AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 12 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 3 - Karya Sasya Zainal




“Sikit-sikit nangis, sikit-sikit nangis… nangis! Nangis kuat-kuat! Mak takde ni! Siapa nak dengar?! Kau nangis lagi kuat-kuat!” jerit Khalid sambil menampar-nampar muka Adik.
Makin kuat tamparan Khalid, makin kuat suara Adik menangis. Semakin lama, semakin kuat jeritan Adik meraung yang menerima tamparan abang sulungnya.
            “Khalid! Khalidddd! Kenapa adik menangis tu?” wajah Kak Nora terpacul di muka tingkap tempat Salimah selalu menjahit.

            Terkejut bukan main Khalid melihatkan Kak Nora yang tiba-tiba tersembul di muka tingkap rumahnya. Merah padam wajah Adik kerana tamparan si Khalid. Air mata dan hingusnya tidak berhenti mengalir. Ayah dan ibu telah keluar untuk memberi barang-barang dapur dan bahan-bahan mentah untuk dimasak di Pasar Jalan Ibrahim. Memang sudah menjadi kebiasaan, dua minggu sekali, pada hari Sabtu, Abdul Ghani akan membawa Salimah ke pasar besar. Mereka bukan sahaja membeli barang-barang pasar untuk keluarga mereka, malah mereka membeli barang-barang keperluan untuk Pak Bidin, ayah Abdul Ghani juga.

Salimah akan berpesan kepada Nora untuk melihat-lihatkan anak-anaknya yang akan ditinggalkan sahaja di rumah. Sewaktu Adik masih kecil, Abdul Ghani akan membawa sahaja anak bongsunya dibonceng bersama Salimah. Namun, bila Adik sudah berumur lima tahun, dia juga ditinggalkan bersama abang-abangnya. Adik yang sudah agak tinggi, sudah tidak muat lagi hendak diletak di dalam bakul motor. Tubuhnya yang semakin membesar juga, sudah tidak sesuai untuk mereka membonceng bertiga.

            “Kenapa muka adik kau ni merah macam kena tampar aje ni, Khalid?” tanya Kak Nora yang perasankan wajah Adik yang merah padam.
            “Alah…dia tersembam kat lantai,” Khalid memberi alasan sambil menjeling Adik.
            “Iyalah kau tu. Ini muka macam kena tempeleng aje Adik kau ni? Ni, angah mana?” tanya Kak Nora yang tidak perasankan Kamaruddin yang baru keluar dari bilik mandi. Kamaruddin kalau mandi, hampir setengah jam baru selesai. ‘Badak berendam’ kata ayah. Memang tubuh Kamaruddin agak gempal jika dibandingkan dengan Khalid yang kurus tinggi. Adik juga mempunyai susuk tubuh yang kurus tinggi.

            “Kau pukul adik kau ya, Khalid? Kak Nora tahu. Kak Nora tengah sidai baju kat sebelah rumah tadi,” tanya Kak Nora yang memang dapat mengagak Khalid membuli adik bongsunya.
            “Mana ada Kak Nora,” anak sulung Salimah membela diri.
            “Sudah, kau memang pandai menipu, Khalid. Nanti, nanti kau! Nanti Kak Nora cakap dengan mak!” Kak Nora memberi amaran.
“Adik…Adik meh sini turun, ikut Kak Nora. Duduk aje kat rumah Kak Nora, tunggu mak balik. Nanti, abang-abang kau buli kau lagi,” pujuk Kak Nora kepada Adik yang terjelepok dan masih menangis tersedu-sedan di lantai rumahnya.

            “Bukak pintu rumah kau, Khalid!” jerit Kak Nora dari luar sambil bercekak pinggang di hadapan pintu rumah Salimah.
            Khalid membuka pintu kayu rumahnya yang berkunci. Dia akhirnya memberi laluan untuk Adik untuk keluar. Dia menjeling tajam kepada Adiknya.

