AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 2 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 10 Karya Rohani Deraman




A
khirnya dengan berat hati, Muhayat menyalami tangan Kamaruzaman. Walaupun ada sedikit rasa cuak dan enggan dalam hatinya, namun dia gagahi juga. Demi Kartina, orang yang melahirkannya. Demi Ahmad Adham, orang yang membesarkannya.
Kamaruzaman pula tidak mampu bersuara sepatah pun. Wajah segak Muhayat adalah gambaran dirinya semasa muda. Dia terpaku. Dalam masa yang sama, dia masih dihanyutkan rasa bersalah dan rasa bimbang yang amat sangat.
Mereka duduk berhadap-hadap. Kartina dan Ahmad Adham sengaja meninggalkan mereka berdua di ruang tamu itu.
“Apa khabar anakku?” tanya Kamaruzaman selepas lama membisu melayan rasa. Sebagai orang tua yang telah lama makan garam, keengganan Muhayat dapat dirasakannya.

“Baik.” Muhayat menjawab sepatah. Riak wajahnya adalah riak orang yang sangat enggan dan tidak sudi.
“Abah minta maaf.” Kamaruzaman kehilangan ayat. Hanya setakat itu dia mampu menyusun kata.
Selebihnya dia ikut diam dan membiarkan suasana sepi tanpa kata. Dia dapat merasakan Muhayat tidak menyukainya. Dan dia tidak ada pengalaman memujuk seorang anak!
***


MALAM itu tidur Ahmad Adham semakin lena selepas berjaya mempertemukan Muhayat dengan ayah kandungnya. Dia tersenyum puas. Dia rasa tenang. Amanah yang  ALLAH berikan kepadanya telah ditunaikan dengan baik.
Muhayat membesar dan menjadi dewasa yang berilmu. Dengan ijazah yang dibawa balik itu, dia bakal menerajui perniagaan keluarga.
“Abang harap hubungan Hayat dan ayahnya akan terjalin dengan baik,” kata Ahmad Adham ketika Kartina sedang memicit kakinya.
“Tina juga harap begitu. Tapi...”
“Kenapa Tina?”
“Tina tak nampak cahaya gembira di wajah Hayat. Dia seperti sedang marah dan geram. Dia nampak sangat bencikan Abang Zaman,” jawab Kartina.
“Mungkin itu perasaan Tina sahaja. Kita doakan yang terbaik untuk mereka berdua.”

“Entahlah bang. Tina yang kandungkan dia. Tina yang lahirkan dia. Rasanya Tina mampu membaca isi hatinya seperti terkilat ikan di air.”
Ahmad Adham termenung. Dia tidak mengharapkan Muhayat berdendam dengan Kamaruzaman kerana Kamaruzaman sendiri tidak pernah tahu akan kewujudan Muhayat ke dunia ini. Tetapi, dia juga faham kalau hati Muhayat tidak mampu menerima kehadiran Kamaruzaman dalam hidupnya.
Inilah pertama kali dia melihat rupa ayahnya. Mesti fikirannya keliru dan celaru.
“Kita serahkan saja kepada ALLAH. Tanggungjawab dan hutang kita dah selesai. Hayat perlukan masa,” kata Ahmad Adham cuba memujuk kebimbangan Kartina.
Selepas pertemuan pertama itu, Kamaruzaman menjadi resan dan gelisah tidak menentu. Tiba-tiba fikirannya yang tenang menjadi bercelaru.
Secara perlahan-lahan dia menjadi seorang perindu. Saban malam dia duduk melihat kerlipan bintang di langit. Saban malam pula dia mengharapkan bulan mengambang di langit yang cerah. Awan gemawan yang memutih, diharap tidak menutupi cahaya rembulan. Itu yang ada dalam hatinya.
“Abah, kalau abah rasa abah sangat rindukan Muhayat, abah pergilah tinggal dengan dia,” kata Firdaus pada satu malam. Sudah lama dia melihat Kamaruzaman resah. Setiap malam dia mengintai abahnya yang asyik termenung merenung langit. 
“Fir, kenapa Fir cakap macam tu?” Kamaruzaman menoleh. Wajah Firdaus ditatap  lama. Ada ketulusan dalam sinar mata Firdaus ketika itu.  Namun dia merasakan ketulusan itu tidak diperlukan ketika itu.

