AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 4 June 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 12 - Karya ROHANI DERAMAN.



P
enerbangan ke Sydney dengan pesawat Air Asia D7220 berlepas dengan selamat. Ahmad Adham begitu ceria duduk di tengah-tengah antara Kartina dan Kamaruzaman. Memang dia sangat gembira. Sudah lama dia tidak makan angin. Betul kata Muhayat. Dia perlu keluar dari bilik untuk memberi kesegaran kepada jantung.
“Kenapa awak berdua pilih Australia?” tanya  Kamaruzaman.
“Panjang kisahnya. Dulu, semasa muda adinda manis ni pernah mengidam nak makan kanggaroo. Ish! Saya masa tu sangat sibuk kerana perniagaan tengah naik. Tak sempat nak bawa dia. Nasib baik anak kami tak meleleh air liur,” jawab Ahmad Adham dengan ketawa.
Kamaruzaman dan Kartina ikut ketawa.

“Jadi, sekarang kita nak ke kandang kanggaroo tu?”
“Taklah. Cukup kita ronda di kawasan bandar saja. Kata Muhayat, tempat tu jauh lagi dari Sydney. Kaki saya ni baru nak baik. Bimbang pula nak bawa berjalan jauh-jauh.”
“Terima kasih kerana ajak saya ikut serta makan angin sejauh ni.”
“Ini idea anak awak juga. Muhayat yang minta kami bawa awak, Man.” Ahmad Adham sengaja berbohong. Dia berpaling kepada Kartina, minta persetujuan untuk cerita bohongnya itu. Dia berniat baik. Dia mahu hubungan anak dan ayah itu menjadi lebih akrab.
Kamaruzaman tunduk. Hatinya bergetar ketika mendengar nama Muhayat. Namun, hatinya cuak dengan cerita Ahmad Adham. Kalau benar Muhayat yang syorkan idea itu, dia tentu senyum gembira ketika di KLIA tadi. Tetapi wajah Muhayat masam. Dia bersalam dan memeluknya dengan hambar. Langsung tidak senyum.
Sepanjang perjalanan mereka berdua begitu gembira berbual dan bercerita mengenai masa muda. Bermacam pengalaman dan kisah dikeluarkan. Kartina hanya menjadi pendengar. Sekali sekala dia tersenggut-senggut, mengantuk.
Mereka menginap di Aspire Hotel di tengah-tengah bandar Sydney. Muhayat menempah dua bilik yang agak eksklusif dan mewah. Jadual perjalanan ke destinasi-destinasi tertentu juga diatur rapi.
“Nah, ini bilik awak. Selesa kan? Anak kita memang teliti orangnya. Saya bangga jadi ayah dia,” kata Ahmad Adham ketika menghantar Kamaruzaman ke biliknya. Matanya bercahaya girang.
Kamaruzaman tumpang bangga. Dia hanya tersenyum nipis.

“Awak pun patut bangga. Dia menjadi anak yang baik,” kata Ahmad Adham kepada Kamaruzaman.
“Terima kasih atas jasa awak membesarkan dia. Ternyata awak berjaya mendidik dia menjadi insan mulia. Semulia ibunya,” balas Kamaruzaman sambil menjeling ke arah Kartina.
“Sebenarnya benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Jatuh  ke darat menjadi bukit,” balas Ahmad Adham, tersenyum dan menepuk-nepuk belakang tangan Kamaruzaman.
Awalnya Kamaruzaman terbuai bangga dengan kata-kata itu. Namun, hanya sebentar. Lepas itu dia teringat siapa dirinya yang sebenarnya. Dia bukan dari baka yang baik. Kerana dia, hidup Kartina pernah menderita. Kerana dia, Muhayat dibesarkan oleh orang lain. Banyak kejadian sedih berlaku kerana dia.
“Tina masuk bilik dulu ya.” Kartina berjalan ke arah bilik sebelah. Dia tahu apa yang sedang berlegar dalam fikiran Kamaruzaman ketika itu. Namun dalam hatinya dia tidak menyalahkan Kamaruzaman untuk apa yang terjadi. Semuanya ketentuan Illahi.
“Apa yang mengganggu fikiran awak ni?” Ahmad Adham menepuk bahu Kamaruzaman selepas Kartina tiada.
“Tak ada apa. Saya cuma rasa Muhayat sangat beruntung kerana ada ayah macam awak dan ada ibu macam Tina. Terima kasih sekali lagi, Adham. Saya terhutang budi pada awak,” balas Kamaruzaman, jujur.
Ahmad Adham hanya membalas kata-kata itu dengan senyuman.
“Awak berehatlah dulu. Malam nanti kita keluar makan malam,” kata Ahmad Adham.
“Kita nak makan kat mana? Ada ke restoren halal kat sini?”