            “Kau cakap dengan mak, jaga kau!” bisik Khalid kepada Adik ketika budak itu menuruni tangga rumah. Adik membalas bisikan abangnya dengan jelingan tajam. Kak Nora yang menanti Adik di tangga rumah, segera memimpin tangan Adik untuk ke rumahnya.
            “Ya ALLAH, entah apalah yang abang kau buat pada kau, Dik?” rungut Kak Nora sambil memimpin tangan anak kecil itu menaiki rumahnya yang lebih besar dari rumah Salimah. Pipi Adik merah padam kerana tamparan Khalid. Anak itu masih tersedu-sedan ketika Kak Nora memanjat tangga rumahnya.

            “Ab…ab…abang ambil duit dalam tabung Adik…,” adu Adik kepada Kak Nora sambil tersekat-sekat suaranya menahan tangis. Dilap hingusnya yang meleleh dengan lengan baju kemeja ‘T’.
            “Laa hau laa wala…nak jadik toyol ke apa abang long kau tu? Pandai ambil duit dalam tabung orang!” rungut Kak Nora. Anak Salimah yang sulung itu memang agak nakal. Mungkin masa kecilnya, dia amat dimanjakan oleh datuknya, Pak Bidin, kopral pencen itu. Apa yang Khalid mahu, tidak pernah dikecewakan oleh datuk dan neneknya. Kini, ketika dalam peliharaan ayah dan ibu, Nora perasan yang Khalid selalu memberontak jika kemahuannya tidak dituruti.

            “Tak apa, Adik tinggal sekejap dekat rumah Kak Nora, tunggu emak dengan ayah balik, ya. Nanti Kak Nora cakap dengan emak, tau,” pujuk Kak Nora sambil terus memimpin tangan kurus Adik memasuki rumah pusaka ayah dan ibunya.

            Rumah Kak Nora memang kemas dan teratur. Maklumlah, Kak Nora tinggal seorang diri. Adik pernah dengar cakap-cakap orang kampung yang Kak Nora ini, janda berhias. Apa maksudnya, Adik pun tidak tahu. Leher dan pergelangan Kak Nora pun macam Mak Piah, ada dua tiga utas rantai dan gelang emas. Kak Nora memang orang senang. Bekas suaminya dahulu, yang telah meninggal dunia meninggalkan beberapa rumah sewa dan tanah untuk Kak Nora. Kak Nora juga tidak mempunyai zuriat sendiri. Dia cuma ada anak tiri yang sudah besar. Mereka juga jarang-jarang datang menjenguk Kak Nora. Adik-beradik Kak Nora juga tidak ada yang tinggal di Batu Pahat. Semuanya berhijrah ke daerah lain. Untuk mengisi masa lapang, Kak Nora menjadi tukang andam, mengubah bunga dan barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan juga perkahwinan.

            Adik memang suka masuk ke rumah Kak Nora. Kata Abang Khalid, rumah Kak Nora macam Muzium Negara kerana ada banyak dulang-dulang hantaran. Dalam rumah itu juga ada banyak tempat letak bunga pahar yang berwarna emas dan perak. Abang Khalid tahu keadaan dalam muzium ketika dia mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Khalid bercerita yang dia melawat Muzium Negara. Bila Adik tanya, macam mana rupa muzium,
“Macam rumah Kak Nora,” jawab Abang Khalid.

 Di dalam kabinet kaca tinggi yang terletak di ruang tamu rumah Kak Nora yang luas itu pula, terdapat beberapa warna baju pengantin dari jenis kain songket yang ditenun. Ada tengkolok, keris olok-olok, tiara dan kerongsang pelbagai rupa bentuk. Kak Nora juga ada banyak pasu-pasu kaca yang dibeli dari pusat tembikar Air Hitam, Kluang. Boleh dikatakan selang beberapa bulan sekali, Kak Nora akan ke Air Hitam membeli bunga-bunga plastik baharu untuk dijadikan set perhiasan terkini untuk tempahan pelaminnya.

