AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 18 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 9- SASYA ZAINAL



Malam telah lama melabuhkan tirainya ketika kebanyakan penduduk Kampung Peserai Pantai dibuai mimpi masing-masing. Cuma di Jalan Kluang sahaja mat-mat rempit membingit bagi memburu juara yang tidak bernama. Bintang-bintang bersinar megah di hamparan langit. Adik masih tidak dapat melelapkan mata. Jarum jam sudah menunjukkan ke pukul 12.30 malam. Abang Din pula tidak tidur di bilik malam itu. Abang keduanya itu sudah pun terbongkang di ruang tamu bersama buku Sains yang terbuka, terletak di dadanya.

Memang Abang Din seorang pelajar yang gigih. Adik tahu Abang Din berhasrat benar untuk ke universiti. Setiap kali selepas bersolat, dia tidak lupa mendoakan kejayaan abang kesayangannya itu. Di dinding kayu bilik mereka berdua, Abang Din melekatkan ayat-ayat motivasi seperti – YOU CAN DO IT! 10A 1,
ILMU ITU KUASA! DON’T BE NOBODY BUT BE SOMEBODY! Secara tidak langsung, ayat-ayat motivasi itu memberikan dia semangat untuk berjaya seperti Abang Din.

            Setahu Adik, duit raya Abang Din tahun lepas digunakan untuk membeli buku-buku rujukan SPM. Duit raya tahun ini juga Abang Din gunakan untuk beli buku-buku rujukan dan latih tubi untuk SPM. Adik tahu Abang Din mahu jadi seorang jurutera kerana Adik pernah ternampak di dalam almari baju Abang Din, tertampal satu kertas di pintu almari yang tertulis – Deen, Future Engineer. Adik tahu, Abang Din tampalkan kata-kata motivasi itu sekembalinya dia dari Kem Motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk pelajar-pelajar yang akan mengambil SPM.

 Dari dalam bilik, dia sudah dapat mendengar dengkuran Abang Din. Jika Abang Khalid selalu mengejek Abang Din dengan gelaran boyak, boroi, tembun...Adik rasa macam mahu sepak sahaja mulut Abang sulungnya. Biarlah Abang Din boroi ke, tembun ke, boyak ke...tapi Abang Din budak pandai, budak cerdik. Abang Din kebanggaan ayah, emak dan juga Tok Bidin. Bukan macam Abang Khalid, nampak segak dan macho, tapi otak tidak boleh pakai. Seingatnya, Abang Khalid tidak pernah dapat keputusan peperiksaan yang boleh membanggakan emak dan ayah mahupun Tok Bidin. UPSR dulu dapat 1A 4C, SRP dapat aggregat hampir 20, SPM lagilah lingkup. Tetapi oleh kerana Abang Khalid cucu sulung kesayangan Tok Bidin, tetap juga dia dapat sebiji motorsikal. Agaknya, macam manalah cemburu Khalid jika Abang Din berjaya ke universiti? Mesti bengkak hatinya!

            Adik sudah mencongak-congak, jika Abang Din dapat ke universiti, dia rela memberi duit simpanannya kepada Abang Din jika belanja untuk ke menara gading itu terlalu besar. Dia tahu, emak dan ayah bukannya berduit sangat. Namun, dia juga pasti, Tok Bidin tidak akan berpeluk tubuh saja. Adik pasti Tok Bidin akan keluarkan duit hasil jualan pisang, ubi dan duriannya untuk Abang Din. Mudah-mudahan berjayalah Abang Din mencapai cita-citanya.

            Adik menekan suis radio kecilnya. Susah benar dia hendak melelapkan mata malam itu walaupun hari ini, hampir sehari suntuk dia di stadium. Kemudian sedari maghrib hingga hampir pukul 10.00 malam pula, dia berada di surau. Namun, biji matanya masih buntang. Tidak terasa mahu tidur.  Lagu-lagu cinta berkumandang. Dia pasti, Johari sudah lama tidur. Temannya itu, bukan boleh penat sedikit. Pasti seawal pukul 9.00 atau 10.00 malam, Johari sudah mengalami mimpi-mimpi indah. Dia pasti, Johari selalunya bermimpi berjumpa pelakon Richard Gere kalau tidak pun, menang pertandingan ratu cantik.

