AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 13 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 4 - karya SASYA ZAINAL



Tercungap-cungap dia berlari. Sesekali dia menoleh belakang. Bukan ada sesiapa yang mengekorinya. Namun entah kenapa, dia cuma tidak mahu sesiapa pun melihatnya. Penat berlari, dia berjalan pantas. Dia perlu segera sampai ke rumah. Dia perlu pulang sebelum ibunya dan kakaknya pulang. Waktu sedang menunjukkan jam 6.00 petang. Ibu dan akak hanya akan pulang sekitar jam 7.30 petang. Itupun jika ibunya tidak kerja overtime. Jika ibu dan kakak kerja lebih masa, mungkin mereka akan pulang sekitar jam 10.00 malam. Selalunya pada hari Jumaat, ibu dan kakaknya akan bekerja lebih masa kerana mereka akan bercuti pada hujung minggu. Hatinya merasa puas. Entah bilalah dia dapat memakai pakaian yang baru dibelinya sebentar tadi.

            Sebelum pulang ke rumah, dia singgah sebentar di rumah sahabatnya.
            “Dik… Adik… Assalamualaikum, Adik,” dia memberi salam.Adik muncul di muka pintu sedang dia hanya berdiri di bawah tangga. Kelihatan sahabatnya itu sedang memegang sebuah buku lukisan dan pensel. Pasti Adik sedang melukis lagi. Sahabatnya itu memang tidak pernah berjauhan dengan pensel dan buku lukisan.
            “Waalaikumus salam, kenapa, Ri?” tanya Adik kepada sahabatnya yang tercungap-cungap seperti baru lepas dikejar anak anjing kurap.
            “Dik… aku dah beli, dah,” jawab sahabatnya sambil tersengih dan menunjukkan bungkusan beg plastik yang di dalamnya terdapat dua helai pakaian.
            “Kau beli apa? Baju raya?” tanya Adik kehairanan sambil menjengah bungkusan beg plastik berwarna hitam pekat yang disuakan kepadanya.
            “Bukanlah, apa pulak baju raya! Ahh kau ni, kan aku dah bagitahu kat sekolah semalam, aku nak beli hari ni,” rengus Ri. Tidak puas hati kerana Adik terlupa.
            “Beli apanya? Aku lupalah,” kening Adik berkerut.
            “Itulah kau…makan banyak kepala ikan kembung lagi. Dah jadi pelupa macam mak nenek!” Marah Ri kepada sahabatnya itu.
            Adik hanya tersenyum. Dia tidak pernah sekali-kali berkecil hati dengan kata-kata Ri. Walau Ri bermulut lepas, namun hatinya baik. Ri adalah sahabatnya dari kecil hinga mereka sama-sama di sekolah rendah dan hingga kini.
            “Meh turun sini, aku bisik dengan kau,” ajak Johari kepada Adik yang hanya berdiri di muka pintu sementara dia masih lagi berdiri di bawah tangga rumah Pak Ghani.
            “Alah…cakap sajalah. Nak bisik-bisik pulak kau ni,” Adik memuncungkan bibirnya.
            “Tak boleh, ini rahsialah. Nanti Abang Din kau dengar ke, mak kau dengar ke, kak Nora dengar ke, susahhh…,” jawab Ri sungguh-sungguh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
            Untuk menjaga hati kawannya itu, Adik menuruni anak tangga kayu rumahnya dan menghampiri Johari yang tersengih-sengih macam kerang ternganga.
            Johari menghampiri Adik dan berbisik di telinga kanan sahabatnya.
            “Tadi…sok sek…sok sek…lepas itu…sok sek…sok sek… malam…sok sek…,” Kamal Arif yang memasang betul-betul pendengarannya ketika Johari membisikkan cerita dan perancangannya. Kadang-kadang kening Johari berkerut. Kadang-kadang dia tersenyum. Kemudian dia mengangguk-angguk.
            “Faham?” tanya Ri meminta kepastian.
            “Tahulah aku,” tegas Adik sambil tersenyum.

