AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 10 June 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 1 - karya SASYA ZAINAL



Mentari semakin redup dan merangkak perlahan-lahan meninggalkan kamar petang. Kadangkala, kedengaran sayup suara pipit riuh berkicauan di sebalik belukar berdekatan dengan surau kampung. Entah apa yang diriuhkan oleh pipit-pipit itu, hanya ALLAH yang tahu. Angin semilir berhembus lembut menampar-nampar pipi Salimah yang sedang duduk bersila di pangkin bawah pohon mempelam. Pohon mempelam yang rahat buahnya itu terletak di hadapan rumah Nora, janda cantik, tukang andam terkenal di Kampung Peserai Pantai.

            Kira-kira lima ratus meter dari tempat Salimah duduk, kelihatan air sungai Simpang Kanan bersinau-sinau dengan limpahan mentari petang. Air sungai Simpang Kanan yang menjadi penghubung di antara Kampung Peserai Pantai dan bandar Penggaram mengalir perlahan-lahan menuju ke laut Minyak Beku. Dua sampan yang menjadi penghubung antara Kampung Peserai Pantai dan Jalan Shahbandar di Bandar Batu Pahat, kelihatan teroleng-oleng ditambat di jeti. Mungkin Sahak dan Ajis, pemilik kepada kedua-dua buah sampan berkenaan sedang berehat di hujung minggu. Minggu hadapan, mereka pastinya tidak akan dapat bersenang-lenang kerana sekolah mula dibuka. Jika sekolah mula dibuka, Sahak dan Ajis akan sibuk mendayung ulang-alik dari kampung ke pekan.

Sambil melihat anak-anak bermain di sebuah kawasan lapang bersebelahan dengan  rumah Nora, Salimah memerhatikan gerak-geri Nora. Janda muda itu sedang terdongak-dongak meninjau buah-buah mempelam muda yang bergayutan. Sambil mendongak, tangan kanan Nora memegang sebatang buluh panjang yang diikat dengan sebatang pisau pendek dihujungnya. Salimah yang memakai kain batik dari Kelantan dan baju kurung Kedah yang dijahit sendiri sudah siap sedia menanti buah mempelam yang dikait Nora. Sepinggan kicap masin yang dibubuh dua sudu gula pasir dan sebatang cili padi yang dipotong kecil-kecil juga sudah disiapkan untuk dibuat cicah.

            “Pang pang kopang kopang, geding geding geding…pang pang kopang kopang kopang geding geding geding,” suara anak-anak kecil yang berumur antara empat tahun hingga sembilan tahun seramai sepuluh orang sedang melagukan lagu kompang. Meriah benar bunyinya di halwa telinga Nora dan Salimah.

            Salimah menjeling ke arah anak-anak itu dan tersenyum.
“Pang pang pang kopang kopang, geding geding geding…”

Bedebuk! Segugus mempelam muda akhirnya jatuh di hadapan pangkin kayu tempat Salimah duduk bersila. Nora yang akhirnya berjaya mengait segugus buah mempelam muda yang jatuh ke tanah itu, membongkok mengutipnya sambil ketawa kecil dan mengeleng-gelengkan kepalanya.

            “Tak bosan-bosan agaknya budak-budak tu main kahwin-kahwin. Kalau tak main pondok-pondok, mesti main kahwin-kahwin. Kalau tidak, main polis sentri dengan ram-ram rep,” kata Nora sambil memanjat pangkin kayu dan kemudiannya duduk bersila seperti Salimah.

            “Alah Nora, tu namanya budak-budak. Kalau dah tua macam kita, takkan nak main-main pulak? Nanti orang kata, buang tabiat! Dah tua, nak kerja, nak urus itu ini,” Salimah menyambung sambil tangannya tangkas mengupas kulit buah mempelam muda yang baru dikait.

            “Seronok jadik budak-budak eh Kak Uda?” Tanya Nora kepada Salimah. Uda adalah panggilan Salimah di kampung.
            Main-main aje yang dia orang tahu. Tak payah banyak fikir. Sudah penat, dia orang tidur. Lapar, makan. Haus, minum. Senang aje hidup dia orang,” sambung Nora sambil mencicah pelam muda yang dipotong Salimah dengan kicap masin manis pedas yang sudah tersedia.