Adik bangun, memetik suis lampu di dinding tepi pintu bilik lantas mencapai diari dan mengambil sebatang pen di dalam kotak penselnya. Dia mula menulis. Mencatat sejarah dirinya sendiri. Seketika dia termenung sejenak.

“ Dik...kau tak rasa ke apa yang aku rasa?” Teringat dia dengan pertanyaan Johari petang tadi ketika mereka berdua mengayuh basikal untuk pulang ke rumah.
“ Dik...kau tak rasa ke Faez tu syok dengan kau?”
“Kau tak perasan ke cara dia tengok kau, cara dia jeling kat kau...aku perhatikan aje.”
Suara Johari tergiang-giang di telinganya.
‘ Betulkah Faezah syok kat aku?’ Dia bertanya dirinya sendiri.

Sedari kecil, memang dia, Faezah Hanim dan Johari itu sudah bersahabat. Umur mereka juga sebaya. Adik tersenyum sendirian apabila mengingatkan saat-saat dia dan Faezah Hanim disandingkan di bangku kayu berdekatan dengan rumah Kak Nora. Di atas kepalanya, dilingkarkan pokok seri pagi yang menjalar. Ani pula telah menyelitkan bunga raya berwarna merah di telinga kanannya. Faezah Hanim yang hanya memakai seluar pendek, dipakaikan tengkolok kertas dan dipinggangnya diselitkan keris yang diperbuat dari kertas. Faezah Hanim memang selalu mahu menjadi pengantin lelaki manakala dia dan Johari pula memang gemar memilih menjadi pengantin perempuan. Padanya, memakai tengkolok di kepala itu, tidak berseri langsung. Dia tersenyum. Kenangan lalu yang mengimbau malam ini, sangat sentimental baginya. Indah sungguh zaman kanak-kanaknya. Waktu itu, di dalam fikiran mereka, hanyalah makan, tidur dan bermain.

Johari pula selalu berebut dengan seorang lagi teman mereka untuk menjadi mak andam. Mereka berebut hendak menjadi  `Kak Nora`! Adakalanya, Johari mengipas mereka dengan kipas dari daun pokok keladi gajah yang banyak kedapatan di sekitar rumah Kak Nora. Dia tergelak bilamana pulang dari bermain kahwin-kahwin itu, Johari mengalami gatal-gatal di seluruh tangan dan lengannya penangan getah daun keladi gajah itu. Malam itu, Mak Bedah terpaksa melumurkan minyak gamat ke seluruh lengan, tangan, peha dan betis Johari. Becok mulut Mak Bedah memarahi anak tunggal lelakinya.

Indahnya memori zaman silam. Di waktu pagi, ketika anak-anak yang bersekolah pergi ke sekolah, dia, Johari dan Faezah Hanim akan ke surau untuk belajar mengaji dengan Pak Hassan. Mereka mengaji bersama setiap hari, naik Quran bersama dan kemudian, khatam Quran di surau bersama. Adakalanya, dia dan Johari ke rumah Faezah Hanim untuk menonton video cerita kartun bersama. Ayah dan ibu Faezah Hanim baik-baik  belaka. Mereka akan dihidangkan dengan kek kukus, kek batik atau kek span. Ibu Faezah Hanim, Cikgu Zakiah itu memang gemar membuat kek.

Seingatnya, memang sudah agak lama dia tidak bertandang ke rumah Faezah Hanim. Bukan dia tidak sudi ataupun dia tidak mahu. Sejak dia dan Johari berkhatan, mereka sudah digelar orang bujang. Faezah Hanim pula, walaupun lagak gayanya persis seorang tomboy namun sahabatnya itu kini sudah bergelar anak dara. Tidak manis rasanya untuk dia dan Johari untuk selalu bertandang ke rumah Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah itu. Mulut orang-orang kampung di sini juga, boleh tahan juga. Nanti, tidak pasal-pasal, dia, Johari dan Faezah Hanim jadi bahan bualan orang kampung yang bermulut murai. Yang kasihan adalah ayah dan ibu mereka. Pasti mereka malu. Adik tidak mahu perkara itu berlaku. Maruah ayah dan emak akan dijaga sampai bila-bila.

