kau ada laaa ni, pelamin tu semua orang puji, cantik sangat, tau!” Tersenyum lebar Kak Nora bila mengingatkan yang ramai orang memuji-muji pelamin dan bilik pengantin yang dihias cantik.
Adik terharu. Jika orang ramai memuji-muji kepakaran Kak Nora, dia pasti akan mendengar Kak Nora berkata, “ Alah...bukan saya buat seorang, itu haa, Adik saya tolong sekali.”
Dia sebak lagi di dalam bas yang masih meluncur laju menuju ke ibu kota.

‘ Siapa nanti akan tolong Kak Nora kalau aku takde?’ Dia mengeluh sendiri.

Dari tingkap bas eksress yang dinaiki, dia sudah dapat melihat menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia pasti, beberapa minit sahaja lagi, sampailah dia di hentian bas Puduraya. Semasa belajar di UiTM, Perak, dia memang selalu menaiki bas untuk ke KL, kemudian berhenti di Puduraya dan selepas itu menyambung perjalanan ke tempat pengajiannya. Tetapi dia tidak pernah bermalam di Kuala Lumpur seperti rakan-rakan kampus yang lain. Mereka selalunya akan menyewa hotel murah atau menetap di rumah kawan-kawan yang berasal dari Kuala Lumpur. Keesokan harinya, mereka akan menggunakan masa satu hari untuk bersiar-siar di ibu kota negara itu. Ada juga yang membeli-belah atau mencari buku-buku senilukis dan senireka. Tetapi, Adik lebih selesa untuk terus pulang ke rumah jika waktu cuti semester. Padanya, kebahagiannya adalah bertemu emak, ayah, Kak Nora dan Kasih Alia.

Bas ekspress BP-KL itu akhirnya melepasi stesen LRT Hang Tuah, kawasan penjara Pudu dan menuju ke hentian Puduraya. Apabila memasuki kawasan pusat bandaraya, perjalanan bas sudah mula terhenti-henti kerana kesesakan trafik. Terdapat debaran di dada Adik. Dia sendiri tidak pasti mengapa perlu ada debaran itu. Bukan dia tidak pernah menjejakkan kaki di Puduraya langsung. Bukan dia tidak pernah berjalan seorang diri. Bukan dia budak kecil lagi yang perlu takut. Entah mengapa, semakin bas yang dinaiki menghampiri tempat hentiannya, debaran di dada semakin kuat. Adik berselawat di dalam hati, memohon agar ALLAH memberikan dia ketenangan.

‘ Mungkin aku berdebar-debar hendak jumpa Ri agaknya.’
Dia membuat kesimpulan sendiri. Memang dia tidak pernah lagi bertemu dengan Johari setelah dia melanjutkan pelajaran ke UiTM. Semasa menanti keputusan SPM, dia dan Johari sama-sama bekerja sementara di sebuah kilang memproses papan kekunci komputer di kawasan Minyak Beku sebagai operator pengeluaran. Hari minggu mereka, digunakan untuk menolong Kak Nora. Johari juga sepertinya. Seorang insan yang dikurniakan dengan bakat seni semulajadi. Selain dari pandai memasak, sahabatnya itu pandai menjahit. Dia selalunya membantu Kak Nora menjahit manik-manik atau labucci di tudung-tudung atau selendang pengantin. Manakala Adik lebih pakar kepada hiasan bunga dan mekap. Memang banyak ilmu andam-mengandam yang diturunkan oleh Kak Nora kepada mereka berdua. Setelah dia mendapat kemasukan ke UiTM, Johari agak bersedih kerana dia tidak mendapat mana-mana panggilan. Ayah dan ibunya Mak Bedah mahu Johari menyambung pelajarannya di tingkatan enam. Tetapi Johari lebih senang untuk mencari kerja. Seperti Adik, niat Johari hendak membantu ayah dan ibunya menanggung persekolahan dua orang lagi adik perempuannya.

