AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 11 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 18- karya ROHANI DERAMAN




Kata putus telah dibuat. Kamaruzaman akan pulang ke Johor Bahru. Firdaus juga sudah dihubungi menyatakan hajatnya itu. Namun dia tidak memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.
            “Fir  di sini sentiasa tunggu abah balik.” Itu kata Firdaus. Itu kata anak yang bukan dari benihnya!
            Kamaruzaman berangkat pulang tanpa kata maaf dari Muhayat. Malah bayangnya pun tidak nampak ketika Kamaruzaman meninggalkan halaman rumah itu.
            “Tina, tolong jangan bencikan dia. Tolong sayang dia seperti mana Tina sayangkan dia sebelum abang hadir di sini,” kata Kamaruzaman kepada Kartina.
            “Adham, saya harap awak tak benci dia. Awaklah yang lebih berhak terhadapnya. Tolong berikan kasih sayang awak pada dia. Dia perlukan kasih sayang dan perhatian awak. Saya minta maaf ... ” Kamaruzaman tidak mampu meneruskan kata-katanya. Dengan segera dia masuk ke dalam kereta yang sudah siap menunggu.
            Dia menoleh, mencari-cari susuk tubuh dan wajah Muhayat.  Namun bayangnya tetap tiada.
            ‘Selamat tinggal anakku. Maafkan ayahmu yang serba daif  ini. Kalau panjang umur, kita jumpa lagi. Kalau ALLAH tak izinkan kita jumpa, abah dah ampunkan semua perbuatan dan kata-katamu. Tinggallah anakku... hiduplah dengan aman ...’ bisik Kamaruzaman dalam hati. Titik-titik air mata menjurai jatuh walau cuba ditahan!
            Mursyid memandu dengan perlahan menuju ke stesen bas. Sepanjang jalan itu tidak sepatah kata yang mampu terucap oleh kedua-duanya. Masing-masing melayan perasaan sayu dan lara.
            “Abah, tolong maafkan abang saya,” kata Mursyid ketika menghantar Kamaruzaman ke pintu bas.
            “Kenapa Syid cakap macam tu? Dia tu anak abah. Walaupun kami baru saja bertemu namun abah sayang dia sepenuh hati,” kata Kamaruzaman dengan senyum terpaksa. Dia menarik tubuh Mursyid dan memeluknya erat. Sungguh tulus kasih sayang Mursyid kepada abangnya Muhayat. Kamaruzaman rasa kagum dengan kasih sayang itu.
“Tolong jaga abang kamu, demi abah,” bisik Kamaruzaman ke telinga Mursyid. Kemudian dia melepaskan pelukannya dan melangkah naik ke dalam bas tanpa menoleh lagi. Dia tidak mahu Mursyid yang baik itu melihat air matanya. Air mata seorang ayah yang tersisih dari kasih anaknya!
          
            Sepanjang jalan, sepicing pun Kamaruzaman tidak tidur. Sekejap pun wajah Muhayat tidak hilang dari pandangan matanya. Dia teringin memeluk anak itu walau hanya sekali. Dia ingin mengatakan sayang kepada Muhayat. Dia ingin Muhayat tahu bahawa walaupun dia tidak menjaga Muhayat, kasih sayangnya tetap ada di sudut nubari.
            Aduhai anak!
           
           
            SUDAH sebulan Kamaruzaman pulang dari Ipoh. Sejak itu dia banyak menghabiskan masanya di bilik bacaan. Dia membaca dan terus membaca. Dia cuba menyibukkan diri. Seolah-olah dia sedang berusaha mengubati luka hatinya dengan cara itu. Apa yang berlaku, langsung tidak diberitahu kepada Firdaus dan Zurie. Dia menyimpan dengan baik dalam hatinya.
            Namun, Firdaus mampu mencium ketidaksempurnaan perasaan Kamaruzaman.
            “Abah, apa yang abah cuba sembunyikan dari kami  sebenarnya.”
            “Kenapa Fir tanya macam tu?”
            “Abah, Fir dah lama hidup dengan abah. Sejak kecil lagi Fir dapat menyelami perasaan abah. Pasti ada yang berlaku di sana hingga abah berkeadaan macam ni.”
            “Fir, abah tak apa-apa. Abah biasa saja.” Kamaruzaman berbohong.
            “Bibir abah boleh berkata dusta tapi mata hati kami tidak akan berkata bohong,” ujar Firdaus.
           