Selama dia bersahabat dengan Faezah Hanim, serasanya, tidak ada apa-apa yang istimewa. Dia hairan, kenapa Johari menimbulkan persoalan tentang Faezah Hanim petang tadi. Seingatnya, Faezah Hanim memang begitu sejak kecil. Manja, suka memujuk, suka merajuk, suka menjadi ketua, suka mengarah kerana Faezah Hanim itu anak tunggal Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah. Seluruh perhatian dan kasih-sayang Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah, hanya pada Faezah Hanim seorang. Apa yang Faezah Hanim mahu, pastinya akan diturutkan oleh Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah. Pada Adik, tidak ada lainnya Faezah Hanim dahulu dan sekarang.

“ Eh...kau ni...masa kecik dulu lain, sekarang ni, lain, Dik. Lainnn sangattt!”
Kalau iyapun lain...Adik langsung tidak perasan.
‘ Atau aku yang tidak ada perasaan? Kenapa Ri boleh perasan, tidak aku? ’

Sedang dia memegang pen dan diarinya, sedang dia memikirnya kelainan Faezah Hanim yang cuba di utarakan oleh Johari, kedengaran motor Abang Khalid memasuki halaman rumah. Adik menjeling jam di dinding biliknya – pukul 2.00 pagi. Dia segera menutup suis radionya. Meletakkan diarinya di bawah bantal dan merebahkan diri ke katil. Lampu kalimantang dibiarkan terbuka. Apabila Khalid pulang ke rumah sahaja, dia merasa tidak selesa, tidak tenang malah tidak aman. Memang sedari kecil, itulah perasaannya ketika Abang Khalid ada di rumah. Mereka memang tidak sebulu.

‘ Balik malam-malam, masuk rumah mesti tidak bagi salam, entah hantu apa yang dibawa malam-malam begini.’
Dia merungut di dalam hati. Jika Abang Khalid pulang di malam-malam hari begini, dia pasti akan mengalami mimpi ngeri. Kasih Alia juga begitu. Kasih Alia akan meracau-racau dan kadangkala menangis di waktu malam. Puas sudah emak dan ayah membebel menasihatkan agar Khalid pulang awal, jangan berembun di waktu malam, jangan bawa motor laju-laju...hmm...Abang Khalid tidak pernah mengendahkannya.

Adik cuba melelapkan matanya walau telinganya jelas mendengar Abang Khalid membuka pintu, menekan suis kipas, membuka pintu almari bajunya...semuanya jelas kedengaran. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Matanya kembali terbuka. Bagaimana dia boleh terlupa sedangkan dia telah berjanji petang tadi.

‘ Ya ALLAH, Ya Tuhanku, KAU berilah kemenangan kepada sahabatku Faezah Hanim di dalam perlawanan bola jaring esok hari. Berilah kegembiraan kepadanya, Ya ALLAH. Amin Ya Rabbal Alamin. ’ Dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangannya. Dia terbayang wajah Faezah Hanim yang tersenyum di stadium petang tadi. Bantal peluk panjang bersampul, dipeluk erat-erat.
“ Dik...kau tak rasa ke Faez tu syok dengan kau?”
Suara Johari jelas kedengaran di cuping telinganya.

Entah pukul berapa di tertidur, dia tidak pasti. Yang pastinya, memang tepat jam 6.00 pagi, dia akan terjaga. Dia bingkas bangun. Jelas kedengaran bunyi mesin basuh emak sudah pun berputar. Keluar dari bilik, ruang tamu sudah kosong. Abang Din sudah bangun barangkali. Kasih Alia masih lagi berbungkus dengan selimut di ruang hadapan televisyen.
“ Mak...Abang Din sudah keluar?” tanya Adik kepada emak yang sedang menumis sesuatu. Pasti emak masak mee goreng kerana kelihatannya, dua bungkus mee kuning sudah siap dibasuh di dalam penapis plastik di atas sinki.
“ Abang Din ikut ayah ke surau, ” jawab emak tanpa memandangnya yang tercegat berdiri di pintu masuk untuk ke dapur dari ruang tengah rumah mereka.