Kini, bas yang dinaiki, telah pun memasuki kawasan bawah hentian Puduraya yang agak gelap dan penuh dengan bas-bas ekspress yang diparkir. Sejak dari dahulu lagi, hentian ini tidak berubah. Dia selalunya merungut sendirian kerana perlu memanjat tangga besi dari tempat parkir ke bahagian atas Puduraya dimana letaknya tempat membeli tiket bas dan tempat makan. Ketika bergelar siswazah, dia gemar mencari novel-novel cinta di kedai-kedai buku kecil di Puduraya untuk dibaca di dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat.  Dia juga gemar membeli beberapa butir Dunkin Donuts yang lazat. Bukan main suka lagi Kasih Alia jika dia membawa pulang donut yang bersalut coklat, strawberry atau vanilla itu ke rumah.

Drebar bas yang mungkin muda sedikit dari umur ayah akhirnya dengan cekap memarkir bas yang panjang itu di bawah tangga yang sempit. Ketika menuruni tangga, Adik mengucapkan terima kasih kepada pakcik pemandu bas itu.

“ Banyak beg, Dik? Pindah KL ke?” tegur pemandu bas itu yang melihat Adik mengangkut dua tiga beg yang besar-besar. Mangkuk tingkat yang berisi nasi lemak juga dijinjing bersama.
“ Haah pakcik. Saya dapat kerja kat sini,” jawabnya sambil tersenyum pakcik yang mengangguk-angguk itu.

Hentian Puduraya, Kuala Lumpur

Merengkek-rengkek Adik membawa dua buah beg bajunya. Sebuah beg sandang yang agak berat tersangkut di belakang. Sebuah beg baju sederhana disangkut di bahu kanan. Sebuah lagi beg dipegang menggunakan tangan kiri dan mangkuk tingkat pula dipegang dengan tangan kanan. Berpeluh-peluh Adik memanjat tangga besi itu. Syukurlah apabila tiba di atas, dia sudah berada dekat dengan kaunter  Polis di mana Johari akan menanti. Dia sudah tidak larat lagi hendak memikul beg-begnya ke sana ke mari.

Dia memicing kedua-dua belah matanya. Tidak ada tanda-tanda Johari berada di situ. Adik menghampiri tempat duduk yang paling hampir dengan kaunter Polis. Dia kemudiannya meletakkan kesemua beg yang dipegang. Adik menarik nafas. Menyedutnya dalam-dalam. Dia masih termengah-mengah. Walau dia tahu udara yang memenuhi rongga paru-parunya adalah udara kotor yang berdebu kerana kebanyakannya bas yang diparkir tidak menutup enjin, namun dia tidak punya pilihan.

Adik menjeling ke arah jam di lengan kanannya, waktu menunjukkan hampir ke pukul 12.00 tengahari. Dia pasti, emak sekarang ini mungkin sedang bersiap-siap menyiapkan makan tengahari untuk ayah. Ayah selalunya akan menjamah sedikit nasi sebelum dia pergi menunaikan solat jumaat.

‘ Mana pulak Ri ni?’ Dia memanjangkan lehernya melihat-lihat sekitar kaunter Polis. Tidak ada bayang Johari.

Telefon bimbit yang berada di dalam poket bergetar dan berdering. Segera dia menyeluk poket seluar jeansnya dan menekan butang untuk menjawab telefon itu. Nombor Johari yang tertera di situ.
Hello,Ri...”
“ Dik, kau kat mana? Aku dah ada kat kaunter Polis ni.”
“ Hah? Mana kau? Aku kat tempat duduk yang dekat dengan kaunter tu, tak nampak pun kau,” Adik meninjau-ninjau kawasan kaunter Polis dan memfokus matanya mencari Johari.

Yang ada berdiri di kaunter Polis itu adalah seorang wanita muda yang agak cantik. Tubuhnya langsing. Wanita itu berambut panjang ikal mayang melepasi bahu sambil memakai kaca mata hitam. Dia memakai skirt biru muda dan blaus putih tanpa lengan. Kebetulan dia juga sedang bertelefon. Adik mencari-cari wajah Johari yang hitam manis. Johari agak rendah darinya. Tiada tanda-tanda Johari di situ,
“ Dik, Dik...aku dah nampak kau!” Suara Johari di hujung talian teruja.
“ Hah? Kau kat mana?” Dia memusingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.
Klik. Talian telefon di sebelah sana, dimatikan.