            Johari akhirnya meninggalkan Adik dan berlalu pulang ke rumah. Janji telah dimetri antara dia dan Adik. Ketika Johari berjalan keluar dari kawasan rumah Adik, di hujung jalan, dia terserempak dengan Khalid yang baru pulang dari kerja. Khalid kini berumur 19 tahun dan bekerja di salah sebuah kilang elektronik di Sri Gading. Kilang tempat Khalid bekerja berdekatan dengan kilang tempat ibu dan kakak Johari bekerja. Cuma ibu dan kakak Johari diambil setiap hari dengan van kilang yang disediakan oleh pihak syarikat. Sementara Khalid pula menaiki motor. Dari atas motor Honda EX5 yang dibeli oleh Tok Bidin, Khalid menjeling tajam wajah Johari. Khalid tahu, Johari baru sahaja pulang dari bertemu adiknya, Kamal Arif.
           
‘Apa jeling-jeling? Aku cucuk mata kau dengan garfu macam Kassim Selamat, baru tahu!’
Johari membalas jelingan Khalid. Dia tahu, Khalid tidak suka dia berkawan dengan Adik. Entah apa yang dia buat hingga Khalid benci padanya, Johari tidak tahu.

Adik sedang menjirus pokok-pokok bunga kertas emak ketika Khalid memarkir motornya di tepi rumah. Abang sulungnya itu sudah jadi lelaki bujang yang bertubuh sasa. Rupa parasnya seperti wajah Tok Bidin. Garang semacam. Kulit Abang Long sawo matang. Lirikan matanya tajam menikam. Mata Khalid macam mata helang. Kalau merenung orang, boleh lari lintang-pukang orang dibuatnya. Memang sesuai sangat kalau Khalid masuk askar. Tetapi, Khalid tidak mahu pula jadi askar macam Atok, macam Pak Usu.  Puas sudah Pak Usu Ghaffar memujuk Abang Long isi borang jadi askar. Sekurang-kurangnya bila kerja jadi askar, bila sudah tua nanti, boleh dapat duit pencen. Mati-mati Abang Long tidak mahu. Abang Long hanya mahu jadi gangster kampung macam Sharip Dol – samseng Kampung Dusun.

Memang Abang Long buah hati Atok. Semasa  Abang Long berumur 18 tahun, Abang cari kerja di kilang Sharp di Sri Gading. Apabila Abang dapat kerja sebagai operator pengeluaran, terus sahaja Atok Bidin belikan sebuah motorsikal. Apa yang Abang hajatkan, semuanya Tok Bidin turutkan. Semua orang kampung tahu hal itu. Tapi Adik tahu, Atok sayangkan semua cucu-cucunya, termasuklah Adik. Masa Adik dapat 5A dalam UPSR tahun 1992 pun, Atok Bidin hadiahkan Adik dengan basikal baharu. Basikal berwarna merah yang ada bakul di hadapan. Memang merah warna kegemaran Adik. Abang Din pun dapat basikal racing selepas Abang Din berjaya dapat 13 aggreget dalam Sijil Rendah Peperiksaan (SRP) pada tahun yang sama.

“ Baru balik, bang?” tanya Adik sambil memegang gayung dan baldi air.
“ Iyalah, takkan aku nak pergi kerja, pulak? Inikan dah petang.”
Adik diam.
‘ Tanya pun salah.’ Keluh Adik sambil mencebik dan meneruskan kerjanya menjirus pokok-pokok bunga emak.

“ Dik…mak kau kemana?” tegur Kak Nora yang berdiri dari tingkap rumahnya ketika Adik menjirus pokok- pokok bunga yang diletakkan di antara sempadan rumah Kak Nora dan rumahnya.
            “ Mak pergi rumah Atok, Kak Nora. Ayah hantar lepas ayah balik makan tengahari tadi,” jawab Adik.
“ Oh, padanlah senyap saja. Emak bawa Alia eh?”
“ Haah Kak Nora,” jawab Adik sambil terus menjirus pokok-pokok bunga kertas ibunya yang mempunyai pelbagai warna.