            “Kau ni cakap-cakap macam ini, macam ada masalah aje, Nora?”
            “Tak adalah Kak Uda. Saja aje. Nora terfikir kalaulah Nora dapat jadi budak-budak balik,” keluh Nora sambil memandang keriangan kanak-kanak yang bermain itu.
            Kak Uda atau nama penuhnya Salimah binti Musa, memandang Nora yang leka melihat gelagat budak-budak yang bermain di tepi rumahnya.

            “Adik…adik…adik kena duduk macam ni,” ujar seorang budak perempuan yang berumur sembilan tahun yang bernama Aminah. Aminah menunjukkan cara bagaimana seorang pengantin perempuan duduk di pelamin kepada budak yang dipanggil Adik.

            Budak yang dipanggil Adik itu kemudian membetulkan duduknya di atas sebuah bangku kayu panjang. Anak-anak itu bermain di bawah pepohon nyiur yang rendang. Adik merapatkan kedua-dua belah kakinya sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas pehanya yang putih gebu. Budak yang dipanggil Adik itu, kulitnya halus cerah dengan alis mata yang melentik. Matanya bundar dengan dagu yang runcing. Memang amat comel jika dipandang. Di kedua-dua belah telinga Adik telah diselitkan dengan bunga raya warna merah.

            “Awak Faez, awak kena duduk macam ni…haaa, kaki awak kena bukak luas sikit macam pengantin lelaki…baru betul,” ujar budak perempuan yang berumur sembilan tahun itu lagi.
            “Kak Nora, Kak Nora, bunga kita dah jatuh ni,” Adik memberitahu kepada anak gadis sunti yang mengajarnya cara-cara duduk sebagai pengantin perempuan itu.

            “Oooiii…panggil Kak Nora ke?” Nora menoleh ke arah Adik yang memanggilnya sambil menoleh ke arah kanak-kanak yang sedang bermain itu. Mulut Nora masih mengunyah mempelam yang masam.

            “Eh…bukan Kak Nora sanalah. Kak Nora yang kat sini,” jawab Adik sambil bibir mungilnya menjuih ke arah budak perempuan berumur sembilan tahun yang bernama Aminah tadi.
            Salimah ketawa terkekeh-kekeh dengan gelagat anaknya dan anak-anak kecil yang lain.
            “Watak kau pun ada dalam main kahwin-kahwin tu, Nora! Hahahaha!” seloroh Salimah.
            Nora mengeleng-geleng kepala sambil tersenyum.
“Bertuah punya budak,”  Nora tersengih-sengih dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Anim! Anim! Dah petang ni, meh balik.” Datang pula Cikgu Zakiah ke tempat anaknya bermain dengan kumpulan anak-anak itu.

            “Alah mak ni, kejap lagilah mak, kita tengah main kahwin-kahwin ni, ” jawab Anim, anak Cikgu Zakiah.

            “Oooiii cikgu, marilah sini Cikgu Zakiah, makan pelam muda cicah kicap,” laung Nora bila melihatkan kelibat Cikgu Zakiah yang datang mencari anaknya.
            Cikgu Zakiah tersenyum dan berjalan menuju ke pangkin tempat di mana Salimah dan Nora duduk bersembang.

            “Adui, pelam muda cicah kicap pedas… kecur air liur saya,” ujar Cikgu Zakiah sambil melabuhkan punggungnya di pangkin kayu itu sambil kakinya berjuntai ke bawah. “Kenapa si Adik yang pakai bunga dan anak saya yang pakai tengkolok kertas tu?”

            “Hmmm… si Adik yang jadi pengantin perempuan, Faezah jadi pengantin lelaki,” jelas Nora. Salimah pula tersengih-sengih.

            “Laaa hau laaa wala…,” berderai ketawa Cikgu Zakiah sambil tangan kanannya pantas mencicah pelam muda dengan kicap masin manis pedas.

