AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 10 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 17- ROHANI DERAMAN




R
osni tidak meninggalkan rumah Ahmad Adham dengan langkah kosong. Sakit hatinya kerana diperlekehkan oleh abangnya itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api hasad yang menyala dalam dirinya tidak akan dibiarkan hanya membakar dirinya. Ia perlu membakar Kartina, Muhayat dan ayah kandungnya. Mesti.
            “Awak tahu, kakak ipar I dah bawa balik bekas suaminya tinggal bersama. Mentang-mentang abang I sakit, dia buat sesuka hati saja di rumah itu. Sekarang abang I dah serahkan separuh dari hartanya kepada anak tirinya itu. I bimbang kalau satu hari nanti, abang I dihalau dari rumah itu dalam keadaan sehelai sepinggang.”
            Itu yang dijaja oleh Rosni kepada rakan dan teman yang tinggal di taman itu dan kepada yang mengenali keluarga Ahmad Adham.
            Dia menelefon dan menghantar mesej ke sana sini.
            Desas desus dan angin fitnah itu, akhirnya bertiup perlahan ke seluruh taman itu. Kehadiran Kamaruzaman ke rumah banglo Ahmad Adham telah dijadikan bahan untuk warga setempat mengumpat.
            Setiap ada peluang, mata mereka mengintai keakraban Kamaruzaman dan Kartina. Hal itu sampai ke telinga menambahkan lagi rasa sakit hati Muhayat memang sudah lama berdarah.
            “Abah, orang dah mula bercakap dan bercerita mengenai keluarga kita,” kata Muhayat kepada Ahmad Adham pada satu malam. Dia rasa dia perlu meluahkan kesakitannya kepada abahnya.
            “Pasal apa, Hayat?” tanya Ahmad Adham.  Muhayat diam mencari kekuatan. Sebenarnya bibirnya tidak mampu melafazkan apa yang didengarnya. Dia rasa sangat aib dan memalukan!
            “Pasal Abah Zaman dan ibumu? Itu abah dah dengar,” kata Ahmad Adham, selamba.
            Muhayat segera berpaling dan merenung wajah Ahmad Adham. Dia kehairanan. Ahmad Adham selamba dan tenang sahaja. Langsung tidak ada segores calar pun pada wajah itu.
            “Jadi, abah tak rasa apa-apa? Abah tak rasa malu?”
            “Nak rasa malu kenapa? Bukannya kita ada buat salah.”
“Tapi, apa yang mereka kata itu bukankah benar?”
            “Apa yang benarnya?” Ahmad Adham cuba menguji hati Muhayat.
            “Hubungan ibu dengan orang itu, tidak baik. Orang itu sedang mengurat isteri abah. Itu sangat tidak baik! Malah ia berdosa!”
            “Orang mana?” Suara Ahmad Adham mula berubah. Ia seperti guruh membelah langit. Begitu juga dengan wajahnya mula merah seperti udang di panggang api.
            Muhayat tidak berani angkat muka. Tiba-tiba kelancangannya terpancung. Lidahnya menjadi kelu untuk terus bertikam kata dengan Ahmad Adham.
            “Hayat, abah tak sangka Hayat juga berfikiran jahat seperti mereka. Abah harapkan Hayat muncul sebagai perisai yang melindungi kami dari fitnah itu. Rupanya Hayat  ikut merodok hati kami,” kata Ahmad Adham. Ada tangis yang sedang ditahan.
            “Abah, saya tak berniat macam tu.” Perlahan suara Muhayat meniti bibir.
            “Kalau Hayat tak berniat, dah pasti Hayat tak timbulkan hal ini depan abah. Kami dah lama tahu akan fitnah ini. Tapi, kami rasa ia tak perlu dilayan. ALLAH Maha Tahu akan ketulusan hubungan kami ini.”
            “Abah…”
            “Sudahlah Hayat. Untuk pertama kali abah kecewa dengan Hayat.” Ahmad Adham mengalihkan pandangan ke arah lain. Kehampaan menerjah hati.
            Muhayat tidak mampu bersuara lagi. Dia tahu, suaranya memang tidak akan didengar oleh Ahmad Adham. Pendapatnya tidak akan dipertimbangkan. Lebih baik dia diam walaupun hatinya memberontak dan tidak mampu menerima semuanya begitu sahaja.
           