Tujuh tahun lepas, Salimah dan Abdul Ghani dikurniakan seorang anak perempuan. Berakhirlah penantian mereka yang memang menantikan kehadiran seorang puteri untuk menghiasi rumah tangga mereka. Kasih Alia nama anak bongsu Salimah dan Abdul Ghani. Ketika Kasih Alia lahir, Kamal Arif berusia tujuh tahun. Gembira bukan kepalang dia kerana mendapat seorang adik perempuan. Adik sudah berangan-angan hendak mengajak Alia bermain masak-masak, bermain anak patung dan main solek-solek.

“ Dik…minggu depan ikut Kak Nora pergi mengandam, nak tak?” tanya Kak Nora yang masih berdiri di tingkap kayu rumahnya yang terbuka luas.
“ Nak!” jawab Adik tersenyum lebar. “ Kampung mana, Kak Nora?” Matanya bersinar dengan pelawaan Kak Nora.
“ Alah dekat saja. Dekat- dekat rumah Atok kau, di Simpang Lima,” jawab Kak Nora. Sejak Adik berumur 12 tahun, Kak Nora memang selalu membawa Adik dan Ri ke tempat dia mengandam. Selalunya Kak Nora akan bagi mereka upah, lima ringgit seorang. Jika Kak Nora tidak beri apa-apa pun, mereka berdua memang suka mengikut Kak Nora pergi mengandam.
“ Siapa kahwin, Kak Nora?”
“ Bukan kahwin, majlis tunang saja. Hari Sabtu petang eh, Dik. Kalau kau nak ajak Johari, ajaklah sekali, teman Kak Nora.”
“ Ok boleh, nanti kita beritahu Ri,” jawab Adik sambil tersenyum memandang Kak Nora. Jiran dan kakak angkat yang akrab dengannya. Jika Kak Nora membawa dia dan Johari, mereka akan membantu mengangkat beg solek Kak Nora yang besar. Mereka juga akan menolong Kak Nora menghias pelamin. Kerja-kerja menggantung bunga-bunga di atas dinding, semuanya dibantu oleh Adik dan Johari. Kak Nora hanya akan beri arahan sahaja. Jika ada pelamin, Kak Nora akan beri upah lebih dari lima ringgit. Duit itu Adik akan gunakan untuk belanja sekolah dan Johari pula akan gunakannya untuk membeli kaset-kaset lagu kegemarannya.

Adik memang selalu akan mendahului abang-abangnya untuk ke surau. Rutin hariannya sebelum masuk maghrib adalah menolong Pak Bilal dan Pak Noja Hassan yang sudah tua, membentang sejadah. Adakalanya, Adik menyapu lantai surau yang berhabuk dengan penyapu lidi. Jika ada usrah atau mesyuarat ahli jawatankuasa surau, Adik akan tolong ayah bancuh air teh atau kopi. Ayah juga salah seorang ahli jawatankuasa surau kampung.

Abang Din yang masih dengan hobinya, berendam di dalam bilik air, hanya akan muncul ketika Pak Bilal sudah mengambil tempat untuk melaungkan azan. Kadang-kadang, Pak Imam sudah ambil tempat, barulah Abang Din muncul termengah-mengah. Ketika itu, Adik sudah pun berada di saf nombor dua. Abang Khalid pula, kadang-kadang berjemaah, kadang-kadang tidak. Tetapi, selalunya tidak. Khalid hanya akan solat sendirian di rumah dan kemudian akan keluar rumah semula selepas waktu maghrib.

Tepat jam 8.00 malam, ketika Hajah Wan Cik Daud dan Harjit Singh Hullon hendak mula baca berita di RTM 1, Khalid sudah menghidupkan enjin motornya dan berlalu pergi. Kemana destinasi Khalid, Adik tidak pernah ambil tahu. Yang dia tahu, Khalid akan pulang ke rumah ketika jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.00 malam. Tanpa bersalin pakaian, abangnya itu akan terbongkang tidur dan hanya akan bangun ketika dia dan Abang Din bersiap sedia untuk ke sekolah pada pukul 6.30 pagi.