Tahun ini, Adik perasan yang Abang Din seringkali mengikut ayah untuk berjemaah di surau di hari tidak bersekolah. Pulang ke rumah, dia akan bersarapan dan kemudian bergegas pula ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan. Oleh kerana sumber kewangan emak dan ayah tidak berapa kukuh, dia dan Abang Din hanya mengikuti kelas tambahan anjuran pihak sekolah. Mereka tidak mampu untuk ke pusat tuisyen di bandar.

“ Pukul berapa janji dengan Kak Nora?” tanya emak ketika kakinya baru melangkah masuk ke bilik mandi.
“ Entah...Kak Nora kata, pagi...dalam pukul lapan agaknya, mak, ” jawabnya. Seingatnya, emak telah menanyakan hal itu malam tadi. Adik perasan, setelah masuk umur 40 tahun ini, emak seringkali lupa.

Adik mandi dan kemudian menunaikan ibadah solat subuh. Sewaktu berdoa, jelas kedengaran dengkuran Abang Khalid di bilik sebelah. Hatinya menggerutu-menyampah. Adik tidak ingat entah bila Abang Khalid menunaikan solat subuh. Maghrib dan Isya` memang tidak pernah langsung dia ke surau untuk berjemaah. Adik tidak pasti samada jika Khalid bekerja, dia akan menunaikan solat zohor atau asar di kilang. Entah dimana silapnya, Adik tidak tahu. Bukannya emak dan ayah tidak hantar Abang Khalid ke sekolah agama. Bukan ayah tidak rotan semasa Abang Khalid itu masih di sekolah rendah. Abang Khalid memang dugaan besar untuk emak dan ayah. Tetapi yang hairannya, jika di hadapan Tok Bidin, wah...bukan main lagi. Solat maghrib hingga ke isya` duduk meratib di sejadah hingga Tok Bidin panggil makan malam, baru Abang Khalid tinggalkan sejadah. Entah apa yang Abang Khalid cuba buktikan, Adik tidak tahu.

Usai berdoa, dia segera melipat sejadah dan mengambil baju melayu yang sudah siap bergosok di penyangkut baju. Tumisan rencah mee goreng emak sudah menusuk ke hidungnya. Jika Johari datang awal, niatnya hendak mengajak sahabatnya itu bersarapan sama. Adik menyapu bedak dan meletakkan sedikit minyak wangi di pergelangan tangan dan di belakang cuping telinganya. Dia segera ke dapur.

Mee goreng berperencah udang, taugeh dan daun kuchai sudah siap terhidang di atas meja. Haruman kopi jenama ‘333’ yang menerjah ke rongga hidungnya amat menyegarkan. Emak ketika itu, sudah duduk di bangku plastik di dalam bilik air, bersiap-sedia untuk membilas pakaian mereka sekeluarga. Kasihan pada emak, selalunya, di hari minggu, dialah yang akan membantu emak membasuh, membilas, menyidai dan melipat baju. Tetapi, jika Adik tiada, semuanya emak lakukan seorang diri. Selepas membasuh, emak akan bersegera untuk masak makan tengahari. Ayah pula, waktu hujung minggu akan membantu Tok Bidin di kebun pisang. Taat sungguh ayah kepada kedua orang tuanya. Hingga sudah beranak pinak pun, ayah tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak sulung. Kalaulah Abang Khalid juga begitu, pasti ringan beban ayah dan Tok Bidin.

“ Mak, nanti kalau baju sudah kering, mak biarkan aje...malam nanti, Adik lipatkan,” pesannya kepada emak. Selagi boleh, dia mahu meringankan beban kerja emak. Abang Khalid bukannya boleh diharap, hari tidak bekerja pun, dia lesap entah kemana. Bangun tidur, mandi, bersiap dan berdesup keluar, malam nanti baru pulang ke rumah. Bukan hendak ambil hati ayah dan Tok Bidin- meringankan tulang membantu mereka di kebun. Menyapu atau mengemas rumah, jauh sekali.

Sedang dia menuang kopi, kedengaran Kak Nora sudah pun menguak jendela-jendela rumahnya yang bertentangan dengan rumah mereka. Kemudian, kedengaran pula suara Johari memberi salam.