                  
            Kamaruzaman terkedu. Sebenarnya dia bukan hendak berahsia tentang apa yang berlaku di Ipoh. Dia hanya rasa malu dengan aib yang dikatakan oleh Muhayat. Lebih-lebih lagi yang meraguinya adalah anaknya sendiri. Sungguh, dia tidak melakukan aib itu. Demi ALLAH, dia bukan lelaki yang rakus dan tidak berperasaan. Kebaikan Ahmad Adham memang tidak akan sekali-kali dikhianati!
            “Tak apalah kalau abah tak nak cerita. Tapi abah tolong jangan ikutkan perasaan hingga memudaratkan diri sendiri. Fir tak sanggup nak tengok abah dalam keadaan sedih dan muram,” kata Firdaus sambil memeluk tubuh Kamaruzaman dengan ketulusan seorang anak.
            Akhirnya Kamaruzaman berusaha untuk mengubati sendiri luka dan kesedihannya. Rupa-rupanya ia bukan mudah. Kemelaratan jiwanya membuatkan Kamaruzaman semakin lemah dan tidak berdaya. Awalnya dia hanya demam biasa. Namun kemudian demamnya tidak kebah hingga berhari-hari.
            Hal itu membuatkan Firdaus dan Zurie begitu cemas dan bimbang. 
            “Kita kena hantar abah ke hospital. Kita tak boleh biarkan dia dalam keadaan ini, bang,” kata Zurie dengan wajah belas.
            Firdaus setuju dengan usul Zurie. Dia tidak berlengah lagi. Kamaruzaman segera dihantar ke hospital. Dan seperti yang diduga, dia akhirnya ditahan di wad. Keadaannya memang sangat lemah. Tekanan darah sangat rendah. Denyutan jantung sangat lemah.
            “Kita kena beritahu bang. Muhayat itu anak abah juga. Dia nak datang atau tidak, itu bukan urusan kita. Tugas kita ialah menyampaikan berita ini kepada dia,” kata Zurie.
            Sekali lagi Firdaus rasa usul Zurie itu betul dan dia bersetuju. Dengan segera, dia menelefon Ahmad Adham. Semuanya dikhabarkan.
   
            “Bagaimana keadaan dia, Fir?” Suara Ahmad Adham gementar dan panik.
            “Dia sangat lemah. Demamnya tak kebah sejak dua tiga hari ni.”
            Ahmad Adham mendengar dengan gundah. Suara Firdaus sangat menggamit keinginannya untuk segera menziarahi Kamaruzaman.
            “Terima kasih Fir. Insya-ALLAH, kami akan segera ke sana,” kata Ahmad Adham memberi janji. Dengan segera pula perkhabaran itu disampaikan kepada Kartina.
            “Kita mesti segera ke sana, Tina. Abang mesti jumpa Zaman. Kasihan dia.”
            “Tapi, abang sendiri sedang uzur. Bagaimana kita nak ke sana?” tanya Kartina dengan ragu-ragu. Sejak kejadian hari itu, nampaknya bukan hanya Kamaruzaman yang tertekan. Ahmad Adham ikut tertekan. Kartina juga hidup dalam kemurungan.
            “Minta Mursyid hantarkan kita ke Johor. Atau… atau kita cuba ajak Muhayat,” kata Ahmad Adham.
            “Mahukah dia pergi? Benci benar dia kepada abahnya itu,” kata Kartina bernada kesal.
            “Cubalah. Mana tahu dah lembut hatinya.”
            Kartina akur. Dia segera menelefon Muhayat. Tidak salah untuk mencuba walaupun sebenarnya dia sendiri keberatan.
            “Abah Zaman sakit di hospital. Marilah kita pergi JB, menziarahi dia.” Kartina cuba berlembut. Semua rasa sakit selama ini dilupakan seketika.
            “Ibu, Hayat tak boleh pergi. Ada banyak kerja di ofis,” jawab Muhayat, tegas.
          
            “Kerja boleh ditangguh, Hayat. Kita tak tahu urusan ALLAH. Mana tahu masanya dah sampai.”
            “Kalau ibu nak pergi, ibu pergilah dengan abah.”
            “Masalahnya, abah kamu kurang sihat.”
            “Kalau macam tu, buat apa nak paksa diri? Tengok diri kita dulu sebelum nak tengok diri orang lain” Suara Muhayat tiba-tiba meninggi.
            Sakit hati Kartina yang belum sembuh itu, berdenyut-denyut kesakitan. Luka yang masih merah menyembur darahnya. Ia lebih sakit dari biasa. Bisanya meracuni darah yang mengalir dalam tubuh Kartina.
            Tidak apa yang mampu dibuat untuk meredakan kesakitan itu melainkan menangis. Lalu air mata seorang ibu menitis tanpa dapat ditunda lagi. Dengan pantas talian diputuskan. Telinganya tidak sanggup lagi dia mendengar suara Muhayat. Suara yang dahulu menyenangkan halwa telinganya kini menjadi petir yang menyambar dan menyakitkan.
            “Kalau dia tak nak pergi, tak apalah. Tina tak usah nak menangis. Abang lebih hiba tengok air mata Tina,” kata Ahmad Adham sambil mengesat air mata Kartina.
            “Sampai hati dia …” rintih Kartina sambil teresak.
            Ahmad Adham mengerti apa yang sedang ditangisi isterinya. Lalu dia segera menarik tubuh itu ke dalam pelukannya.
            “Kita tetap akan pergi walau tanpa dia. Diamlah. Jangan bazirkan air mata kerana dia. Lebih baik kita menangis kerana rindukan ALLAH,” bisik Ahmad Adham ke telinga Kartina.
           