            *                                  *                                  *                                  *                     

Langit senja melimpahkan warna jingga yang mengasyikkan ketika Salimah memimpin anaknya, Adik pulang ke rumah. Nora juga sudah mula menutup tingkap-tingkap di keliling rumah pusaka ayah dan ibunya. Cikgu Zakiah, Faezah Hanim dan anak-anak yang bermain bersama tadi kesemuanya sudah meninggalkan kawasan lapang tempat mereka bermain kahwin-kahwin.
           
            Ketika bayang bulan sudah mula mengambil alih tugas mentari dan suara pipit yang berkicauan menjadi senyap sepi, kelihatan Pak Noja Hassan pula sedang menaiki tangga surau Kampung Peserai Pantai. Tugasnya sebagai noja bermula sebelum Pak Bilal, melagukan ayat-ayat suci Al-Quran menanti masuknya waktu maghrib.
Ketika penduduk-penduduk Kampung Peserai Pantai sedang membersihkan diri untuk menanti waktu maghrib dan ada diantara para ibu sudah mula menyiapkan santapan makan malam, yang kedengaran hanyalah arus sungai Simpang Kanan yang mengalir perlahan.

            Salimah menceduk air di dalam kolah bilik air rumahnya dan menjirus perlahan-lahan ke tubuh Adik yang kurus keding. Kemudian dia mengambil syampu rambut berjenama murah dan dilumurkan ke rambut anaknya yang lebat. Adik memejam-mejamkan matanya ketika ibunya menyampu rambutnya. Salimah kemudiannya menceduk air kolah yang sejuk itu lalu dicurah lagi ke atas kepala Adik. Sebelum Salimah menyuruh Adik menggosok gigi susunya yang putih tersusun, Salimah mengambil sabun buku berwarna merah jambu dan dilumurkan ke tubuh anak bongsunya itu.

            “Mak, lambatnya ayah dengan abang balik hari ni, ya?”
            “Banyak barang yang abang long dengan abang ngah nak beli agaknya,” jawab Salimah kepada pertanyaan Adik.
            “Ohhh… Mak, nanti kalau Adik sekolah, mak yang teman adik pergi barang sekolah, ya?”
            “Kenapa? Adik tak suka pergi dengan ayah?”
            “Bukan… Adik lagi suka beli barang dengan emak,” terang Adik sambil memandang tepat mata Salimah.
            “Adik nak sekolah, ke?” sengaja Salimah bertanyakan soalan itu kepada anak bongsunya. Dia bersyukur anak-anaknya tidak mendatang apa-apa masalah seperti beberapa anak orang kampung yang merengek menangis di hari pertama persekolahan mereka.
            “Nak,” jawab Adik pendek.
            “Baguslah kalau Adik nak pergi sekolah. Nanti belajar pandai-pandai, masuk universiti, kerja bagus-bagus eh nak ?”
            “Nanti Adik nak belikan mak kereta macam Cikgu Zakiah,” buntang mata Adik memandang wajah kasih ibunya.
            Salimah tersenyum memandang anak bongsunya yang amat dikasihi.

            Suara deruman motor suaminya yang kedengaran di hadapan rumah, memaksa Salimah menangguhkan niatnya untuk bersolat maghrib. Salimah yang sudah lengkap memakai telekung putih bersulam bunga biru kecil-kecil membuka pintu rumah kayunya  yang berkunci. Adik yang sedang duduk di sejadah di sebelah ibunya juga bangun dan berlari ke muka pintu. Dia ingin menyambut kepulangan ayah dan kedua orang abangnya.

            “Lambat balik, bang?” tanya Salimah sambil memerhatikan suaminya mengambil beg-beg plastik yang terletak di dalam raga motorsikal. Kedua anak lelaki Salimah, Khalid dan Kamaruddin berdiri disebelah motor ayah mereka untuk mengambil barang-barang peralatan dan keperluan sekolah yang baru dibeli.

            “Uish… ramai benar orang di Jalan Penggaram. Kedai kasut Champion penuh. Kedai kasut Bata pun penuh. Kena beratur tunggu budak kedai tu ambil saiz kasut. Kedai beg penuh… itu yang lambat. Semua mak bapak pergi beli barang hari ni agaknya. Mengalahkan musim raya,” rungut suami Salimah sambil memberi bungkusan-bungkusan plastik yang berisi kasut, beg sekolah dan buku-buku tulis.

