AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 7 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 14 - Karya ROHANI DERAMAN





M
alam itu makan malam yang paling indah dan manis buat Muhayat dan Asyikin. Malam itu telah terukir sebuah janji untuk hidup bersama.
Setelah bertahun-tahun bercinta, akhirnya malam itu mereka mengambil kata sepakat untuk mengakhiri hubungan mereka dengan perkahwinan. Mereka rasa sudah bersedia. Dalam samar api lilin di Cendana Coffee House, Muhayat menyuarakan hasrat menjadikan Asyikin sebagai suri rumahnya.
“Ikin, sudikah awak jadi isteri saya?”
“Kalau awak sudi jadi suami saya, kecil tapak tangan dulang saya tadahkan,” jawab Asyikin dengan ketawa riang.

“Saya akan segera uruskan majlis pertunangan,” kata Muhayat dengan senyum senang.
“Saya akan tunggu awak dengan sabar. Tapi, kalau boleh kita tak payah nak bertunang lama-lama,” balas Asyikin.
“Kenapa?” Muhayat tersenyum, menduga.
“Kita bukan remaja lagi. Kita dah ketinggalan keretapi.”
“Awak dah tak sabar nak jadi isteri saya atau awak dah tak sabar nak jadi ibu?” gurau Muhayat dengan ketawa santai. Asyikin mencubit lengan Muhayat. Suasana malam itu lebih indah dari pertemuan mereka yang sebelumnya.
Malam itu Muhayat pulang membawa hasrat dan hajat yang besar untuk dipersembahkan kepada keluarganya. Sepanjang jalan, dia sudah mereka-reka ayat yang akan diucapkan. Hatinya sangat gembira kerana akhirnya dia dan Asyikin akan bersatu juga.
Ketika dia sampai, rumah itu sudah gelap. Lampu di bilik atas juga sudah malap. Yang ada hanya cahaya lampu tidur. Ibu dan abahnya tentu sudah tidur.
Dia membuka pintu dengan perlahan. Ketika dia berjalan masuk, dia lihat cahaya lampu dari bilik tetamu masih menyala. Dia berjingkit berjalan ke arah bilik itu. Namun, sebelum sempat dia sampai ke muka pintu, susuk tubuh ibunya keluar dari situ.
Hatinya berderau. Dia mengintai. Dengan jelas matanya melihat ibunya keluar dari bilik itu. Kemudian dia berdiri di pintu dan merenung ke dalam dengan pandangan berat sebelum menutup pintu bilik itu.

Ibunya berjalan naik ke bilik tidurnya di tingkat atas dengan langkah perlahan. Hati Muhayat cuak. ‘Apa yang dia buat di bilik itu malam-malam macam ni?’
Sepanjang malam itu dia gelisah. Berbagai tohmahan keji menerjah hatinya. Akhirnya dia tertidur dalam kemarahan dan geram!

KEESOKAN paginya, Muhayat duduk di meja makan dengan muka masam. Matanya tidak berani menoleh ke arah Kartina kerana hatinya penuh dengan rasa marah dan curiga.
“Hayat, Abah Zaman demam. Boleh tak Hayat bawakan dia ke klinik,” kata Kartina sambil menuangkan minuman ke dalam cawan yang ada di hadapan Muhayat.
“Hari ni Hayat ada banyak kerja nak buat di ofis, bu. Ibu je yang bawakan,” jawab Muhayat  tanpa mengangkat muka dan melihat ke arah Kartina. Hatinya masih dihantui peristiwa malam tadi. Dia rasa keji dan malu untuk bertentang mata dengan ibunya.
“Apa kena dengan Hayat ni? Kenapa masam saja ni? Bergaduh dengan Asyikin ke?”  tanya Kartina, cuba menduga.
“Tak baik nak gaduh-gaduh. Hal kecil selesaikan dengan baik,” celah Ahmad Adham pula.
Muhayat mengunyah tanpa reaksi.
“Tina dah berikan sarapan dan ubat untuk Zaman?” tanya Ahmad Adham selepas lama keadaan senyap.

“Dah bang. Dia tak selera. Hanya minum air sikit dan makan ubat.”
“Ubat-ubat untuk jantung dia tu, Tina dah berikan?”
“Dah. Tu yang dia tidur tu.”
“Tak apalah kalau Hayat tak sempat sempat. Nanti tengah hari sikit, Tina saja yang bawa. Mursyid pun tak ada. Biar dia yang temankan,” balas Ahmad Adham sambil mengunyah makanan yang ada dalam mulutnya.
Hati Muhayat bergetar. Mulutnya rasa ringan untuk bercakap. Dia rasa kurang senang dengan sikap tulus abahnya dan sikap curang ibunya. Namun, mulutnya terlalu berat.
“Hayat pergi dulu abah, ibu.” Muhayat bangun dari kerusi. Tidak sanggup dia berlama-lama lagi dengan sendiwara cinta tiga segi itu.
“Pergilah jengah Abah Zaman tu dulu sebelum pergi kerja. Tanya keadaannya tu,”  suruh Ahmad Adham.
“Hayat dah lambat ni abah,” balas Hayat sambil melangkah pergi.
 “Apa kena anak kita tu Tina? Pagi-pagi dah masam macam tu.”
“Entahlah bang. Ditanya pun bukannya nak jawap,” kata Kartina dengan sebuah keluhan.
Muhayat pula memandu dengan fikiran yang sangat terganggu. Sebenarnya hari itu, dia tidak ada apa-apa agenda penting dan tidak ada kesibukan seperti yang didakwa. Cuma dia sedang melayan fikiran yang sedang keliru. Apa yang dilihatnya malam itu menjadi igauan ngeri dalam tidur siang dan malamnya. Setiap hari dia resah gelisah. 

