AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 11 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 2 - Karya Sasya Zainal



Januari 1985
Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat

Suara kokokan ayam jantan telah lama hilang. Sampan-sampan yang dikayuh oleh Ajis dan Sahak pun sudah ditambat di jeti penambang. Anak-anak yang bersekolah mungkin sedang berada dalam waktu rehat. Sementara itu, ibu-ibu di rumah pula mungkin sedang menyediakan lauk-pauk untuk hidangan tengahari. Ajis dan Sahak juga mungkin sedang berehat kerana lenguh mendayung ulang-alik dari jeti kampung ke jeti Jalan Shahbandar.

Salimah sedang tekun menjahit lencana sekolah dibaju kemeja putih anak sulungnya di tepi tingkap rumah kayu mereka yang terkuak luas. Disitulah tempat kegemaran dia dan allahyarhamah ibunya menyembat baju-baju kurung tempahan orang-orang kampung ketika mereka mengambil upah menjahit. Sekarang ini pun, masih ada juga beberapa pelanggan tetap Salimah yang masih menghantar kain-kain ela untuk dijadikan baju kurung Johor. Adik leka berbaring meniarap disamping ibunya sambil mewarnakan gambar sebuah kereta di buku mewarna yang dibeli oleh ayah tempoh hari.

            “Mak, Adik tak sukalah kaler kereta ni,” ujar Adik sambil mengangkat kepalanya memandang Salimah.

            “Laaa, kenapa pula tak suka? Cantik aje mak tengok Adik kaler kereta tu,” jawab Salimah sambil melihat gambar kereta yang diwarnakan oleh anaknya. Kemas sahaja Adik mewarnakan gambar kereta itu walaupun dia baru berumur lima tahun.

            “Hmm… mak, Adik sebenarnya nak buku kaler gambar yang ada puteri-puteri yang ada banyak bunga-bunga tu, nanti mak belikan eh mak?” Rayu Adik memandang Salimah penuh harapan.

            Salimah tersenyum, “ Iyalah, nanti mak belikan. Petang nanti, lepas kita balik dari goreng kerepek, kita singgah kedai beli buku macam yang Adik nak, ya?” Tersenyum lebar Adik mendengar janji ibunya.

            Rutin Salimah dari hari Ahad hingga Khamis, sewaktu anak-anaknya bersekolah adalah sama sahaja. Kedua-dua anak Salimah tidak akan pulang kerana menanti untuk ke sekolah agama yang terletak di sekolah yang sama. Mereka hanya akan pulang jam enam petang. Pada pukul 2.00 petang, Salimah dan Adik akan ke kilang kerepek untuk memulakan tugasnya mengupas, menggoreng dan membungkus kerepek. Kak Piah, isteri kepada Haji Jalil, pemilik kilang kerepek kecil itu memang amat bertimbang rasa. Kepada pekerjanya yang masih belum berkahwin, mereka akan bekerja di shif pagi yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Bagi wanita yang sudah berkeluarga pula, mereka hanya akan mula datang ke kilang pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang.

Sudah hampir lima belas tahun Salimah bekerja dengan Kak Piah dan Haji Jalil. Dia tidak pernah merasa bosan bekerja di kilang itu. Kesemua pekerja kilang itu adalah jiran-jirannya yang duduk berdekatan dengan kilang kerepek Haji Jalil. Semasa allahyarham ibunya masih hidup, Salimah meninggalkan Adik di rumah bersama ibunya. Namun kini, setelah ibunya meninggal dunia dan ibu mentuanya pula tidak kuat lagi untuk menjaga anak-anaknya, Salimah membawa sahaja Adik ke tempat dia bekerja. Lagipun, Adik tidak seperti dua orang anak lelakinya yang lain. Adik, kalau disuruh duduk, dia akan duduk. Dia akan membawa buku tulis dan pensel warnanya. Dari pukul 2.00 petang hinggalah Salimah habis bekerja, dia akan leka mewarna. Ataupun dia akan duduk dekat-dekat Salimah, memerhatikan ibunya mengupas ubi, pisang atau menggoreng dan membungkus kerepek. Memang amat mudah untuk menjaga Adik.