Adik mengerutkan kening. Dia masih berusaha mencari kelibat sahabatnya. Kepalanya ditoleh ke kiri, ke kanan mencari Johari. Sekali lagi Adik terpandangkan wanita muda yang berada di kaunter Polis itu. Wanita itu tersenyum.

‘ Eh...perempuan ni senyum pada aku pulak?’

Kemudian wanita itu melambai-lambaikan tangan. Adik menoleh ke kiri ke kanan hendak memastikan wanita itu mungkin juga melambaikan tangan kepada rakannya yang berdekatan. Tetapi tiada siapa di situ yang menyambut lambaiannya. Adik memerhati kembali kepada wanita muda yang berjalan lenggang-lenggok ke arahnya. Adik mengerutkan kening. Dia cuba memfokus kepada wanita muda yang semakin menghampirinya.
‘ Ri?’ Dia berbisik kepada dirinya sendiri.

“ ADIK!!!” Wanita itu menjerit ke arahnya dan mendepangkan tangan.
Adik bangun perlahan-lahan dari tempat duduk dengan mata yang terpaku ke arah ‘wanita’ itu dengan mulut yang tercopong. Terkujat.

“ Ri?” Nama itu disebut perlahan-lahan seolah-olah tersangkut di kerongkongnya.
Tanpa dia sedari, dia sudah pun berada di dalam dakapan wanita muda yang memakai skirt biru, blaus berwarna putih tanpa lengan itu.



*Sekolah Menengah Tinggi, Kluang.
April, 2006.


Awak kena ikhlaskan hati awak. Saya amat faham pengorbanan awak sebagai seorang cikgu. Tapi awak kena tabah. Biarlah cikgu-cikgu hendak kata apa, tetapi yang penting, anak-anak murid awak. Mereka bergantung harapan pada awak. Cuba awak tanya apa rahsia emak dan ayah awak. Macam mana mereka boleh jadi cikgu dari muda hingga sekarang ini. Pernah tak mereka mengeluh? Pernah tak mereka merungut? Saya pasti, mungkin ada.Tetapi mereka tetap setia bekerja sebagai cikgu. Cuba awak lihat...emak ayah awak adalah salah seorang yang dihormati di kampung. Bila awak jadi cikgu juga, emak ayah awak sangat bangga tau. Bila awak di UPSI dulu, ayah awak selalu bercerita pasal awak di surau.

Awak bersabar ya dengan tugas-tugas awak tu. Setiap kerja memang ada dugaannya. Awak ingat, saya jadi kerja di shopping complex tu, tak ada dugaan ke? Ada awak. Tiap-tiap hari ada. Tapi, saya fikir...saya hendak ikhlaskan hati saya sebab duit gaji saya hendak beri pada emak dan ayah saya. Duit gaji saya tu, hendak beri Alia sambung belajar.  Saya pun hendak buat beli makan minum dengan duit gaji saya.. Kalau saya tidak ikhlaskan hati, takut gaji saya tidak berkat.
Sabar ya awak. Bukan jauh sangat BP-Kluang. Nanti minggu depan, awak boleh balik lagi.
Awak jaga diri ya.

Sudah hampir sepuluh kali Faezah Hanim membaca emel dari Kamal Arif. Sejak dari zaman persekolahan, hinggalah mereka dewasa, Arif sentiasa pandai memujuk hatinya. Sentiasa pandai memberi semangat padanya. Sentiasa ada ayat-ayat yang menyejukkan kemarahannya. Apabila sesuatu masalah melanda, pada Kamal Ariflah dia selalu mengadu. Mengadu dengan emak ayah itu, lain. Mengadu dengan Arif, lain rasanya. Dia juga lebih suka berbalas-balas emel atau SMS kerana dia akan menyimpan setiap emel atau SMS dari Arif. Nanti, jika dia berasa keseorangan, dia akan membaca kembali emel dan SMS dari temannya itu.