“ Ayah kamu tidak ada malam ni, Arif ?” tanya Pak Noja Hassan ketika melihatkan Abdul Ghani tidak muncul-muncul ketika mereka semua selesai melakukan ibadah solat maghrib berjemaah.
“ Ayah dengan emak ke rumah Atok, Pak Hassan. Nenek tidak sihat. Jadi, Atok minta emak masakkan bubur malam ni,” jawab Adik yang duduk bersila berdekatan dengan guru mengajinya.

Setelah Adik khatam Al-quran pada umurnya 10 tahun, dia masih lagi mengulang pembacaannya dengan Pak Noja Hassan. Tahun ini, sudah tiga kali Adik khatam kitab peninggalan Rasulullah.

“Kasihan nenek kamu, sudah uzur juga dia, macam Mak Chom kamulah,” ujar Pak Hassan. Hajah Kalsom adalah orang rumah Pak Hassan.
Adik hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Syukur Pak Hassan ini ada anak perempuan duduk sama-sama Pak Hassan. Kalau Kak Milah tak ada, susah juga,” ujar Pak Hassan kepada Adik. Anak itu memang rapat dengannya. Sedari umurnya lima tahun dan kini, sudah berumur 14 tahun pun, Adik itu jarang berjauhan dengannya.

Adik pada kebiasaannya akan duduk di surau hingga dia menyempurnakan solat isya’ berjemaah bersama penduduk kampung. Abang Din pula, jika ada kelas tambahan waktu malam di sekolah, selepas solat maghrib, dia akan terus berbasikal ke sekolah bersama-sama dengan kawan-kawannya yang lain. Malam ini, Abang Din tidak ada kelas malam. Tetapi kerana sakit perut, selesai solat maghrib, dia terus pulang ke rumah setelah bersalaman dengan para jemaah. Tahun ini, Abang Din akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia. Abang Din adalah anak harapan emak dan ayah. Abang Din memang seorang pelajar yang pintar. Dua tahun lepas, ayah dan emak sungguh kecewa dengan keputusan SPM Abang Khalid. Khalid hanya berupaya mendapat pangkat 3 di dalam SPM.

Usai solat isya’, Adik segera bersalaman dengan para jemaah. Telah diberitahu pada Abang Din yang dia akan terus ke rumah Johari untuk membuat kerja sekolah bersama. Beg sandang yang diletak di bahagian tepi dinding surau segera diambil. Dia pasti, Johari sedang menantinya.

Demi cintaku padamu, ke mana saja kan kubawa
Ke hujung dunia, ke bintang kejora
Demi cintaku padamu, ku korbankan jiwa dan raga
Biarpun harus ku telan, lautan bara

Adik tersengih-sengih ketika mendengar lagu Fantasia Bulan Madu dari kumpulan Search berkumandang dari rumah Johari. Rakannya itu, memang amat meminati kumpulan Search dan Wings.

“ Buuulan madu di awan biru, tiada yang mengangguuuu. Buuuulan madu di atas pelangi, hanya kita berduaaaa…,” terdengar suara sumbang Johari mendendangkan lagu Amy Search.
“ Assalamualaikum…Ri! Assalamualaikummm,” hingga hendak keluar anak tekak Adik memberi salam sambil mengetuk pintu rumah Johari. Kawannya itu, kalau mendengar radio, macam kedai elektrik hendak jual televisyen. Adik pasti Johari memulas punat stereo radio kesayangannya ke tahap maksimum.
“ Waalaikumus salam…oiiii…kejap kejap…aku bukak,” terdengar sayup suara Johari dari dalam rumah.
Pintu rumah kayu Mak Bedah terkuak luas. Adik tersenyum memandang Johari.
“ Mak kau tak balik lagi eh?”
“ Biasalah, hari Jumaat. Mak aku dengan kak ngah mesti kerja ‘overtime’,” jawab Johari sambil menutup pintu rumahnya ketika Adik melangkah masuk.
“ Adik-adik kau, mana?”
“ Dalam bilik, buat kerja rumah agaknya.”
“ Ohhh.”