            “Adik dah sarapan belum?” tanya Kak Nora sambil menghulurkan sehelai sapu tangan kecil kepada Adik yang sedang duduk memeluk lutut di atas kusyen kerusi rotan rumah Nora.
            “Dah…mak masak nasi goreng tadi,” jawab Adik perlahan. Tangisnya sudah reda namun matanya masih bengkak. Pipi gebunya pula masih merah.
            “Tadi, berapa banyak duit tabung Adik yang abang Long ambil?” tanya Kak Nora persis penyiasat persendirian.
            “Dia dah ambil separuh,” jawab anak itu sambil mencebik. Kolam matanya mula bergenang.
            Kak Nora menggeleng-gelengkan kepala.
            “Kenapa abang Long kamu tu macam itu? Hairanlah kak Nora. Nakal semacam aje. Itulah, bila berkawan dengan budak-budak dari kuala tu, macam itulah jadiknya,” rungut Kak Nora. “Dah, Adik jangan nangis, ya. Kak Nora nak buat gubahan ni, Adik duduk diam-diam aje eh. Kalau Adik nak air, pergi dapur sana, ambil sendiri eh,” ujar Kak Nora sambil mula mengeluarkan bunga-bunga, dedaun, ranting-ranting kayu yang baru semalam dibeli dari Air Hitam.
            “Adik nak tengok Kak Nora, boleh?” tanya anak itu dengan mata bulat bersinar yang masih kemerahan akibat menangis tadi.
            Kak Nora melemparkan senyuman manisnya. “Boleh sayang…meh sini duduk dekat Kak Nora.”

            Sungguh asyik Adik memerhatikan tangan tangkas Kak Nora menggubah bunga-bunga plastiknya. Ada bunga ros, bunga orkid, bungka kekwa, bunga lily, bunga tulip, bunga-bunga kecil pelbagai jenis dan pelbagai jenis dedaun. Kak Nora menggabungkan bunga-bungaan itu dan disusun indah di dalam pasu kaca. Kak Nora memang kreatif. Adik teruja melihat gubahan bunga Kak Nora. Ada perasaan ceria yang meresap di dalam hatinya apabila melihat Kak Nora menggubah bunga-bungaan itu.

            “Adik, adik rasa, cantik tak kalau Kak Nora campurkan bunga ros warna merah dengan bunga tulip warna putih ni?” tanya Kak Nora. Selalunya dia seorang diri sahaja tanpa ada teman untuk diminta pendapat.
            “Cantik,” jawab anak kecil itu. Matanya bersinar melihat gubahan Kak Nora yang hampir siap.
            “Nanti, bila Adik dah besar, Adik nak jadi macam Kak Nora,” ujar Adik sambil memandang wajah yang Kak Nora yang sentiasa berseri. Bibir Kak Nora sentiasa merah. Mata Kak Nora sentiasa bercelak. Kening Kak Nora terbentuk rapi.
            “Hah? Adik nak jadik macam Kak Nora? Jadik apa? Jadik mak andam?” tanya Nora, pelik dengan hasrat anak kecil itu.
            “Haah,” jawab anak itu pendek.
            “Hahaha…mana boleh, Adik. Adik budak lelaki. Mana boleh jadi mak andam,” terang Kak Nora sambil ketawa panjang memandang anak Salimah yang bongsu itu.
            “Kenapa tak boleh? Nanti Kak Nora ajarlah Adik. Macam Kak Siti ajar Adik bungkus kerepek hari tu,” ujar anak itu. “Adik dah pandai dah bungkus kerepek banyak-banyak,” terang Adik bersungguh-sungguh.

            Nora tersenyum lagi memandang anak itu. Anak Salimah yang bongsu ini memang lain perangai dan tingkah lakunya. Khalid itu tinggi lampai, perengus dan bengis. Kamaruddin itu pula pendiam, tubuhnya tegap sasa dan berkulit agak gelap seperti Pak Usunya - anak kedua Pak Bidin yang menjadi askar di Melaka. Adik pula, kulitnya putih cerah. Alis matanya lentik dan pipinya gebu persis seorang anak gadis sunti. Perwatakan Adik juga lemah-lembut. Mungkin sewaktu Salimah mengandungkan Adik, dia terlalu inginkan anak perempuan. Memang itulah yang diharapkan dan selalu dinyatakan harapannya kepada Nora ketika mereka duduk-duduk di pangkin sambil memamah buah mempelam muda.