Sebenarnya sejak Kamaruzaman tinggal bersama mereka, hatinya sering terasa cuak dan curiga. Pergaulan ibu dan ayah kandungnya itu sangat disangsikan.
“Apa yang aku bimbangkan dah berlaku. Memang kurang ajar orang tua tu. Dah diberi susu dia membalas dengan tuba!” Muhayat melepaskan geramnya.
Dia menelefon Asyikin dan menunda hajat hendak ke pejabat. Dia perlu melepaskan kesakitan yang sedang ditanggungnya.
“Apa yang mengganggu fikiran awak ni? Saya lihat awak tak ceria pagi ni. Kalau ada masalah, boleh kongsi dengan saya. Jangan nak tanggung sendiri,” tegur Asyikin ketika sampai di restoren tempat Muhayat menunggunya.
“Entahlah Ikin. Saya semakin geram dengan orang tua tu,” kata Muhayat.
“Orang tua mana? Abah kandung awak tu?”
Muhayat angguk. Straw minuman dikuis-kuis dan ais yang ada dalam minuman itu bergerak perlahan. Dia memerhati pergerakan ais itu dengan pandangan kosong.
“Kenapa dengan dia?” Asyikin ikut curiga dengan anggukan dan wajah muram kekasih hatinya.
Sekali lagi Muhayat mengeluh. Kali ini, ia amat berat dan mendesah.
“Sepatutnya awak gembira kerana di saat kita akan kahwin awak ada dua abah. Hidup awak lebih bermakna dan kegembiraan bertambah-tambah.”
“Sepatutnya begitu. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya.”

“Awak buat saya semakin keliru. Apa yang terjadi ni?” Asyikin merenung wajah Muhayat. Dia tahu Muhayat sedang berdepan dengan masalah. Selama beberapa tahun mengenali Muhayat, dia faham benar akan sikapnya.
Lalu dengan segala berat hati, Muhayat menceritakan segala resah hatinya termasuk apa yang dilihatnya.
“Awak mungkin salah sangka. Tak baik menaruh syak kepada mereka. Awak juga yang kata mereka tu sangat rapat,” kata Asyikin selepas mendengar semuanya.
“Takkan rapat sampai boleh masuk ke bilik tidur bekas suaminya?”
“Hayat! Orang yang awak syak itu ibu awak. Sanggup awak anggap dia berlaku sumbang begitu?”
“Sebab saya melihatnya dengan mata saya sendiri. Saya bukan dengar fitnah orang.”
Asyikin mengeluh. Dia sudah lama mengenali emaknya Muhayat. Selain lemah lembut dia juga seorang yang beriman. Tidak mungkin hal yang difikirkan Muhayat itu sanggup dilakukannya.
“Ikin, awak boleh cakap apapun sebab awak tak berada di tempat saya. Saya ni, tinggal serumah dan melihat kelakuan mereka setiap hari,” kata Muhayat, cuba membuat Asyikin yakin.
Namun, hati Asyikin tetap menidakkannya. Dia tidak mampu menerima cerita itu begitu sahaja tanpa tahu kebenarannya.
“Macam nilah, apa kata awak bersemuka dengan mereka. Itu lebih baik daripada awak hidup dalam syak wasangka macam ni.”

Muhayat diam berfikir. Mampukah dia berdepan dengan Kartina, Ahmad Adham dan lelaki itu?
“Jangan sampai ibu awak berkecil hati dengan awak. Jangan sampai yang keruh akan bertambah keruh,” sambung Asyikin lagi.
“Tengoklah nanti,” kata Muhayat perlahan. Dia berjanji pada dirinya yang dia akan kuatkan hati untuk bersemuka dengan ibunya.
“Kalau awak tak berani, biar saya temankan.”
“Ish, janganlah. Nanti apa ibu saya kata pulak. Saya akan selesaikan sendiri masalah ini. Lepas tu, saya akan selesaikan hal kita.”
“Jadi, awak belum beritahu keluarga awak tentang rancangan kita?” tanya Asyikin.
Geleng.
“Saya serabut dan tak sanggup nak berdepan dengan ibu. Saya kena bersihkan hati saya ni dulu. Saya harap awak sabar ya,” balas Muhayat sambil menarik tangan Asyikin dan menggenggamnya.
Asykin angguk dengan lirikan senyum senang.








   


No comments:

Post a Comment