Tetapi ini, sudah hampir dua minggu Arif tidak membalas emelnya. Adakah dia sibuk dengan kerja atau sibuk menolong Kak Nora? Tetapi kerja Arif bukan sepertinya. Kerja Arif tidak perlu dibawa pulang ke rumah. Kerja Arif bukannya perlu menanda buku-buku atau kertas-kertas periksa. Atau mungkinkah Arif sibuk membantu ibunya menjaga kakak ipar yang berpantang bersalin di kampung mereka. Faezah Hanim mengklik butang sign out dan kembali ke meja tempat dia meletakkan buku-bukunya. Di dalam bilik guru sekolah itu hanya terdapat tiga komputer untuk guru-guru menaip soalan-soalan ujian atau melayari internet.

Setelah habis waktu rehat, dia tidak ada banyak kelas. Kebanyakan kelas Faezah Hanim adalah di waktu pagi. Faezah Hanim mengikut jejak langkah bapanya, Cikgu Amir. Menjadi seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan atau cikgu sukan, gelaran para pelajarnya. Setelah mendapat keputusan SPM, Faezah Hanim memohon untuk memasuki Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Mungkin kerana darah yang mengalir di dalam tubuhnya adalah darah dua orang guru, dia juga meminati kerjaya yang sama. Syukurlah dia hanya ditugaskan di Sekolah Menengah Tinggi, Kluang. Hanya satu jam setengah perjalanannya dari Kluang untuk pulang ke Batu Pahat. Setiap minggu, Faezah Hanim akan pulang ke rumah ayah dan ibunya. Hidupnya rasa tidak lengkap jika tidak pulang ke kampung.

Tetapi, sudah dua minggu berturut-turut dia tidak dapat pulang kerana membawa pasukan bola baling sekolah ke Johor Bahru. Ayah dan ibunya amat faham dengan tugasnya sebagai seorang pendidik kerana mereka juga sudah bergelar guru lebih dari dua puluh tahun. Oleh sebab itu, sudah hampir tiga minggu dia tidak bertemu Kamal Arif. Minggu terakhir dia bertemu Arif adalah pertengahan bulan Mac. Itupun ketika dia bertandang ke rumah Kak Nora kerana menghantarkan kek buah-buahan yang ditempah oleh Kak Nora dari ibunya. Memang dia pasti, Arif pasti ada di rumah Kak Nora. Ada-ada sahaja projek mereka berdua. Menggubah bungalah, melukis rekaan pelaminlah, menjahit manik-manik atau renda di cadar pengantinlah. Memang Arif dan Kak Nora seperti dua orang business partner sejak dari zaman remajanya.

“ Hanim...jaga muka kau tu. Kak Nora tengok, setiap kali balik kampung, makin banyak jerawat kau. Jangan malas jaga muka. Kau tu anak dara.”
Itulah pesan Kak Nora jika dia bertandang ke rumah Kak Nora. Dia tidak ambil hati. Sekelumit perasaan benci pun tidak ada dalam hatinya kepada Kak Nora. Kak Nora janda cantik itu sudah dikenalinya sejak zaman kanak-kanak. Semua orang tahu yang Kak Nora memang amat menjaga penampilan dirinya. Lagipun, teguran Kak Nora itu, untuk kebaikan dirinya juga. Di dalam hidupnya, hanya emak, ayah, kaum keluarga dan Kak Nora sahaja yang memanggilnya ‘ Hanim’. Dia juga menganggap Kak Nora itu sebagai kakaknya walau umur Kak Nora dan ibunya mungkin sebaya.