            “Kalau Adik suka, boleh. Kak Nora boleh ajar Adik gubah bunga. Nanti, mesti emak Adik suka kalau Adik pandai susun bunga,” Nora melayan sahaja anak kecil yang sudah reda sendu tangisnya.
            Adik tersenyum lebar.

            Salimah dan Abdul Ghani pulang ketika jam hampir menunjukkan ke pukul 11.00 pagi. Nora tahu, selepas selesai membeli-belah, mereka pasti singgah di rumah Pak Bidin untuk menghantar barang-barang yang dipesan. Abdul Ghani itu memang seorang anak lelaki yang amat bertanggungjawab menjaga kebajikan ayah dan ibunya.

            “Assalamualaikum, Abang Long…buka pintu, nak. Long…Along !” laung Salimah dari luar sambil mengeluarkan barang-barang dari bakul motor suaminya.
            Akhirnya Kamaruddin yang membuka pintu dan menyambut kepulangan ayah dan ibunya.

            “Senyap aje, Din. Abang dengan Adik kamu, mana?” tanya Ayah yang sedang menjinjing plastik berisi ayam dan ikan. Abdul Ghani segera naik ke rumah lalu terus menuju ke dapur untuk meletakkan barang-barang itu di dalam peti sejuk.
            “Abang dalam bilik, baca buku. Adik…hmmm…Adik kat rumah Kak Nora,” jawab Kamaruddin takut-takut.
            “Kenapa Adik pergi rumah Kak Nora?” tanya Salimah risau. “ Bukankah mak pesan, duduk diam-diam dalam rumah, jangan keluar,” tajam pandangan Salimah kepada Kamaruddin.
            “Hmmm…aaaa…mmm, Adik…aaaa…,” Kamaruddin kehilangan kata-kata. Dia juga telah diberi amaran oleh Khalid supaya tidak mengadu kepada emak apa yang berlaku pagi tadi.
            “Kalau kau beritahu mak, Din…aku debik kau!” itulah amaran Khalid tadi setelah Adik dibawa pergi oleh Kak Nora.
            “Kenapa kau uuuu, aaaa,uuuu aaaa ni, Din? Dah gagap?” wajah emak sudah mula berubah. Kamaruddin terus membisu.
            “Pergilah awak ke rumah Nora, Mah. Tengok si Adik tu,” cadang Ayah sambil membuka baju kemeja ‘T’ cap Pagoda yang basah dek peluh. Abdul Ghani lantas duduk di hadapan kipas yang terletak di atas meja sisi di ruang tama. Dia cuba menyejukkan tubuhnya yang kepanasan. Salimah pula pantas berlalu keluar dan menuju ke rumah Nora.

            “Assalamualaikum, Nora,” Salimah memberi salam dan terus naik ke rumah jirannya yang lebih besar dari rumahnya. Begitulah kebiasaannya orang-orang kampung, beri salam dan terus masuk sahaja ke dalam rumah. Pintu rumah Nora dan rumah-rumah penduduk kampung memang sentiasa terbuka luas.