“Jangan bimbang, saya dah dapatkan senarai nama-nama restoren dan tempat makan yang halal di Sydney ni,” balas Ahmad Adham.
“Daripada mana awak dapat senarai itu?” tanya Kamaruzaman, hairan.
“Muhayat yang buat carian di internet. Dia berikan senarai nama restoren dan nama jalan yang ada restoren halal. Tak usah bimbang, anak kita itu cekap!” Wajah Ahmad Adham semakin ceria dan bangga.   
Kamaruzaman angguk. Dia ikut senang hati melihat keceriaan di wajah Ahmad Adham.
Ahmad Adham berlalu.
Kamaruzaman berdiri di tepi tingkap. Dari situ dia melihat kesibukan kota besar Sydney. Dia tidak pernah terbayang akan ke situ.
“Maafkan Fir kerana tak mampu nak hantar abah makan angin. Sekarang, abah pergilah sementara ada peluang. Mujur ada Muhayat...”
Dia teringat kata-kata Firdaus semasa menghantarnya di stesen bas.
“Fir, jangan cakap macam tu, Abah dah bahagia dengan kasih sayang Fir selama ini,” ucapnya sambil memeluk Firdaus. Sebelum ini memang Firdaus adalah nyawanya walaupun dia tahu Firdaus bukan dari benihnya. Kini selepas dia tahu mengenai Muhayat, kasih dan perasaannya tidak berubah terhadap Firdaus.
Malam itu, selepas solat isyak mereka ke Anzac Parade yang terkenal dengan nama Halal Food Square. Di situ terdapat beberapa buah restoren yang menjual makanan halal.

“Wah, tengok ada Restoren Indo Rasa Kings. Ini mesti masakan Indonesia. Jom kita rasa. Mungkin ada masakan Padang. Dah lama saya tak rasa,” kata Ahmad Adham.
“Sejak bila pulak abang suka makan masakan Padang. Setahu Tina, abang hanya suka masakan Johor,” balas Kartina.
“Sejak abang datang ke sini.” Ahmad Adham ketawa. Kartina mencubit bahunya dengan manja. Hati Kamaruzaman rasa terhibur dan tumpang bahagia melihat pasangan suami isteri yang sentiasa mesra itu.
Lepas makan malam, mereka berjalan-jalan di sekitar tempat itu. Sekadar menghabiskan masa dan melihat-lihat kedai yang menjual beraneka barangan.

SUDAH seminggu mereka di Sydney. Setiap hari mereka berjalan dan melihat tempat-tempat menarik di sekitar bandar itu. Mereka sudah belayar menyelusuri Pelabuhan Sdyney. Mereka sudah merayau-rayau di gedung-gedung membeli belah yang terkenal di Oxford Street. Juga berjalan dengan santai di sepanjang Queen Victoria Building. Mereka juga sudah melihat-lihat di Strand Arcade yang tersohor itu.
Kartina dan Ahmad Adham sudah membelikan bermacam-macam hadiah dan buah tangan untuk dibawa pulang. Kamaruzaman juga begitu. Untuk Firdaus sekeluarga semuanya sudah dibelikan ole-ole. Yang belum dibelikan hanya kepada Muhayat.
“Tina, abang nak belikan Muhayat barang. Tapi abang tak tahu apa yang dia suka. Tina boleh tolong belikan untuk abang?” kata Kamaruzaman sambil menghulurkan duit.