“Sebab Fir tak nak abah sedih dan muram macam ni. Fir nak abah hidup dengan gembira.”
Hati Kamaruzaman diulit sebak dan terharu.  Semakin lama, kasih Firdaus kepadanya semakin jelas. Sehingga dia sukar mengatakan bahawa Firdaus itu bukan anak kandungnya.
“Abah gembira di sini. Abah ada Fir dan Zurie. Abah ada cucu-cucu abah.”
“Tapi abah tak ada Muhayat. Abah jangan berpura-pura dengan Fir. Fir tak kisah kalau abah nak tinggal di sana dengan dia,” balas Firdaus lagi.
Kamaruzaman diam.  Benarkah dia rindukan Muhayat?
“Fir, Muhayat sendiri tak rindukan abah. Dia tak gembira pun bertemu abah. Pertemuan kami berlaku kerana terpaksa. Abah tak salahkan dia. Begitu lama kami terpisah. Ia seperti sebuah mimpi ngeri,” kata Kamaruzaman perlahan.
“Sebab itu Fir rasa abah kena ke sana. Abah kena dekatkan diri dengannya. Kemesraan mungkin akan muncul  selepas abah dan dia tinggal sebumbung. Pergilah abah… Fir ikhlas.”
Kamaruzaman mengeluh berat. Bolehlah dia tinggal sebumbung dengan Muhayat sedangkan dalam hati Muhayat tidak pernah ada titik kasih untuknya.
“Nantilah abah fikirkan.”
“Abah nak fikirkan apa lagi? Abah tak boleh biarkan Muhayat terus keliru. Inilah masanya abah tambat hati dia.”
Ungkapan kata-kata Firdaus itu didengarnya sangat indah. Namun Kamaruzaman rasa ia tidak seindah kenyataan yang bakal ditempuhinya.

“Fir, kita kena berfikir lebih jauh dari itu. Muhayat tinggal bersama keluarganya dengan bahagia. Abah tak nak dianggap cuba merosakkan hubungan yang sekian lama terjalin. Lagipun, itukan rumah Ahmad Adham. Mana boleh abah pergi tinggal serumah dengan bekas isteri abah. Lainlah kalau mereka yang menjemput.”
Firdaus diam berfikir. Memang apa yang dikatakan oleh Kamaruzaman itu benar. Mungkin akan menjadi satu fitnah pula nanti. 

***

AHMAD ADHAM semakin bertambah sihat. Dia semakin rajin bangun sendiri dan melakukan latihan-latihan ringan selain latihan fisioterapi yang telah dijadualkan oleh doktor. Suasana bahagia di sekitarnya, dengan kasih sayang yang melimpah ruah dari anak isterinya membuatkan dia lebih bersemangat. Dia ingin segera pulih seperti biasa.
“Syid nampak abah dah semakin sihat,” kata Mursyid ketika membantu Ahmad Adham bertatih di halaman rumah.
“Abah nak cepat berjalan dan bergerak sendiri. Abah tak nak susahkan ibu lagi. Dah lama ibu jaga abah. Kalau boleh abah nak beri dia pelepasan tugas,” balas Ahmad Adham pula.
“Pelepasan tugas?” Mursyid terpinga-pinga keliru.
Ahmad Adham tidak terus menjawab. Sebaliknya dia tersenyum-senyum. Kemungkinan  dia akan pulih seperti sedia kala adalah amat besar. Itu kata doktor. Teori kedoktoran telah mengesahkan bahawa dia hanya mengalami lumpuh sementara. Dia sendiri perlu berjuang untuk diri sendiri.  Dia kena kuat melawan penyakitnya.

Dia terbayangkan hidup masa lalu  ketika kakinya mampu melangkah sendiri. Dia dapat melakukan semua aktiviti  tanpa menyusahkan Kartina. Mereka berdua dapat menghabiskan masa berjalan-jalan dan bersiar bersama.
“Kenapa abang senyum-senyum ni?” Kartina yang muncul dengan sedulang minuman sempat menjeling ke arah Ahmad Adham.
“Abang terkenangkan Puteri Lindungan Bulan. Bila dia tak ada, dunia jadi gelap. Bila dia muncul alam cerah ceria,” jawab Ahmad Adham sambil mengenyitkan mata kepada Kartina.
Kartina ketawa perlahan. Dia faham maksud kata-kata Ahmad Adham itu.
“Syid suka tengok abah dan ibu. Sejak dulu suka bercengkerama seperti cerita bangsawan. Agaknya dulu masa muda, abah dan ibu ni pelakon bangsawan ke?” tanya Mursyid dengan wajah girang.
Kata-kata Mursyid membuatkan Ahmad Adham ketawa berdekah-dekah.
“Jemput santap kekandaku Raja Siputar Alam. Adinda dah siapkan juadah kegemaran kekanda, jemput-jemput udang dengan kopi O panas,” kata Kartina pula dengan gayanya sekali. Mursyid ketawa lagi. Ahmad Adham juga. Berderai-derai ketawa mereka.
“Cerianya suasana di sini. Apa juga yang diketawakan itu hingga dari dalam bilik Hayat dengar suara ketawa abah dan Mursyid,” kata Muhayat terjongol di muka pintu.
“Oh kekandaku Raja Muhayat Al-Hikayat, ke marilah kanda kita bersantapan jemput-jemput udang dengan kopi O,” kata Mursyid sambil bangun dan mempersilakan dengan penuh hormat takzim.