            “Mak, Adik nak tolong mak susun rempeyek ni dalam plastik, boleh?” tanya Adik petang itu ketika dia merasa bosan untuk mewarna seperti selalunya.
            “Eh…tak payahlah. Nanti pecah rempeyek ni, tak boleh jual,” bantah Salimah.
            “Alaaa… Adik pandai, Adikkan selalu tengok mak buat,” anak itu membela dirinya.
            “Bagi aje dia buat, Kak Uda. Ti rasa adik pandai buat, kan Adik?” Salah seorang pekerja kilang bernama Siti membela Adik.

            Anak itu tersenyum dan mengangguk. Mendengarkan kenyataan Siti, Salimah membenarkan anak bongsunya mengambil rempeyek kacang yang sudah disejukkan untuk dimasukkan kedalam bungkusan plastik.

            Sebungkus, dua bungkus, tiga bungkus… dan akhirnya hampir sepuluh bungkus Adik membungkus rempeyek-rempeyek kacang yang digoreng oleh rakan-rakan ibunya.

            “Eh eh…pandainya Adik tolong emak bungkus rempeyek? Adik nak kerja dengan Mak Piah jugak, ya?” tegur Kak Piah apabila melihatkan anak kecil itu tekun dan berhati-hati mengambil rempeyek kacang, diletakkan sepuluh keping dalam beg plastik jernih dan kemudian diserahkan kepada Siti untuk dipek dan dimasukkan ke dalam kotak.

            Anak itu tersenyum memandang Mak Piah yang memakai dua utas rantai emas yang besar di lehernya. Di kiri kanan pergelangan Mak Piah pun ada seutas gelang tangan emas yang besar. Rantai ‘sauh kapal’ kata pekerja-pekerjanya.
            “Maaflah Kak Piah, dia sibuk nak menolong,” jelas Salimah serba salah. Walau sudah hampir lima belas tahun bekerja dengan Kak Piah, namun Salimah masih berasa segan dengan isteri majikannya yang juga pengurus kilang itu.
            “ Eh… takpe Uda. Biarkan dia. Bukan dia buat salah,” jawab Kak Piah sambil mengusap-usap lembut rambut Adik.

            Petang itu, sebelum pulang ke rumah, Kak Piah memberi Adik duit syiling dua puluh sen sebanyak satu ringgit. Tersengih-sengih sahaja Adik menerima habuan dari Kak Piah.
            “Nanti sudah besar, belajar rajin-rajin iya, nak. Tolong mak dengan ayah,” Kak Piah sempat menasihati anak kecil itu sewaktu Adik bersalaman sambil mencium tangan majikan ibunya yang meriah dengan cincin emas.

            “Mak… adik dapat duit, bolehlah Adik beli buku kaler tu eh, mak?” Adik menuntut janjinya ketika mereka berdua berjalan berpimpinan pulang ke rumah.
            “Adik simpan sajalah duit tu. Buku tu mak belikan Adik. Mak nak upah anak mak yang tolong mak hari ni,” Salimah mengotakan janjinya kepada anak bongsunya yang menyenangkan hati itu. Sekilas dia memandang wajah Adik yang comel. Salimah tersenyum.
“Buah hati emak,” kata Khalid anak sulungnya.

            Malam itu, Salimah bersolat sendirian di rumah. Malam itu, malam pertama Adik mengikut ayah dan abang-abangnya bersolat maghrib dan isya’ di surau. Salimah dan Abdul Ghani sama-sama bersetuju untuk mendaftarkan Adik mengaji dengan Pak Noja Hassan di surau kampung. Anak sulung dan anak keduanya memang sudah hampir tiga tahun mengaji dengan Pak Noja Hassan. Sudah naik Al-Quran Khalid dan Kamaruddin berkat didikan Pak Noja Hassan. Selepas isya’, Pak Noja Hassan akan mengajar anak-anak kampung mengaji hingga hampir ke pukul 9.00 malam. Malam itu, adalah malam pertama untuk Adik mengaji. Salimah membekalkan kitab muqaddam dan rehal didalam beg kain bertali ponjot yang dijahitnya sendiri.

            Sambil menanti suami dan anak-anaknya pulang ke rumah malam itu, Salimah memanaskan lauk-pauk yang dimasak tengahari tadi. Hari ini, dia memasak sup tulang, kangkong goreng dan sambal belacan. Suaminya kalau tidak ada sambal belacan tidak sah. Itulah makanan kegemaran suaminya sejak dari muda lagi. Hampir ke pukul 9.15 malam, kedengaran riuh suara Khalid dan Kamaruddin berlumba-lumba menaiki tangga kayu rumah dan mengetuk pintu. Salimah berlari-lari anak dari dapur ke ruang tamu rumahnya untuk menyambut kepulangan suami dan anak-anak yang dikasihi.