          
            Hati seorang ibu memang sedang tercalar luka. Namun, Kartina tetap mendoakan kesejahteraan Muhayat. Dia tetap berharap agar ALLAH menentukan sesuatu yang baik untuk anaknya itu.
            Selepas berbincang dengan Mursyid, akhirnya dia bersetuju untuk memandu ke Johor Bahru memandangkan Ahmad Adham tidak mahu menaiki kapal terbang.
            “Lebih baik kita naik kereta sebab abah tak payah banyak berjalan. Tak mengapa kalau kita lambat sampai, asalkan abah rasa selesa dan dapat bertemu Abah Zaman,” kata Ahmad Adham kepada Mursyid.
            “Kalau macam tu, baiklah abah. Mursyid akan hantar abah ke sana. Selagi Mursyid ada, abah dan ibu akan sampai ke mana sahaja. Asal jangan minta nak ke bulan,” jawab Mursyid dengan ketawa. Dia cuba meredakan suasana. Juga melegakan perasaan ibu dan ayahnya.
            “Abah pun tak nak pergi ke bulan. Abah gayat,” jawab Ahmad Adham ikut ketawa.
            Gurau senda dua beranak itu langsung tidak menjentik hati Kartina untuk ketawa. Sungguh dia berduka hati dengan sikap Muhayat. Mereka sampai ke Hospital Sultan Ismail ketika hari hampir malam. Lantaran keletihan, mereka terus bermalam di hotel.
            “Abah berehatlah dulu. Esok baru kita melawat Abah Zaman di hospital. Syid dah telefon Abang Firdaus. Dia kata abah dalam keadaan stabil,” kata Mursyid.
            “Terima kasih kerana Syid faham perasaan kami. Abah bangga dengan Syid,” kata Ahmad Adham. Dia jujur. Dalam hatinya ada segumpal rasa ketika melihat kesungguhan Mursyid menguruskan perjalanan mereka ke Johor Bahru terutama ketika dia menelefon Firdaus.
            
            Walaupun belum pernah saling mengenali, mereka mampu berbual mesra!        
            “Abah, Syid juga sayangkan Abah Zaman tu. Dia tu baik. Hanya Abang Hayat yang tak berikan dia peluang untuk mencurahkan kasih sayangnya.”
            “Kita doakan hati abang kamu berubah ya,” kata Ahmad Adham.
            Mursyid angguk.
            “Sebenarnya abang tu suka dengar cakap orang tak usul periksa. Abah tahu siapa yang sebarkan fitnah busuk tu?” tanya Mursyid.
            “Siapa?”
            “Mak usu. Dialah yang canangkan cerita yang bukan-bukan mengenai Abah Zaman.”
            “Mana Syid tahu. Jangan Syid pulak nak buat fitnah. Takkan begitu jahat mulut mak usu kamu tu? Lagipun, apa salah Abah Zaman pada dia?” Ahmad Adham menoleh dengan wajah keliru.
            “Abah, ini bukan fitnah. Untie Hariza yang beritahu Syid yang mak usu ada telefon dia dan cerita macam-macam mengenai ibu dan Abah Zaman. Takkan Untie Hariza nak bohong. Abah pun kenal, dia tu macam mana.”
            Ahmad Adham termenung. Hariza adalah jiran mereka. Sudah berpuluh tahun hidup berjiran tidak pernah ada masalah dengannya. Hariza adalah wanita contoh untuk taman itu. Dia bukan sahaja seorang guru pencen tetapi seorang yang sangat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
           

     
            Ahmad Adham tahu Rosni memang tidak sukakan Kartina. Sejak awal berkahwin pun, memang Rosni sudah mula menunjukkan tanda benci. Namun dia tidak percaya kalau adiknya itu sanggup menabur fitnah. Sedangkan fitnah itu, dosanya sama dengan membunuh. Apa yang tidak difahaminya, apa salah Kartina kepada Rosni selama ini. Kenapa Rosni benci sangat hingga sanggup memfitnah begitu?
            “Mak usu tu memang cemburukan keluarga kita, abah.”
            “Nak cemburu kenapa? Dia ada semuanya malah hartanya mungkin lebih banyak dari kita. Anak-anaknya semua berjaya. Bisnesnya juga begitu. Apa lagi yang dia tak puas hati dengan kita?” Ahmad Adham semakin keliru dengan sikap Rosni.
            “Abah, dia cemburukan kebahagiaan kita. Dia mungkin kaya tapi dia tak bahagia. Dia mungkin berjaya tapi dia tak gembira,” balas Mursyid, bersahaja.
            Ahmad Adham terkesima dengan kata-kata Mursyid. Untuk pertama kali dia mendengar ungkapan kata-kata yang begitu matang dari Mursyid. Dan dia mengakui kebenarannya.

No comments:

Post a Comment