“Abang simpan duit abang tu. Biar Tina belikan.”
“Mana boleh. Abang nak beli dengan duit abang sendiri. Sejak dia lahir, tak pernah abang belikan apa-apa. Berilah abang peluang,” kata Kamaruzaman dengan penuh harap.
Kartina melihat wajah Kamaruzaman dengan belas. Lalu dia menerima wang yang dihulurkan dengan senyuman.                                                               
Akhirnya sementara menunggu hari berangkat balik, mereka tidak mahu ke mana-mana lagi. Mereka hanya bersantai di Pantai Sydney yang cantik dengan begitu banyak telok yang berkelok.
Pagi itu selesai mengerjakan solat subuh, Kartina menyambung tidurnya. Kakinya rasa sakit dan lenguh.
“Tina tak nak keluar? Jom kita berjalan-jalan di pantai,” ajak Ahmad Adham.
“Bang, Tina minta maaf. Pagi ni Tina rasa penat sangat. Kakinya masih lenguh dan kebas,” kata Kartina dengan lemah.
“Kalau macam tu, Tina makan ubat dan berehatlah. Biar abang dan Zaman keluar ya.”
“Baik-baik jaga diri ya bang.”
“Jangan bimbang. Abang ada pengawal peribadi yang setia,” jawab Ahmad Adham dengan senyum. Dia menyelimuti kaki Kartina dan mencium dahinya sebelum mencapai kunci bilik dan melangkah keluar.
“Tina mana?” tanya Kamaruzaman yang sudah menunggu di lobi.
“Dia penat. Katanya nak berehat. Biarlah. Kita berdua sahaja yang berjalan-jalan setakat  kaki kita ni boleh tahan. Kalau dah tak tahan, kita berehatlah.”
Kamaruzaman angguk. Mereka berjalan menyelusuri pantai. Kemudian ketika mereka rasa sedikit lelah, mereka duduk di atas pasir yang putih sambil merenung ombak.
“Bolehkah saya minta sesuatu dari awak, Zaman?” tanya Ahmad Adham selepas lama membiarkan suasana sepi. Desir angin yang menolak ombak menerjah telinga mereka dengan gemersik. 
“Katakanlah. Apa sahaja, akan saya tunaikan,” kata Kamaruzaman dengan senyum.  Ahmad Adham menguis-nguis pasir dengan hujung kakinya. Dia mencari-cari ayat dan perkataan yang sesuai untuk diluahkan. Sementara Kamaruzaman pula menunggu dengan sabar dan tenang sambil matanya merenung jauh ke tengah lautan yang membiru.
Lama menyepi, tiba-tiba Ahmad Adham menarik nafas dan membetulkan duduknya. Dia kelihatan gelisah dan teragak-agak. Dia seperti sangsi dengan apa yang ingin diucapkannya.
“Apa yang susah sangat ni? Katakanlah.” Kamaruzaman menepuk belakang Ahmad Adham dengan ketawa. Dia cuba mengikis kegelisahan yang sedang ditanggung oleh sahabatnya itu.
“Zaman, kalau apa-apa terjadi kepada saya, mahukah awak jaga Tina untuk saya. Maksud saya, mahukah awak kahwin semula dengan dia dan berikan dia kebahagiaan,” kata Ahmad Adham dengan suara perlahan dan hampir sahaja tidak kedengaran.

Kamaruzaman tersentak. Dia segera menoleh dan menatap tajam akan wajah Ahmad Adham. Dia tidak menyangka akan mendengar kata-kata itu dari rekahan bibir lelaki yang dihormatinya itu. Apa yang diminta itu dirasakan amat tidak masuk akal.
“Adham! Awak cakap apa ni?” Kamaruzaman meninggikan suara. 
“Saya tahu awak keberatan. Tina juga mesti tidak suka saya sebut ini. Tapi ini adalah antara kita berdua. Saya tahu awak cinta pertama Tina. Dan saya tahu awak masih rindukan dia. Dan saya pula semakin uzur.”
“Adham! Tolong jangan merepek dan merapu! Apa sebenarnya yang awak nak dari saya. Adakah awak nak saya jauhkan diri dari Tina?” Kamaruzaman berubah wajah.
“Zaman, maafkan saya. Bukan itu niat saya. Saya cuma tak nak hidup Tina sepi selepas saya tiada. Saya nak dia terus nikmati hidup walaupun tanpa saya.” Ahmad Adham memegang lengan Kamaruzaman.
Kamaruzaman ketawa, memperli.
“Kenapa awak ketawa ni?”
“Adakah awak yakin, awak yang mati dulu? Adakah awak rasa awak ni handal sangat untuk membaca takdir ALLAH?”
Ahmad Adham terdiam.
“Saya tak mahu awak racuni fikiran awak dengan perkara yang bukan-bukan. Saya juga tak suka awak nodai rasa hormat saya terhadap awak.”
“Tapi seandainya saya mati dulu, tolonglah jaga Tina untuk saya,” kata Ahmad Adham lagi. Kali ini dia menarik tangan Kamaruzaman dan menggenggamnya kuat.