            “Dah balik anak-anak mak,” senyuman Salimah menyambut mereka di muka pintu.
            “Mak… abang laparlah mak,” jelas Khalid dengan muka monyok.
            “Angah pun, mak,” Kamaruddin juga bersuara.
            “Hmmm…mak tahu. Dah cepat masuk, kita makan. Adik…Adik dah mengaji dengan Pak Hassan, nak?” tanya Salimah kepada Adik yang masih berdiri di sebelah ayahnya. Senyum sahaja dia ketika memandang Adik yang dipimpin ayahnya.
            “Belum mula lagi. Ramai pulak yang menghantar anak dengan Pak Hassan malam ni, Mah,” Abdul Ghani yang menjawab pertanyaan Salimah.
            “Ohhh… iye ke? Baguslah macam tu. Makin ramai budak yang masuk belajar.”
            “Jadi, Pak Hassan minta budak-budak yang belum sekolah untuk datang mengaji pukul 9.00 pagi di surau. Malam untuk budak-budak yang bersekolah,” Abdul Ghani menjelaskan ketika Salimah mengunci pintu rumahnya dan kemudian berjalan menuju ke dapur.
            “Ohhh… bagus juga macam tu, ya Bang. Jadi tak terlalu ramai sangat yang mengaji waktu malam. Nanti balik lambat, budak-budak nak buat kerja sekolah lagi, selalu tidur lambat, ” Salimah bersetuju dengan cadangan Pak Noja Hassan.
            “Itu cadangan Pak Imam juga. Waktu malam, Pak Imam juga akan bantu Pak Hassan mengajar budak-budak besar yang dah mula mengaji Al-Quran,” jelas Abdul Ghani sambil menghirup sup tulang air tangan isterinya.

            Keesokan paginya, bertambahlah satu lagi rutin kehidupan Salimah, iaitu menghantar Adik ke surau kampung yang terletak lebih kurang tiga ratus meter sahaja dari rumahnya. Pagi itu, Adik memakai baju melayu yang dijahit oleh ibunya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Salimah juga membekalkan anaknya itu dengan sebotol air teh ‘o’ pandan, minuman kegemaran Adik.

            “Jangan nakal-nakal ya, nak. Adik tunggu mak datang surau ambil Adik tau, jangan jalan balik sendiri,” pesan Salimah kepada anaknya sambil menyapu bedak talkum ke wajah Adik. Anak kecil itu mengangguk-angguk.

            Pukul 8.45 pagi, Salimah mengunci pintu kayu rumahnya dan menuruni tangga menuju ke surau kampung yang terletak di seberang jalan kampung, bersebelahan dengan rumah Imam Kampung Peserai Pantai.
            “Oiii Kak Uda, kemana pagi-pagi tu?” tegur Nora yang sedang menyapu daun-daun kering dari pohon mempelam di hadapan rumahnya.
            “Nak hantar Adik mengaji dengan Pak Hassan ni, Nora,” jawab Salimah menoleh ke arah Nora, jiran sebelah rumah.
            “Ohhh. Eh, mengaji waktu pagi pulak sekarang ni?” tanya Nora kehairanan. “Setahu Nora, budak-budak mengaji waktu malam aje.” 
            “Yang malam untuk budak-budak sekolah. Pagi ni untuk budak-budak belum sekolah. Abang Ghani kata, makin ramai murid Pak Hassan,” jelas Salimah kepada Nora.
            “Ohhh… banyak pahala orang tua tu. Dari kita kecil, sampai dah beranak-pinak pun masih mengajar lagi,” puji Nora kepada tuan guru mengajinya. “Boleh dikatakan, semua budak di kampung ni mengaji dengan Pak Hassan eh kak Uda?”

             Salimah tersenyum dan mengangguk. Memang Pak Noja Hassan itu jugalah guru mengajinya dan Nora. Kini, waktu umurnya sudah melebihi separuh abad pun, orang tua itu masih lagi meneruskan usaha murninya mengajar kanak-kanak di Kampung Peserai Pantai ilmu-ilmu membaca Al-Quran yang suci.