Muhayat terlopong. Dia meneliti wajah ketiga-tiga mereka dengan wajah keliru.
“Apa lagi yang anakanda tunggu di situ. Ke marilah. Mari duduk di sebelah ayahanda. Mari nikmati juadah buatan bondamu Sang Ratu Puteri Lindungan Bulan,” kata Ahmad Adham sambil menghulurkan tangan ke arah Muhayat.
Muhayat masih kebingungan. Setapak pun dia tidak bergerak dari situ. Langkahnya tiba-tiba berat dan tidak terangkat dari tempat dia berpijak.    
“Tidak sudikah anakanda merasa juadah buatan bonda ini?” tanya Kartina, masih tersenyum-senyum.
“Anakandaku Muhayat, cepatlah ke mari!” sergah Ahmad Adham. Muhayat melangkah mendekat. Namun dia masih bingung. Kartina menuangkan kopi O ke dalam cawan dan menghulurkan kepada Ahmad Adham, Muhayat dan Mursyid.
“Silakan santap, aduhai kekanda dan anakandaku berdua. Janganlah berlengah lagi kelak sejuk juadah ini,” kata Kartina.
“Ibu, dahlah. Apa ni? Pening Hayat nak fikirkan apa yang terjadi di sini..” kata Muhayat. Ketawa mereka pecah berderai. Wajah bingung Muhayat akhirnya menjadi bahan ketawa mereka.
“Abah belum jawab soalan Syid,” kata Mursyid selepas ketawanya usai.
“Mengenai apa?”
“Pelepasan tugas?”

Ahmad Adham menoleh kepada Kartina. Wajah itu direnungnya. Hatinya bercambah kasih. Jiwanya berantai sayang. Kemudian rasa belas pula menyelinap seluruh nubari. Sejak beberapa bulan dia terlantar, Kartina bertugas siang dan malam. Tidurnya tidak menentu. Rehatnya selalu dicatu.
“Kalau abah dah baik, biarlah ibu bercuti dari menjalankan tugas-tugas di rumah ini. Biarlah ibu duduk goyang kaki. Biar ibu bersenang lenang melakukan perkara-perkara yang disukainya tanpa dihalang oleh kerja-kerja rumah,” kata Ahmad Adham. Matanya masih tidak lepas dari merenung Kartina.
“Habis, abah nak bibik buat semua kerja termasuk memandikan abah?” Mursyid tersenyum-senyum.
“Abah akan buat sendiri. Abah akan masak untuk ibu. Abah akan mandikan ibu. Abah akan siapkan pakaian ibu.”
“Ish! Jangan merepeklah bang,” sanggah Kartina pula. Namun bibirnya menguntum senyuman.
“Abang tak merepek. Itu yang abang nak buat kalau abang dah baik nanti. Dah lama Tina buat semua ni. Sekali ni biar abang pula yang buat,” balas Ahmad Adham.
“Habis, Tina nak buat apa?”
“Tina duduk goyang kaki. Tina jadi permaisuri yang memerintah negeri.” Ahmad Adham berkata dengan wajah serius. Kartina ikut menatap mata Ahmad Adham. Mereka bertentang mata. Mereka saling berbalas rasa.
“Bila mata bertentang mata, cinta melata ke seluruh jiwa,” kata Mursyid bersajak.

“Cinta kanda hanya untuk adinda. Kekanda pula jantung hati adinda. Dinda ibarat bulan purnama yang menerangi ketika malam kelam. Kalau adinda menjadi bunga, biarlah kanda menjadi tangkainya. Jikalau adinda menjadi cincin biarlah kanda menjadi jarinya.” Tiba-tiba  Muhayat menyambung dengan ketawa.
“Ha! Ha! Ha! Pandai juga Abang Hayat berseloka ya!” Mursyid ikut ketawa.
Ketika itu Ahmad Adham dan Kartina ikut tersenyum.
Alangkah manisnya cinta.  Walaupun sudah sekian lama mereka hidup bersama namun sekalipun cinta itu tidak pernah surut dari hati masing-masing.





No comments:

Post a Comment