            Abahnya tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah itu. Dia yang lebih tahu. Dia tidak dengar fitnah orang tetapi matanya yang melihat ada hubungan sumbang sedang terjalin di rumah itu. Kalau seorang wanita keluar dari bilik seorang lelaki pada waktu malam, apakah erti semua itu?
            Sehari dua, Muhayat masih boleh diamkan diri. Namun setiap kali dia melihat kelibat Kamaruzaman, darahnya mendidih. Bencinya kepada lelaki itu membuak-buak. Kadang-kadang dalam tidur pun dia diganggu mimpi yang jahat, melihat Kamaruzaman dan Kartina bergurau senda!
            Cis!  Perasaannya menjadi durjana kerana lelaki itu. Dia tidak mahu terus sengsara didera perasaan benci, marah dan geram itu.
            Lalu malam itu, selepas makan malam dan ketiga-tiga sahabat itu sedang menikmati suasana santai di ruang tamu, Muhayat muncul membawa hajatnya.
            “Abah Zaman, boleh saya cakap sikit dengan abah?”
            “Cakaplah Hayat. Tak perlu nak minta izin,” jawab Kamaruzaman dengan senyum senang kerana akhirnya, Muhayat sudi juga berbual dengannya.
            Muhayat mencari kekuatan. Dia sedar dia sedang berdepan dengan enam mata, yang sedang teruja dan merenung tepat  ke arahnya.
            “Ada apa Hayat? Apa yang Hayat nak cakap dengan abah?” Kamaruzaman berwajah ceria. Kuntuman kasih di hatinya kian memekar.
            “Abah, saya bukan nak kurang ajar dengan abah. Tapi kalau abah datang ke sini untuk merampas kebahagiaan kami, tolonglah abah pergi dari sini!” kata Muhayat, selepas dia yakin dengan kekuatan hatinya untuk berdepan dengan kemarahan mereka.
           