“ Lecehlah Kak Nora nak basuh muka, nak letak itu, nak letak ini. Balik dari sekolah, dah penat. Sembahyang, makan...terus nak tidur.” Pandai sahaja dia memberi alasan jika Kak Nora membebel-bebel dengannya.
“ Haaa, baguslah macam tu. Nanti kalau kau kahwin, naik pelamin, dua kilo bedak Kak Nora nak tepek kat muka kau bagi nampak licin! Jaga dari sekarang Hanim. Nanti dah berbekas, susah. Cuba tengok Adik ni ha? Dia lagi rajin jaga muka dari kau!” Kak Nora menjuihkan bibirnya kepada Adik yang asyik menggubah bunga dan daun-daun plastik di dalam sebuah pasu seramik yang besar.

Sahabatnya itu tersenyum sahaja memandang dirinya. Faezah Hanim juga membalas senyuman Adik.
“ Arif punya kerja senang Kak Nora. Tak macam cikgu. Cikgu banyak kerja. Kena buat buku perancanganlah. Kena bawa budak-budak sukanlah. Kena pergi kursuslah. Lagi nak tambah dengan belai-belai muka ni, lecehlah kak,” pantas sahaja dia membidas kata-kata Kak Nora.
“ Siapa kata kerja Adik senang? Hari biasa kena kerja kat bandar. Berdiri sepanjang masa. Hari minggu tolong Kak Nora. Angkut pelamin, angkut dulang, panjat tangga, turun tangga hendak pasang pelamin. Kadang-kadang jatuh tergolek. Bahaya tau kerja kami ni, Tapi sempat juga dia jaga muka dia.” Bersungguh-sungguh Kak Nora menerangkan.

Faezah dan Arif tergelak dengan penjelasan Kak Nora. Memang. Memang wajah Arif putih, cerah dan bersih. Menurut kata Arif, dia hanya memakai pencuci muka dan bedak sejuk sebelum tidur. Seminggu sekali, dia memakai masker. Memang agak pelik bagi Faezah kerana ada juga kaum lelaki yang amat menjaga rupa paras mereka. Tetapi, oleh kerana dia sudah mengenali Arif sejak kecil, kelakuan dan peribadi Arif itu tidak nampak janggal di matanya. Jika Faezah perhatikan, atok Arif, Tok Bidin kopral pencen itu, dari Faezah kecil hingga kini, masih segak sahaja. An Officer and A Gentleman macam lakonan Richard Gere zaman dia masih kecil. Mungkin Arif mengikut jejak langkah atoknya.

Hari ini hari Jumaat. Minggu ini juga, dia tidak dapat pulang ke kampung. Dia sudah merasa rindu dengan emak dan ayah. Rindu hendak makan masakan emak. Jika dia pulang, emak pasti akan memasak makanan-makanan kegemarannya. Pada hari Sabtu pula, selalunya dia akan keluar ke bandar Batu Pahat atau ke bandar Muar untuk makan malam di luar. Selain dari merindui emak dan ayah...Faezah Hanim sebenarnya merindui Kamal Arif. Minggu ini, dia tidak dapat pulang ke kampung  kerana perlu membawa pasukan bola jaring sekolah ke daerah Kulai untuk perlawanan peringkat daerah. Mereka mungkin akan tidur di salah sebuah asrama sekolah di Kulai.

Yang menghairankan, selain tidak membalas emel, Arif juga tidak membalas pesanan SMSnya. Dia mengambil telefon bimbitnya, membaca semula pesanan SMS terakhir Arif kepadanya kira-kira dua minggu yang lalu.

Faez, maaf ya saya tidak dapat telefon awak. Saya ada masalah sekarang. Awak jangan risau, saya ok. Doakan saya tabah. Nanti, bila lapang saya akan cerita pada awak. Buat masa ini, biarlah saya selesaikan masalah saya dulu. Saya tak mahu cerita dengan awak. Awak pun tengah sibuk dengan sukan. Awak tolong doakan saya aje. Take care, Faez.

Apa pula masalah yang melanda Arif? Dari gaya pesanan SMS itu, masalah yang datang seolah-olah masalah yang amat besar. Arif selalunya tenang sahaja dalam apa jua perkara. Yang kecoh tidak tentu pasal adalah Johari. Yang gelabah tidak tentu hala, selalunya dia. Yang panik tidak semena-mena, selalunya Kak Nora. Yang banyak bertenang, adalah Kamal Arif. Yang cool adalah Kamal Arif. Yang gentleman pun selalunya Kamal Ariflah.