            Salimah adalah orang pertama yang tiba di surau pagi itu. Kemudian disusuli oleh Kak Bedah yang membawa anaknya Johari. Salimah, Kak Bedah dan tiga orang wanita lain meninggalkan anak-anak mereka di surau. Anak-anak itu kemudiannya mengambil rehal masing-masing dan diletakkan di atas kepala sejadah yang sudah dibentang oleh Pak Noja. Masing-masing mengeluarkan muqaddam yang dibawa dari rumah.

            “ Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh anak-anak semua,” Pak Noja Hassan memulakan bicara. “Semua kenal dengan Pak Hassan, kan?” Kelima-lima anak kecil yang berumur diantara lima hingga enam tahun itu mengangguk.

            “Baiklah, Pak Hassan nak kamu semua beritahu Pak Hassan nama kamu semua. Bermula dari kakak ni,” Pak Hassan memandang anak perempuan disebelah kanannya.
            “Nama saya Ani,” jawab anak gadis sunti yang duduk di sebelah kanan Pak Hassan.
            “Ohh…Ani. Ani anak siapa, Ani?” tanya Pak Hassan lagi, ramah.
            “Anak Ajis,” jawab Ani pendek.
            Pak Hassan mengangguk. “Haaa…sebelah Ani pulak?”
            “Nama saya Suhaila,” jawab Suhaila yang memakai selendang berwarna kuning.
            “Anak siapa adik Suhaila ni?”
            “Anak Kodin,” jawab Suhaila.
            “Ohh…anak Salehudin, ya?”
            “Iya, Pak Hassan,” jawab Suhaila. Kodin adalah nama panggilan ayahnya di kampung.
            “Kamu pulak, hero Pak Hassan yang mula-mula sampai surau hari ni?”
            “Nama saya Adik, Pak Hassan,” jawab Adik malu-malu.
            “Hah? Namanya Adik? Adik bin apa?” Pak Hassan memandang anak mata Adik yang bulat bersinar.
            “Bin Abdul Ghani,” jawab Adik lagi.
            “Itu nama betul kamu, kah? Adik bin Abdul Ghani?” tanya Pak Hassan cuba bergurau.
            “Tak…,” Adik tersengih-sengih malu. Anak-anak lain juga senyum-senyum sahaja dengan jawapan Adik.
            “Habis… siapa nama betul kamu?”
            “Nama betul saya, Kamal Arif,” jawab Adik perlahan.
            “Ohhh… sedap betul nama kamu. Pak Hassan hendak panggil kamu Arif, sebab Arif tu maknanya orang-orang yang pandai dan bijaksana.”
            Adik tersenyum dan menggangguk memandang tuan gurunya itu.
            “Hero Pak Hassan yang kedua sampai di surau pagi ni, siapa pula namanya?”
            “Nama saya Johari,” jawab budak lelaki yang duduk di sebelah Adik.
            “Ohhh… mari Pak Hassan teka, Johari anak Zabedah, nama ayahnya Mustapa? Betul tak?”
            Johari mengangguk-anggukkan kepalanya yang bersongkok.
            “Adik manis yang comel tu, siapa pulak namanya?”
            “Nama saya Faezah Hanim,” jawab Faezah Hanim.
            “Ohhh… anak siapa Faezah Hanim ni?”
            “Anak Cikgu Amir dengan Cikgu Zakiah,” jawab Faezah Hanim dengan suara lantangnya.
            “Ohhh… mesti pandai orangnya sebab emak dan ayahnya cikgu sekolah, kan?” puji Pak Noja Hassan hingga Faezah Hanim tersenyum-senyum.
            “Siapa hantar Faezah datang tadi? Emak dan ayah, sudah pergi mengajar, kan?” berkerut kening Pak Hassan bertanya.
            “Mak Usu, adik ayah saya,” jawab Faezah yakin.
            “Ohhh begitu. Bagus semua. Pak Hassan tengok anak-anak semua anak-anak yang cerdik, yang bijak. Setiap kali sebelum kita mula belajar, kita baca doa penerang hati, ya. Kalau sesiapa yang tidak tahu, aminkan masa Pak Hassan baca, ya” terang Pak Hassan kepada lima anak-anak kecil yang memandangnya tanpa berkelip.