            Kamaruzaman tersentak. Senyumannya terlepas dari bibir. Keceriaannya lebur. Pandangan matanya tepat kepada wajah Muhayat. Telinganya cuba menidakkan apa yang didengarnya.
            Ahmad Adham juga sangat terkejut mendengar kata-kata Muhayat. Begitu juga dengan Kartina. Mereka saling berpandangan dalam rona yang sama. Jengkel.
            “Apa maksudmu anakku?” Kamaruzaman masih cuba bertenang. Sungguhpun dadanya berdebar kencang, namun dia cuba melembutkan suara dan menyembunyikan rasa gementarnya.
            “Tak payahlah nak berpura-pura baik. Tak payah nak berlakon dengan saya. Orang di luar sana semua dah tahu niat abah datang ke sini!” Muhayat semakin lantang.
            “Niat apa Hayat? Abah datang ke sini semata-mata nak dekat dengan kamu. Tak ada niat lain. Tak ada hajat yang lain,” kata Kamaruzaman dengan jujur.  Debaran di hatinya sangat menyakitkan.
            “Nak dekat dengan saya, atau nak dekat dengan ibu?” Suara Muhayat sangat sinis. Di bibirnya juga terselit sebuah senyuman memperli.
            “Hayat! Kenapa kurang ajar sangat ni?” tengking Ahmad Adham. Wajahnya berubah, marah. Dia tidak menyangka, kusut hati Muhayat terhadap Kamaruzaman belum pulih selepas percakapan mereka tempoh hari.
            Kartina pula merenung wajah Muhayat dengan mata sangsi. Dia kurang faham dengan apa yang berlaku kepada Muhayat. Kenapa susah sangat  Muhayat hendak terima Kamaruzaman dalam hidupnya? Sedangkan sejak kecil dia memang tahu bahawa ayah kandungnya ialah Kamaruzaman. Tercatat pada sijil kelahirannya nama itu.   
            “Memang benar apa yang Hayat cakap ni abah. Sebelum dia muncul di sini,  hidup kita aman bahagia. Tak pernah ada jiran yang berani bercakap hal kita. Tak pernah ada umpatan. Sekarang? Abah tak malu ke bila jiran kata abah ni dayus kerana biarkan isteri buat hubungan dengan bekas suaminya?” Sungguh lantang suara Muhayat. Bergema ke setiap ruang dalam rumah itu.
            Ahmad Adham tidak mampu lagi menahan sabar. Dia bangun. Tangannya dengan ringan melayang ke pipi Muhayat.
            Pang!
            Kekecewaannya terhadap sikap Muhayat semakin memuncak. Dia rasa sangat keji  ketika mendengar fitnah itu keluar dari mulut Muhayat, anak yang disayangnya.
            Begitu juga dengan Kartina. Kata bicara Muhayat itu telah membuatkan jiwanya lemah menunggu relai. Dia tidak mampu menahan tangis.
            “Ibu ingat Hayat lebih faham tentang kami. Ibu ingat Hayat akan membela kami dari cercaan orang lain. Tetapi  rupanya Hayat lebih jahil tentang kasih sayang dari mereka.”
            “Hayat cuba nak faham. Tapi Hayat masih tak boleh faham. Abah masih nak bela dia sedang dia sedang menikam abah dari belakang. Dia sedang mencari peluang merampas hak abah! Dan ibu, tidak jujur pada abah dan bersikap sumbang!”
            “Apa maksudmu Hayat? Kau nak tuduh ibumu curang dengan abah? Kau nak tuduh ibumu yang mulia ini berselingkuh dengan lelaki lain di belakang abah?” Ahmad Adham menjerit.  Dia tergamam dengan apa yang ada dalam kotak fikiran Muhayat.
            Muhayat diam. Dia mengulum kata-kata yang memang ingin diluahkan semuanya. Namun melihat api kemarahan dalam mata Ahmad Adham, dia bekukan  hasrat.
            Tangisan Kartina semakin kuat. Tuduhan Muhayat dirasakan terlalu berat. Seluruh kegembiraannya terhumban jatuh ketika itu. Dia tidak tahu kenapa Muhayat berfikir sekeji itu. Belum pernah dia rasa terluka seperti itu.
            “Sampai hati Hayat… Sampai hati buat ibu macam ni. Sampai hati anakku...”  rintih Kartina di celah-celah esakannya.
            Ahmad Adham memeluk Kartina. Dia menyerahkan bahunya untuk Kartina melepaskan dukanya.
            Kamaruzaman pula terpaku lama. Senak dadanya. Remuk jantungnya. Sungguh dahsyat tuduhan yang baharu diterimanya. Namun dia tidak boleh mengalah pada keadaan. Dia tidak mahu menyalahkan Muhayat semata-mata.
            “Adham, Tina, tolong maafkan dia. Dia masih muda. Akalnya masih pendek. Sayalah yang bersalah. Saya minta maaf kalau benar seperti katanya, sayalah perosak kegembiraan di rumah ini. Saya minta maaf,” kata Kamaruzaman, dengan linangan air mata. Tangisan Kartina menyentuh hatinya. Kata-kata Muhayat menyentuh jiwanya. Aduhai anak!
            “Tidak Zaman. Saya tak pernah anggap awak macam tu. Kita bertiga dah berjanji untuk sama-sama berkongsi rasa gembira dan bahagia ini bersama. Kita dah semakin tua untuk terus saling menyalahkan. ALLAH dah temukan kita. Inilah takdir kita. Tolong jangan cakap macam tu, Zaman. Anak ini yang tersalah tafsir akan erti kasih sayang kita. Anak ini yang berdosa kerana memfitnah kita... ” kata Ahmad Adham dengan suara sebak, menahan sedih.
            Muhayat menarik muka masam. Kata-kata Ahmad Adham menikam jantungnya. Dia segera bangun dan meninggalkan ruang yang sedang berladung kedukaan itu.
            Kartina masih belum berhenti menangis. Benar-benar hatinya terhiris. Dia mengharapkan Muhayat menarik balik tuduhan itu. Dia mengharapkan Muhayat akan memohon maaf atas ketelanjuran kata dan kelancangan tuduhannya.
            Namun semuanya tidak berlaku. Muhayat langsung tidak menoleh dan bersimpati. Dia pergi tanpa belas kasihan. Akhirnya mereka bertiga terpaksa memujuk perasaan sendiri. Esakan Kartina semakin perlahan. Air mata Ahmad Adham pula tidak menitik lagi. Kamaruzaman tahu, dia perlu jernihkan keadaan yang sudah keruh itu. 
            “Nampaknya, saya telah memecah-belahkan hubungan baik orang di sini. Adham, untuk itu awak izinkan saya pergi dari sini. Saya tak nak suasana bertambah keruh,” kata Kamaruzaman selepas semangatnya kuat.
            “Jangan Man. Saya akan berdepan dengan Hayat. Awak tolong jangan buat keputusan itu. Awak lupa kenapa awak sudi tinggal di sini? Kerana awak nak berbaik-baik dengan anak awak. Sekarang, kita sedang diduga. Janganlah awak rasa kalah, Man.” Ahmad Adham cuba menghalang niat Kamaruzaman.
            “Memang itu niat saya. Tapi, apa yang saya hajatkan itu tak berlaku. Yang berlaku adalah sebaliknya. Kalau saya terus tinggal di sini, keadaan akan bertambah buruk. Adham, Tina, saya minta maaf. Saya tak boleh teruskan hubungan ini. Saya tak nak terus sakitkan hati Hayat. Mungkin benar kata dia, kita sedang melakukan perkara yang tak pernah dibuat orang.”
            “Man, tolong jangan pergi ...” rayu Ahmad Adham.
            “Kali ini saya minta maaf kerana terpaksa tolak permintaan awak. Saya kena balik ke tempat di mana saya datang. Hanya ini yang mampu selamatkan keadaan,” kata Kamaruzaman. Matanya merenung wajah kedua-duanya silih berganti. Dia mencari pengertian. Dia mengharapkan sebuah keizinan.
            “Baiklah kalau itu keputusan awak. Tapi, berjanjilah dengan saya bahawa awak tak akan sekali-kali lupa pada persahabatan kita ini. Saya masih mengharapkan semuanya akan berubah menjadi baik tapi saya tak harapkan hubungan kita terputus sampai di sini saja,” kata Ahmad Adham. Dia menggenggam tangan itu dengan erat. Ada getaran halus dalam genggaman itu. Getaran itu mewakili hati...

No comments:

Post a Comment