            “Orang lain pun tunggu gaji macam kita juga agaknya, baru beli barang sekolah,” Salimah memberi komen atas kenyataan suaminya, Abdul Ghani bin Bidin.
“Abang Long, Abang Ngah… dah cepat naik, mandi. Nanti waktu maghrib habis,” pesan Salimah kepada kedua anak lelakinya.
            “Adik… Adik dah sembahyang?” tegur Abdul Ghani kepada anak bongsunya yang berdiri di sebelah isterinya.
            “Belum… Adik tunggu mak,” jawab adik yang sedang memakai kopiah putih melepak. Kopiah itu agak besar untuknya. Jadi kopiah itu menutupi dahinya yang luas.

            “Ohhh… baik anak ayah ni,” Abdul Ghani tersenyum sambil mengusap-usap lembut rambut anak lelaki bongsunya. “Ayah ada belikan buku warna dengan kaler pensel untuk Adik tau.”

            Adik tersenyum lebar dan memberi laluan kepada ayahnya untuk masuk ke dalam rumah dan Abdul Ghani kemudiannya menutup pintu rumah mereka.

            “Mah… awak sembahyang dululah, ya. Jangan tunggu saya, nak mandi puas-puas, berlengas benar badan saya ni.”
“Iyalah, bang. Adik, meh sini ikut mak sembahyang. Bang, awak tengokkan along dengan angah tu, ya. Kalau dibiarkan nanti, berjam-jam pulak dia orang mandi,” pesan Salimah sebelum memulakan niat solat maghribnya di ruang tamu rumah kayu mereka.

Malam itu, keluarga Salimah menikmati lauk ikan kembung masak kicap, sambal belacan, sayur bayam goreng dan ikan sepat masin. Nasi yang dimasak juga ditanak sedekit lembik. Mengikut kegemaran suaminya Abdul Ghani dan juga anak-anaknya.

“Nanti, hari Ahad ni, saya hantar budak-budak ke sekolah, awak naik sampan saja untuk ke seberang, ya, Mah?” ujar suaminya ketika Salimah menyendukkan nasi untuk anak sulungnya yang amat berselera malam itu. Mungkin Khalid kepenatan berjalan dengan ayahnya untuk mencari dan membeli peralatan sekolahnya petang tadi.

“Hmm… iyalah bang. Hari pertama, saya tunggu budak-budak balik sekolah, kami balik sama-sama. Mesti banyak buku-buku teks yang hendak dibawa balik hari pertama nanti,” Salimah memberi cadangan.

Kedua-kedua anak Salimah dan Abdul Ghani bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Batu Pahat yang terletak di Jalan Mesjid. Bagi penduduk-penduduk Kampung Peserai Pantai, jalan yang mudah untuk mereka ke pekan Batu Pahat, adalah dengan menaiki sampan. Jika menaiki motor atau kereta, mereka perlu melalui jalan besar dan melalui jambatan Batu Pahat. Jalan itu memang agak jauh untuk penduduk-penduduk yang menetap di tepi Sungai Simpang Kanan. Sejak dari zaman Salimah bersekolah dahulu, bersampan untuk pergi ke sekolah adalah perkara biasa. Dia juga bersekolah di Sekolah Bandar Batu Pahat hingga ke darjah enam. Kemudian menyambung persekolahannya di Sekolah Menengah Dato’ Onn di Peserai hingga ke tingkatan tiga. Oleh kerana kemiskinan ayah dan ibunya, Salimah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja menolong ibunya menjahit baju.

Abdul Ghani pula, pada zaman kanak-kanaknya bersekolah di Kluang. Ayahnya, Bidin, seorang anggota tentera berpangkat Kopral. Abdul Ghani dan keluarganya tinggal di berek Angkatan Tentera Darat Di Raja Malaysia, di Bandar Kluang. Hanya ketika ayahnya bersara, mereka sekeluarga akhirnya pulang menetap di kampung asal ayah mereka di Simpang Lima. Abdul Ghani kemudian menyambung persekolahannya di Sekolah Menengah Dato’ Onn, sama seperti Salimah. Cuma, nasib Abdul Ghani lebih baik dari isterinya. Dia dapat menamatkan persekolahannya hingga ke tingkatan lima. Dengan berbekalkan pangkat tiga Sijil Peperiksaan Malaysia itu, Abdul Ghani pergi mendaftar namanya di Jabatan Buruh dan akhirnya berjaya mendapat kerja sebagai Pembantu Am di Jabatan Kerja Raya.