Johari adalah anak ketiga dari lima adik-beradik. Dia mempunyai dua orang kakak dan dua orang adik perempuan. Johari adalah anak yang tengah. Ayahnya pula memang jarang ada di rumah kerana ayah Johari bekerja di pelabuhan Pasir Gudang. Ayahnya hanya akan pulang dua minggu sekali. Cakap-cakap orang kampung mengatakan ayah Johari itu ada isteri kedua di Pasir Gudang. Tetapi, tiada siapa pun yang dapat mengesahkannya. Adik faham benar dengan perangai penduduk kampung tempat lahirnya itu. Mulut mereka macam mulut murai. Ada sahaja gossip orang-orang kampung. Kak Nora itu, sudah lali dengan gossip orang kampung. Mereka kata Kak Nora ada pakai susuklah. Mereka kata, Kak Nora hendak mengorat Tok Penghululah. Mentang-mentanglah Kak Nora itu janda lawa dan mak andam, ada sahaja orang yang suka mengumpat Kak Nora.

Kakak sulung Johari pula sudah mengikut suaminya tinggal di Kuantan, Pahang. Tinggallah Johari, kakak keduanya dan dua orang adik perempuannya yang masih bersekolah rendah. Kiranya, Johari adalah anak lelaki tunggal Mak Bedah.

“ Kau dah makan, Dik? Aku masak mihun goreng petang tadi,” tanya Johari kepada Adik  yang memeluk sebuah fail dan sebuah buku sejarah tingkatan 2. Beg sandangnya diletakkan di sebuah kerusi rotan di ruang tamu.

“ Kenyang lagi, Ri. Aku dah makan petang tadi. Mak aku pun masakkan mihun untuk minum petang.”

Apabila Mak Bedah dan anak keduanya keluar bekerja, Johari ditugaskan menjaga kedua orang adiknya di rumah. Selalunya Mak Bedah akan siap menyediakan makan tengahari untuk ketiga-tiga anaknya yang pulang dari sekolah. Johari hanya akan menyediakan makanan petang atau malam untuk dirinya dan adik-adiknya. Jika Adik gemar melukis, menggubah bunga dengan Kak Nora, Johari pula gemar memasak. Air tangan Johari memang sedap. Jika Johari masak mee goreng basah, Adik akan tambah dua pinggan. Jika Johari menggoreng cucur udang atau ikan bilis, Adik akan makan sehingga 10 ketul. Itulah kelebihan Johari sahabatnya sedari kecil.

“ Ri, cepatlah tunjukkan aku benda yang kau beli tu?” tanya Adik tidak sabar-sabar lagi meminta Johari menunjukkan pakaian yang dibeli dari pasar malam petang tadi.
Setiap hari Jumaat, memang akan ada Pasar Malam di Jalan Peserai. Macam-macam jualan penjaja kecil di Pasar Malam tersebut. Dari pakaian, makanan, minuman, barang-barang pasar seperti ikan, sayur,buah-buahan dan juga aksesori wanita.

“ Meh masuk bilik. Nanti aku takut, adik aku nampak,” jawab Johari sambil mengajak Adik memasuki bilik tidurnya.
“ Ri, Sabtu minggu depan, Kak Nora ajak kita teman dia pergi mengandam tau.”
“ Iya ke? Bagus juga. Kalau ikut Kak Nora, mesti dapat upah !” Johari tergelak-gelak kecil sambil membuka pintu biliknya yang tertutup rapat.

Oleh kerana Johari seorang sahaja anak lelaki Mak Bedah, dia mempunyai bilik sendiri. Kak Ngah dan kedua orang adik perempuannya berkongsi bilik tidur yang sama.

Ketika Adik melangkah masuk ke bilik Johari, kelihatan gambar-gambar artis dalam dan luar negeri ditampal di kiri kanan bilik tidurnya. Ada gambar Noorkumalasari, Melissa Saila, Julia Roberts, Richard Gere, Tom Cruise dan beberapa poster kumpulan Search dan Wings. Adik tahu, Johari gunting gambar-gambar itu dari majalah URTV yang dibelinya setiap bulan. Adik juga mempunyai hasrat untuk mempunyai bilik sendiri supaya dia juga boleh meletakkan poster-poster artis pujaannya. Tetapi, Adik berkongsi bilik dengan Abang Din. Yang ada di dinding biliknya adalah kalendar tahun 1994, gambar-gambar motor scrambler, basikal racing dan jadual waktu sekolah dia dan Abang Din.