‘ Apa pula masalah mamat ni? Kalau ada masalah, bukan hendak cakap dengan aku.’

“ Cikgu Faezah, dari tadi saya perhati cikgu...macam ada masalah saja?” tegur seorang guru senior di sekolah.
“ Eh...Kak Zura. Tak adalah kak. Tengah fikir, esok hendak suruh budak-budak berkumpul pukul berapa di sekolah,” dia berbohong.
“ Oh...esok bawa budak-budak netball ke Kulai eh?”
“ Haah kak. Esok sampai Ahad laa saya di Kulai. Tak dapat balik kampung lagi,” dia mengeluh.
“ Ohh...rindu mak ayah eh?” Cikgu Azura meneka. Dia tersenyum. Wajah seorang ibu.
“ Rindu jugak kak. Saya anak tunggal. Emak ayah saya pun rindu saya agaknya.” Bab ini, dia tidak berbohong. Dia memang rindu kepada emak dan ayah.
“ Akak faham, Faez. Itulah orang kata kerja cikgu ni senang. Banyak cuti. Cuti sekolah berminggu-minggu. Tetapi orang tidak tahu, kita kadang-kadang sibuk mengalahkan pengarah. Akak pun, kalau balik kampung, bukan boleh balik lama-lama. Lepas tu, waktu cuti hendak bahagi dua lagi. Balik kampung akak, balik kampung suami,” Cikgu Azura pula yang mengadu.

Faezah Hanim mengangguk-angguk, mengiakan. Cikgu Azura berasal dari Pahang. Suaminya yang juga seorang guru pula berasal dari Perak. Nasib baik kedua-duanya bertugas di daerah Kluang juga. Mereka perlu merancang perjalanan, merancang waktu yang sesuai untuk pulang bercuti ke kampung. Dia amat bersyukur dia tidak ditugaskan ke Sabah dan Serawak seperti beberapa teman kampusnya. Baru dua minggu tidak jumpa emak dan ayah, hatinya dihambat kerinduan. Tetapi, rindu kepada emak dan ayah, tidak sama seperti dia merindui Arif. Kalaulah dia bertugas di Sabah, harus bengkak matanya dalam minggu-minggu awal persekolahan.

Gaya dan perwatakannya mempamirkan yang dia seorang wanita lasak yang tidak gentar menghadapi apa jua cabaran. Semasa di kampus pun, dia gemar mengikuti aktiviti lasak seperti memanjat gunung. Tetapi orang ramai tidak tahu, dia jenis yang manja. Hatinya seperti jeli. Mudah rindu dengan ayah, emak dan insan-insan yang rapat dengannya.

Ingin rasanya dia pulang ke kampung sebaik sahaja pulang dari sekolah hari ini. Kemudian keesokan pagi, dia akan kembali ke Kluang untuk mengambil pemain-pemain bola jaring untuk ke Kulai. Pertama sekali, dia ingin bertemu dengan emak dan ayah. Selepas itu, dia hendak bertemu dengan Kamal Arif. Dia merasa bersalah kerana tidak bersama-sama Arif di dalam ‘masalah’ yang dihadapi. Jika dia dilanda masalah, Arif tidak  putus-putus memberi nasihat, semangat dan berdoa untuknya.

Tetapi, dia pasti kepenatan. Cikgu Faezah mengeluh. Dia perlu mengambil rehat yang cukup kerana esok, dia bertanggungjawab menjaga seramai sepuluh orang pelajar. Dia bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan anak-anak muridnya. Jika dia penat, takut-takut ada pula perkara yang tidak diingini berlaku. Maklumlah, malang tidak berbau. Jika dia penat, terlalai dalam pemanduan, terlambat datang ke padang perlawanan, bukan pelajar yang harus dipersalahkan.

‘ Cepatlah masa berlalu. Aku nak balik kampung.’ Dia merintih sendiri.

No comments:

Post a Comment