            “Eh…Kak Uda dah balik. Nora tak dengar bunyi motor Abang Ghani tadi,” jawab Nora yang masih lagi dengan gubahannya. Adik setia duduk di hadapan kak Nora.
            Salimah datang menghampiri Nora dan Adik.
            “Akak balik, tengok Adik tak ada,” jelas Salimah sambil duduk bersila di hadapan Nora dan jambangannya yang hampir siap.
            “Nora ambil Adik tadi, kak. Akak tengoklah muka Adik tu,” Nora menjuihkan bibirnya ke arah Adik.
            “Eh…kenapa pipi Adik ni?” tanya Salimah sambil memegang pipi anaknya yang merah birat.
            “Apa lagi? Kena tampar dengan si Khalid!” Nora mengadu.
            “Ya ALLAH! Bertuah punya anak! Kita suruh jaga Adik dia, dia pulak yang membalun budak ni!” rengus Salimah sambil mengusap-usap pipi Adik. Panas hatinya dengan Khalid.
            “Kak, Nora rasa, Khalid ni jadi macam tu sejak berkawan dengan budak-budak dari kampung sebelah tu kak. Kasar sangat dia orang kalau bermain.”
            “Kenapa Abang Long pukul Adik?” tanya Salimah tidak puas hati dengan sikap anak sulungnya.
            Adik sudah mula mencebik. Air matanya bergenang lagi.
            “Abang Long ambil duit Adik dalam tabung,” jelas Adik sambil air matanya mengalir lagi.
            “Hish! Abang kau ni! Mak nak cakap dengan ayah, biar ayah kau bantai dia! Melampau laaa si Khalid ni!” Gerutu Salimah. Jantungnya berdegup kencang menahan marah.
            “Adalah benda dia nak beli tu agaknya,” Nora memberi komen.
            “Dia memang merengek nak beli raket badminton. Kalau nak beli, mana boleh beli satu, Nora. Kena beli dua. Kalau beli satu, kau nak main dengan siapa kalau kau seorang saja yang ada raket. Abang Ghani kata, tunggu dia dapat gaji. Hish…Khalid ni, memang melampau tau,” keluh Salimah sambil membaringkan kepala Adik di pangkuannya lalu diusap-usap rambut anak bongsunya itu.
            “Nora rasa, Khalid tu manja sangatlah Kak Uda. Dulu, masa duduk dengan Pak Bidin, semua yang dia hendak, semua Pak Bidin turutkan,” Nora memberi pandangan.
            “Memang Nora. Kak Uda pun perasan semua tu. Kalau kita tak belikan apa yang dia mahu, dia memberontak. Ini baru sepuluh tahun, Nora. Kalau dah besar nanti, macam manalah agaknya,” Salimah mengeluh sambil masih lagi mengusap-usap rambut Adik yang sedang berbaring di pangkuan peha kanannya.
            “ Kak Uda kalau nak ke pasar ke atau nak kemana-mana dengan Abang Ghani, tinggalkan saja Adik dengan saya. Dia budak baik. Dia tak mengacau Nora buat kerja,” Nora memberi cadangannya kepada Salimah.
            “ Terima kasihlah, Nora,” angguk Salimah.
            “ Bukan apa, kak. Kalau Din tu, dia dah besar, badan pun besar. Dia dah boleh jaga diri. Kalau Adik ni…sudahlah halus, kena bantai dengan Khalid, kasihan Nora tengokkan.”
            Salimah mengangguk lagi.
            “ Tertidur dah budak ni, Kak Uda,” jelas Nora sambil mengangkat keningnya ke arah Salimah yang masih lagi mengusap-usap rambut lurus anaknya.
            “ Laa, tidur pulak budak ni. Dik…dik…,” Salimah menggoncang lembut tubuh anaknya.
            “ Kak Uda…biarlah Kak…biar dia tidur kat sini saja. Nanti Nora ambilkan bantal,” bingkas Nora bangun dan mengambil sebiji bantal kekabu dan diberinya kepada Salimah untuk mengalas kepala Adik.
            “ Nanti Adik bangun, Nora hantar dia balik rumah,” janji Nora.
            Salimah mengangguk. “ Akak balik dulu, Nora. Aku nak cakap dengan Abang Ghani kau pasal si Khalid.”

            Khalid sedang bermain dengan askar-askar kecil berwarna hijau tua ketika Salimah membuka pintu bilik yang ditutup. Kamaruddin pula sedang menonton televisyen. Pada hari Sabtu, kebiasaannya, RTM 2 akan menyiarkan cerita-cerita kartun. Kebanyakkan kanak-kanak akan duduk menghadap televisyen sahaja dan menanti waktu petang untuk keluar bermain. Suaminya pula sedang melelapkan mata dan berbaring di bahagian tengah rumah mereka.