Johari membuka pintu almari bajunya. Pakaian yang dibeli masih lagi berada di dalam bungkusan plastik hitam.
“ Cepatlah Ri…kau ni, buat aku suspen aje, tau.”
Johari tersenyum menoleh ke arah Adik yang berada di belakangnya. Dengan perlahan-lahan Johari mengeluarkan dua helai pakaian dari beg plastik hitam itu. Kelihatanlah sehelai blaus tanpa lengan berwarna merah dan sehelai skirt pendek berwarna hitam.

Adik tergamam ketika Johari menunjukkan dua jenis helai pakaian itu kepadanya.
“ Gila kau, Ri? Bila kau nak pakai?” tanya Adik sambil membelek-belek skirt dan blaus itu.
“ Bila-bilalah. Masa aku belajar dengan kau ke, masa aku tidur ke, masa aku duduk seorang di rumah ke,” jawab Johari selamba.
“ Oh…aku ingatkan kau hendak pakai keluar rumah,” Adik tersenyum kelat.
“ GILA KAU?” sergah Johari. “ Kau nak mampos pakai masa keluar rumah?” Terbelalak mata Johari memandang Adik.
“ Itulah yang aku tanya kau, tadi,” Adik menghulurkan semula pakaian yang dibeli Johari.
“ Aku pakai sorok-soroklah. Aku pakai depan kau aje,” Johari tersenyum memandang sahabatnya.  Adik juga membalas senyuman sahabatnya itu. “ Dik, kau tahu tak, ini macam baju siapa?”
“ Entah,” Adik mengangkat bahu.
“ Cuba kau tengok poster Julia Roberts dengan Richard Gere tu,” Johari memuncungkan mulutnya ke arah sehelai poster yang ditampal di dinding biliknya. Adik menoleh ke arah yang ditunjukkan Johari. Kelihatan sebuah poster filem Pretty Woman lakonan Julia Roberts dan Richard Gere. Mereka berdua pernah menonton filem itu dari video tape yang dibeli oleh Faezah, anak cikgu Zakiah.
“ Amacam? Sama tak?” tanya Johari lagi sambil mengangkat-angkat keningnya meminta kepastian
“ Hmm, lebih kuranglah,” jawab Adik sambil tersengih-sengih mengiakan.
“ Kalau rambut aku panjang, Dik…mesti serupa macam Julia Roberts tu.”
Adik tersenyum dan mengangguk lagi.

Sememangnya Johari mempunyai jenis rambut yang beralun. Adik pasti, jika dibiarkan panjang, rambutnya akan kelihatan kerinting, beralun. Sama seperti Julia Roberts dalam filem itu. Berbeza dengan dirinya yang mempunyai rambut lurus dan tegak. Tubuh mereka juga seakan sama. Cuma kulit Johari sedikit gelap dari Adik yang putih melepak.

“Berapa ringgit kau beli semua ni, Ri?”
“Murah saja, dua puluh ringgit. Nyonya tu tanya aku, beli untuk siapa?”
“Habis? Apa kau jawab?” Kening Adik berkerut.
“Untuk adik akulah! Nyonya tu, kenal dengan mak aku. Takkan aku hendak cakap aku beli untuk aku? Buatnya dia beritahu mak aku? Gila kau?”
Adik mengangguk-angguk.
“Kau jangan bagitahu sesiapa tau!” pesan Johari sambil menunjukkan jari telunjuknya di hadapan mata Adik.
“ Tahulah aku.”
“ Kau tu, janji-janji dengan aku, tak pasal-pasal, Kak Nora kau beritahu, Faez kau beritahu, mak kau pun, kau beritahu! Yang lain-lain aku tidak kisah, Dik. Tapi yang ini, rahsia kita, tau, ” pesan Johari bersungguh-sungguh.
“ Iyalah. Aku tahulah. Aku simpan rahsia kau.”
Yes…ini yang aku sayang dengan kau ni. Esok aku buatkan kau jemput-jemput udang special  untuk kau eh?”
Adik tersenyum lebar.

No comments:

Post a Comment