Salimah dan Abdul Ghani berkenalan di kilang kerepek Haji Jalil, antara orang-orang yang ‘berada’ di Kampung Peserai Pantai. Abdul Ghani membantu ayahnya pada waktu hujung minggu mengusahakan kebun pisang mereka seluas dua ekar. Kebun pisang yang dibeli oleh ayahnya menggunakan duit pencen tentera itulah yang menampung kehidupan keluarga Kopral Bidin, isteri dan dua orang anak lelakinya. Adik Abdul Ghani, Abdul Ghaffar mengikut jejak langkah ayahnya menjadi anggota tentera dan menetap di Kem Terendak, Melaka. Kopral Bidin sentiasa bersyukur kerana kedua-dua anak lelakinya dapat bekerja dengan kerajaan.

Setiap hari Jumaat dan Sabtu, Abdul Ghani menghantar pisang nipah, pisang tanduk dan pisang lilin yang muda ke kilang Haji Jalil untuk digoreng menjadi kerepek. Salimah yang pada ketika itu berumur lapan belas tahun menjadi pembantu kepada Kak Piah, isteri kepada Haji Jalil. Sambil menolong ibunya menjahit di rumah, Salimah juga bekerja di kilang kerepek Haji Jalil pada waktu siangnya
Di kilang kerepek Haji Jalil, Salimah dan Abdul Ghani berkenalan, berutus surat dan akhirnya jatuh cinta. Pertengahan tahun 1971, Abdul Ghani menyampaikan hasratnya untuk meminang Salimah. Akhirnya kedua mereka diijabkabulkan pada akhir tahun 1971. Pada ketika itu, Abdul Ghani berumur 21 tahun, memang waktu yang amat layak untuk mendirikan rumahtangga pada ketika itu.

Setelah berkahwin, mereka berdua menetap di rumah pusaka ayah Salimah yang telah meninggal dunia pada tahun 1970 kerana sakit lelah. Oleh kerana, kesemua adik beradik perempuan Salimah telah berpindah mengikut suami masing-masing, Salimahlah yang bertanggungjawab menjaga ibunya. Salimah anak ketiga dari empat adik beradik. Di rumah, dia dipanggil Kak Uda dan begitulah panggilan orang-orang kampung kepada Salimah.
           
            Pada tahun 1975, Salimah melahirkan anak sulung lelakinya yang dinamakan Khalid. Atas permintaan ayah mentuanya, Pak Bidin kopral pencen, Khalid dijaga oleh ibu Abdul Ghani ketika Salimah bekerja di kilang kerepek. Dua tahun selepas itu, Salimah melahirkan seorang lagi bayi lelaki yang dinamakan Kamaruddin. Kali ini, ibu Salimah pula yang menjaga dan mengasuh cucunya kerana dia tidak lagi menerima tempahan menjahit.

Pada tahun 1980 pula, Salimah dan Abdul Ghani sekali lagi menerima kehadiran bayi lelaki walau kedua-dua mereka amat mengharapkan seorang puteri dalam keluarga mereka. Namun, mereka akur dengan pemberian ALLAH. Mereka menerima kehadiran Kamal Arif seadanya. Pak Bidin kopral pencen telah menumbangkan dua ekor kambing untuk akikah cucu lelakinya yang ketiga itu. Kenduri kesyukuran dengan juadahnya nasi beriani berlaukkan dua ekor kambing akikah telah diadakan di rumah pusaka Allahyarham Pak Musa. Pak Bidin kopral pencen menanggung semua perbelanjaan kenduri tersebut. Berjamulah seluruh kaum keluarga Salimah, Abdul Ghani dan jiran tetangga mereka ketika Kamal Arif berusia empat puluh empat hari.

No comments:

Post a Comment