            “Bismillah hirrahmanirrahim. Allah hummaftah a`laina hikmataka, wansyur a`laina min khaza ini rohmatika ya arhama rahimin,” Pak Hassan memulakan pembelajaran dengan anak-anak murid barunya dengan bacaan doa penerang hati.

            Pak Noja Hassan yang bertubuh gempal dan bermisai, memang nampak seperti seorang tuan guru yang garang. Namun sebenarnya, orang tua ini adalah seorang yang lembut dan penyayang. Sikap lembut dan penyayangnya membuatkan dia mempunyai ramai anak-anak angkat. Kesemua anak-anak penduduk Kampung Peserai Pantai menjadi anak muridnya. Sudah berpuluh malah mungkin beratus murid-murid Pak Hassan yang sudah khatam Al-Quran termasuk Salimah, Nora, Cikgu Amir ayah kepada Faezah Hanim dan ramai lagi.

Jika Pak Hassan buat kenduri-kendara, dia dan isterinya boleh duduk goyang kaki kerana ramai anak didiknya yang datang membantu. Berkat seorang guru yang mengajar Al-Quran dengan bayaran yang ikhlas dari penduduk kampung. Ada yang membayar dengan wang ringgit. Ada yang membayar dengan pisang dan ubi kayu. Ada yang membayar dengan ikan segar yang dipancing malah ada yang membayar dengan beras atau gula. Pak Hassan sama sekali tidak pernah meminta bayaran. Apa yang diberi oleh para penjaga anak-anak yang diajar diterima dengan hati yang terbuka dan bersyukur.

            Saban hari, rutin Adik adalah pergi mengaji di surau kampung bersama-sama dengan rakan-rakannya. Waktu petangnya pula, seperti biasa dia akan mengikut ibunya ke kilang kerepek. Sewaktu hari tidak bersekolah, iaitu hari Jumaat dan Sabtu, Pak Hassan tidak akan mengajar. Adakalanya mereka bermalam di rumah datuk. Adakalanya mereka hanya akan menghabiskan masa seharian sahaja di sana.

Selalunya, ayah akan meneman datuk ke kebun pisang yang terletak di belakang rumah datuk. Emak pula akan membantu nenek menyapu rumah dan halaman rumahnya. Jika mereka tidak pulang ke rumah datuk, Adik dan abang-abangnya akan bermain seharian dengan rakan-rakan sebaya mereka. Bermacam-macam permainan yang dimain oleh mereka. Tetapi selalunya, abangnya Khalid dan Kamaruddin akan bermain dengan rakan-rakan sekolah mereka di padang tepi surau. Mereka akan bermain sepak raga, sepak yem, main acah galah ataupun mereka masuk ke dalam belukar di belakang surau. Entah apa yang dicari oleh mereka semua, Adik tidak tahu.

            Adik pula, dia akan bermain dengan kawan-kawan mengajinya dan juga beberapa budak-budak perempuan yang duduk berdekatan dengan rumahnya. Kawasan tempat permainan mereka adalah pangkin kayu di hadapan rumah Kak Nora ataupun, kawasan tanah lapang berpasir di tepi rumah Kak Nora.

            Sudah hampir dua minggu Adik mengaji dengan Pak Hassan. Selama hampir dua minggu ini, memang Adiklah murid Pak Hassan yang datang paling awal. Sebelum pukul 9.00 pagi, wajahnya sudah tersembul di muka pintu surau. Sebelum menanti keempat-empat rakannya yang lain, Adik membantu Pak Noja Hassan menyusun tikar sejadah dan rehal. Hampir setiap hari dia membantu Pak Noja Hassan dan akhirnya, menyusun tikar sejadah dan rehal itu menjadi tugas wajib Adik ketika sampai ke surau.

            “Arif ni memang baik budaknya, selalu tolong Pak Hassan,” puji Pak Hassan ketika melihatkan anak itu mengambil rehal yang tersusun di dalam almari kayu yang terletak di tepi dinding surau. Anak itu hanya tersenyum. “Arif ini mesti ikut tok ayah adik, berdisplin macam askar, selalu datang awal,” puji tuan gurunya lagi. “Mesti Arif selalu tolong mak juga, di rumah, kan?” tanya Pak Hassan.
           