            “Abang! Kau buat apa dengan Adik tadi?!” sergah Salimah dengan nada marah. Dia mahu mendengar penjelasan Khalid pula.
            “Mana ada buat apa-apa, mak,” anak itu membela diri. Anak matanya memandang wajah Salimah yang menyinga.
            “Kalau tak ada buat apa-apa, kenapa muka Adik kau lebam birat? Kau tampar muka dia eh?”
            “Adik tu memang selalu membohong!” Makin meninggi suara Khalid membela dirinya.
            “Eh…Abang, kau jangan nak tipu mak tau! Adik tak cakap apa-apa pun, Kak Nora yang beritahu,” nafas Salimah turun naik. Jika diikutkan hati amarahnya, hendak sahaja dia mencubit Khalid sekuat hati kerana dia tahu anak itu berbohong.
            “Kak Nora pun sama jugak! Suka buat cerita!” Nafas Khalid turun naik, anak itu memang panas baran.
            “Apa pulak Kak Nora suka buat cerita? Dia yang dengar Adik kau menangis macam kena dera. Kau patutnya sebagai Abang Long, jaga adik kau, ini…kau pulak yang pukul bantai dia!”
            “Mah…kenapa ni?” tersembul muka Abdul Ghani di muka pintu bilik Khalid yang berkongsi dengan Kamaruddin.
            “Awak tanyalah anak awak ni. Apa dia dah buat dengan Adik dia. Dahlah dia ambil duit tabung budak tu, dia tampar muka si Adik naik lebam. Itu yang Nora datang dan ambil Adik,” adu Salimah kepada Abdul Ghani yang hanya memakai singlet pagoda.
            “Kau mencuri, Abang?” tanya Abdul Ghani pada anak sulungnya.
            “Mana ada, ayah,” bergetar suara Khalid dengan pertanyaan ayahnya. Kecut perutnya walau suara ayah tidak seperti suara emak.
            “Habis? Takkan Kak Nora dengan Adik nak menipu mak kau? Apa sebab dia orang nak menipu?” tanya Abdul Ghani yang juga menahan marah dengan sikap Khalid yang suka membuli adik bongsunya.
            Kamaruddin yang tadinya sedang menonton cerita Ultraman juga akhirnya datang menghampiri ayahnya yang berdiri di muka pintu.
            “Kenapa kau curi duit tabung Adik kau, Khalid?” tanya Ayah.
            Khalid hanya diam.
            “Cakap Abang! Bagitahu mak, kenapa kau curi duit tabung Adik? Budak tu, ikut mak pergi kerja, kumpul duit hari-hari, kau senang-senang saja ambil duit dia! Apa nak jadi dengan kau ni, Abang?! Apa lagi yang mak dengan ayah tak beri pada kau?”
            Khalid hanya diam membatu.
            “Kau nak buat beli raket ke, Abang?” Salimah menukar nada suaranya, cuba berlembut dengan Khalid. Seingatnya, sudah hampir dua minggu Khalid merengek hendakkan raket badminton.
            “Ayahkan dah janji, lepas ayah dapat gaji, ayah belikan Abang dengan angah raket badminton tu,” Abdul Ghani juga cuba berlembut. Cuba bermain psikologi dengan anak sulungnya yang meningkat remaja.
            “Alah, kalau Adik tu, minta hari ini, hari ini dapat. Minta apapun, sekejap saja dah dapat. Mak dengan ayah memang lebihkan Adik saja,” Khalid membalas sambil tangannya menguis-nguis askar kerdilnya.
            “Eh Abang, kenapa kau busuk hati sangat dengan Adik kau? Adik kau tu, dia beli pensel, buku kaler tu, guna duit dia, tahu tak! Mak Piah bagi dia duit sebab tolong mak bungkus kerepek. Dia tak minta benda mahal-mahal,” Salimah membela anak bongsunya.
            “Alah, mak memang selalu menangkan Adik! Sikit-sikit Adik, sikit-sikit Adik,” suara Khalid meninggi.
            “Kurang ajar punya anak!” Abdul Ghani serta-merta hilang sabar dan tangan kanannya pantas menampar muka anak sulungnya yang keterlaluan.
            “Bertuah betul kau ni, Abang! Mak dengan ayah tak pernah bezakan kau, angah dengan Adik,” Salimah menjelaskan tanpa menghalang tindakan suaminya. Salimah ingat pesan arwah ibunya, jika ayah memarah anak, ibu jangan sekali-kali membela si anak.
            Suara tangisan Khalid semakin lama semakin meninggi.
            “Kalau kau buat lagi adik-adik kau macam tadi, Abang, ini…kau rasalah tali pinggang ayah pulak,” Abdul Ghani memberi amaran. “Kau pun sama Din!” Kamaruddin yang tadinya hanya memerhatikan sahaja abang sulungnya dimarahi, tersentak dengan amaran ayahnya. “ Kau pun patutnya tengokkan Adik kau, ini…kau ke mana tadi?” tanya ayah kepada Kamaruddin yang terkebil-kebil.
            “Din mandi, yah,” jawab Kamaruddin.
            Salimah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Berapa jam agaknya kau mandi, Din? Sampai Adik kau kena dera dengan Abang pun, kau tak keluar-keluar bilik air,” keluh Salimah, sedikit kesal.
            “Kau berdua kena jaga Adik kau tu. Kau berdua abang dia. Kalau Abang sendiri yang pukul Adik, macam mana?” Salimah menasihati kedua-dua anak lelakinya.
            “Ingat pesan emak tu, Abang Long. Din, ingat…jaga Adik, ” Abdul Ghani turut memberi peringatan.