 “ Waalaikumus salam, kat dapur Ri! Masuk pintu dapur! ” Laungnya ketika mendengar Johari meletakkan basikal di tepi rumah mereka.
‘ Macam tahu-tahu aje si Ri ni emak masak mee goreng.’ Dia tersenyum ketika menanti sahabatnya itu tersembul di muka pintu dapur rumah mereka yang sememangnya terbuka.  Jam sudah menunjukkan ke pukul 7.30 pagi.
“ Assalamualaikum,” Johari memberi salam sekali lagi ketika melangkah masuk ke ruang dapur rumahnya.
“ Waalaikumus salam. Meh kita sarapan dulu, mak aku masak mee goreng,” Adik mempelawa Johari sambil mengambil sebiji lagi gelas untuk menuang kopi.
 “ Aha!...pucuk dicita, ulam mendatang. Aku tahu, emak kau mesti masak sarapan. Mak aku tadi, buat cekodok saja, lepas tu dia ke pasar dengan ayah aku,” ujar Johari tanpa ditanya. “ Mak Uda tak sarap sekali?” tanya Johari yang terpandangkan Salimah sedang membilas baju-baju basuhan di dalam bilik air yang terbuka pintunya.
 “ Makanlah Ri...nak bilas baju-baju ni. Kejap lagi, Mak Uda pun hendak ke pasar dengan pakcik kamu,” jawab Salimah tanpa memandang Johari yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“ Ayah kau mana, Dik?” tanya Johari sambil tangannya menyenduk mee goreng yang masih berasap.
“ Belum balik dari surau. Hari-hari minggu ni, selalunya ada tazkirah. Kejap lagi, baliklah,” Adik menerangkan sambil dia juga duduk berhadapan dengan Johari yang sudah pun menyudu mee ke dalam mulutnya.
“ Aku ni, harap-harap tak mengantuk kat majlis tu nanti,” keluh Adik sambil perlahan-lahan mengunyah sarapannya.
“ Hah? Kenapa pulak? Kau tak tidur ke malam tadi?”
“ Aku susah hendak tidur, padahal semalam, kita kan penat dari pagi sampai ke petang di stadium.”
“ Huh...aku, pukul sembilan malam aku dah terlelap depan tv. Adik-adik aku memekak pun aku tak dengar, Dik. Letih bebenar,” jelas Johari sambil mengunyah mee goreng enak masakan Salimah.
“ Entah pukul berapa aku tertidur pun, aku tak tahu. Tapi aku pasti, lepas pukul dua pagi...Abang Long aku balik masa tu. Aku sempat tengok jam, tepat pukul dua pagi,” jelasnya pada Johari.
Johari tersengih-sengih dan kemudian menyeringai. Dia mengejip-ngejipkan matanya kepada Adik.
“ Eh...kau ni kenapa Ri? Aku yang mamai tak cukup tidur, kau pulak yang macam orang mabuk!”
“ Hehehe...aku tahu kenapa kau tak boleh tidur,” ujar Johari sambil mengangkat-angkat keningnya hingga kelihatan berkerut dahinya. Dia tersengih-sengih macam kerang.
Adik mengerutkan keningnya.
“ Kau ingat kat dia, kan?” Johari menduga sambil tersenyum nakal.
“ Ingat siapa?” Adik berhenti mengunyah dan memandang tepat wajah teman karibnya itu.
“ Heh kau ni! Aku simbah muka kau dengan air kopi ni kang baru tau!”
“ Ya ALLAH...kau ni kenapa? Aku tanya, ingat siapa? Aku takde ingat siapa-siapalah...tapi aku cuma tak boleh tidur, tak tahu kenapa,” Adik menjelaskan.
“ Aku tahu...minda bawah sedar kau ingat Faezah,kan?” Johari menyeringai kembali.
Adik mengeluh dan menjeling sahabatnya yang sedang terkekek-kekek ketawa. Entah apa yang lucu, dia tidak tahu. Namun, tengkuknya seakan panas meremang bila Johari menyebut nama Faezah.