Dada Kamaruzaman berombak kencang. Dia menutup mata. Bibirnya diketap, menahan rasa marah yang menerpa diri.
“Zaman, hanya awak yang saya percaya sebab awak pernah hidup dengan dia. Awak pernah menyayangi dia. Tolonglah...” rayu Ahmad Adham.
“Tina orang yang baik. Dia ada anak-anak yang baik. Dia akan dijaga dan ALLAH akan sentiasa melindunginya. Saya tak layak untuk terima amanah awak. Dia pernah saya lukai dan saya tak akan ulangi lagi kesakitannya,” jawab Kamaruzaman tanpa menoleh.
Ahmad Adham terdiam. Dia tahu Kamaruzaman marah. Wajah lelaki itu tiba-tiba dilihat berubah rona.
“Saya amat berharap kalau awak percayakan saya. Tapi kalau ini yang awak minta, saya rasa awak sengaja mencari jalan untuk memutuskan hubungan kita. Awak bawa saya sejauh ini, hanya kerana nak beri amaran kepada saya agar jauhkan diri dari awak dan Tina?”
“Zaman, jangan cakap macam tu. Saya langsung tak berniat begitu. Saya tahu awak ikhlas. Dan saya pun ikhlas dengan awak. Awak ayah kandung Muhayat. Saya ayah yang membelanya. Dia anak kita.”
“Itu saya tahu. Sebab itu saya hormatkan awak. Saya tak pernah terfikir kalau awak boleh berfikir sejauh itu. Saya kesal Adham.”
Ahmad Adham rasa bersalah. Dia sedar, tanpa sengaja dia sudah membuat Kamaruzaman berkecil hati. Dengan cepat dia menarik tangan Kamaruzaman.

“Zaman, maafkan saya. Saya langsung tak berniat serong. Baiklah. Lupakan semua yang saya cakap tadi. Anggap saya tak pernah cakap apa-apa. Maafkan saya. Saya nak kita tetap jadi sahabat sampai bila-bila,” kata Ahmad Adham, menggenggam erat tangan.
Mata Kamaruzaman basah. Dia terharu dengan genggaman ikhlas Ahmad Adham. Biarpun baru mengenali lelaki itu, namun dia amat kagum dengan hati budinya.
“Dah, marilah kita balik. Dah lama kita merayap di sini. Nanti kalau lambat kita bersarapan, masuk angin pula perut kita.” Ahmad Adham cuba melonggarkan ketegangan yang sedang mengikat diri Kamaruzaman.
Dengan langkah perlahan, mereka berjalan balik ke bilik hotel.
“Ke mana dua hero Malaya ni berkelana pagi-pagi ni?” Kartina menegur ketika membuka pintu.
“Kami ambil udara pagi. Sebelum balik ke Malaysia, kami nak sedut angin Sydney ni puas-puas. Lepas ni mungkin kita tak akan sampai ke sini lagi,” jawab Kamaruzaman dengan senyum mesra.
“Benar tu Tina. Eh, kaki Tina dah okey ke? Tadi kata sakit kaki,” kata Ahmad Adham pula.
“Dah bang. Lenguhnya dah hilang. Tina sapu minyak panas. Adui, dah tua agaknya Tina ni. Jalan sikit saja, lenguhnya sepanjang malam,” balas Kartina.
Ahmad Adham dan Kamaruzaman saling berpandangan. Kemudian mereka tersenyum-senyum. Kartina semakin hairan. Dia membelek keadaan dirinya. Rasanya tidak ada yang aneh mengenai pakaiannya.
“Kenapa ni? Kenapa abang berdua ni tersenyum ni?”

“Saja,” jawab mereka serentak.
“Mesti ada yang tak kena. Cakaplah.” Kartina mencubit bahu Ahmad Adham. Dengan ketawa pula, Ahmad Adham menjerit. Kamaruzaman melihat suasana mesra suami isteri itu dengan hati yang sangat senang.
“Kami rasa kelakar bila Tina kata dah tua. Abang tak rasa pun Tina ni dah tua. Tina tetap muda remaja di mata abang,” kata Ahmad Adham. Kali ini giliran Kartina pula ketawa.
“Kenapa Tina ketawa? Tak percaya?” tanya Ahmad Adham.
“Nak percaya macam mana? Dah tentu abang ni bermimpi di siang hari. Wajah Tina yang berkedut ni dikatakan muda remaja. Nak bohong pun agak-agaklah bang!”
Akhirnya mereka bertiga ketawa santai. Suasana begitu mesra. Ahmad Adham dan Kamaruzaman sudah saling berjanji untuk menjadi sahabat dunia dan akhirat. Kartina tidak akan dijadikan taruhan kasih dan cinta mereka.
“Jom kita bersarapan. Abang laparlah,” kata Ahmad Adham.
“Nak makan apa pagi ni?” tanya Kartina pula.
“Nasi lemak di Restoren Hah Sedap di Oxford Street tu sedap sangat. Kita ke sana. Lepas bersarapan, kita boleh melepak sekejap,” jawab Ahmad Adham.
“Abang nak makan apa pula?” tanya Kartina kepada Kamaruzaman.
“Abang ikut saja. Asalkan kenyang, abang tak kisah.”
“Kalau macam tu, marilah. Perut Tina pun dah berkeroncong dari tadi.”
Kartina mengunci pintu dan mengekori Ahmad Adham dan Kamaruzaman. Mereka berjalan beriringan tanpa hati curiga dan ragu-ragu.








No comments:

Post a Comment