            Kamaruddin dan Khalid yang teresak-esak mengangguk-anggukkan kepalanya. Pipinya terasa pedih dengan tamparan ayah. Ayah memang jarang memukul anak-anak. Namun bila sekali tangan Ayah naik ke muka, makan dua hari pedihnya. Walaupun Khalid mengangguk, nafasnya turun-naik menahan marah dan dendam…kepada Adik dan Kak Nora.
            “Ini, mana duit Adik tadi, pulangkan pada dia,” tanya Salimah kepada Khalid.
            “Abang dah belanja…,” jawab anak itu dengan air mata yang membasahi pipinya. Nafasnya masih turun naik.
            “Hish! Kau buat beli apa?” kening Salimah berkerut.
            “Beli gasing dengan layang-layang.”
            “Hee, memang anak bertuah tau!” getus Salimah sambil mencubit lengan Khalid.

*                      *                      *                      *                      *                      *

            “Mak, nanti Adik nak tolong mak bungkus kerepek lagi eh, mak,” Adik menyuarakan hasratnya kepada Salimah yang sedang menyapu pipinya dengan minyak gamat.
            “Iyalah, bukan ke Adik ikut emak hari-hari?” lembut suara Salimah ketika berbual dengan anaknya. Pipi Adik sedikit bengkak. Tangan Khalid sama seperti suaminya, jika menampar, memang pedih.
            “Iyalah…tapi, kalau Adik ikut, Adik nak tolong mak bungkus kerepek. Nanti Mak Piah bagi adik gaji,” terang anak itu bersungguh-sungguh.
            Salimah mengangguk-angguk. Mengiakan sahaja kehendak anak yang dikasihinya. Anaknya yang bongsu itu memang suka menabung dan ringan tulang.
            “Adik nak kumpul duit lagi, mak” Adik menyambung kata-katanya sambil matanya terpejam celik kerana merasa pedih apabila emak menyapu minyak gamat hitam ke pipinya.
            “Adik nak beli apa kumpul duit banyak-banyak?”
            “Hmmm…Adik nak beli anak patung yang mata besar, yang ada tocang tu, mak. Adik nampak ada jual kat kedai cina Jalan Penggaram masa Adik ikut ayah. Nanti, kalau Adik main pondok-pondok, Adik nak ajak kawan-kawan mengaji main sama-sama,” jelas Adik sambil matanya memandang ke siling rumah mereka. Sudah terbayang di matanya, bermain bersama anak patung perempuan kecil yang bermata biru dan rambut berwarna perang bertocang dua.










Setiap insan ada rahsianya sendiri.
Aku juga punya rahsia.
Sepertimana aku menyimpan rahsiamu,
kau simpanlah rahsiaku.
Rahsiamu itu, sama seperti
rahsiaku.

                                                                        Adik
                                                                        JUN 1994

No comments:

Post a Comment