Selang beberapa minit dia dan Johari duduk bersarapan, Abang Din dan Ayah pulang bergandingan. Dia segera bangun, menuangkan kopi untuk ayah dan abangnya.
“ Assalamualaikum,” ayah memberi salam di hadapan pintu dapur. Johari dan Adik menjawab serentak.
“ Haa...dah lama sampai, Johari?” tegur ayah sambil membuka kopiah, menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.
“ Dalam lima belas minit Pak Ghani...dah nak habis sepinggan mee ni ha,” sengih Johari.
Abang Din juga mengambil tempat di sebelah Johari dan dengan segera menyenduk mee goreng ke dalam pinggannya.
“ Ayah kamu balik minggu ni?” tanya Abdul Ghani kepada sahabat anaknya itu sambil menghirup kopi pekat pahit itu.
“ Balik pakcik. Ini emak dengan ayah ke pasarlah ni, beli barang-barang dapur.”
“ Ohh. Haah. Errr...Mah...kita tak ke pasar?”  
“ Eh...nak lah, Bang. Emak awak pun ada hendak pesan barang semalam,” jawab Salimah yang sedang mengeringkan baju di tempat pengering.
            “ Emak dengan ayah keluar ke pasar, Abang Din hendak ke sekolah, kita hendak keluar, habis, Alia macam mana, mak?” tanya Adik yang risau dengan adik bongsunya. Mana boleh tinggalkan Alia dengan Abang Khalid. Abangnya itu bukan boleh diharap. Kalau dia mahu keluar, bukan dia peduli dengan Alia jika tinggal berseorangan. Selalunya, jika emak dan ayah ke pasar, dia dan Abang Din ada aktiviti kokurikulum di hari Sabtu, Alia akan tinggal dengan Kak Nora. Tetapi hari ini, Kak Nora juga akan keluar.
            “ Alah...nanti ayah hantar Alia ke rumah Tok dulu, baru kami ke pasar,” jawab Ayah yang seakan-akan tahu dengan kerisauannya. Walaupun setakat ini, dia tidak pernah nampak Abang Khalid berkasar dengan Alia, namun...sikap Abang sulungnya itu tidak menentu. Tetapi, Abang Khalid memang selalu bengkeng dengan Alia. Dia sentiasa berpesan dengan adik perempuannya itu agar jangan menganggu Abang Khalid. Alia juga seingatnya, tidak pernah bermanja dengan Khalid. Kadang-kadang Adik terfikir yang ayah dan emak jumpa abang Khalid di kebun pisang. Perangai abang Khalid, tidak serupa langsung dengan ayah dan emak. Walaupun Tok Bidin itu garang, tegas, namun Tok Bidin amat penyayang dan bertanggungjawab. Hingga umurnya melebihi setengah abad, dia masih ke kebun, mengerah keringat, membanting tulang untuk menyara nenek dan membantu ayah yang bergaji kecil.

            Kamaruddin yang sedari tadi hanya membisu, menikmati makanan masakan emak akhirnya bangun, bersalaman dengan ayah dan emak lalu pergi meninggalkan mereka. Johari juga sudah selesai makan.
            “ Bawa kunci, Din. Takut kau balik, emak dengan ayah tak ada di rumah,” pesan Ayah ketika Abang Din menaiki tangga untuk ke ruang atas rumah mereka.
            “ Ya, yah. Din pun balik petang agaknya. Hendak buat study group  dengan kawan-kawan,” jelas Kamaruddin kepada ayahnya yang masih duduk di kepala meja.

            Adik tersenyum. Begitu menyenangkan sekali jawapan Abang Din. Tutur kata Abang Din lemah lembut bila berbicara dengan ayah dan emak. Berjayalah hendaknya Abang Din dunia dan akhirat. Abang Din menaiki tangga untuk ke ruang atas rumah dan meninggalkan Adik, Johari dan ayah di meja makan.

            “ Dikkk! Oiii Dik! Dah siap?” Laung Kak Nora dari tingkap rumahnya. Bukan jauh sangat rumah Kak Nora dengan rumah mereka, tidak sampai 10 meter pun. Melaung pun dengar. Sebab itulah bila dia dibuli Abang Khalid, Kak Nora boleh dengar dengan jelas.
            “ Dahhhh Kak! Sekejap, kita keluar!” Laungnya semula. Mereka memang biasa begitu. Sama juga dengan emak, jika hendak panggil Kak Nora, hanya perlu menjengah di tingkap dan melaung, tersembullah muka Kak Nora di tingkap rumahnya.

            Adik dan Johari bersegera meletakkan pinggan dan gelas di sinki, membasuhnya dan kemudian bersalaman dengan ayah dan emak.

No comments:

Post a Comment