“Ha-ah, memang. Kita memang selalu tolong mak kita, Pak Hassan. Kadang-kadang, kita tolong mak bungkus kerepek kat kilang Mak Piah,” jelas Adik kepada tuan gurunya sambil tersengih-sengih.

            “Ohhh iye ke? Bagusnya anak Pak Hassan ni. Baguslah macam itu. Kita wajib berbuat baik dengan ibu-bapa. Itu memang suruhan ALLAH dan ajaran Nabi Muhammad, tau,” terang Pak Hassan kepada anak itu. Adik memandang Pak Hassan tanpa berkelip dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

            “Nanti, minggu depan, kalau kita dapat upah bungkus kerepek dari Mak Piah, kita bawakan rempeyek untuk Pak Hassan, ya,” kata Adik sambil memandang gurunya yang sentiasa memakai kopiah putih, baju melayu putih dari kain kapas dan kain pelekat cap Gajah Duduk.
            Tersenyum Pak Hassan dengan tawaran dari anak kecil itu. Baik hati dan murni sungguh niatnya. Di dalam hati, Pak Hassan berdoa agar Kamal Arif menjadi umat Islam yang beriman dan bertaqwa.

            “Alif di atas aaa, alif di bawah eee, alif di depan uuu, aaa, eee, uuu,” Pak Hassan beralih ke mukasurat baru ketika dia sudah memastikan yang anak-anak didiknya sudah mengenali kesemua tiga puluh huruf-huruf arab di dalam muqaddam.

            “Ta di atas taa, ta di bawah tii, ta di depan tuu, taa tii tuu,” bersungguh-sungguh anak-anak didik Pak Hassan seramai lima orang itu membaca huruf-huruf arab asas yang di ajar. Ada juga antara mereka yang ingat-ingat lupa, namun Pak Hassan tidak merasa jemu mengajar anak-anak kecil itu. Ilmu ALLAH perlu di ajar dengan penuh kesabaran.

            Selepas Pak Hassan mengajar cara-cara mengaji huruf-huruf arab itu, Pak Hassan akan meminta anak-anak didiknya mengaji seorang demi seorang. Setelah dia berpuas hati, kelas akan tamat pada jam sepuluh atau sepuluh setengah pagi. Pak Hassan akan menanti kehadiran para penjaga kepada anak-anak itu untuk mengambil mereka pulang. Selalunya, selepas mengaji, anak-anak itu akan duduk-duduk di ruang hadapan surau yang bersimen dan berbumbung. Pak Hassan akan mendengar anak-anak itu berbual dan bermain sesama sendiri.

            “Adik… petang ni, kita main masak-masak kat pangkin rumah Kak Nora, nak?” cadang Faezah Hanim.
            “Heee… best nya! Kita nak ikut, boleh tak, wak?” tanya Suhaila.
            “Boleh…nanti awak kutip buah letup-letup eh, Suhaila?”
            “Ani boleh bawak mainan masak-masak, Ani. Mak Ani baru belikan kat pasar tapak Pesta malam hari Sabtu hari tu,” jelas Ani menambahkan perasaan teruja rakan-rakannya.
            “Kita boleh bawak tanah liat. Kakak kita dah tak guna lagi,” Johari pula memberi cadangannya.
            “Haa…awak semua bawaklah mainan-mainan awak,” terang Faezah Hanim yang memang selalu bertindak sebagai ketua dalam kumpulan mereka yang kecil itu.
            “Nanti kita kutip rumput-rumput untuk buat masak sayur eh?” Adik memberi idea.
            “Ok bagus. Adik…nanti awak bawak turun air teh betul-betul eh? Kita main masak-masak tapi minum air betul-betul,” Faezah memberi cadangan lagi.
            Adik mengangguk-angguk.
            “Pukul berapa nak keluar, Faez?” tanya Johari.
            “Lepas cerita kartun Thundercats,” jelas Faezah Hanim.

            Keempat-empat anak itu mengangguk-angguk faham. Cerita kartun Thundercats akan bermula pada pukul 5.00 petang dan tamat setengah jam kemudian. Maka berkumpullah anak-anak itu pada pukul 5.30 petang di pangkin rumah Kak Nora, di bawah pohon mempelam yang rahat buahnya.









Adakah kau membenciku?
Namun, aku tidak sesekali membencimu
Kerana,
kau adalah darah dagingku.

No comments:

Post a Comment